Isnin, Februari 15, 2010

Kosong



Cuti pun selalu datang menghimpit apabila tiba masanya untuk ia menerkam. Dan aku masih di sini.


Kosong. Kosong. Kosong.


Blog ini sudah lama tidak dikemaskini bukan? Serius. Aku gian untuk menulis entri panjang-panjang. Namun, apakan daya. Laptop sedang rosak. ' Terima kasih' kepada adik yang menghempaskan objek fragile tersebut.


Sekarang semua objek mahu rosak. Telefon bimbit aku juga sedang rosak dengan kronik. Sudah tidak dapat digunakan kerana skrinnya pecah dan punat-punatnya sudah tidak dapat ditekan. (haha)


Entah bila lagi aku akan kembali menulis seperti dulu. Mencatatkan setiap definisi yang aku terjemah sendiri mengikut mata hati, bukan kerana aku orang lain.


Dan apakah rasanya apabila ikatan-ikatan itu aku leraikan? Aku tidak pernah mengerti, kerana aku selalu menjadi mereka. Kali ini, biarkan aku menjadi aku.



Oh ya, sudahlah. Mari bicara hal lain.


Cuti (selama 4 hari) ini, aku sudah berjaya habiskan dua buah novel. Sudah lama tidak luangkan masa dengan khusyuk membaca bahan-bahan begitu.


Aku jadi suka dengan perkhidmatan ujanailmu.com.my. Lain kali mahu beli buku di situ lagi.


' Panggil aku melaju' dan 'harga sebuah maruah'.


Serius. Sangat seronok membacanya.


'Panggil aku melaju' ada kekuatannya yang tersendiri. Sangat banyak persoalan dan falsafah yang diangkat di dalamnya. Antaranya tentang hala-tuju Bahasa Melayu, sejarah asal bangsa Melayu dan banyak lagi. Pengarang bijak. Dia mampu menyelitkan persoalan dan falsafah di mana-mana sahaja sehingga aku sering termenung memikirkannya.


'Harga sebuah maruah' tulisan Azizi Haji Abdullah juga tidak mengecewakan. Aku suka membacanya. Ditambah pula dengan metafora yang indah-indah. Ouh, aku jadi cemburu dengan kehebatan pengarang bermain dengan metaforanya.

Ingat ya, harga sebuah maruah tidak akan mampu dibeli dengan wang ringgit.

.

.


.


(hahaha)

Aku tidak tahu apa yang aku tulis ini. Kosong bukan?
Sekadar mahu memenuhkan kembali blog yang sudah bersawang dan tidak berisi dengan bahan-bahan bermanfaat.


Ingin kembali menulis.

Menyiapkan kembali manuskrip yang terbengkalai ( yang sudah merengek-rengek minta disambung)



tapi nantilah dahulu ya?

Trial kurang daripada 50 hari.


Mahu ke Sheffield ataupun tidak?


Mahu!


=)


Khamis, Februari 04, 2010

Bisikan ruang




Bisikan ruang



Kutatap wajah malam
yang merangkak pergi bersama bulan
dan aku yang rapuh
masihkah tegar meniti detik?
tika segalanya menderu, menerpa
menghambat kudrat ke hari baru
tanpa aku sedia berdepan.


Tuhan,
inikah harga menjadi cekal?



Syukri Sapuan
Lembah Beringin, Selangor.
3 Februari 2010
10.30 malam




Selasa, Februari 02, 2010

Bangsawan 2010








Di Kolej Yayasan UEM, 'Bangsawan' merupakan acara tahunan yang akan menemukan keempat-empat house di sini.

Diamond.

Sapphire.

Topaz.

Garnet.


Bangsawan pada tahun ini akan berlangsung pada minggu depan, 10 Februari.


Sekarang semua ahli house sedang melakukan persiapan di saat-saat terakhir. Menyiapkan prop, memantapkan lakonan, menjahit baju dan perkara-perkara yang seumpama dengannya.


Kalau tahun lepas saya berlakon, tahun ini apa pula peranan saya?

.

.

.

.

.

.

.


Tunggu dan lihat.



Isnin, Februari 01, 2010

Ada apa dengan MPR 2009?



MPR 2009: PERJALANAN KAMI MASIH JAUH

(versi yang masih belum dikemaskan oleh editor)

Oleh Syukri Sapuan

Minggu Penulis Remaja (MPR) sering dikaitkan sebagai satu gelanggang berbisa yang mengasuh tunas-tunas penulisan menjadi pengarang mapan. Program ‘perkampungan penulis muda’ ini dianggap sebagai program pengasuhan penulis yang paling dominan dan konsisten di Malaysia buat masa ini. Oleh kerana itulah, perasaan gembira dan teruja membuak di hati kami tatkala surat tawaran MPR 2009 tiba di peti pos kediaman. Ketika sampai di bangunan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) untuk hari pendaftaran, kami telah dijemput untuk menghadiri Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja 2009 di Dewan Seminar DBP. Di sana kami berpeluang untuk beramah mesra bersama penulis-penulis lain yang bergraduasi daripada ‘Akademi MPR’.

Keistimewaan perhimpunan kali ini adalah ia berjaya mengumpulkan mantan-mantan MPR sejak tahun 1985, sekaligus menemukan penulis mapan dan penulis muda. Kami yang ketika itu duduk mendengar pengalaman mereka, berasa begitu bersemangat untuk pergi lebih jauh dalam dunia penulisan. Pengalaman-pengalaman yang dikongsi oleh para panelis telah meluaskan relung pemikiran kami tentang hala tuju arena penulisan, seterusnya memberi aspirasi kepada kami untuk menghasilkan karya yang tahan uji dan tidak lapuk dimamah waktu.

Biarpun begitu, kami sedar bahawa seorang penulis mapan tidak mungkin dilahirkan dalam tempoh sehari semalam walaupun penulis tersebut mempunyai bakat semulajadi. Penulis juga harus dibentuk dari aspek pemikiran, jati diri dan dilenturkan kesantunan berbahasa, serta dicerna kecendekiaan semasa dalam tradisi persuratan.


Dapatkan esei lengkap dalam Tunas Cipta Februari 2010.

Nota kaki: Tajuk asal yang saya cadangkan adalah 'Ada apa dengan MPR 2009?'



Related Posts with Thumbnails