Alhamdulillah - rencana saya berkenaan pengalaman sepanjang hampir seminggu di Aceh telah disiarkan dalam ruangan Travelog Iman, Majalah i edisi April dan Mei - dengan tajuk Memetik Ibrah di Nanggroe Aceh Darussalam (April) dan Aceh: Keindahan yang tersembunyi (Mei)
Saya berterima kasih kepada pihak editor yang telah sudi menyiarkan rencana tersebut dengan beberapa suntingan dan penambahbaikan.
Berikut saya coretkan rencana asal yang ditulis untuk perkongsian di blog. Turut disertakan adalah beberapa keping gambar sepanjang perkelanaan kami yang tidak dipaparkan dalam rencana versi majalah. Semoga ada manfaatnya. InsyaAllah.
***
Travelog Iman
Memetik Ibrah di Nanggroe Aceh Darussalam
Oleh Syukri Sapuan
Langit sudah mulai gelap ketika pesawat AirAsia yang saya naiki mendarat di Bandar Udara Internasional Sultan Iskandar Muda. Petang sedang perlahan-lahan menginjak ke senja. Penerbangan yang memakan masa kira-kira 1 jam 30 minit daripada The Low Cost Carrier Terminal (LCCT), Kuala Lumpur, dirasakan begitu singkat berlalu. Keterujaan dan kegembiraan untuk menginjakkan kaki ke bumi serambi Mekah bercampur baur antara satu sama lain. Aceh dikenali sebagai sebuah kerajaan Islam yang mencapai puncak kejayaan pada abad ke-17. Dengan keluasan kira-kira 58,375.53 kilometer persegi, Aceh memiliki populusi umat Islam paling ramai iaitu 98.6% diikuti Kristian (0.7%), Buddha(0.55) dan Hindu (0.08%).
Bumi Aceh pernah bersimbah dengan darah syuhada yang menentang penjajah kafir Belanda. Taman-taman ilmunya pernah dilestarikan oleh ulama-ulama besar seperti Sheikh Samsuddin Al Sumaterani, Sheikh Abdul Rauf Singkel dan Sheikh Hamzah Fansuri. Tradisi Islam yang terlaksana menyebabkan undang-undang syariah diterapkan di wilayah ini.
Menaiki bechak, salah satu pengangkutan yang popular di Aceh |
Kedatangan saya ke Aceh bertujuan untuk memetik iktibar daripada tragedi tsunami yang telah membadai wilayah ini pada Disember 2004. Dalam masa yang sama, peluang yang ada turut digunakan untuk menziarahi rakan-rakan daripada Malaysia yang sedang menyambung pengajian di sini. Kebanyakan mereka menuntut dalam bidang dakwah, usuluddin serta syariah di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Ar-Raniri dan Universiti Syiah Kuala.
7 Tahun Selepas Tsunami
Warga dunia pernah gempar dengan kejadian bencana alam yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004. Gempa bumi yang berukuran 9.3 Skala Ritcher berlaku di dasar Lautan Hindi pada jam 8.59 waktu Malaysia. Rentetan gempa bumi tersebut, satu gelombang tsunami telah melanda kawasan di pesisir Lautan Hindu, meliputi Sumatera Utara, pantai barat Semenanjung Malaysia, Thailand, pantai timur India, Sri Lanka bahkan hingga ke pantai timur Afrika.
Menginap selama satu malam di Hotel Lading, Banda Aceh |
Tragedi pada penghujung Disember 2004 itu telah mengakibatkan wilayah Aceh yang berhampiran dengan pantai menjadi ‘padang jarak padang tekukur.’ Lebih 100 ribu orang terkorban dan ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal. Di sesetengah lokasi, dilaporkan bahawa ombak tsunami mencapai ketinggian 20 meter.
Bagi memberi peluang kepada pengunjung luar yang ingin mengutip iktibar daripada tragedi tsunami, organisasi pemerintah Indonesia telah membina sebuah Muzium Tsunami dengan kos RM23.6 juta di Jalan Blang Padang, Banda Aceh. Muzium empat tingkat ini mendapat sentuhan arkitek terkenal Indonesia, Ridwan Kamel, mula dibina pada tahun 2006 dan siap pada tahun 2010.
Di ruang pameran Muzium Tsunami |
Kunjungan ke Aceh turut membawa saya ke Muzium Tsunami yang dibahagikan kepada beberapa ruang pameran. Pengunjung dapat merasai dengan lebih dekat suasana ketika berlaku tragedi tsunami melalui paparan gambar, replika serta video. Sebuah bilik tayangan sedia menanti pengunjung yang hadir dengan tayangan detik-detik akhir bencana alam tersebut. Ratusan foto berkaitan kesan tsunami dipamerkan di ruang galeri. Saya merasa begitu kerdil apabila mengenangkan kekuasaan Allah yang Maha Hebat.
Pada ruang galeri yang lain, turut dipamerkan replika-replika kecil manusia bertempiaran lari ketika gelombang tsunami tiba membadai. Ombak tsunami yang mengguling begitu tinggi membuatkan manusia kelam-kabut berkejaran mencari tempat yang selamat. Terdapat juga dua replika struktur geografi Aceh ketika sebelum dan selepas tsunami. Replika struktur geografi ini dapat dijadikan perbandingan sejauh manakah tsunami telah mengubah struktur fizikal Aceh. Melalui replika ini, pengunjung akan mendapat gambaran berkenaan kesan tsunami yang telah meruntuhkan jambatan, meranapkan bangunan, menghanyutkan kenderaan dan mengorbankan jiwa-jiwa.
Pengalaman meneroka Muzium Tsunami yang memakan masa kira-kira satu jam amat menyuntik keinsafan ke dalam diri saya. Hanya Allah sebaik-baik tempat meminta pertolongan.
Kapal 2,600 tan berganjak 5 kilometer
Kunjungan menjejak kesan tragedi tsunami 2004 pasti tidak akan lengkap sekiranya tidak ke tongkang Pembangkit Listrik Tenaga Diesel (PLTD) Apung I yang terdampar kira-kira 5 Kilometer daripada kedudukan asalnya di pantai Ulee Lheue. Kekuatan gelombang tsunami telah menghempaskan kapal pembekal sumber elektrik seberat 2,600 tan sehingga ke Punge Blang Cut Jaya Baru, Banda Aceh. Tidak dapat dibayangkan bagaimana kapal yang memiliki kepanjangan 63 meter dan keluasan 1600 meter persegi ini mampu untuk berganjak sebegini jauh. Sudah pasti kederasan gelombang tsunami adalah begitu dahsyat sehingga mampu mengubah daratan menjadi lautan.
Kapal PLTD Apung I yang terdampar di daratan |
Walaubagaimanapun, hasrat saya untuk melihat Kapal PLTD Apung I secara lebih dekat tidak kesampaian kerana pihak pemerintah Aceh sedang melakukan projek pemuliharaan pada tapak kapal berkenaan untuk kemudahan pelancong pada masa akan datang.
Selain Kapal PLTD Apung I, terdapat beberapa buah kapal lain yang masih dikekalkan kedudukannya di atas daratan. Saya turut ke Kampung Lampulo, Banda Aceh untuk menyaksikan sendiri sebuah kapal nelayan yang terdampar di atas rumah penduduk kampung. Kapal nelayan ini telah menjadi bahtera penyelamat untuk 52 nyawa.
Bagi tujuan pendokumentasian tragedi tsunami, penduduk Kampung Lampulo yang selamat dan sempat menaiki kapal nelayan tersebut telah menerbitkan sebuah buku kecil yang bertajuk ‘Mereka Bersaksi.’ Buku ini memuatkan catatan pengalaman penduduk kampung pada detik-detik berlakunya tsunami dan bagaimana cara mereka boleh menyelamatkan diri.
Melihat kapal yang tersangkut di atas rumah daripada atas pelantar |
Salah seorang penduduk Kampung Lampulo yang terselamat, Rina Ocvita sedang berada di rumah bersama keluarganya pada waktu pagi 26 Disember 2004. Beliau sempat memanjat untuk naik ke atas kapal nelayan yang tersangkut di atas rumah Haji Misbah. Walaubagaimanapun, ayah dan adiknya tidak dapat diselamatkan dan terkorban dalam gelombang ganas tsunami.
Masjid Raya Baiturrahman Tetap Utuh
Masjid Raya Baiturrahman di Pusat Kota Banda Aceh menjadi saksi bisu terjahan tsunami. Meskipun terdapat kerosakan di beberapa bahagian, namun masjid ini masih tampak agam. Semasa berlakunya tsunami, kawasan sekitar Masjid Raya Baiturrahman termasuk bangunan, insfrastruktur serta kenderaan telah ranap dan hampir semuanya rata dengan tanah. Dengan izin daripada Allah S.W.T., Masjid Raya Baiturrahman tetap berdiri kukuh dan menjadi tempat perlindungan buat penduduk sekitar Banda Aceh. Orang ramai telah berlari untuk menyelamatkan diri ke dalam masjid ini sewaktu gelombang tsunami tiba daripada arah laut.
