Ahad, Julai 31, 2011

Hadiah Sastera Darul Ta'zim (HSDT) Kelapan 2011


1. Alhamdulillah. Puisi saya yang berjudul Kalau Kau Fahami Bahasa Rindu (yang disiarkan pada 3 Mei 2009 di Mingguan Malaysia) telah berjaya memenangi HSDT kelapan 2011 bagi kategori karya penulis remaja bawah 19 tahun.


2. Penyampaian hadiah telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada malam semalam (30 Julai 2011)




3. Sungguh - saya berasa begitu kerdil untuk menerima pengiktirafan tersebut. Saya tersepit di antara rasa pesimis dan optimis. Tentang mengapa wujud rasa begitu, itu biarkan saja hanya saya yang tahu.


4. Semoga pengiktirafan yang diterima ini akan membakar sumbu semangat saya untuk terus berfikir dan menulis sesuatu yang bermanfaat.


5. Bak kata Pak Pramoedya Ananta Toer, "Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian."


Pemenang kategori karya remaja bawah 19 tahun


6. Dan kata-kata Dr. Mawar Safei (yang memenangi 3 anugerah malam semalam) kepada kami (pemenang kategori karya remaja bawah 19 tahun) terngiang-ngiang di telinga saya: Kamu semua jangan berhenti menulis!


7. Jangan ini jadi pengakhiran.


keratan Berita Harian berkaitan pengumuman pemenang HSDT 2011




Selasa, Julai 26, 2011

Semalam


Semalam

Ketika dia bercerita
tentang kisah duka kami
aku bungkam - keseorangan
terperosok di ruang (paling) gelita.


Kata orang -
alam itu guru terbaik
dan dari rimba peng-alam-an
yang ditebas semalam
akan lahirnya pujangga.


Walhal, bagi kami (yang luka ini)
Semalam ialah tetakan parang tajam
yang mencencang jasad (dan jiwa)
selumat-lumatnya.


Aduhai - apakah makna kehidupan,
buat mereka yang kecil jiwanya?



Aku
26 Julai 2011
LDP


Tentang buku & filem


"Jangan menjadi orang yang sekadar beratur membeli tiket, membeli pop-corn dan sekadar duduk di dalam panggung. Menonton sekadar mahu melihat apa yang boleh menghiburkan.

Jadilah orang yang duduk di dalam panggung dan menaakul cerita. Berhibur, berhibur juga. Tetapi apa yang terisi dalam jiwa. Jadilah seorang yang menghadam filem, bukan sekadar menonton filem.

Filem kita wajah kita.

Jika sekadar menonton, dapatkah kita mengenal wajah kita?"





Kata orang - kita adalah apa yang kita baca dan kita tonton. Buku yang dibaca dan filem yang ditonton akan serba sedikit menentukan corak pemikiran diri.


Begitulah juga pendapat saya.


Saya bersetuju dengan pendapat sdr. Shamsul Amin seperti mana petikan blog di atas. Untuk menjadi seseorang pembaca/penonton yang lebih baik, saya kira tidak cukup bagi kita dengan sekadar memberi komen best-menarik ataupun tak best - bosan.


Kita perlu untuk pergi beberapa tapak ke hadapan dengan menaakul dan berfikir - apakah yang menyebabkan sesuatu buku/filem itu berkualiti. Jangan menjadi pembaca/penonton yang pasif.


Bagi sesetengah orang - mereka akan memberi label sesuatu filem itu best apabila ia sarat dengan action. Maka, filem-filem berkos tinggi seperti Transformers, Iron Man, X-Men dan seumpama dengannya akan menjadi pilihan.


Di satu pihak yang lain, mereka menganggap bahawa sesebuah filem itu tidak semestinya sarat dengan action untuk diklasifikasikan sebagai best. Cukup dengan tema dan persoalan yang kuat.


Ahh - saya sebenarnya teringat pada tayangan filem semasa kelas bahasa Inggeris di tingkatan 5 dahulu. Guru saya, Mr Azman menayangkan kepada kami filem Cast Away, cerita tentang seorang lelaki sibuk yang terdampar di sebuah pulau yang sunyi selepas kapal terbangnya terhempas.


Selepas menonton, guru saya itu meminta kami semua untuk menjawab soalan-soalan dan mengeluarkan pendapat masing-masing tentang filem tersebut. Ada pelbagai versi jawapan yang diberi.


Bukan apa yang dilihat - tetapi bagaimana kita melihat akan menentukan apa yang dilihat. Who we are will determine what we saw.


Daripada situlah saya mulai belajar - bahawa kita perlu untuk menjadi pembaca/penonton yang aktif - yang tidak sekadar membaca/menonton - bahkan menghadam apa tersirat. Bak kata pepatah Inggeris, read between the lines.


Begitu juga dengan pengajaran Komsas di sekolah menengah. Ia sepatutnya tidak menjadi terlalu kaku - murid perlu menghayati dan menghadam.


Bukan sekadar membaca daripada skema pemarkahan dan menulis kembali jawapan di kertas soalan seperti menjawab soalan pada subjek-subjek yang memerlukan hafalan semata-mata.


Tentang buku pula.


Setahun dua ini, saya menjadi lebih teliti semasa membelek buku sebelum buku itu dibeli.


Pada saya, selain tajuk buku - nama pengarang, penerbit, tahun cetakan dan bilangan cetakan juga mempengaruhi samada saya berminat ataupun tidak untuk membeli.


Jikalau dahulu, saya membeli hanya berdasarkan tajuk dan tema buku. Namun pada hari ini, saya mula membeli berdasarkan kreadibiliti penulisnya.

Buku yang diulang cetak beberapa kali juga mempunyai tarikannya kepada saya untuk dibeli. Penerbit yang berbeza mempunyai polisi penerbitan yang berbeza.


Setiap orang mempunyai selera yang berbeza. Dan beginilah selera saya.



Isnin, Julai 25, 2011

Ruang


"Bukankah engkau yang selalu mengajar aku untuk menjadi lebih berani?"


Tidak lagi sekarang. Berikan aku ruang dan aku akan lebih menghargai.


"Maksud kau?"


Fikirlah sendiri. Jangan jadi malas.


"Engkau sudah berubah."


Apa yang kau tahu tentang aku - hah?


"errrr...."

Jadi engkau hendak mengindoktrinasikan aku?



Rabu, Julai 20, 2011

Spiritual Reading : Hidup Lebih Bermakna dengan Membaca







Kadang-kadang - saya terfikir juga, mengapa perlu untuk kita membaca? Dan apakah keperluan untuk saya menghabiskan masa dengan membaca. Soalan ini kadang-kadang melintas di fikiran apabila melihat deretan koleksi buku di rak.


Buku Spiritual Reading tulisan Dr. Raghib As-Sirjani, serba-sedikit mampu memberikan pencerahan terhadap persoalan-persoalan ini.


Pada bahagian pengantar penerbit, ditulis begini:

Dewasa ini, pelbagai pemikiran dan informasi tersebar dengan begitu cepat. Keadaan tersebut menyebabkan setiap orang daripada kita harus bersedia untuk menyesuaikan diri dengan ledakan informasi ini.

Sayangnya, keadaan umat Islam selalu bagaikan umat yang terlambat memperoleh, mengkaji dan menghasilkan informasi. Tidak hairanlah jika umat ini mengalami kemunduran yang sistematik dalam pelbagai hal, sehingga menjadi objek daripada badai informasi yang cenderung menghancurkan struktur moral dan akhlak.

Buku ini cuba menghadirkan kembali spirit umat Islam yang pernah memimpin peradaban dunia selama lebih dari 300 tahun yakni sebagai umat yang memimpin arus informasi dunia melalui budaya membaca.


Buku setebal 183 muka surat ini cuba menjelaskan peranan budaya membaca sebagai konsep hidup dan persoalan mengapa harus kita membaca. Turut dimuatkan 10 cara untuk menumbuhkan minat membaca.


