Isnin, Mei 31, 2010

Jangan lukakan rakyat



Jangan lukakan rakyat
(dipetik daripada buku ‘Luka Rakyat’ – Azizi Hj Abdullah. Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang)



(1)
Rakyat itu selalu diam,
tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa,
rakyat itu seperti naga,
melingkar dengan berat badan dan diam dalam keheningan sendiri,
tapi pancainderanya tajam,
kuat instuisinya dangan akalbudi,
lalu jangan sekali-kali melukakannya,
jangan melukainya berkali-kali,
kerana sekali ia bangkit,
rosaklah segala apa-apa.



(2)
Rakyat itu penyabar,
kerana kesedaran nuraninya yang dalam,
rakyat hanyalah penonton,
segala perbuatan pemimpin di atas pentas bangsanya,
rakyat akan mudah faham,
akan kesalahan pemimpinnya,
kerana ia ular sawa,
ia tetap melingkar diam kerana kenyangnya,
tapi kalau kesalahan itu sudah subur,
dengan sikap keras kepala,
maka lingkaran diamnya pun hilang,
lalu ia pun mengamuk membinasakan dengan mata butanya.



(3)
Rakyat itu suka menunggu,
rakyat itu adalah gerakan raksasa,
rakyat itu tidak pernah tergesa-gesa,
bertindak apalagi memberontak,
ketika rakyat sambil menunggu,
ia pun menilai,
penilaian rakyat selalunya benar,
hati nuraninya bersih tuntas,
kerana sabar menunggu,
rakyat pun menjadi peka melihat peluang,
rakyat selalu mengerti tentang suasana.



(4)
Rakyat sering menunggu peluang,
bila terjadi amat menakutkan,
ia tidak mudah berhenti,
tidak pula mudah dijinakkan,
rakyat tidak mudah puas,
rakyat itu orang yang berhati-hati,
menaruh kepercayaan,
maka janganlah menipu rakyat,
maka janganlah membohongi rakyat,
jangan sekali-sekala munafik,
dan jangan berbuat bodoh di depan rakyat.



(5)
Rakyat itu tidak mahu dibodohkan,
rakyat itu cerdas hati nuraninya.



(6)
Rakyat itu diam,
rakyat itu sabar,
rakyat itu pandai membaca peluang,
jangan sekali-kali anggap rakyat tidak berbahaya,
kerana diamnya,
kerana sabarnya,
rakyat itu memang sabar,
tapi jangan terus disakiti, ditekan dan dibohongi.



(7)
Rakyat itu mampu sabar,
seperti ular besar yang perutnya berisi,
tapi kalau ia kelaparan,
bumi lingkarannya akan bergegar,
rakyat itu seperti binatang purba,
tidak berasa disakiti meski diinjak,
kalau perutnya kenyang.


Makanya…
jangan biarkan rakyat lapar,
jangan bodohkan rakyat,
jangan tindaskan rakyat,
kerana sifat diamnya akan hilang,
kesabaran akan lupus,
bijaksananya menjadi gila,
disebarkan air dendam yang tidak akan memilih sesiapa.



(8)
Rakyat yang lapar mahunya satu,
keadilan!
rakyat yang tertindas mahunya satu,
keadilan!
rakyat yang diam mahunya satu,
saksama!
rakyat yang bergerak mahunya satu,
kebebasan!
rakyat yang bantah mahunya satu,
ketulusan!



(9)
Peradilan adalah perhitungan,
Jangan, jangan pamerkan di ekspo massa,
tentang kedustaan, tentang kemunafikan, tentang ancaman,
jangan, jangan hulurkan,
kertas pemalsuan, dokumen tekanan,
ular sawa masih melingkar tidur,
kerana perutnya masih terisi,
tapi apabila sudah tidak terbeli,
maka hatilah-hatilah yang selama ini disakiti,
hentikan pameran dusta,
hentikan sandiwara dan lakon berseni,
hentikan ancaman,
hentikan main sembunyi.


(10)
Rakyat berfikir dalam diam,
rakyat itu diam dalam perhitungan,
rakyat itu menghitung satu demi satu,
harga diri hanyalah jujur,
harga mahal ialah berani mengakui kesalahan pada rakyat,
rakyat itu memang diam,
tapi selalu melihat, selalu mendengar, selalu menilai,
rakyat itu selalu melihat, mendengar, dan menilai,
kalau masih dapat makan,
akan tetapi rakyat yang lapar akan makan semuanya,
rakyat yang tertindas akan ingat luka-luka masa lampau,
mereka dinamakan rakyat bodoh,
yang membuat peradilan sendiri,
hukumannya hanya luka-luka.


Bila semakin parah pisau melukakannya,
semakin keraslah hukuman bodohnya.



(11)
Rakyat adalah binatang buas,
yang kelihatan jinaknya melalui hati nurani,
maka, hindarilah peradilan rakyat!



*Diolah semula menjadi puisi daripada artikel ‘Peradilan Rakyat’ tulisan Jacob Sumardjo, terbitan Pustaka Hidayah (IKAPI) Bandung – Penulis (Azizi Hj Abdullah)


***




InsyaAllah - saya teringin sekali 'membedah' buku ini selepas tamat peperiksaan nanti.



Khamis, Mei 27, 2010

2 Syuhada - 1999





Terima kasih facebook yang menemukan aku dengan gambar ini - 11 tahun yang lalu.
Umur baru 8 tahun, sekarang dah 19 tahun.

*2 Syuhada 1999*
Sekolah Kebangsaan Kota Jaya- sekarang nama sekolah dah ditukar kepada SK Datuk Usman Awang



Kalian apa khabar?
=)


Selasa, Mei 18, 2010

Nama



Perintah mereka:
Dia perlu menjaga nama
kerana nama adalah kerana segalanya - sekurang-kurangnya bagi mereka,
dengan nama manusia kenali mereka
dengan nama jiwa mereka bangkit bersama
dengan nama semangat mereka mekar membunga.


Katanya, dia itu si pencemar nama mulia.


Alahai – apalah yang ada pada nama?
jika realiti kaku, dirantai keliru
– deria buta tanpa rasa.


Dan aku mahu terus menjadi aku
bukan dia, apatah lagi mereka,
kerna mereka tidak pernah ada
tika aku hadir (terperangkap) di situ.



Dia tidak lagi bersama mereka
kerana rasa percaya sudah hilang kepada nama.




Tanpa nama
18 Mei 2010



Ahad, Mei 16, 2010

Cool



Mahu jadi cool?


Hishamuddin Rais, si blogger tukartiub (yang baru menjadi kenalan fb saya) menulis begini di ruangan mesej akaun facebook saya.



tak susah -

jangan jiwang -

jangan skema -

jangan kaki bodek -

dan paling penting cool

bangun melawan !

cheers !







"Mahasiswa dan anak-anak muda merupakan golongan yang terpenting dalam strata sosial masyarakat kerana mereka merupakan pelapis kepimpinan masa hadapan, di bahu mereka digalas harapan masyarakat untuk melihat bumi tercinta ini dilimpahi berkah daripada Ilahi. Kelompok mereka sangat penting kerana mempunyai kekuatan fizikal, kekuatan mental, kekuatan semangat dan idealisme. Hamparan pakej yang terhimpun inilah menjadi senjata bagi mereka bangkit menentang kezaliman, berdada dengan penguasa yang korup, menerjah segenap kepalsuan." Riduan Mohamad Nor, Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad. Disember 2007.



Ahad, Mei 09, 2010

Empati



Saya tidak pernah lihat kawan saya yang seorang ini meninggikan suara, waima tika dia sedang marah sekalipun. Hanya sesekali sepanjang tempoh dua tahun kami berkenalan, saya melihat dia dikuasai emosi- itupun sebentar sahaja. Dia benar-benar seorang kawan yang lambat 'panas' dan cepat pula reda.


Menurut dia- tika hati tidak senang, jangan banyak bersuara. Bimbang apa yang diperkatakan nanti bukan lahir daripada pemikiran yang waras, sebaliknya bersumbukan emosi semata-mata.


Saya yang kurang senang dengan buah fikirannya itu dengan segera memintas- bukankah emosi juga salah satu daripada cabang jiwa? Bahkan ia asas utama lahiriah kita. Benci-marah-cinta-suka-rindu-kecewa-dan seribu satu rasa yang lain itu adalah emosi yang bergilir-gilir mengisi kotak jiwa.



Dia tersenyum- dan saya terpinga-pinga melihat kelakuannya itu. Saya tidak pernah menafikan segala rasa itu- malahan rasa itulah yang turut mewarnai hari-hari saya. Cuma yang ingin saya katakan, jangan bertindak terburu-buru mengikut emosi. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.


Saya selalu ingin menjadi seperti dia - maksud saya pendengar yang baik seperti dia.


Dia selalu ada tika saya memerlukan sepasang telinga untuk mengadu, berleter, mengeluh dan bersuara.


Menurut dia- manusia cenderung untuk menilai sesuatu berdasarkan paradigma masing-masing.



Paradigma? Saya kehairanan.



Ya. Paradigma, ataupun persepsi. Persepsi dibina daripada pengalaman hidup. Kamu perlu sedar akan hakikat bahawa semua manusia menjalani kehidupan yang berbeza. Bahkan dua orang adik-beradik yang dibesarkan oleh keluarga yang sama juga berbeza perangai mereka. Inikan pula manusia dari segenap pelusuk dunia. Budaya, sosioekonomi, cara dibesarkan, tempat dibesarkan, tempat pendidikan, pengalaman hidup, bahan bacaan, peristiwa hitam, cara melihat sesuatu juga seribu satu macam perkara lain juga akan mempengaruhi pembinaan paradigma.


Kita semua berbeza- namun masih ada unsur-unsur yang menyatukan kita semua- fitrah manusiawi.


Saya diam. Mengangguk tidak- menggeleng pun tidak.


Kita menjadi takut menentang kerana selalu ditekan. Akibatnya kita tidak berani untuk membuat keputusan bagi pihak diri sendiri. Sesuatu yang dibuat kerana terpaksa- dan juga tanpa kerelaan hati adalah satu tindakan robotik. Bahkan tindakan itu juga tidak akan mampu bertahan lama.


Tidak adil bukan memusuhi orang lain hanya kerana perbezaan manusia?- sedangkan kita masih disatukan oleh fitrah.


Dan kemudiannya kita menilai manusia itu berdasarkan paradigma kita- jika dia gagal berada dalam lingkungan paradigma kita yang mulia, kita akan menyisihkan dia. Politik adalah bagaimana cara kita membina paradigma.



Saya menguap panjang- petanda sudah mulai bosan mendengar celotehnya.


Entah bila kita akan menjadi manusia yang memahami- yang tidak mengkucar-kacirkan manusia lain dengan cara memasuki jiwa mereka sesuka hati.


entah bila kita akan bersifat empati!






***


People tend to filter the information they receive through their own paradigms, reading their autobiography into other people's lives, or projecting their own home movies onto other people's behavior.

When another person is speaking, we usually "listen" at one of four levels: ignoring, pretending, selective listening, or attentive listening. We should be using the fifth, highest form of listening - empathic listening.

Active or reflective listening is skill-based and often insults the speaker.

Empathic listening is listening with intent to understand the other person's frame of reference and feelings. You must listen with your ears, your eyes and your heart.

Empathic listening is a tremendous deposit into the emotional bank account. It's deeply therapeutic and healing because it gives a person "psychological air."

Next to physical survival, the greatest need of a human being is psychological survival - to be understood, to be affirmed, to be validated, and to be appreciated.

Empathic listening is risky. It takes a great deal of security to go into a deep listening experience because you open yourself up to being influenced. You become vulnerable. In order to have influence, you must be influenced.


By understanding the other person, we can learn their paradigms through which they view the world and their needs. Then we can try to resolve our differences to work together.


sumber



***

*empati: daya menyelami dan memahami perasaan (emosi) orang lain.


Notakaki: ini entri tanpa hala tuju. Watak-watak hanya imaginasi penulis.

Isnin, Mei 03, 2010

Istimewa 3 Mei



Apakah yang istimewa pada 3 Mei 2009?


Hari ini 3 Mei 2010, sudah genap setahun masa berlalu.


Hari ini genap sudah setahun puisi pertama saya disiarkan di media. Bermakna sudah setahun saya menulis secara (separa) serius.


Kalau kau fahami bahasa rindu telah disiarkan di Mingguan Malaysia pada 3 Mei 2009. Puisi ini saya tulis semasa saat-saat 'tertekan' menghadapi peperiksaan AS Mei/Jun 2009.




Sepanjang setahun (Mei 2009-Mei 2010) ini, sebanyak 8 hasil tulisan saya telah berjaya menembusi media - 4 puisi, 2 cerpen dan 2 esei. Tulisan-tulisan ini disiarkan di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Tunas Cipta, Dewan Siswa dan e@siswa.


Kalau hendak dibandingkan dengan rakan-rakan penulis , sudah pasti saya tidak seaktif rakan-rakan Minggu Penulis Remaja 2009 (MPR 2009) yang lain. Cemburu juga lihat karya mereka disiarkan saban bulan.


Saya masih mengumpul momentum.


Saya ada satu azam. Saya sangat suka baca ruangan reviu tulisan S.M. Zakir dalam majalah Milinea Muslim. Saya harap saya mampu untuk menulis sebegitu rupa juga satu hari nanti. Sungguh analitikal dan kritis.

Contohnya dalam majalah Milinea Muslim Mac 2010, beliau mengulas pemenang Filem Terbaik pada Anugerah Golden Globe ke-67, Avatar.

" Avatar membawa orientalisme kolot dunia Barat dengan kepercayaan 'white mens burdens' dan 'self and others'nya. Segala masalah dan penyelesaian di dunia ini bahkan sehingga ke planet Pandora yang sejauh 4.3 tahun cahaya dari bumi itu terletak di bahu bangsa kulit putih. Ia mengulangi propaganda superioriti kulit putih seperti dalam cerita Tarzan, King Kong, Superman, Batman dan sebagainya. "



Saya harap satu hari nanti reviu saya hasil bedahan buku dan filem juga akan mendapat tempat di media. InsyaAllah.


Oh! Peperiksaan betul-betul just around the corner!


Nah, saya turunkan kembali puisi yang pernah saya tulis pada saat-saat 'ketakutan' ini, setahun yang lepas.




Kalau kau fahami bahasa rindu


Kalau kau fahami bahasa rindu
pasti pengertian ini milikmu,
kerana aku insan perindu
yang menagih damai di lubuk hatiku
kala gelora membadai kalbu.


Telah ku lakar segala rahsia
di kanvas jiwa terlukis rasa
pabila hati mula membentak
tingkah berubah menongkah fitrah
pijat pesimis merasuk nurani
menyedut segala semangat duniawi
senyuman hambar yang ku lontar
petanda damai semakin pudar.


Aku rindu jiwa yang kental
diri yang teguh walau dicabar,
tidak mengalah di waktu sukar
biar bernafas di tengah lumpur
tetap tegar menjadi penyabar.


Aku masih menanti damai
mengharap rindu akan menghilang,
walau ku tahu hakikat kehidupan
rindu itu satu kurniaan
buat manusia yang hilang ketenangan
apabila terputus rahmat Tuhan.


Syukri Sapuan

Senja
Lembah Beringin, Selangor.
April 2009.

Related Posts with Thumbnails