
Lalang jalanan masih hijau seperti dahulu.
Meliuk dan melambai longlai.
Padanya ada ketenangan.
Namun, budaya ketimuran barangkali sudah menguning dan tidak semekar dahulu.
Putik-putik baru tidak mampu membina akar padu.
Bagai disembur racun parasit, ianya kini menanti masa untuk menyembah bumi kami.
.
.
.
.
.
Sekadar selingan di awal pagi. Sebenarnya bukan ini tema utama entri kali ini.
.
.
.
.
.
Setiap orang seleranya pasti berbeza.
Saya ada seorang kawan. Beliau gemarkan kuih bakar. Keriangan jelas terpancar di wajahnya apabila beliau menikmati setiap kunyahan kuih tersebut. Biarkanlah beliau dengan kuih bakarnya. Saya tidak mahu mengganggu.
Duduk di dalam kolej di dalam hutan ini kadangkala agak membosankan. Kami tidak ada tempat lain untuk menjamu selera selain daripada kafe dan dewan makan. Bukannya saya tidak mahu bersyukur. Jika hendak dibuat perbandingan, nasib kami pastinya lebih baik berbanding pelarian perang di luar sana.Maka, anggaplah ini sebagai suara rintihan hati saya yang tak terucap. ok?
Akhir-akhir ini, saya kadang-kala mengidam makanan yang pelik-pelik. Tidak perlulah dijelaskan apakah jenis makanan tersebut. Namun, hasrat saya untuk mendapatkan makanan tersebut pastinya sukar untuk dilaksanakan kerana kolej kami ini jauh ke dalam hutan.
Sudahnya, saya biarkan saja perut ini berkeroncong sendiri.
Walaupun dihadapkan dengan dilema ini, saya tidak pernah bercadang untuk melaksanakan Vote Of No Confidence ( V.O.N.C) terhadap exco-exco makanan di kolej saya. Lebih-lebih lagi, ahli exco makanan di kolej saya berdedikasi dan berkaliber orangnya.
Saudara Top sebagai contoh, sering menjadi tempat rujukan saya semasa saya berkira-kira untuk ke dewan makan ataupun tidak.
Situasi 1:
Kemalasan itu menyerang lagi. Lebih-lebih lagi kedudukan dewan makan memerlukan saya menapak jauh. Telefon bimbit di atas meja dicapai. Sistem pesanan ringkas ditaip.
" Top, makan ape mlm ni?"
Beberapa saat berlalu. 1 Message receive.
" ayam msk stew"
From: Top (013-318xxxx)
Saya ke dewan makan dengan segeranya.
Oleh kerana hal-hal seperti ini, saya tidak pernah bercadang untuk V.O.N.C. terhadap mereka. Lagipun bukanlah termasuk dalam portfolia mereka untuk menyediakan makanan-makanan yang pelik untuk saya. Siapalah saya untuk 'demand' lebih-lebih. Saya bukannya cerewet orangnya.
Cuti kolej tidak lama lagi. Saya hanya perlu menunggu beberapa hari lagi untuk mendapatkan makanan yang saya idamkan.
Mengidam. Mengidam. Mengidam.
Pelik. Saya tidak pernah seperti ini.
Saya mengandungkah?