Saya tertarik pada isi di bab Ajarkan Membaca, Maka Tawanan Dimerdekakan: Pengajaran dari Perang Badar.

Saya petik sedikit di sini:


Jika kita membuka lembaran sirah Rasulullah SAW, kita akan menemui persepsi lain yang sangat indah dan sangat berbeza antara masa itu dengan masa setelahnya, bahkan dengan zaman sekarang. Peristiwa tersebut ialah tentang tawanan pada Perang Badar.

Saat itu Rasulullah SAW meminta dari tawanan orang musyrik yang ingin menebus dirinya agar mengajar cara membaca dan menulis pada sepuluh orang Muslim.

Ini merupakan satu hal yang sangat aneh. Apalagi saat itu masih banyak orang yang buta huruf. Namun, membaca, menulis dan belajar merupakan keperluan utama bagi mana-mana umat yang ingin membangun, maju dan meningkat.

Jika kita lihat keadaan Muslimin saat Perang Badar, kita akan mendapati bahawa sebenarnya mereka memerlukan harta kekayaan serta memerlukan penjagaan terhadap para tawanan untuk menekan Quraisy, atau menjaga mereka dengan tukar-menukar jika terdapat Muslim yang ditawan.

Tetapi, Rasulullah SAW melihat ada yang lebih penting daripada itu semua, yakni mengajarkan orang Islam membaca. Hal ini merupakan titik perhatian yang sangat penting dalam fikiran Rasulullah SAW. Beliau ingin membangunkan umat Islam dengan bangunan yang sempurna sehingga para sahabat memiliki kemampuan berbahasa yang lebih unggul daripada musuh-musuhnya.


Melalui buku ini- pengarang cuba menghubung-kaitkan budaya membaca dengan ketamadunan Islam. Sebagai seorang pembaca - buku ini dapat memberi satu rangsangan motivasi - sekurang-kurang untuk menjawab persoalan - mengapa kita harus terus membaca sesuatu di luar orbit silibus pembelajaran di IPT.


Saya teringat pada tulisan di blurb buku Risalah Untuk Kaum Muslimin tulisan Syed Naquib Al-Attas,


Sedang kaum Muslimin di merata dunia menderitai masalah kekeliruan mengenai Islam yang semakin meruncing, Risalah ini mengemukakan pandangan-pandangan Profesor Al-Attas yang cukup berdaya asli dalam maksud membimbing Kaum Muslimin agar terpimpin ke jalan yang benar. Sebab utamanya terjadinya keadaan buruk Kaum Muslimin dewasa ini menurut beliau adalah kejahilan masyarakat Muslim itu sendiri mengenai Islam secara yang menyeluruh iaitu Islam sebagai agama yang sebenarnya yang mampu melahirkan peradaban yang luhur lagi agung yang mampu menghasilkan ilmu-ilmu Islamiah yang tiada taranya dalam sejarah manusia. Kejahilan mengenai Islam itulah yang telah melenyapkan kesedaran akan tanggungjawab individu dan kaum Muslimin terhadap amanah, ilmu dan akhlak dan seterusnya memerangkap mereka dalam pelbagai macam kekeliruan ilmu dan penyelewengan amal hingga mereka terus terbelenggu pada rantai penjajahan pemikiran Kuasa-Kuasa Besar Dunia masa kini.

Kejahilan masyarakat berpunca daripada kurangnya tradisi ilmu.


Menurut buku Gerakan Pelajar-Mahasiswa tulisan Mustaffa Kamil Ayub (Presiden PKPIM 1986-1989) - tradisi ilmu hadirnya daripada budaya menyelidik, menganalisis dan menulis.

Budaya menyelidik, menganalisis dan menulis terhasil daripada budaya berbincang/musawwarah.

Budaya berbincang pula merupakan rentetan daripada wujudnya budaya berfikir.

Budaya berfikir akan hadir selepas wujudnya budaya membaca.



Oleh itu, membacalah - untuk hidup yang lebih bermakna. Membaca itu cool.


Related Posts with Thumbnails