Sabtu, Disember 25, 2010

Membeli buku secara atas talian



Saya selalu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan buku-buku daripada kedai-kedai buku biasa. Selain berhadapan dengan masalah tiada stok, kedudukan kedai yang agak jauh juga menyulitkan saya. Maka - membeli buku secara atas talian (online) adalah antara alternatif yang ada.


Berikut adalah beberapa laman sesawang yang selalu saya gunakan untuk membeli buku-buku.


1. Ujana Ilmu


Ujana Ilmu Enterprise dimiliki oleh penulis, Puan Nisah Haron. Berdasarkan catatan pada ruang pengenalan, Ujana Ilmu bertujuan sebagai saluran kepada penulis dan penerbit sastera di Malaysia untuk mencapai khalayak Malaysia. Di sini ditampilkan buku-buku yang jarang-jarang ditemui di kedai buku biasa.


Antara buku yang telah saya beli di Ujana Ilmu ialah Tiga Kali Seminggu (Dr Faisal Tehrani), Kafe (Lutfi Ishak), Harga Sebuah Maruah (Azizi Abdullah) & Panggil Aku Melaju (Rahmat Haroun Hashim).


Setiap pembelian di Ujana Ilmu selalunya akan disertakan cenderamata berupa penanda buku yang bertulis 'Apabila membayar harga buku di Ujana Ilmu anda bukan sekadar membeli kertas & tinta, sebaliknya mendapat sebuah kehidupan!'


Ujana Ilmu merupakan antara laman kegemaran saya untuk membeli-belah.







2. BookCafe


Bookcafe.com.my merupakan kedai buku online PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. yang didedikasikan untuk memudahkan peminat buku terbitan PTS mendapatkan dan membeli buku-buku berbahasa Melayu pelbagai tajuk termasuk buku-buku yang baru diterbitkan oleh PTS dengan cepat, mudah dan pada harga yang istimewa.


Laman ini hanya menjual buku-buku terbitan PTS sahaja. Memandangkan PTS mengeluarkan semakin banyak buku pada setiap tahun, maka laman ini adalah alternatif terbaik untuk mendapatkan buku-buku tersebut. Kebanyakan kedai buku konvensional tidak dapat menampung stok buku keluaran PTS yang semakin banyak.





3. Dawama.com


Dawama.com merupakan kedai online yang menjual buku-buku dan majalah terbitan Dewan Bahasa & Pustaka.


Laman ini barangkali boleh menjadi alternatif kepada para pembaca yang sukar untuk mendapatkan buku & majalah terbitan DBP di kedai-kedai buku biasa.


Antara buku yang pernah saya beli di laman ini ialah Perempuan Anggerik (Faisal Tehrani), Nasib (Zaharah Nawawi) dan Mencari Gayung (Serunai Faqir)





4.Kedai-Buku.com




(klik ikon di atas)


Keistimewaan Kedai-Buku.com terletak pada kepelbagaian buku yang dijual daripada pelbagai genre dan penerbit. Ia mula beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2009.


Kedai-Buku.com menawarkan banyak novel-novel kepada para pembaca. Pelbagai buku daripada pelbagai penerbit boleh didapati di sini. Antaranya Alaf21, Ameen Books, Galeri Ilmu, Kaki Novel, DBP, Telaga Biru, PTS dan banyak lagi.


Sebutkan apa sahaja kategori buku - daripada remaja, kanak-kanak, chic-lit, islamik, masakan, hobi, motivasi, ilmiah, kamus dan bermacam-macam lagi ada di sini.






Pembelian secara atas talian untuk buku-buku ini selalunya menggunakan prosedur yang hampir sama.


Pembeli perlu membuka akaun sebelum memilih buku-buku yang hendak dibeli. Urusan pengeposan akan dilakukan setelah setelah selesai urusan pembayaran. Pindahan wang ke dalam akaun bank adalah antara kaedah yang popular.


Urusan pengeposan selalunya akan menggunakan perkhidmatan PosLaju ataupun PosEkspress. Maka - buku akan dapat tiba ke pintu rumah seawal dua hari selepas urusan pembayaran! (bergantung kepada pihak pengurusan laman sesawang -buku daripada Ujana Ilmu selalunya akan tiba awal)



Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails