Di dalam modul subjek Pembelajaran Sains Kanak-Kanak yang saya pelajari pada semester 1, salah satu sub-topik yang ada ialah Teori Pembelajaran Behavioris.
Apakah yang dimaksudkan dengan Teori Pembelajaran Behavioris?
Menurut Teori Pembelajaran Behavioris - belajar adalah perubahan tingkah laku sebagai hasil dari pengalaman. Belajar merupakan akibat adanya interaksi antara rangsangan dan respon. Seseorang dianggap telah belajar sesuatu jika dia dapat menunjukkan perubahan perilakunya.
Kata kunci yang penting di sini ialah ransangan dan respon.
Namun - yang menjadi persoalan di fikiran saya ialah teori-teori ini menggunakan haiwan sebagai model eksperimennya.
Teori Pelaziman Pavlov misalnya - menggunakan anjing sebagai model ujikajinya.
Teori Pelaziman Operan Thordike pula misalnya - menggunakan kucing sebagai model ujikajinya (Eksperimen Kotak Ajaib)
Teori Pelaziman Operan Skinner pula misalnya - menggunakan tikus sebagai model ujikaji.
Hal ini kelihatan begitu bertentangan dengan sasaran aplikasi teori pengajarannya yang sebenarnya - iaitu seorang guru akan mengajar seorang manusia.
Dan ini menyebabkan saya sedikit terawang-awang mencari titik justifikasi tentang kerelevenan teori-teori ini.
Adakah seorang manusia sama seperti haiwan? (yang digunakan sebagai model di dalam eksperimen) - sedangkan manusia itu berakal, dan haiwan sebaliknya.
Adakah tiada teori-teori pembelajaran daripada Timur? - yang bersesuaian dengan masyarakat Timur? Ataupun teori pembelajaran yang menggunakan manusia sebagai modelnya?
Dan begitulah persoalan-persoalan yang berlegar di fikiran saya sejak akhir-akhir ini. Dan saya mencari-cari alternatif yang ada.
Buku Teori Kaunseling Al-Ghazali terbitan PTS Islamika Sdn Bhd tulisan Dr Yatimah Sarmani dan Dr Mohd Tajudin Ninggal serba sedikit telah memberi pencerahan dan alternatif kepada saya tentang pendekatan Islam/Timur dalam menangani kaedah pembelajaran.
Buku ini dipadankan daripada karya tesis Ijazah Doktor Falsafah Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
Walaupun buku ini berkisar tentang teori kaunseling - dan yang pelajari/cari ialah teori pembelajaran - namun ia tetap saling berkait kerana teori pembelajaran juga berkaitan dengan cara menambat hat manusia.
Pada sari rangsang (blurb) ditulis,
"Nama-nama seperti Sigmund Freu, Carl Rogers, Albert Ellis dan Eric Berne terkenal dengan teori kaunseling dan psikologi yang menjadi rujukan kaunselor di seluruh dunia. Walaupun teori-teori Barat seperti psikoanalisis, humanistik, kognitif dan tingkah laku sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan huraian al-Ghazali, tetapi ia tidak bertitik tolak daripada akidah tauhid.
Teori Kaunseling al-Ghazali muncul dan berasaskan huraian sifat-sifat manusia. Kedatangan Imam al-Ghazali yang melakukan anjakan paradigma adalah bertepatan bagi melihat kaunseling daripada perspektif Islam."
Dan pada bahagian pengenalan ditulis begini,
"Pengaplikasian teori kaunseling Barat ke atas budaya masyarakat Timur khususnya masyarakat Islam bukan sesuatu yang ideal. Sering kali berlaku salah tanggapan terhadap masyarakat Timur apabila kaunselor yang berasal daripada Barat mengaplikasikan sepenuhnya teori daripada Barat. Salah tanggapan juga berlaku walaupun kaunselor yang mengamalkan teori kaunseling Barat ke atas masyarakat Timur itu berasal daripada bangsa Timur. Teori dan dan model Barat itu sendiri kadang-kala menimbulkan pelbagai dilema di kalangan pengamal Barat.
Antara contoh yang dikemukakan oleh Malik Badri adalah berkaitan dengan Teori Tingkah Laku Skinner. Teori ini berasaskan pemerhatian tingkah laku haiwan. Aplikasi teori ini kepada manusia menjadikan kaunselor seolah-olah berada dalam 'lubang biawak'. Ini kerana skop analisa pada manusia disempitkan dengan memberi tumpuan hanya pada aspek tingkah laku sahaja."
Teori Kaunseling Al-Ghazali banyak merujuk kepada kitab Ihya' Ulumuddin - karya agung pemikir itu. Al-Ghazali terkenal sebagai salah seorang tokoh tasawuf. Oleh sebab itu, model kaunseling yang berasaskan karya beliau secara tidak langsung mengambil pendekatan tasawuf.
