Jumaat, Disember 26, 2008

Lelaki Dan Sebilah Pedang Tajam








Persoalan tentang arah tuju bahasa kebangsaan negara saya sedang hangat dibincangkan. Entahlah. Saya sendiri kadang-kadang bingung memikirkan hal ini. Isu PPSMI kini menjadi polemik perbincangan yang membingitkan. Ada pihak yang mahu mengekalkannya, namun ada juga yang menentang.

Di pihak yang menentang, mereka mengatakan bahawa Bahasa Melayu harus digunakan sebagai bahasa ilmu merentasi pelbagai bidang.Penggunaan bahasaInggeris dalam pembelajaran bidang Sains & Matematik akan melebarkan jurang antara pelajar bandar dan luar bandar. Hujah mereka lagi, bahasa Melayu seharusnya digunakan secara meluas memandangkan ia merupakan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan. Bagaimana rakyat di negara majmuk seperti Malaysia hendak mencapai perpaduan sekiranya mereka bertutur dalam bahasa yang berbeza. Bukankah lebih muhibah andaikata kita bertutur dalam bahasa yang sama?.

Berbekalkan beberapa hujah kukuh yang dimiliki, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) mengambil cadangan untuk menyaman kerajaan. Nampaknya sekiranya kerajaan masih tidak berganjak daripada keputusan mengekalkan PPSMI, isu ini akan terheret ke ruang pengadilan mahkamah. Sekadar memetik kata-kata ketua 2 GAPENA, mereke mengakui bahawa tindakan mengheret kerajaan ke mahkamah adalah suatu tindakan yang agak emosional namun ia tetap berlandaskan patriotisme, pembinaan negara bangsa yang bersatu padu dan perlembagaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan penghantar utama dalam sistem pendidikan. Demikianlah hujah rasional mereka. Kata mereka lagi, bahasa Melayu merupakan bahasa kelima terbesar daripada 20 bahasa utama di dunia.

Bagi pihak yang menyokong pula, mereka mengatakan bahawa kita harus menggunakan bahasa Inggeris bagi memudahkan kita memahami ilmu-ilmu daripada dunia Barat. Keunggulan ilmu negara kita masih belum dapat menandingi kehebatan ilmu-ilmu daripada luar. Maka, kita seharusnya berubah dan keluar daripada kepompong keselesaan dan mendalami ilmu-ilmu sains dan matematik dalam bahasa ibunda mereka. Kata mereka, perjuangan bahasa hanya menolak kita ke belakang tetapi perjuangan bangsa akan menolak bahasa kita ke hadapan. PPSMI bukanlah ancaman untuk bahasa Melay, tetapi satu wadah untuk survival orang Melayu. Kata mereka, dengan kuota khas Bumiputera luar bandar yang diberi peluang memasuki universiti , kita sebenarnya membawa ribuan pelajar yang lemah dalam bahasa inggeris ke dalam IPT yang memerlukan kemahiran tinggi dalam bahasa Inggeris. Belarlah dalam apa jua bahasa pun, sekiranya kita malas, kita tetap akan tersungkur.

Demikianlah serba sedikit coretan tentang perbahasan implikasi PPSMI. Saya hanya berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana impilikasinya cukup besar kepada anak bangsa. Ketepikan sebentar ideologi politik demi kami. Kami bukannya ayam daging yang bisa dibuang begitu sahaja apabila berpenyakit. Kami generasi muda yang akan mewarisi tampuk kepimpinan negara. Kesilapan dalam menguruskan kami pastinya akan membawa negara ke ambang kehancuran.

Biarlah golongan bijak pandai negara yang sahaja yang membuat keputusan dalam hal ini. Pada pandangan saya, kesilapan utama PPSMI adalah pelaksanaannya yang terlalu tergesa-gesa. Setelah berbillion ringgit wang rakyat dihabiskan untuk PPSMI, barulah pelaksanaannya hendak dikaji semula.

Wah!. Panjang berjela telah ditulis. Sebenarnya tadi saya hanya ingin menulis sebuah puisi di sini. Sewaktu menulis pendahuluan tadi, idea datang mencurah-curah di dalam fikiran saya. Maka, tertulislah perbahasan tadi.

Sewaktu saya ke MPH City Square baru-baru ini, saya telah membeli sebuah antalogi cerpen & puisi " Di Tengah Arus". Buku ini diterbitkan sempena perayaan ulangtahun jubli emas Dewan Bahasa & Pustaka (DBP). Ia menghimpunkan karya-karya yang mengangkat tema kedaulatan bahasa. Kandungannya agak menarik dan kepuasan jelas terpancar tatkala membaca daripada lembaran pertama hingga ke lembaran yang terakhir. Syabas diucapkan!.

Di bawah ini saya coretkan kembali salah satu puisi yang terkandung di dalam buku tersebut. Semoga anda dapat menghayati setiap bait puisi tersebut.

Lelaki dan sebilah pedang tajam (2)
Sengaja aku membuka catatan sebuah naskhah lama:

cuma untuk melihat kembali

betapa angkuhnya seorang lelaki

menebang dengan berani

segala pohon bahasa kami.


