Sabtu, Disember 25, 2010

Membeli buku secara atas talian



Saya selalu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan buku-buku daripada kedai-kedai buku biasa. Selain berhadapan dengan masalah tiada stok, kedudukan kedai yang agak jauh juga menyulitkan saya. Maka - membeli buku secara atas talian (online) adalah antara alternatif yang ada.


Berikut adalah beberapa laman sesawang yang selalu saya gunakan untuk membeli buku-buku.


1. Ujana Ilmu


Ujana Ilmu Enterprise dimiliki oleh penulis, Puan Nisah Haron. Berdasarkan catatan pada ruang pengenalan, Ujana Ilmu bertujuan sebagai saluran kepada penulis dan penerbit sastera di Malaysia untuk mencapai khalayak Malaysia. Di sini ditampilkan buku-buku yang jarang-jarang ditemui di kedai buku biasa.


Antara buku yang telah saya beli di Ujana Ilmu ialah Tiga Kali Seminggu (Dr Faisal Tehrani), Kafe (Lutfi Ishak), Harga Sebuah Maruah (Azizi Abdullah) & Panggil Aku Melaju (Rahmat Haroun Hashim).


Setiap pembelian di Ujana Ilmu selalunya akan disertakan cenderamata berupa penanda buku yang bertulis 'Apabila membayar harga buku di Ujana Ilmu anda bukan sekadar membeli kertas & tinta, sebaliknya mendapat sebuah kehidupan!'


Ujana Ilmu merupakan antara laman kegemaran saya untuk membeli-belah.







2. BookCafe


Bookcafe.com.my merupakan kedai buku online PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. yang didedikasikan untuk memudahkan peminat buku terbitan PTS mendapatkan dan membeli buku-buku berbahasa Melayu pelbagai tajuk termasuk buku-buku yang baru diterbitkan oleh PTS dengan cepat, mudah dan pada harga yang istimewa.


Laman ini hanya menjual buku-buku terbitan PTS sahaja. Memandangkan PTS mengeluarkan semakin banyak buku pada setiap tahun, maka laman ini adalah alternatif terbaik untuk mendapatkan buku-buku tersebut. Kebanyakan kedai buku konvensional tidak dapat menampung stok buku keluaran PTS yang semakin banyak.





3. Dawama.com


Dawama.com merupakan kedai online yang menjual buku-buku dan majalah terbitan Dewan Bahasa & Pustaka.


Laman ini barangkali boleh menjadi alternatif kepada para pembaca yang sukar untuk mendapatkan buku & majalah terbitan DBP di kedai-kedai buku biasa.


Antara buku yang pernah saya beli di laman ini ialah Perempuan Anggerik (Faisal Tehrani), Nasib (Zaharah Nawawi) dan Mencari Gayung (Serunai Faqir)





4.Kedai-Buku.com




(klik ikon di atas)


Keistimewaan Kedai-Buku.com terletak pada kepelbagaian buku yang dijual daripada pelbagai genre dan penerbit. Ia mula beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2009.


Kedai-Buku.com menawarkan banyak novel-novel kepada para pembaca. Pelbagai buku daripada pelbagai penerbit boleh didapati di sini. Antaranya Alaf21, Ameen Books, Galeri Ilmu, Kaki Novel, DBP, Telaga Biru, PTS dan banyak lagi.


Sebutkan apa sahaja kategori buku - daripada remaja, kanak-kanak, chic-lit, islamik, masakan, hobi, motivasi, ilmiah, kamus dan bermacam-macam lagi ada di sini.






Pembelian secara atas talian untuk buku-buku ini selalunya menggunakan prosedur yang hampir sama.


Pembeli perlu membuka akaun sebelum memilih buku-buku yang hendak dibeli. Urusan pengeposan akan dilakukan setelah setelah selesai urusan pembayaran. Pindahan wang ke dalam akaun bank adalah antara kaedah yang popular.


Urusan pengeposan selalunya akan menggunakan perkhidmatan PosLaju ataupun PosEkspress. Maka - buku akan dapat tiba ke pintu rumah seawal dua hari selepas urusan pembayaran! (bergantung kepada pihak pengurusan laman sesawang -buku daripada Ujana Ilmu selalunya akan tiba awal)



Rabu, Disember 22, 2010

Sayembara Menulis Cerpen & Sajak

Sempena menyambut Jubli Intan ulang tahun yang ke 60 tahun Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dan 40 tahun Gapena, IPM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan menganjurkan Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak bermula daripada 15 Disember 2010 dan berakhir pada 15 Mac 2011.


