Saya menulis ini sewaktu berada di The Coffee Bean & Tea Leaf, LCCT - kira-kira 3 jam sebelum berangkat ke Aceh Darussalam.
Tren Senandung Sutera membawa saya bermusafir jauh daripada selatan tanah air dan tiba di ibu kota lewat subuh tadi.
Dan sepanjang berjalanan selama 6 jam itu saya tersengguk-sengguk menahan kantuk. Keretapi bergegar-gegar buat lena saya sedikit terganggu.
Sebagai bekal perjalanan (selain pakaian) - saya turut membawa 2 buah buku iaitu Kumpulan Cerpen Perempuan Anggerik (Faisal Tehrani) dan Ulama Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan (Riduan Mohamad Nor & Mohd Fadli Ghani)
Akhir-akhir ini, perkelahian antara dua negara serumpun ini amat membingungkan saya. Agaknya - jika tanpa campur tangan penjajah yang membahagikan Tanah Melayu dan Indonesia kepada dua melalui Perjanjian Inggeris Belanda 1824 - kita hari ini adalah satu negara.
Kita ini menjadi mangsa dan penjajah jugalah yang mengaut keluar kekayaan tanah air.
Indonesia yang saya kagumi perkembangan penulisannya - melalui dua penulis kontemperorinya , Andrea Hirata & A Fuadi adalah sebuah negara yang mula mengeluarkan filem-filem yang mengangkat tema kerohanian & ketuhanan. (yang pastinya berbeza dengan industri perfileman negara kita)
Dan gelombang 'sastera Habiburrahman' yang turut melanda Malaysia juga bermula di Indonesia melalui Ayat-Ayat Cinta.
(Walaubagaimanapun, sebagai sebuah negara umat Islam terbesar di dunia - Indonesia juga menghadapi cabarannya yang tersendiri - bahana serangan-serangan pemikiran - sehingga terserlah pada pembikinan sesetengah filemnya yang bergenre seram erotis)
Saya tidak mempunyai maklumat yang begitu mendalam mengenai Aceh Darussalam. Kajian mengenai Aceh hanya dilakukan melalui pembacaan di internet. Dan satu-satunya maklumat lisan hanya diperoleh melalui perbualan ringkas melalui seorang pekerja kedai buah-buahan di Kota Tinggi.
Menurut abang tersebut (yang sudah saya lupa namanya) - Aceh jikalau hendak dibandingkan dengan negeri di Malaysia adalah seperti Kelantan yang disinonimkan dengan pemerintah berteraskan syariah Islam. Warganya tidak boleh keluar sesuka hati dengan mendedahkan aurat.
Menurut beliau lagi - masjid begitu mudah didapati dan setiap bangunan dibina rendah-rendah kerana tidak mahu melebihi ketinggian menara masjid.
Ketika saya bertanya - adakah orang Aceh baik-baik dan peramah sifatnya? Maksud saya - adakah orang Indonesia di Aceh benci kepada rakyat Malaysia? (sepertimana provokasi yang berlaku pada pertembungan di Sukan SEA 2011)
"Orang Islam kan baik-baik. Peramah dan sedia membantu. InsyaAllah - di Aceh semuanya baik-baik sahaja."
Dan begitulah harapan saya sepanjang 5 hari di sana. Moga ada kekuatan ukhwah Islamiyah di sana.
Sekurangnya-kurangnya jika saya bersin dan menyebut Alhamdulillah - ada yang sudi dengan spontan menyambut dengan Yarhamkallah.
Kita tunggu dan lihat sahaja nanti bagaimana keadaannya.
Berdasarkan pembacaan ringkas sebentar tadi - ada satu fakta yang agak mengujakan saya.
Tun Sri Lanang yang pernah menjadi Bendahara Paduka Raja Johor pada 1580-1615, serta penyunting Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) telah dimakamkan di Aceh - iaitu di Samalanga.
Tun Sri Lanang lahir di Seluyut, Kota Tinggi, Johor pada 1565. Dan nama beliau diabadikan pada terminal bas Kota Tinggi yang baru iaitu - Terminal Tun Sri Lanang.
Melalui Surat-Surat Perempuan Johor tulisan Faisal Tehrani - Kerajaan Johor ketika era Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim digambarkan sebagai berpegang teguh dengan Islam, malah pernah membuat hubungan diplomatik dengan Khilafah Uthmaniah Turki.
Nah - saya kira - suatu masa dahulu sebelum kita dipecah-pecahkan dengan konsep negara & bangsa - umat Islam dari serata tempat pernah menjalin hubungan diplomatik yang amat akrab.
Dan kita yang berada di Nusantara ini sepatutnya berasa diri bersaudara.
Ini sejarah kita.