Ahad, Julai 01, 2012

Puisi: Mengarak Janji Di Kota Peribadi


Untuk Sayembara Menulis Cerpen Dan Puisi Negeri Johor 2012 , saya telah menghantar satu puisi sebagai penyertaan. Cuba-cuba untuk menulis dengan kemampuan yang ada. Tarikh tutupnya ialah pada 31 Mac 2012.


Dan Alhamdulillah - semalam ialah Hari Penyampaian Hadiah bagi sayembara tersebut di DBP Wilayah Selatan, Johor Bahru.





Puisi Mengarak Janji Di Kota Peribadi meraih hadiah saguhati untuk karya puisi - kategori umum. Alhamdulillah - kemenangan ini tambah membuatkan saya ingin terus menggali ilmu dalam dunia kepenyairan dan mencuri-curi masa untuk merenung serta menulis. 


Secara relatifnya, usia kepengarangan saya masih muda dan tidak begitu prolifik menembusi media - jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakan seangkatan yang lain.


"Orang muda ada terlalu banyak masa untuk 'dibazirkan' dengan menulis." Nasihat seorang penulis mapan yang pernah saya temui.


Tak perlu sedu-sedan itu. Dan puisi ini saya kira - mempunyai makna yang sangat dalam kepada diri.








Puisi
Mengarak Janji Di Kota Peribadi


Segerombolan rusuh yang terbebas
angkara lekanya gembala hati
rakus meragut hamparan tenang
langsung menghambat kita
yang sering memungkiri.


Pada tiap atur gerak
telah pudarkah segala tekad -
untuk membina empayar megah
di balik runtuhan sejarah duka,
hingga mudah kita menyimpang
menjauhi denai janji.


“Kota masyhur yang diimpi
adalah tempelan angan semata,
andai pedati sarat bongkah alasan
yang kau arak ke seluruh mandala.”
Sungguh, tiada kelesah yang paling pedih
selain tidak percayakan diri.


Bersama masa yang bersisa
kita kerah segala kudrat
menyusun bata demi bata
menjadi binaan teguh
yang membentuk kota,
yang mengotakan kata.


Syukri Sapuan
Kota Tinggi, Johor.
Mac 2012

(Saguhati kategori umum, Sayembara Menulis Puisi Negeri Johor 2012)

5 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Tahniah saya ucapkan. Moga terus menyuntik semangat kepada saudara untuk terus memartabatkan dunia penulisan.

Tanpa Nama berkata...

Tahniah. Terus menulis k. Usia muda, medium melatih pengurusan diri. Pelbagai aspek, semua.

Tak perlu seribu tahun lagi.

:)

MOHD HANIFF berkata...

Tahniah Syuk! =)

Teruskan!

Khalil Zaini berkata...

Tahniah!

Admin berkata...

tahniah (:

Related Posts with Thumbnails