Sayembara ini dibuka kepada anak kelahiran negeri Melaka, tidak kira di mana mereka berada asalkan mereka dilahirkan di negeri Melaka. Bagi bukan kelahiran negeri Melaka, tetapi telah bermastautin selama 3 tahun di negeri itu layak menyertai samyembara ini.


Cerpen hendaklah hasil karya sendiri, bukan terjemahan, saduran atau apa-apa pengertian yang boleh menyebabkan karya itu tidak asli serta belum pernah diterbitkan dalam mana-mana penerbitan bercetak. Panjang cerpen sekitar 10-16 halaman, ditaip dengan kemas, menggunakan fon 12, langkau dua baris dan ditaip di sebelah halaman surat bersaiz A4.


Bagi sajak pula, panjang sajak tidak menjadi syarat mutlak, tetapi ianya hendaklah sekadar sesuai dengan pertandingan. Sajak hendaklah ciptaan sendiri, belum diterbitkan dalam mana-mana penerbitan dan ditaip dengan kemas menggunakan fon 12, langkau dua baris.


Tema bagi kedua-dua genre ini adalah bebas dan dipilih sendiri oleh penulis. Penulis boleh menghantar sekurang-kurangnya sebuah cerpen atau sajak, dan tidak lebih daripada tiga buah cerpen atau sajak. Semua penyertaan hendaklah menggunakan borang yang disediakan dan hendaklah sampai kepada urus setia pada atau sebelum 15 Mac 2011. Majlis penyampian hadiah dijangka akan diadakan pada bulan April/Mei tahun hadapan (2011), setelah panel hakim membuat keputusan. Keputusan hakim adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.


IPM mengharapkan seramai mungkin penulis kelahiran Melaka dan juga penulis yang telah 3 tahun bermastautin di negeri Melaka akan mengambil peluang untuk menyertai sayembara ini.


Maklumat lanjut boleh dilihat http://razaliendun.blogspot.com

Ahad, Disember 19, 2010

Selamat pengantin baru - edisi awal

Setelah sekian lama tidak membuka facebook, hari itu saya terkesima setelah menerima satu jemputan events.






Kawan setingkatan saya (Fatin Hanisah) akan melangsungkan perkahwinan pada 1 Januari 2011. Saya pernah sekelas dengan Fatin pada tahun 2003, di kelas 1 Baiduri (gambar bawah). Selain itu dia juga pernah berada dalam organisasi Majlis Asrama SM Sains Kota Tinggi (MAJASTI) sessi 2006/2007 sebagai ketua aras.

Tahniah kepada Fatin yang akan menjadi pelajar pertama daripada batch SPM 2007 yang melangkah ke alam perkahwinan. Semoga ikatan yang bakal dibina akan berkekalan hingga ke akhir hayat. InsyaAllah.



(Fatin Hanisah: Baris kedua hujung kanan)



Jumaat, Disember 17, 2010

Ipod Nano?





Saya tahu tentang peraduan ini - tetapi sedikit pun tidak saya teringat akannya ketika mahu membeli 2 buah buku dari bookcafe.


Untuk menyertai pertandingan ini, orang ramai harus membeli buku keluaran PTS dengan kadar minimum RM30 di kedai-kedai yang mengambil bahagian.


Untuk maklumat lanjut tentang pertandingan ini, sila klik di sini.


2 buah buku yang saya beli itu bernilai RM32. Jadi - saya layak untuk mendapat sekeping kad SMS untuk menyertai peraduan ini.


Untung-untung boleh menang hadiah mingguan!





Pada suatu pagi (ketika kelam-kabut kerana sudah lambat ke tempat kerja), saya 'terkejut beruk' kerana mendapat mesej daripada PTS melalui telefon bimbit.

Saya sendiri pun sebenarnya sudah lupa yang saya pernah sertai pertandingan itu.



Alhamdulillah.

Cuma sekarang masih berfikir - hendak pakai sendiri atau hendak jual saja?



Related Posts with Thumbnails