
Saya kini sedang mengalami kemandulan minda, sering gagal berfikir di luar kotak. Anda tahu makna kemandulan minda?. Saya sekadar meminjam kata-kata tersebut dari seorang ahli parlimen negara. Kurang pasti siapakah gerangan orangnya. Beliau menggunakan istilah itu sewaktu mengkritik kewibawaan DBP dalam memartabatkan bahasa ibunda. Akhir-akhir ini, polemik nasib bahasa melayu sering menjadi topik perbahasan umum yang merimaskan. Entahlah. Saya sendiri kurang pasti. Siapalah saya untuk memberi buah fikiran dalam permasalahan ini.
Baiklah. Jari-jemari saya lancar menekan punat-punat di papan kekunci. Entri kali ini sebenarnya telah lama tersimpan di ruangan draf. Menunggu masa yang sesuai untuk saya sudahkan.
Pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 di PWTC, saya telah membeli sebuah novel finalis Anugerah Sako 2 karya Dr. HM Tuah Iskandar. Saya sendiri kurang pasti sebenarnya mengapa saya begitu tertarik untuk membeli novel ini.. Tiba-tiba sahaja hati saya terdetik untuk mendapatkannya. Maka, urusniaga pun berlaku dan novel tersebut bertukar tangan. Novel bertajuk ' Enrique mengundang jauh' kini menjadi milik saya.
Seusai membaca, paradigma awal saya berubah .Ia bukanlah sebuah novel picisan yang mengisi lambakan pasaran. Terkandung di dalamnya sebuah fakta yang jarang diketahui orang. Ia sebuah cerita tentang kita. Sejak zaman berzaman, orang melayu memang terkenal dengan kepakaran mereka mengusai samudera. Orang laut misalnya menjadi pengawal pantai tatkala kegemilangan Melaka. Mereka pakar membina keluk, sampan dan bahtera. Maka, tidak hairanlah jika kita menguasai samudera sejak zaman-berzaman.
Fakta yang sering dilakarkan dalam buku-buku sejarah mengatakan bahawa manusia pertama yang belayar mengelilingi bumi adalah Ferdinan Magellan. Namun novel ini cuba menyajikan fakta pada sudut yang berbeza. Bangsa pertama yang belayar mengelilingi bumi adalah bangsa Melayu!. Bukannya Ferdinan Magellan!. Bangsa Melayu mendahului bangsa portugis? Satu fakta yang menimbulkan kepelikan dalam diri ini.
Panglima Awang atau Enrique of Melaka merupakan bangsa Melayu yang saya maksudkan itu. Panglima Awang telah membuktikan bahawa bumi ini bulat. Pada zaman dahulu, manusia menyangka bahawa bumi ini mendatar. Mereka tidak berani untuk belayar terlalu jauh ke tengah lautan. Saya kurang pasti akan ketepatan cerita ini namun kisah Panglima Awang ini pernah dibukukan oleh Harun Aminurrashid pada 1957.
Panglima Awang merupakan salah seorang pemuda Melayu yang terlibat dalam misi pelayaran Ferdinan Magallen. Beliau telah ditangkap dan dijadikan hamba abdi sewaktu Portugis menyerang Melaka pada 1511. Namun oleh kerana ketaatan beliau, beliau telah dilantik sebagai kelasi kapal oleh Ferdinan Magallen. Beliau jujur, rajin dan gigih sehingga menyebabkan beliau mendapat kepercayaan dari Ferdinan Magellan.
Umum mengetahui bahawa Sepanyol dan Portugis suatu masa dahulu berlumba-lumba untuk meluaskan empayar masing-masing. Ferdinan Magallen telah diarahkan oleh pemerintah Portugis untuk belayar mencari tanah baru. Maka, belayarlah Ferdinan Magallen bersama-sama dengan 5 buah kapal dan 270 orang kelasi menjelajah bumi atma. Salah seorang kelasi yang terlibat dalam ekspedisi tersebut adalah Panglima Awang. Beliau mendapat kepercayaan penuh dari Ferdinan Magallen sehingga dilantik sebagai pembantu kapten kapal.
Sewaktu tiba di Filipina, kapal-kapal pelayaran mereka telah diserang. Kelasi-kelasi kapal engkar akan arahan Ferdinan Magallen apabila menembak meriam ke udara sebagai tanda meraikan kegembiraan. Tindakan mereka ini disalah tafsir oleh penduduk asal Filipina dan menyebabkan mereka menyerang balas. Dalam serangan ini, Ferdinan Magallen telah terkorban. Oleh itu, beliau sebenarnya gagal mengelilingi dunia secara lengkap. Hanya 27 orang anak kapal termasuk Panglima Awang yang berjaya menamatkan pelayaran tersebut. Walaubagaimanapun, cara kematian Ferdinan Magallen terdapat di dalam pelbagai versi dan apa yang saya ceritakan ini adalah salah satu daripadanya. Pokok pangkalnya, Ferdinan Magallen tidak berjaya menamatkan pelayarannya.

Duarte Barbosa, seorang kelahiran Portugis telah memilih Panglima Awang sebagai kapten baru menggantikan Ferdinan Magallen. Beliau telah memimpin saki baki kapal yang ada untuk belayar pulang ke Sepanyol. Nyatalah bahawa beliaulah orang pertama yang belayar mengelilingi bumi sekaligus membuktikan bumi ini bulat!.
Terserah kepada anda untuk mempercayainya atau tidak. Saya hanya menterjemahkan semula pembacaan saya dalam bahasa yang lebih mudah. Saya ini tidak fanatik bangsa namun jika benar Panglima Awang manusia pertama belayar mengelilingi bumi, saya wajar berbangga. Lengan ini jika ditoreh, darah yang mengalir adalah darah seorang pelayar terkemuka dunia!
Manusia yang melupakan sejarah akan mengulanginya semula. Bersama-samalah kita belajar daripada sejarah yang berlalu. Jika anda masih tidak percaya tentang fakta yang saya kemukakan ini, gerakkanlah kursor tetikus anda pada link yang saya sertakan di bawah ini. Bacalah review novel dari pengarang yang lebih berwibawa.
Ular menyusur akar takkan hilang bisanya!