Masjid Raya Baiturrahman pada waktu malam |
Masjid Raya Baiturrahman dibangunkan ketika pemerintahan Sultan Iskandar Muda pada tahun 1612 sebagai pusat ibadah rakyat Aceh yang 100% beragama Islam. Belanda melalui serangan ke atas Banda Aceh pada Januari 1873 dengan angkuh telah membakar sehingga hangus Masjid Raya Baiturrahman. Susulan tindakan biadap Belanda, orang Aceh dengan pantas telah membangunkan Masjid Baiturrahim di Uleile.
Selain Masjid Raya Baiturrahman, Masjid Baiturrahim yang terletak berhampiran dengan pesisir pantai juga tidak terjejas akan struktur binaannya walaupun dihempas gelombang ganas tsunami, sekaligus menunjukkan kekuasaan Allah S.W.T.
Berkesempatan untuk ke Masjid Baiturrahim |
Masjid Raya Baiturrahman merupakan salah satu masjid yang terindah di Indonesia. Ia memiliki ukiran hiasan dinding yang cantik, halaman yang luas dan suasana yang sejuk serta damai apabila berada di dalam ruangan masjid tersebut.
Alhamdulillah - saya berkesempatan untuk menunaikan Solat Jumaat di Masjid Raya Baiturrahman. Orang ramai berbondong-bondangan memenuhi kawasan masjid sebelum azan Zohor dilaungkan. Masjid ini turut menerbitkan akhbar tabloidnya sendiri pada setiap hari Jumaat, yang diberi nama ‘Gema Baiturrahman’. Dengan berslogankan ‘Menuju Islam Kaffah’, tabloid ini mengandungi petikan khutbah yang disampaikan di mimbar masjid, selain wawancara bersama tokoh, isu semasa, waktu solat mingguan dan pelbagai lagi.
Rumah Aceh Nan Indah
Saya turut berkesempatan ke Kompleks Muzium Aceh. Di sini, saya berpeluang untuk berada di dalam rumah tradisional Aceh yang mempamerkan gambar-gambar tokoh-tokoh pejuang Aceh, barang-barang lama seperti pedang, tembikar, piring, tempayan, alat-alat mengerjakan tanaman padi dan sebagainya. Melalui interaksi dengan pegawai muzium yang bertugas, saya telah memperolehi pelbagai maklumat baharu tentang sejarah, budaya dan tradisi masyarakat Aceh.
Menemuramah pegawai muzium |
Di ruang galeri Kompleks Muzium Aceh, dipamerkan foto-foto sejarah Aceh seperti foto di zaman kolonial, foto kehidupan masyarakat pada kurun ke-19 dan pelbagai lagi. Turut dipamerkan adalah alat pengukur tradisional (cupak, gantang), senjata tradisional, meriam-meriam yang pernah digunakan oleh pemerintah Aceh sebelum ini dan replika candi Borobudur.
Bersiar-siar menghirup udara pagi di kawasan bendang Kampung Blang Krueng |
Antara pameran yang menarik perhatian saya di galeri ini ialah peta bahasa daerah Aceh. Wilayah Aceh yang mempunyai keluasan meter persegi kira-kira seperti gabungan negeri Johor dan Pahang mempunyai 10 bahasa daerah. Antaranya, Bahasa Jawa, Bahasa Batak, Bahasa Aceh, Bahasa Singkel dan Bahasa Pulau.
Sultan Iskandar Muda di Era Keemasan
Berhampiran Kompleks Muzium Aceh, terdapat makam Sultan Iskandar Muda. Sultan Iskandar Muda dilahirkan di Aceh pada 1593 dan memerintah Aceh pada tahun 1607 sehingga 1636. Ketika pemerintahan Baginda, Aceh mencapai zaman kegemilangan untuk Kesultanan Aceh. Pada kurun tersebut juga, hubungan diplomatik dengan pelbagai kerajaan Islam di luar kawasan Nusantara dilakukan secara lebih intensif, terutama dengan Kerajaan Turki Uthmaniah.