Bagaimana merealisasikan huraian pada manusia menurut al-Ghazali dalam proses kaunseling?
Menurut buku ini,
"Kaunselor Muslim perlu mempunyai ilmu Islam walaupun tidak mempunyai ilmu secara mendalam, sekurang-kurangnya mengetahui prinsip-prinsip asas dan cenderung mempertingkatkan diri. Dicadangkan supaya kaunselor yang mahu mengamalkan model ini membaca Ihya Ulumuddin terlebih dahulu. Dengan itu, kaunselor mempunyai kefahaman yang lebih mendalam berkenaan jenis-jenis penyakit hati yang membawa banyak masalah dalam kehidupan manusia serta kaedah-kaedah mengubatinya.
Namun begitu, model ini tidak dikatakan sebagai satu-satunya model kaunseling Islam. Penekanan terhadap huraian al-Ghazali sebagai salah satu mazhab dalam model-model kaunseling Islam; sama seperti pelbagai mazhab dalam kaunseling Barat yang terdiri daripada pendokong kognitif, tingkah laku, kemanusiaan dan sebagainya. Mungkin ada pengkaji atau pengamal kaunseling Islam lain yang cenderung menggunakan huraian Ibnu Taymiyyah, Ibnu Rusyd, Al-Farabi dan sebagainya. Ini kerana perbezaan pendapat dibenarkan dalam Islam asalkan adab-adabnya dipelihara."
Teori Kaunseling al-Ghazali tidak menggunakan haiwan, manusia ataupun sebarang objek sebagai model. Ia kembali kepada Al-Quran dan tujuan penciptaan manusia.
Buku ini wajar dibaca oleh si pencari pendekatan alternatif dalam teori kaunseling dan pembelajaran.
Di dalam Ihya' Ulumuddin ada disebut,"Ilmu pengetahuan itu adalah barang yang hilang daripada tangan seorang Mukmin yang harus dipungut di mana sahaja diperolehinya dan harus diucapkan terima kasih kepada sesiapa saja yang membawanya."
Memetik petikan dalam buku ini - Menerima sesuatu perlu dengan ilmu dan menolak sesuatu juga memerlukan ilmu. Ia bukan berdasarkan prasangka dan ikutan semata-mata. Ilmu penting dalam kehidupan manusia. Mengikut al-Ghazali,"Kekhususan manusia dibanding haiwan ialah ilmu. Manusia menjadi mulia kerananya."
dan begitulah Teori Kaunseling ini dibina.
Bercakap soal pendidikan - saya tertarik benar dengan pandangan daripada seorang sahabat.
Katanya - Pendidikan kita terlalu kurang proses, yang ada adalah hamburan input.
[copy paste]
Contohnya, pendekatan pendidikan kita banyak dilambakkan dengan input dengan harapan para pelajar akan dapat menghasilkan output sebagaimana yang dikehendaki.
tetapi, kita kurang sangat bicara isu proses.
contoh - sejarah.
kita belajar fakta bertimbun [input]. outputnya, para pelajar jadi patriotik, sayangkan negara etc [output]. tapi macam mana dengan fakta berkenaan nak hasilkan orang patrotik tidak dibincangkan apatah lagi diuji dalam peperiksaan.
yang ada dalam periksa, uji input bukannya proses. kalau uji input, buat apa. patutnya uji proses, baru boleh nilai sama ada kita mampu hasilkan pelajar yang patrotik atau tidak [output].
patutnya soalan sejarah - pada pendapat anda, patutkah Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511? atau apa pengajaran yang anda dapat daripada kisah Tuk Janggut dalam perjuangan kemerdekaan dari perspektif perjuangan agama.
Soalan berbentuk uji proses sebegini rasanya langsung tak dak dalam sistem pendidikan. Yang ada ialah - bilakah Melaka jatuh? Tok Janggut pejuang di negeri mana? All these input questions! not process!
So, we are always missing something when process is ignored.
Wallahu'alam
6 ulasan:
Tu dia. Boleh dikira sebagai nota ni. Berkait juga dengan pelajaran semester ni. [Okay, merepek kejap]
Hakikatnya, kebanyakkan teori Barat yang dipelajari dalam bidang pendidikan, berputar dalam paksi yang sama.
Pemikir Barat, pada pandangan saya, golongan yang giat dan gigih dalam mencari ilmu. Jika kita tinjau kebanyakkan buku-buku motivasi dari Barat, semuanya mendapat respon yang luar biasa. Contohnya 'How to Influence People and Win Friends'. Pada kiraan masyarakat, tulisan itu merupakan cetusan asal penulis. Walhal hakikatnya, pelbagai rujukan dilakukan termasuklah menjadikan tulisan-tulisan Al-Ghazali sebagai rujukan utama.
