Khamis, Februari 24, 2011

Kelas pertama



Adapun kali terakhir saya menjadi pelajar sekolah menengah ialah kira-kira 4 tahun yang lalu - maka tidaklah saya ketahui sangat tentang apa yang sedang berlaku di sekolah menengah saya itu ketika ini.


Cuma sewaktu tahun-tahun akhir saya di situ - pengetua kesayangan kami itu sibuk benar memperkenalkan visi menjadikan kami sebagai pelajar berminda insan kelas pertama.


Tentang apa itu definisi pelajar berminda insan kelas pertama - saya sendiri pun tidak tahu hendak menerangkan bagaimana rupa bentuknya.


Yang saya pasti - insan kelas pertama itu pastinya ada kaitan dengan yang muluk-muluk.


Cuma pagi ini ketika saya bangun hendak siapkan diri untuk kelas - apabila nampak sinki tandas kolej kediaman bertakung - saya tahu bahawa ini mesti kerja orang tidak berminda kelas pertama.


Apakah logiknya jika saki-baki nasi dicurah terus ke dalam sinki semasa rice cooker hendak dibasuh. Tersumbatlah jawapannya.


Kemudian - esok pagi tunggu cleaner datang untuk bersihkan. dan esok awal-awal pagi saya akan jumpa lagi.


Anda tentukan.


Selasa, Februari 15, 2011

Pertandingan Menulis Cerpen Islami





Pertandingan Menulis Cerpen Islami dianjurkan oleh Pelima Media Sdn Bhd.

Berminat?

Klik sini untuk maklumat lanjut.


Ahad, Februari 13, 2011

Kepada media & kita



Satu fakta yang tidak dapat kita nafikan ialah - tahap perhubungan kaum di Malaysia masih perlu dipertingkatkan lagi. Maksud saya - ia boleh berada pada tahap yang lebih baik lagi.


Walaupun iklan-iklan siaran kerajaan sering memaparkan yang muluk-muluk tentang perpaduan kaum, namun kita sendiri sebenarnya tahu di mana tahap kita selepas 54 tahun mengecapi kemerdekaan.


Kita masih belum memahami antara satu sama lain.


Merujuk kepada entri sebelum ini, ada yang bertanya kepada saya apakah 'masalah teknikal' yang berlaku sehingga saya perlu bertukar IPG.


Di Johor Bahru, hanya ada opsyen Sains dengan minor bahasa Cina. Kesemua ahli kelas saya ialah pelajar Cina kerana kelas tersebut disasarkan untuk mengajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (sjkc). Maka saya perlu ditukarkan ke Batu Pahat untuk opsyen Sains bersama minor yang lebih sesuai.


dan kekallah saya di Batu Pahat hingga ke hari ini.


Walaupun hanya berada di Johor Bahru selama seminggu, namun saya tetap memperoleh satu pengalaman baru yang menarik. Saya dapat bergaul dengan ahli kelas yang kesemuanya berbangsa Cina (kebanyakannya daripada Sabah & Serawak)


Menurut ahli kelas saya itu, mereka teruja menerima saya kerana mereka tidak ramai (dan ada juga yang tidak ada langsung) kawan berbangsa Melayu.


Hanya satu perkara yang buat saya rasa pening ketika itu - kesemua ahli kelas saya suka cakap bahasa Cina sesama sendiri dan saya tidak faham sepatah pun dari apa yang mereka perkatakan.


Saya mungkin tidak akan dapat melupakan saat-saat berkunjung sambil bertukar pandangan di bilik salah seorang daripada mereka.


Kami berbual panjang pada malam itu mengenai banyak perkara. Daripada peraturan asrama, tugasan kuliah, tempat makan yang sedap, bolasepak, politik hinggalah kepada teologi.


Berbekalkan pengetahuan ringkas melalui bacaan berkenaan Kristian, saya bertanya kepada kawan baru saya ini bermacam-macam perkara tentang hal yang berkaitan.


dan begitu juga dengan dia - bertanya kepada saya tentang Islam.


Menurut dia - dengan jumlah kawan beragama Islam yang hampir tiada, dia hanya mengetahui tentang Islam melalui akhbar aliran perdana. Itupun melalui isu di muka hadapan akhbar seperti Syiah, poligami, fatwa dan sebagainya.


Oleh itu - saya memang tidak boleh menyalahkan dia apabila ini jawapan yang saya terima ketika meminta pandangan tentang orang Islam.


"Orang Islam selalunya baik-baik. Tapi kan kalau satu kawasan itu ramai sangat orang Islam, kat situ nanti orang kahwin ramai (poligami). So kalau Islam average tu lagi bagus pasal dia biasa-biasa saja."


Islam yang dia faham melalui pembacaan adalah poligami semata-mata. Barangkali - dia hanya memindahkan pembacaan ke bentuk buah pemikiran.


Memandangkan akhbar aliran perdana sebenarnya menjadi sumber rujukan non-muslim untuk mengetahui tentang Islam, saya merasakan bahawa permainan isu politik dan pembantaian parti politik yang mendukung gerakan Islam (tanpa memberi peluang kepada mereka untuk menjelaskan pendirian yang sebenarnya) di dada akhbar akan membuatkan pihak non-muslim yang ingin mengetahui tentang Islam ini bertambah keliru.


Dalam masa yang sama, kita sebagai muslim tidak mahu mempamerkan akhlak acuan agama sehingga mereka (non-muslim) gagal menangkap kemas pengertian Islam yang sebenarnya.


Mereka keliru dan jurang terus melebar.



Isnin, Februari 07, 2011

IPTHO







Bagi sesiapa yang masih belum tahu - saya sekarang merupakan penuntut di Institut Pendidikan Guru kampus Tun Hussein Onn (IPTHO) yang terletak di Batu Pahat, Johor. Saya menyambung pengajian dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang akan tamat pada Disember 2014.


Dan hari ini sudah kira-kira sebulan saya berada dalam 'sistem' PISMP.


Pada mulanya, saya diminta untuk mendaftar di IPG Temenggong Ibrahim, Johor Bahru pada 3 Januari. Kemudian - sesudah seminggu di sana, pada 10 Januari - saya diminta berpindah ke IPTHO.


Puncanya - bidang pengajian saya itu tiada di Johor Bahru dan berlaku 'kesilapan teknikal' di IPG Induk.


Tempat baru - maka, pengalaman baru juga akan dikutip. Bertemu kawan baru, jadual hidup baru, sistem baru dan banyak perkara yang baru.


Sudah pasti saya merindui Kolej Yayasan UEM.


Oleh itu - jangan bantutkan pemikiran. Berfikir secara kritikal. Pastinya - jangan leka dalam zon selesa dek limpahan masa lapang yang ada.


Air apabila tidak bergerak, bertakung, maka ia akan rosak - Imam Syafie


Related Posts with Thumbnails