Tun Seri Lanang - Bendahara Paduka Raja, Johor
Sewaktu saya berkunjung ke Banda Aceh, kebetulan – sedang diadakan ‘Seminar Ketokohan Tun Seri Lanang Dalam Sejarah Dua Bangsa ; Indonesia-Malaysia’. Tun Seri Lanang dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada 1565 serta pernah menjawat tugas Bendahara Paduka Raja, Johor pada tahun 1580-1615. Beliau merupakan penyusun kitab Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang merakamkan kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Tun Seri Lanang menjadi pemerintah Samalanga, Aceh yang pertama pada tahun 1615 sehingga 1659. Beliau telah menjadikan Samalanga sebagai pusat pendidikan di era Kesultanan Aceh Darussalam.
Taman Laut di Pulau Weh
Ruang masa yang ada semasa di Aceh turut saya gunakan untuk ke Pulau Weh yang terkenal dengan slogan - Point Of Zero Kilometer Republic Indonesia (Titik Nol Kilometer Republik Indonesia) ataupun bahagian paling Barat dalam wilayah Indonesia.
Di titik paling Barat dalam wilayah Indonesia |
Perjalanan daripada pelabuhan Ulee Lheue (Banda Aceh) ke pelabuhan Balohan (Pulau Weh) mengambil masa kira-kira 2 jam dengan menaiki feri. Sekiranya bernasib baik, pengunjung akan berpeluang untuk melihat ikan lumba-lumba melompat-lompat di permukaan air sepanjang merentasi perjalanan menuju ke Pulau Weh.
Terdapat empat pulau kecil yang mengelilingi Pulau Weh iaitu ; Pulau Klang, Pulau Rubiah, Pulau Seulako dan Pulau Rondo. Di antara keempatnya, Pulau Rubiah terkenal dengan pusat pelancongan menyelam skuba kerana keunikan terumbu karangnya. Kewujudan terumbu karang yang masih terpelihara menjadi habitat buat pelbagai spesis ikan dan hidupan laut. Ini sekaligus mewujudkan taman laut yang cantik dan menimbulkan bibit-bibit kekaguman terhadap keindahan alam ciptaan Allah S.W.T.
Kebanyakan pelancong yang berkunjung ke Pulau Weh lazimnya tidak akan melepaskan peluang untuk menyelam skuba dan berenang di pantai yang jernih airnya sambil menikmati keindahan panorama alam.
Snorkeling di pantai Iboih |
Saya memilih untuk tidur semalaman di sebuah teratak di pantai Iboih. Persekitaran Pulau Weh yang masih terpelihara akan flora dan faunanya memberi ketenangan buat para pengunjung. Udara yang segar dan faunanya yang begitu harmonis mendendangkan rima alam membuatkan saya lupa sebentar akan hiruk-pikuk kota.
Pasar Atjeh Dan Keramahan Warganya
Para pengunjung yang ingin mendapatkan cenderamata daripada Aceh sebagai tanda kenang-kenangan boleh mendapatkannya di Pasar Atjeh yang terletak berhampiran dengan Masjid Raya Baiturrahman.
Pelbagai barangan boleh didapati di Pasar Atjeh. Antaranya pakaian, makanan, buku dan perhiasan diri. Terdapat juga peniaga jalanan yang menjual daun sirih. Budaya mengunyah daun sirih masih wujud dalam masyarakat Aceh terutamanya golongan veteran.
Keramahan penduduk Aceh memudahkan perjalanan saya sepanjang 6 hari di sana. Masyarakat Aceh tidak berasa berat tulang untuk membantu dan sentiasa tampil untuk memberikan pertolongan. Saya terasa akan manisnya persaudaraan sesama Islam.
Berkesempatan untuk mengunjungi beberapa buah toko buku dan membeli buku |
Makanan, serta perkhidmatan pengangkutan dan penginapan tersedia untuk para pengunjung pada kadar yang berpatutan. Keindahan sawah padi yang menghijau terutamanya pada kawasan pinggir Banda Aceh turut menggamit pandangan saya.
Tahun 2011 diisytiharkan oleh pihak pemerintah Aceh sebagai Tahun Melawat Banda Aceh, dengan bertemakan – A Spiritual Gateway Blessed With Natural Beauty. Kunjungan ke kota Serambi Mekah ini sudah tentu akan lebih bermakna seandainya pengunjung dapat menikmati keindahan persekitaran yang mendamaikan sambil memetik ibrah-ibrah sepanjang perjalanan yang mampu untuk membangkitkan keinginan bermuhasabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan