Isnin, April 19, 2010

Leftenan Adnan Wira Bangsa





Aktiviti membaca dan menonton sudah tentu akan memberi dua pengalaman baru yang berbeza. Melalui pembacaan, minda berpeluang untuk menggambarkan cerita berdasarkan imaginasi sendiri. Sebagai contoh seorang pembaca (terutamanya pembaca karya fiksyen) akan mendapat ruang untuk mendalami jiwa watak utama dalam sesebuah karya kerana mereka seolah-olah berpeluang untuk berada dalam tubuh watak tersebut.



Oleh kerana itu, saya berpendapat bahawa aktiviti menonton tidak akan mampu untuk memberi ‘nikmat’ yang serupa dengan aktiviti membaca. Jarang sekali kita melihat pembikinan filem berdasarkan adaptasi novel yang mampu untuk memberi kesan yang sama - walaupun filem dan novel ini mempunyai jalan cerita yang serupa. Adalah hampir mustahil untuk seorang pengarah filem itu melengkapkan jalan cerita dengan konfliks, gelodak emosi, falsafah, jenaka dalam sebuah filem yang berdurasi antara 2 hingga 3 jam. Hanya novel yang mampu memberi ruang besar untuk semua ini.



Nah, di sinilah letaknya kekuatan sebenar aktiviti membaca.



Menekuni semula kisah perjuangan Leftenan Adnan Saidi dalam bentuk pembacaan memberi ruang yang lebih besar kepada saya untuk memahami sejarah perjuangan askar-askar Melayu dalam mempertahankan tanah air tercinta. Kali pertama saya menekuni kisah perjuangan Leftenan Adnan adalah sekitar 10 tahun yang lepas ( ketika berada di darjah 3)– melalui filem arahan Aziz M. Osman. Membaca kembali kisah Leftenan Adnan ini sebenarnya membangkitkan nostalgia yang tersendiri kerana saya pernah bersemangat dan bercita-cita untuk menjadi seorang tentera selepas menonton filem tersebut ketika 10 tahun yang lalu. (impian itu kemudiannya saya lupakan kerana saya rabun)


Filem Leftenan Adnan: 2000


Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya penulis novel sejarah prolifik Abdul Latip Talib (klik untuk ke blog beliau) telah saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Ketika itu booth PTS Publications memberikan potongan diskaun belian buku sebanyak 30% kepada pelajar, dan 25% kepada semua pengunjung. Maka novel ini saya beli dengan harga sesudah diskaun iaitu RM 16.10. Ini merupakan novel kedua hasil tulisan penulis ini yang pernah saya baca, sesudah novel Lembing Awang Pulang ke Dayang.



Saya membaca novel ini sewaktu bersama kawan-kawan sekolej yang menyertai housetrip di Pulau Tioman. Angin pulau yang nyaman memberi nikmat berganda kepada saya untuk menekuni kisah hidup Leftenan Adnan.



Leftenan Adnan bin Saidi berasal daripada Sungai Ramal. Beliau merupakan antara 25 orang anak Melayu yang pertama yang terpilih dalam rekrut Pasukan Askar Melayu pada 1 Februari 1933. Dua tahun selepas itu (1935), pasukan ini telah ditukarkan menjadi Rejimen Askar Melayu dengan kekuatan anggota seramai 150 orang. Pada 1 Januari 1938, Batalion Pertama Askar Melayu ditubuhkan dengan dengan dianggotai 17 pegawai British, 6 pegawai Melayu, 11 pegawai waran, 759 pegawai dan lain-lain pengkat. Pada Mac 1941, Rejimen Askar Melayu ditambah kekuatan menjadi dua batalion. Mereka diberi tanggungjawab untuk mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan askar Jepun.



Menurut penulis ( Abdul Latip Talib) dalam bahagian pendahuluan, novel Leftenan Adnan Wira Bangsa ini mengisahkan serangan terakhir askar Melayu di Singapura serta keberanian dan keperwiraan askar Melayu yang sanggup berjuang sehingga ke hujung nyawa.






Menekuni novel setebal 345 muka surat ini telah memberi peluang berharga kepada saya untuk membaca semula sejarah tanah air. Ia juga bagai ulangkaji silibus pelajaran sejarah sewaktu di sekolah menengah – yang bezanya dahulu saya (baca: kita) membaca kerana hendak lulus peperiksaan, kali ini betul-betul untuk memperoleh pengalaman baru.



