Rabu, Disember 31, 2008

Kekecewaan akhir tahun.




Menjelang tahun baru yang akan menjelma tidak lama lagi, rakyat Vietnam mempunyai sebab tambahan untuk merayakannya dengan kegembiraan. Vietnam muncul juara buat pertama kalinya dalam kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF 2008. Tahniah diucapkan!.


Vietnam dinobatkan sebagai juara apabila berjaya mengalahkan Thailand dengan agregat terkumpul 3-2 dalam perlawanan akhir kedua di Stadium MyDinh. Beraksi di hadapan ribuan penyokong lawan tidak sedikitpun menggentarkan kesebelasan utama Vietnam untuk merangkul kejuaraan yang melibatkan negara di rantau Asia Tenggara ini.


Dalam perlawanan peringkat kumpulan, Vietnam diletakkan bersama 3 pasukan yang lain iaitu Malaysia, Thailand dan Laos. Vietnam menang 2 daripada 3 perlawanan di peringkat kumpulan.

Malaysia pula hanya menang tatkala menentang Laos dan tersungkur dalam pertemuan menentang Vietnam dan Thailand. Takziah.


Saya baru sahaja selesai melayari laman web FIFA. Pasukan Malaysia kini berada pada kedudukan 156, agak corot jika hendak dibandingkan dengan pasukan rantau Asia Tenggara yang lain seperti Thailand(126), Indonesia(139), Singapura (132) dan Vietnam(155). Entahlah. Saya sendiri tidak pasti akan masalahnya. Saya kira di Malaysia, golongan yang mengikuti perkembangan bola sepak cukup besar. Dahulu Malaysia pernah menjadi antara kuasa besar bola sepak di rantau Asia. Malah kedudukan tertinggi yang pernah dicatatkan oleh pasukan negara adalah di tangga 75 pada Ogos 1993. Sayang sekali, saya baru berusia kira-kira 2 tahun sewaktu zaman kegemilangan tersebut.



Saya menonton kesemua aksi Malaysia dalam pertemuan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF ini. Kita berjaya menundukkan Laos dengan agregat 3-0 namun tewas di tangan Vietnam (3-2) dan Thailand (3-0). Malaysia tidak berjaya ke separuh akhir ekoran kegagalan menempa dua ruang slot yang utama.


Vietnam telah membuktikan bahawa pasukannya yang berada pada kedudukan yang lebih rendah mampu untuk menundukkan Thailand. Pasukan Malaysia harus berusaha keras untuk tidak menghampakan penyokong-penyokong tempatan, jikalau tidak pasti mereka semua akan beralih ke liga-liga bolasepak luar negara seperti EPL, Serie A dan lain-lain.


Saya pun tidak tahu mengapa tiba-tiba saya mengomel tentang topik ini. Entahlah. Saya rasa semacam mahu mogok saja, tidak mahu pakai jersi Malaysia dalam sebulan-dua ini.

Saya kira harapan Malaysia untuk ke Piala Dunia 2014 hanya omong-omong sahaja. Mungkin hanya semasa generasi anak saya, harapan ini akan terkabul. Itupun kalau saya masih ada.




Jumaat, Disember 26, 2008

Lelaki Dan Sebilah Pedang Tajam








Persoalan tentang arah tuju bahasa kebangsaan negara saya sedang hangat dibincangkan. Entahlah. Saya sendiri kadang-kadang bingung memikirkan hal ini. Isu PPSMI kini menjadi polemik perbincangan yang membingitkan. Ada pihak yang mahu mengekalkannya, namun ada juga yang menentang.

Di pihak yang menentang, mereka mengatakan bahawa Bahasa Melayu harus digunakan sebagai bahasa ilmu merentasi pelbagai bidang.Penggunaan bahasaInggeris dalam pembelajaran bidang Sains & Matematik akan melebarkan jurang antara pelajar bandar dan luar bandar. Hujah mereka lagi, bahasa Melayu seharusnya digunakan secara meluas memandangkan ia merupakan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan. Bagaimana rakyat di negara majmuk seperti Malaysia hendak mencapai perpaduan sekiranya mereka bertutur dalam bahasa yang berbeza. Bukankah lebih muhibah andaikata kita bertutur dalam bahasa yang sama?.