Inilah fokus utama komen saya, Al-Ghazali. Sebenarnya banyak teori pendidikan yang diasaskan oleh Ilmuwan Islam dan wajar dipraktikkan dalam dunia pendidikan kini. Khususnya dalam pendidikan anak-anak, Abdullah Nasih Ulwan turut memperkenalkan beberapa pendekatan yang bersesuaian bagi membentuk peribadi anak-anak disamping menjana pemikiran. Ya, sebagai guru, anak murid persis anak sendiri. Sewajarnya dilayan sebaik mungkin.
[Saya belum pernah terserempak dengan buku ni, mujur awak memaparkannya di sini. ^_^ ]
Oh ya, perihal pendidikan kita.
Mungkin pihak berwajib sudah sedar akan perkara ini, lantas menukar kurikulum daripada KBSR kepada KSSR. Secara teorinya, menjurus kepada proses menaakul, secara tidak langsung merangsang pemikiran murid-murid agar berfikir.
Namun realitinya? Guru tetap perlu terkejar-kejar menghabiskan silibus, hingga terbantut proses pemikiran murid-murid.
Ini sebenarnya cabaran bagi kita, sebagai bakal guru, untuk mencorak rentak P&P kelak.[semestinya perlu korbankan masa. aktiviti luar bilik darjah berkesan!]
ulasan dinamik, nk pinjam buku tu nty ye,,
Haha, betul. Saya pernah tenggelam seketika dalam teori behaviorism yang merapu sambil nak cari di mana titik persilangananya psikologi manusia dan haiwan. Gila!
tq syuk atas perkongsian ilmu ni...ape khabar kau sekarang? oh ye teruskan menulis ya :))
Najwa Najihah,
Terima kasih atas bacaan dan komentarnya.
Izinkan saya untuk mengulas sedikit ttg pandangan saudari itu.
Saya pernah terfikir - adakah kita perlu untuk 'memusuhi' buku2 psikologi daripada Barat ini? - kerana kita orang Timur dan pandangan semesta Barat itu berbeza.
dan saya berpandangan bahawa - tidak perlu - - nilai-nilai universal yang baik perlu kita junjung bersama - selagi mana ia tidak terpesong daripada soal akidah.
Seorang manusia, - tetaplah seorang manusia yang punyai jiwa. Dan bagaimanakah kita hendak menguruskan jiwa itu.
Buku-buku psikologi barat seperti yang saudari sebutkan - 'How to Influence People and Win Friends' tulisan Dale Carnigie (saya ada sebuah di bilik) - dan the 7th habits of highly effective people tulisa Stephen Covey - memang mendapatkan sambutan yang luar biasa daripada masyarakat. Dan buku-buku ini memberi panduan yang berguna kepada kita ttg tatacara hendak berhadapan dengan manusia di sekeliling.
Tentang teori kaunseling barat dicedok ideanya serba sedikit daripada buah fikiran dan buku Al-Ghazali - ada juga dinyatakan di dalam buku ini. Jika dilihat pada garis masa, Al-Ghazali hidup pada zaman yang lebih awal daripada pelopor teori2 kaunseling Barat ini.
Dan dalam bidang ekonomi pula - Teori Specialisation (Pengkhususan) oleh Adam Smith - ada persamaan dengan apa yang ditulis oleh Ibn Khaldun dalam Muqaddimah. Muqaddimah ditulis lebih awal daripada kelahiran Adam Smith.
Mungkin - inilah yang dapat dinamakan sebagai pencedokan ilmu daripada Timur ke Barat (?) - atau sebenarnya ilmu itu sendiri bersifat berkembang dan terus berkembang.
Masih berkisar tentang buku-buku psikologi dan motivasi daripada barat, saya kadang-kadang kurang gemar kerana contoh situasi yang diberikan selalunya tidak bercitra tempatan. Maknanya - tidak berlatar pada situasi di Malaysia. Oleh kerana penulis itu datangnya daripada Barat, maka contoh-contoh peristiwa dan situasi yang diberikan juga datang daripada sistem nilai dan gaya hidup Barat - yang mungkin sedikit berbeza dengan sistem nilai dan gaya hidup seorang rakyat Malaysia.
Oleh itu, sebagai pembaca- kita perlu untuk menyesuaikan diri dengan situasi yang diterangkan oleh pengarang.
Saya lebih selesa membaca buku2 psikologi dan motivasi yang ditulis oleh pengarang Malaysia kerana situasi yang diterangkan bersandar pada latar tempatan.
Namun ini tidak bermakna saya menolak bulat-bulat buku-buku psikologi/motivasi yang datang daripada Barat.
Demikianlah pandangan saya :)
Terima kasih atas tulisan ini.. Alhamdulillah masih ada lagi yang celik mata dan sensitif dengan serangan2 halus barat melalui teori2 mereka yang kadang2 bercanggah dengan aqidah kita..
Moga kita dapat berbuat sesuatu untuk mengubahnya!
http://speccikgu.blogspot.com/2014/03/wrong-way.html
Catat Ulasan