Kita melihat sahaja
lelaki itu mencantas daunnya
kita melihat sahaja
lelaki itu memangkas rantingnya
kita melihat sahaja
lelaki itu menetak dahannya
kita melihat sahaja
lelaki itu merincik akarnya
dan melihat sahaja lelaki itu terus memotong pangkalnya
dengan pedang tajam
yang bukan milik mutlaknya:
kerana kita begitu lemah untuk menghalangnya


Daripada catatan sebuah manuskrip baru:
kita rupanya masih terus melihat lelaki itu berdiri dengan megah
walaupun tanpa pedang, walaupun tanpa suara yang lantang
di tangannya masih ada cemeti
yang mengibas mengarah orang-orang yang tidak mengerti
supaya terus mencantas dengan pedang tajam
akan bahasa kami yang sudah hampir mati.

Mereka yang memegang pedang tajam itu
terus sahaja memangkas
mereka terus sahaja menetak
mereka terus sahaja merincik
mereka terus sahaja memotong
akan kehebatan bahasa kami
sehingga habis musnah semua benih
yang nenek moyang kami pernah bajai
ah! malunya kita yang rupanya masih terus berdiam diri
membiarkan lelaki itu terus mengidam memegang pedang tajam
yang digunakan kembali sesuka hati
untuk membubuh benih bahasa kami
yang mahu kami semainya kembali.


Saat lelaki itu mahu mengebumikan sejarah bahasa kami
aku lihat tiada seorang pun daripada mereka
yang mahu menitiskn air mata:
tiada seorang pun daripada mereka
yang tergerak mahu membaca kembali tinta kemegahan
yang nenek moyang kami
pernah catatnya dalam helaian buku perlembagaan
sehingga termaktub megah
Akta Bahasa Kebangsaan-
yang turut sama melahirkan lelaki itu
di tengah-tengah rimba kehebatan.


Hari ini dengan berani lelaki itu membina keranda
untuk pemakaman bahasa kami-
kayu pengusungnya disulam kemas
daripada kanvas besar yang mudah dia tukar
dengan segenggam rasa
yang dia cipta tandatangannya
cuma untuk mengelirukan kita semua.
Dengan bayang-bayang pedang tajam
lelaki itu membina lorong-lorong
yang panjang berjela
tetapi semuannya menghala ke pintu neraka:
katanya kepada dunia: bahasa kami memang layak dikurung
bersama orang-orang berdosa
bersama bahasa orang-orang dunia ketiga
yang pada alaf bermakna ia sudah menjadi tidak berguna
sudah tidak lagi mampu mengungkap bahasa ilmu
yang menjadi bualan di setiap negara maju-
ah! anehnya : tanpa pedang tajam pun
pohon bahasa kami masih mampu lelaki itu cincang
saat dia membina krodor raya multimedia
tinta teknologi dan alam siber
dalam mandir dia tafsir
dengan suaranya yang sudah semakin berlendir:
dan kita masih berdiam diri melihatnya dengan tidak pasti.


Kami pun kadang-kadang menjadi susah untuk membina arah
naskhah mana lagikah yang mahu kami suruh lelaki itu pilih
cuma untuk menterjemah
makna setiap ayat yang tercatat dalam perlembagaan
yang dia kata menegelirukan:
saat dia mencatat cerita kehebatan selamanya
dia masih mengimpikan pedang tajam
kerana dengan pedang tajam
daun, ranting, dahan dan akar bahasa kami
yang mahu dipotong, dicantas, dipangkas, ditetak, dirincik
mahu dia campak semuanya
ke lohong gunung berapi yang marak menyala-
supaya kami tidak boleh mengaku apa sahaja kebenaran
bahawa bahasa kami lahir daripada rumpun lingua franca
yang pernah mengajar manusia datang mencarinya
dari seantero dunia.

Sayang- lelaki itu masih tidak mahu percaya
bahawa bahasa kami pernah mengajarnya
tentang khazanah bangsa
yang harus dia bangga:
dan kita masih terus berdiri
melihat sahaja lelaki itu memegang cemeti
tanpa sebarang protes pun yang kita beri.

Di lembah yang teramat dalam ini nanti
engkau jawablah semuanya
kenapa anak bangsamu jauh terpeteri-
kerana engkau sahajalah yang lebih mengerti.


Nukilan:
Hasan Baseri Budiman
Hotel Sunway Seberang Jaya
24 Ogos 2005

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

oh, ni ke prkmbangan trbaru kt mesia???
nmpk gayer cm hal ni never-ending story jer kt mesia..
em, bg sy la kan, there's pro n cons dy ble kter gne BI@BM dlm plajaran...
xtau la nk ckp cane..
kang takut trsalah lak klu elaborate lbih2, hehe..
tp xpe la, cm yg saudara syuk ckp, kter biarkn pihak yg bertgjwb n cerdik pndai utk buat keputusan yg terbaik utk masa depan para pelajar d mesia..
mge kputusan trsebut bg manfaat utk seme pihak..

btw, bez gak puisi 2..
tp cam menjurus kpd seseorg jer..
x gitu ke syuk???

Related Posts with Thumbnails