Khamis, Mac 29, 2012

Pak Agus, pemilik warung nan budiman.






Membaca kembali travelog yang tersiar dalam Majalah i edisi April 2012 menyebabkan saya tekun menguliti satu demi satu gambar yang dirakam sepanjang 6 hari perkelanaan di bumi Aceh Darussalam.


Travelog tersebut saya catatkan beberapa hari selepas kembali ke tanah air. Terima kasih kepada sahabat yang sudi sama-sama bermusafir ke bumi serambi Mekah, Abdul Muizz kerana banyak merakam kenangan di sana melalui lensa kameranya.


Gambar yang beribu keping itulah yang sedang asyik saya beleki. Dan kemudiannya, beberapa peristiwa yang dilalui turut sama menerjah memori.


Adapun sebenarnya ada banyak kisah sepanjang kami di sana yang tidak saya catatkan dalam travelog itu. Pertama, kerana kekangan ruangan. Kedua, kerana ianya lebih bersifat peribadi.


Salah satu cerita yang tidak saya muatkan dalam travelog itu ialah pertemuan kami dengan Pak Agus, pemilik warung nan budiman di Banda Aceh.


Ketika hari ketiga di Aceh, kami meneroka di sekitar pekan untuk mencari warung bagi menikmati makan tengahari. Deretan kedai-kedai pakaian dan cenderamata lebih mendominasi di kawasan itu - membuatkan kami berasa hampa kerana tidak menemui sebarang kedai yang menjual makanan di waktu perut sedang kelaparan.


Akhirnya, kami tiba di warung serba ringkas itu - seterusnya menikmati hidangan yang dijual. Seingat saya, kami ketika itu menikmati nasi berlauk (umpama nasi campur) dan kopi dingin.


Selesai makan, kami berbual-bual semasa sendiri - merancang untuk aktiviti seterusnya. Ketika sedang duduk-duduk itulah, Pak Agus datang menghulur salam perkenalan. Pak Agus memperkenalkan dirinya sebagai pemilik warung tersebut.




Kami bertukar-tukar kisah tentang latar belakang hidup masing-masing. Seperti mana kebanyakan penduduk Aceh lain yang sempat kami kenali, Pak Agus mudah untuk didekati dan mudah diajak berbual - menceritakan pengalamannya ketika tragedi 26 Disemberi 2004.


Perbualan-perbualan biasa itu kemudiannya menjadi pertalian yang lebih erat (yang tidak kami sangka-sangka). Pak Agus bermurah hati untuk menawarkan kami dengan sebarang pertolongan sepanjang kami berada di bumi Aceh.


Sepanjang beberapa hari kami ke sana, Pak Agus membantu kami dalam urusan pengangkutan - menghantar kami ke sekitar kota dan pelabuhan dengan kereta Honda Jazznya, selain banyak mengambil berat dan membantu kami memahami kehidupan warga Aceh.


Kami tertawan dengan ketinggian hati budinya.


Cerita Pak Agus; dahulu ketika dia masih muda seperti kami (Pak Agus adalah graduan ekonomi daripada universiti tempatan) - dia bersama teman-temannya pernah ke Malaysia sebagai pelancong backpackers.


Ada seorang rakyat Malaysia yang telah membantu dia dan teman-temannya sepanjang dia berada di Malaysia; menjadi pemandu pelancong dan membawa mereka mengelilingi sekitar kota - secara percuma.


Pak Agus berasa terhutang budi - dan kerana itulah, beliau memberikan layanan dan perhatian yang baik sepanjang kami di sana. Dan sehingga hari ini, kami kadang-kadang masih berbalas sms.


Kunjungan ke Aceh pada Disember 2011 - selain mengingatkan saya tentang kekuasaan Allah melalui kejadian Tsunami yang mengubah daratan menjadi lautan - turut menyedarkan saya untuk melihat dunia dalam paradigma yang lebih luas. Tentang kesatuan Nusantara (ataupun lebih tepat lagi; kesatuan Akidah)


Betapa perlunya kita untuk terus berbakti kepada orang lain dan menawarkan pertolongan kepada yang memerlukan, kerana kita tidak tahu bilakah masanya kita akan memerlukan bantuan.


Di sesetengah kawasan, kepingan-kepingan wang tidak lebih daripada sekadar helaian not-not kertas yang tidak bernilai - yang tidak mampu membeli apa-apa; kerana kebijaksanaan untuk memilih teman adalah lebih berharga.


Ketika inilah, kebergantungan ketika Allah akan lebih dirasai kerana kita berasa di satu kawasan asing, tanpa saudara dan taulan ; mengharap Allah akan menemukan kita dengan orang yang betul.


Dalam kapal terbang AirAsia sewaktu berangkat pulang ke Malaysia; hati kecil saya berdetik - adakah saya mampu untuk memberikan layanan istimewa yang serupa jika Pak Agus ke Kota Tinggi?





Rabu, Mac 28, 2012

Rencana di Majalah i edisi April 2012







Alhamdulillah - rencana saya yang bertajuk 'Memetik Ibrah di Nanggroe Acheh Darussalam' disiarkan dalam ruangan Travelog Iman, Majalah i edisi April 2012.


Kebelakangan ini, kerja menulis yang memerlukan saya untuk merenung panjang dan menterjemahkan fikiran dalam bentuk bilah-bilah kata terasa amat melelahkan.


Semoga dengan penyiaran rencana di media ini akan kembali membangkitkan semangat saya untuk membaca, berfikir, menulis dan keluar daripada zon selesa serta bersifat lebih defensif.


Seperti mana tulisan Ustaz Riduan Mohamad Nor dalam prakata buku Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad; saya juga seperti Multatuli (penulis Max Haavelar) yang berprinsip 'aku mahu dibaca' bahkan lebih jauh mendasar, menulis akan mencerahkan pemikiran, menyihatkan mental, meramaikan teman, melunaskan hutang masa kita yang sentiasa terbuang percuma jika tidak menulis. Buku akan menjadi harta paling berharga di sisi manusia yang cintakan ilmu dan keteladanan yang baik, yang paling penting, ia adalah sebahagian catatan amal kita untuk hari akhirat yang panjang.


Related Posts with Thumbnails