Berbekalkan beberapa hujah kukuh yang dimiliki, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) mengambil cadangan untuk menyaman kerajaan. Nampaknya sekiranya kerajaan masih tidak berganjak daripada keputusan mengekalkan PPSMI, isu ini akan terheret ke ruang pengadilan mahkamah. Sekadar memetik kata-kata ketua 2 GAPENA, mereke mengakui bahawa tindakan mengheret kerajaan ke mahkamah adalah suatu tindakan yang agak emosional namun ia tetap berlandaskan patriotisme, pembinaan negara bangsa yang bersatu padu dan perlembagaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan penghantar utama dalam sistem pendidikan. Demikianlah hujah rasional mereka. Kata mereka lagi, bahasa Melayu merupakan bahasa kelima terbesar daripada 20 bahasa utama di dunia.

Bagi pihak yang menyokong pula, mereka mengatakan bahawa kita harus menggunakan bahasa Inggeris bagi memudahkan kita memahami ilmu-ilmu daripada dunia Barat. Keunggulan ilmu negara kita masih belum dapat menandingi kehebatan ilmu-ilmu daripada luar. Maka, kita seharusnya berubah dan keluar daripada kepompong keselesaan dan mendalami ilmu-ilmu sains dan matematik dalam bahasa ibunda mereka. Kata mereka, perjuangan bahasa hanya menolak kita ke belakang tetapi perjuangan bangsa akan menolak bahasa kita ke hadapan. PPSMI bukanlah ancaman untuk bahasa Melay, tetapi satu wadah untuk survival orang Melayu. Kata mereka, dengan kuota khas Bumiputera luar bandar yang diberi peluang memasuki universiti , kita sebenarnya membawa ribuan pelajar yang lemah dalam bahasa inggeris ke dalam IPT yang memerlukan kemahiran tinggi dalam bahasa Inggeris. Belarlah dalam apa jua bahasa pun, sekiranya kita malas, kita tetap akan tersungkur.

Demikianlah serba sedikit coretan tentang perbahasan implikasi PPSMI. Saya hanya berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana impilikasinya cukup besar kepada anak bangsa. Ketepikan sebentar ideologi politik demi kami. Kami bukannya ayam daging yang bisa dibuang begitu sahaja apabila berpenyakit. Kami generasi muda yang akan mewarisi tampuk kepimpinan negara. Kesilapan dalam menguruskan kami pastinya akan membawa negara ke ambang kehancuran.

Biarlah golongan bijak pandai negara yang sahaja yang membuat keputusan dalam hal ini. Pada pandangan saya, kesilapan utama PPSMI adalah pelaksanaannya yang terlalu tergesa-gesa. Setelah berbillion ringgit wang rakyat dihabiskan untuk PPSMI, barulah pelaksanaannya hendak dikaji semula.

Wah!. Panjang berjela telah ditulis. Sebenarnya tadi saya hanya ingin menulis sebuah puisi di sini. Sewaktu menulis pendahuluan tadi, idea datang mencurah-curah di dalam fikiran saya. Maka, tertulislah perbahasan tadi.

Sewaktu saya ke MPH City Square baru-baru ini, saya telah membeli sebuah antalogi cerpen & puisi " Di Tengah Arus". Buku ini diterbitkan sempena perayaan ulangtahun jubli emas Dewan Bahasa & Pustaka (DBP). Ia menghimpunkan karya-karya yang mengangkat tema kedaulatan bahasa. Kandungannya agak menarik dan kepuasan jelas terpancar tatkala membaca daripada lembaran pertama hingga ke lembaran yang terakhir. Syabas diucapkan!.

Di bawah ini saya coretkan kembali salah satu puisi yang terkandung di dalam buku tersebut. Semoga anda dapat menghayati setiap bait puisi tersebut.

Lelaki dan sebilah pedang tajam (2)
Sengaja aku membuka catatan sebuah naskhah lama:

cuma untuk melihat kembali

betapa angkuhnya seorang lelaki

menebang dengan berani

segala pohon bahasa kami.


Kita melihat sahaja
lelaki itu mencantas daunnya
kita melihat sahaja
lelaki itu memangkas rantingnya
kita melihat sahaja
lelaki itu menetak dahannya
kita melihat sahaja
lelaki itu merincik akarnya
dan melihat sahaja lelaki itu terus memotong pangkalnya
dengan pedang tajam
yang bukan milik mutlaknya:
kerana kita begitu lemah untuk menghalangnya


Daripada catatan sebuah manuskrip baru:
kita rupanya masih terus melihat lelaki itu berdiri dengan megah
walaupun tanpa pedang, walaupun tanpa suara yang lantang
di tangannya masih ada cemeti
yang mengibas mengarah orang-orang yang tidak mengerti
supaya terus mencantas dengan pedang tajam
akan bahasa kami yang sudah hampir mati.

Mereka yang memegang pedang tajam itu
terus sahaja memangkas
mereka terus sahaja menetak
mereka terus sahaja merincik
mereka terus sahaja memotong
akan kehebatan bahasa kami
sehingga habis musnah semua benih
yang nenek moyang kami pernah bajai
ah! malunya kita yang rupanya masih terus berdiam diri
membiarkan lelaki itu terus mengidam memegang pedang tajam
yang digunakan kembali sesuka hati
untuk membubuh benih bahasa kami
yang mahu kami semainya kembali.


Saat lelaki itu mahu mengebumikan sejarah bahasa kami
aku lihat tiada seorang pun daripada mereka
yang mahu menitiskn air mata:
tiada seorang pun daripada mereka
yang tergerak mahu membaca kembali tinta kemegahan
yang nenek moyang kami
pernah catatnya dalam helaian buku perlembagaan
sehingga termaktub megah
Akta Bahasa Kebangsaan-
yang turut sama melahirkan lelaki itu
di tengah-tengah rimba kehebatan.


Hari ini dengan berani lelaki itu membina keranda
untuk pemakaman bahasa kami-
kayu pengusungnya disulam kemas
daripada kanvas besar yang mudah dia tukar
dengan segenggam rasa
yang dia cipta tandatangannya
cuma untuk mengelirukan kita semua.
Dengan bayang-bayang pedang tajam
lelaki itu membina lorong-lorong
yang panjang berjela
tetapi semuannya menghala ke pintu neraka:
katanya kepada dunia: bahasa kami memang layak dikurung
bersama orang-orang berdosa
bersama bahasa orang-orang dunia ketiga
yang pada alaf bermakna ia sudah menjadi tidak berguna
sudah tidak lagi mampu mengungkap bahasa ilmu
yang menjadi bualan di setiap negara maju-
ah! anehnya : tanpa pedang tajam pun
pohon bahasa kami masih mampu lelaki itu cincang
saat dia membina krodor raya multimedia
tinta teknologi dan alam siber
dalam mandir dia tafsir
dengan suaranya yang sudah semakin berlendir:
dan kita masih berdiam diri melihatnya dengan tidak pasti.


Kami pun kadang-kadang menjadi susah untuk membina arah
naskhah mana lagikah yang mahu kami suruh lelaki itu pilih
cuma untuk menterjemah
makna setiap ayat yang tercatat dalam perlembagaan
yang dia kata menegelirukan:
saat dia mencatat cerita kehebatan selamanya
dia masih mengimpikan pedang tajam
kerana dengan pedang tajam
daun, ranting, dahan dan akar bahasa kami
yang mahu dipotong, dicantas, dipangkas, ditetak, dirincik
mahu dia campak semuanya
ke lohong gunung berapi yang marak menyala-
supaya kami tidak boleh mengaku apa sahaja kebenaran
bahawa bahasa kami lahir daripada rumpun lingua franca
yang pernah mengajar manusia datang mencarinya
dari seantero dunia.

Sayang- lelaki itu masih tidak mahu percaya
bahawa bahasa kami pernah mengajarnya
tentang khazanah bangsa
yang harus dia bangga:
dan kita masih terus berdiri
melihat sahaja lelaki itu memegang cemeti
tanpa sebarang protes pun yang kita beri.

Di lembah yang teramat dalam ini nanti
engkau jawablah semuanya
kenapa anak bangsamu jauh terpeteri-
kerana engkau sahajalah yang lebih mengerti.


Nukilan:
Hasan Baseri Budiman
Hotel Sunway Seberang Jaya
24 Ogos 2005

Semalam yang hangat.




Jari-jemari saya terasa janggal tatkala menyentuh papan kekunci komputer. Sudah hampir 2 minggu tidak menulis, beginilah jadinya. Agak kekok untuk memulakan bicara. Fikiran juga sudah lama tidak digunakan secara waras untuk berfikir secara kreatif dan logik. Bingung.

Dalam masa 10 hari lagi, cuti kolej saya akan berakhir. Aduh. Bagai semalam saja saya mengemas beg untuk pulang ke kampung halaman. 6 minggu cuti. Wah, seronoknya! Masa untuk bersenang-lenang telah tiba. Bisik hati kecil saya. Pelbagai aktiviti telah direncana di dalam fikiran. Tika ini, baki cuti saya boleh dihitung dengan jari kedua anggota tangan. Cepat benar masa berlalu meninggalkan kita.

Saya teringat satu teori yang dibaca tentang masa. Jika tidak silap, ia dikemukan oleh Albert Einstein. Penggunaan masa bergantung kepada keadaan seseorang individu. Jika seseorang itu berada pada keadaan selesa, maka masa yang berlalu dirasakan sangat pantas berlalu. Namun sekiranya seseorang itu berada pada keadaaan yang sebaliknya,maka masa yang dirasakan sangat lambat berlalu.

Analogi ringkasnya, jika seseorang itu diletakkan di dalam sebuah bilik berhawa dingin dan dilengkapi dengan alat permainan video yang menyeronokkan, maka masa yang berlalu dirasakan sangat pantas bergerak. Kita leka sendiri dengan keselesaan di dalam bilik itu.

Namun pada kondisi yang sebaliknya, seseorang itu diletakkan dalam sebuah bilik yang sempit dan panas, serta tiada apa-apapun di dalamnya, setiap detik yang berlalu dirasakan sangat lambat dan perlahan.

Cuti ini dirasakan sangat pantas berlalu. aduh. saya ini termasuk di dalam golongan yang leka. Alangkah rugi terasa. Nampaknya skrip yang sama telah saya ulang seperti tahun sebelum-sebelumnya!.


Jumaat, Disember 12, 2008

Keterujaaan yang melampau





Jikalau anda penduduk daerah Kota Tinggi, pastinya anda menyedari bahawa terdapat sebuah pasaraya baru telah dibuka di pusat bandar. Ya. KIPMART telah menambah satu lagi cawangannya di daerah saya ini. Tahniah diucapkan!. Jikalau berkesempatan, singgahlah sebentar ke pasaraya tersebut kerana ayah saya memiliki sebuah outlet di sana.

Bagi tujuan promosi, pelbagai program telah diatur untuk meningkatkan jumlah pengunjung. Ada persembahan artis, pertandingan mewarna, karaoke, shuffle dan lain-lain. Pertandingan mewarna hanya untuk kanak-kanak, maka saya tidak dapat menyertai. Lagipun saya tidak kreatif. Hendak berkaraoke, suara pula tidak merdu. Tidak mengapalah, biarlah saya menjadi jaguh nyanyian di kamar mandi sahaja.

Hendak bershuffle?. Lagilah mustahil. Kaki keras. Tangan kejung. Langkah sumbang. Gaya tiada. Tidak mengapalah. Jadi penonton sahaja sudah mencukupi. biarlah saya bersorak-sorai sahaja di tepi pentas.

Pengetahuan saya tentang shuffle berada pada skala yang rendah. Yang saya tahu shuffle itu adalah sejenis tarian yang dipopularkan dari Australia. Orang kita hanya mengikut-ngikut mereka sahaja. Ah, pedulikan!. Yang paling penting adalah seronok bukan?

Berbalik pada topik saya tadi. Tiba pada hari pertandingan, orang ramai berasak-asak memenuhi ruang legar pasaraya. Kebanyakannya anak muda seperti saya. Cuma mereka ini lebih hebat lagi. Ada yang rambutnya keperangan-perangan dengan tindik di sana-sini. Tidak mengapalah. Semoga keperangan rambutmu sedikitpun tidak melunturkan semangat jati dirimu ya!



Apa lagi ya yang menarik di sana? Ada 2 jenis T-shirt yang dipakai oleh pengunjung yang menarik perhatian saya.

Jenis yang pertama, tertulis di hadapan T-shirt itu dengan perkataan ini:

KAMI FUCK SHUFFLE

Oh, mungkin golongan ini tidak suka shuffle. Tapi tidak perlulah mengekpresikannya sehingga ke tahap itu. Ini pandangan peribadi saya sahaja. Anda membawa contoh yang kurang baik pada masyarakat.

Jenis yang kedua, tertulis di hadapan T-shirt itu dengan perkataan ini:

JANGAN BENCI KAMI, SHUFFLE ITU SENI

Ini pula pasti para pendokong tarian shuffle. Berbeza sama sekali dengan golongan yang tadi. Shuffle itu seni? Saya mengangguk lemah, mungkin ada benarnya..


Saya tidak pandai menilai seni tetapi jikalau hendak dibandingkan dengan tarian palajar KYUEM semasa jamuan akhir semester baru-baru ini, saya kira tarian mereka ini tidaklah sehebat manapun. Tarian pelajar kolej saya lebih hangat lagi. Kereografer kami lebih mantap lagi. Pujian saya ini ikhlas dan tulus dari hati. Namun, apa yang menarik perhatian saya tentang persembahan shuffle mereka ini adalah ia melibatkan lelaki sahaja. Tahniah diucapkan.


Penghujung hari tersebut adalah acara penyampaian hadiah. Harapan saya hanya satu, penganjuran acara-acara sebegini dapat meningkatkan iltizam dalam kalangan remaja.

Neraca dunia jarang sekali berlaku adil. Secara sedar ataupun tidak, kita sering mengelas-ngelaskan manusia hanya pada pandangan mata. Sukar bagi kita menerima mereka yang tidak sealiran dengan kita. Kepelbagaian budaya barat yang mula menular dalam masyarakat hari ini adalah hasil asimilasi budaya luar. Hasilnya, budaya luar kini lebih diterima atas nama kesenian.

Sekadar memetik kata-kata seorang agamawan unggul, bangsa melayu akan terkenal dengan agama Islam yang dianuti, bukannya keasyikan budaya yang diwarisi. Maaf. Saya bukannya fanatik bangsa. Saya juga mengiktiraf keasyikan dan kesenian budaya melayu kerana percaya bahawa budaya merupakan salah satu elemen dalam masyarakat. Namun, agama harus diletak di hadapan. Budaya harus disanjung, tetapi agama wajar dijunjung.

Saya bukanlah seorang yang sekular dan terlalu liberal namun saya ingin melihat bumi ini menjadi sebuah tempat yang lebih baik untuk didiami.

Bagi saya, seorang manusia itu harus dilayan seperti seorang m
anusia juga.

Dan kita juga harus dididik untuk menjadi seorang manusia.




Bila alam membentak!




Fajar tampak sayu di balik lipatan kabut. Suara alam membisu seribu kata. Pohon melambai lemah. Tiada lagi kicau riang unggas kota. Rintik embun pagi seakan menangisi tragedi duka itu.

Tinta selautan, ditambah tujuh yang lain sekalipun nescaya tidak dapat menulis segala kekuasaanMu.

Jika telah tercoret di Luh Mahfuz, tiadalah daya kami ini menolak ketentuanMu.


KUALA LUMPUR: 8 orang dikuatiri maut apabila 14 banglo tertimbus dalam kejadian tanah runtuh paling dahsyat di Jalan Bukit Mewah dan Jalan Mewah Utama di Bukit Antarabangsa, Ampang, kira-kira jam 4 pagi tadi.















Kota Tinggi dilanda bah!. Disember 2006




Hati berombak sayu. Dalam kepiluan ini, terngiang sayup di cuping telinga saya akan bait puisi seorang pemuisi Indonesia, Ebiet G Ade...


Barangkali di sana ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana
Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita
Cuba kita bertanya pada rumpun yang bergoyang.



Related Posts with Thumbnails