Leftenan Adnan Wira Bangsa dimulakan dengan kisah Adnan (yang masih kecil) bersama keluarganya. Adnan sekeluarga memiliki darah pahlawan – moyangnya pernah membantu Dol Said menentang Inggeris di Naning. Namun begitu Pak Saidi tidak suka menghebah-hebahkan cerita itu kerana sentimen ‘siapa yang menentang Inggeris adalah penderhaka’ masih kuat ketika itu. Penjajah ( British) tidak suka kepada sesiapa yang menentang mereka. Mereka mahu menyedut keluar sebanyak banyaknya hasil bumi daripada Tanah Melayu.



Adnan bersekolah di sekolah Inggeris. Beliau merupakan anak Kampung Ramal yang pertama bersekolah di situ. Orang kampung lain pada awalnya memandang serong kepada Pak Saidi kerana tidak menyekolahkan Adnan di sekolah agama. Antara sebabnya, mereka bimbang (dan prejudis) Adnan akan murtad. Namun Pak Saidi berpendirian bahawa anak Melayu perlu dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan kerana dengan cara itu sahaja mereka mampu untuk memerintah negeri ini. Contohnya, anak Melayu tidak mampu untuk menguruskan hasil bumi yang ada (contohnya:bijih timah) kerana tiada kepakaran dalam bidang tersebut. Kesudahannya, orang-orang Melayu akan terus berada di kampung, bekerja sebagai petani dan pelaut- sedangkan kekayaan negara dikaut ke luar.



Bagaimana Inggeris boleh menjajah Tanah Melayu?



Sepertimana yang telah ditulis dalam buku sejarah sekolah menengah ( yang sebenarnya saya sudah lupa), Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah membahagikan Kepulauan Melayu kepada dua. Belanda menyerahkan Melaka kepada Inggeris dan Inggeris menyerahkan Bangkahulu kepada Belanda. Setelah berjaya bertapak di Melaka, Inggeris telah berjaya merampas Pulau Pinang daripada Sultan Kedah secara tipu helah dan kekuatan tentera. Kemudian, Inggeris menguasai Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan negeri-negeri Melayu yang lain.




Pemandangan dari puncak Bukit Candu. Tentera Jepun mendarat dari laut lalu bertempur dengan Askar Melayu yang mempertahankan kawasan ini.



Turut menarik perhatian saya ialah pengarang turut memuatkan buah fikiran Syed Syeikh al-Hadi dalam majalah Al-Imam. Pelopor semangat kebangsaan itu menyeru orang Melayu supaya bersatu, bekerja kuat serta melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Beliau turut menyeru orang Melayu untuk bangun menentang penjajah.



Penyusunan jalan cerita dalam novel ini saya kira boleh dibahagikan kepada dua. Separuh yang akhir daripada novel ini menceritakan tentang suasana perang dengan Inggeris, manakala bab-bab awal menceritakan tentang perjalanan awal kehidupan Leftenan Adnan.



Mengapa Jepun menyerang Tanah Melayu?



Di bahagian pendahuluan penulis begini:
Pada tahun 1933, pihak berkuasa tentera telah menguasai politik Jepun dan mereka telah mewujudkan satu Dasar Perluasan Kuasa dengan slogan Asia Timur Raya ataupun Asia untuk Orang Asia. Mereka juga bercita-cita seluruh kawasan Asia mesti berada di bawah kuasa politik Jepun.

Sebagai langkah pertama, pada tahun 1937, Jepun menyerang negara China dan berjaya menakhlukinya. Ekoran daripada tindakan itu, Amerika Syarikat dan sekutunya Britain serta Belanda telah menentang pencerobohan itu lalu mengenakan sekatan ekonomi dan tentera kepada Jepun.

Jepun yang mempunyai ramai penduduk menghadapi kesulitan akibat kekurangan bahan pertanian dan bahan galian, terutamanya getah, bijih timah dan besi untuk membangunkan perindustrian mereka. Jepun berpendapat masalah ekonominya boleh diselesaikan hanya dengan menakhluk kawasan yang kaya dengan bahan galian tersebut, termasuk Tanah Melayu.




Saya juga melihat kegigihan askar-askar Melayu untuk mempertahankan tanah air tercinta. Walaupun berada dalam bilangan yang sedikit, mereka tetap mempunyai semangat juang yang tinggi dan berani bertempur bermati-matian. Tentera Jepun yang bilangannya ramai itu perlu bekerja keras kerana kubu yang dikawal oleh askar Melayu amat susah untuk ditembusi. Contohnya, pasukan tentera Jepun pada awalnya kalah dalam pertempuran di Pasir Panjang dan terpaksa berundur walaupun dibarisi pasukan paling handal dan disertai ramai bala tentera – sedangkan pasukan askar Melayu (di bawah pimpinan Leftenan Adnan) dan tentera British tidak ramai bilangannya.



Replika buku yang terukir nama Leftenan Adnan dan Askar Melayu terletak di puncak Bukit Candu. Di sini berlaku pertempuran antara Askar Melayu dengan askar Jepun.



Memetik petikan di bahagian pendahuluan, dalam pentempuran dengan askar Jepun di pantai Kelantan dan Singapura, askar Melayu telah menunjukkan keberanian dan semangat keperwiraan yang hebat di mana seramai 152 anggota askar Melayu termasuk 7 pegawai Melayu dan 6 orang pegawai British yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu terkorban. Antara pegawai askar Melayu yang terkorban ialah Leftenan Adnan Saidi. Dia bersama 42 orang anggotanya yang masih hidup telah berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.



Allahyarham Adnan Saidi. Al-Fatihah


Leftenan Adnan Wira Bangsa mengangkat beberapa persoalan-persoalan lain yang melatari waktu Tanah Melayu yang sedang berada dalam peperangan. Membaca novel ini membuatkan saya cakna terhadap sejarah perjuangan askar-askar Melayu ketika zaman penjajahan. Mereka yang buta sejarah akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh nenek moyang kita dahulu.



Masihkan adakah penjajahan sesudah negara kita merdeka? Hanya yang tidak cakna akan terjatuh ke dalam lubang yang sama buat kali kedua.


4 ulasan:

zan berkata...

Salam singgah.
Sekadar bertanya. Adakah Leftenan Adnan berjuang menentang penjajah?

Tak dinafikan jasa Leftenan Adnan dan juga askar-askar melayu yang gugur di medan perang ketika menentang penjajah tetapi persoalannya ketika itu Inggeris juga menjajah.

Apa yang Leftenan Adnan pertahankan? Kerajaan Malaya atau Empayar British?

Syukri Sapuan berkata...

Terima kasih atas kunjungan dan komen. Sesuatu yang menarik utk kita fikirkan. Mungkin saya perlu lebih banyak membaca untuk melihat perkara ini dari pelbagai sudut. sejarah ditulis oleh pihak yang menang.


Pada pandangan peribadi saya tika ini, kewujudan rejimen askar Melayu telah membuktikan bahawa anak tempatan juga mampu untuk mempertahankan tanah air sendiri. Bangsa Melayu juga memiliki keupayaan untuk menjadi seperti bangsa-bangsa lain- cuma mereka kurang pendedahan terhadap teknologi2 semasa tika itu. contohnya, mereka tidak dapat memajukan sektor perlombongan kerana tiada teknologi oleh anak tempatan untuk memperoleh hasil galian yang banyak- seperti kapal korek dll.

Muhammad Zaki Bin Sapuan berkata...

menarik..

memeng benar, xtvt membaca lebih membuka hijab imaginasi minda ke dimensi tanpa batasan.

Tanpa Nama berkata...

Leftenan Adnan terkorban kerana mempertahankan tanah melayu walaupun pada ketika itu tanah melayu dijajah oleh British. Tanah Melayu adalah tumpah darah beliau dan juga tumpahnya rakyat Malaysia pada hari ini. Penjajah, pendatang, pengaut keuntungan semuanya datang dan pergi dan mereka tidak akan membawa bersama mereka Tanah Melayu ... jadi saudara dan saudari renung-rengungkanlah apa yang sebenarnya diperjuangkan oleh Leftenan Adnan Saidi.

Related Posts with Thumbnails