Engkau duduk di hadapan komputer riba – menaip semua ini. Perpustakaan daerah masih seperti dulu. Sama seperti kali pertama engkau melangkah datang ke sini; 15 tahun yang lepas. (Pegawai perpustakaan yang sama, susun atur rak buku yang sama, aroma buku yang sama)
Hidup pada zaman ini, kawan – adalah zaman pertembungan fikiran - yang sarat cabaran. Kepesatan teknologi lahirkan generasi bermaklumat (yang tidak semestinya generasi berilmu). Dan kerana itu engkau perlu miliki jiwa kritikal untuk menyaring lambakan maklumat dan nyatakan sikap sendiri - agar tidak hanyut dalam banjiran graduan yang sia-sia.
Engkau terkenang satu analogi mudah yang telah berulang-ulang kali didengar (kali pertama dibaca di bilik kaunseling sekolah rendah)
Ada seekor anak gajah yang baru ditangkap dari hutan. Ia ditambat pada satu tiang – guna rantai besi. Anak gajah itu cuba rentap rantai besi itu untuk lari dan bebaskan diri. Tapi tak berjaya. Ia cuba lagi – dan tak berjaya. Lagi dan lagi, tapi masih tak berjaya – sampai putus asa. Kesudahannya, anak gajah itu berhenti mencuba.
Masa terus berlalu – anak gajah itu telah dewasa dan membesar. Sebesar gajah. Ia masih ditambat guna rantai besi yang sama. Kalau diikutkan kekuatan haiwan sebesar itu, boleh saja rantai besi itu putus direntapnya. Tapi gajah itu masih di situ kerana ia sudah berhenti mencuba dan ada pengalaman kegagalan silam.
Analogi ini entah betul entah tidak. Engkau tidak pernah buat ujikaji untuk buktikan kesahihannya – pasal engkau tak pernah pelihara gajah di rumah.
Engkau kadang-kadang rasa, engkau terpaksa bayar harga paling mahal untuk menjadi mereka. (dan akhirnya engkau putuskan lebih baik jadi diri sendiri sahaja)
Dan kerana cerita-cerita lama, engkau (kadang-kadang) rasa lemah untuk teruskan peluang seterusnya. Betapa seorang manusia, tetaplah seorang manusia. Engkau ucap terima kasih banyak-banyak kepada kawan yang mengerti.
Entah apa yang engkau bebelkan, aku tak (pernah) peduli. Aku mau hidup seribu tahun lagi – Chairil Anuar.
Berhenti bercita-cita adalah tragedi terbesar dalam hidup manusia. Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati. - Arai - Andrea Hirata, Sang Pemimpi.
1 ulasan:
Saya senang membaca filosofi gajah. Tetapi bagaimana dengan manusia? Tidak harus begitu bukan.
Catat Ulasan