Sabtu, Oktober 06, 2012

Forum Merdeka: Orang Muda Tidak Patriotik?



Sekitar tahun 2009, saya pernah menulis sebuah esei berkaitan kemerdekaan - bertajuk 'Harapan Anak Malaysia' untuk Pertandingan Mengarang Esei Kemerdekaan anjuran Dewan Siswa. Alhamdulillah, esei tersebut memenangi tempat pertama dan telah disiarkan dalam Dewan Siswa Ogos 2009.


Pada tahun 2011, saya menulis sebuah lagi esei bertemakan kemerdekaan - yang bertajuk 'Memaknakan Kemerdekaan' untuk Pertandingan Menulis Esei Kemerdekaan anjuran Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Tun Hussein Onn. Alhamdulillah, esei tersebut memenangi tempat pertama. 


Sebagai seorang yang dilahirkan dengan terus menghirup udara segar kemerdekaan, saya cuba untuk menyatakan harapan terhadap kelangsungan kemerdekaan yang sedang kita warisi. 


Oleh itu, baru-baru ini - dalam Forum Kemerdekaan anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP), IPG Kampus Tun Hussein Onn - saya cuba untuk menyahut cabaran dengan membicarakan tentang polemik 'Orang Muda Tidak Patriotik?' Terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi menjadi ahli panel dan penonton.





Saya melontarkan perspektif berdasarkan apa yang saya perhatikan. Dan saya secara peribadi mendefinisikan patriotik sebagai - keinginan yang tinggi untuk bersama-sama membina negara (baca: ummah) dan masa depan yang lebih baik.


Polemik 'Orang Muda Tidak Patriotik?' saya kaitkan dengan faktor generasi Y yang membesar dalam iklim dunia teknologi yang serba mudah dan segera. 


Kami turut membicarakan tentang  kepentingan sikap patriotik, ancaman dalaman yang dihadapi dan usaha yang boleh dipergiatkan untuk membina masa depan negara (baca: ummah) yang lebih baik. 


Saya berpandangan bahawa kita perlu kembali menguliti bahan-bahan sejarah untuk mencari jati diri. Lawatan ke tempat-tempat bersejarah tidak seharusnya sekadar cukup dengan sesi bergambar semata-mata, tetapi apa yang lebih penting adalah kita perlu mencari 'roh keberanian pejuang.' Belajar daripada sejarah tidak bermakna kita mengundur tapak ke belakang, sebaliknya sejarah menjadi landasan untuk kita mara ke hadapan.


Saya cukup terkesan tatkala membaca bahan-bahan sejarah berkaitan perjuangan sesuatu bangsa, terutamanya dalam konteks Malaysia - susur galur perjuangan menggapai kemerdekaan daripada kolonialis rakus sejak ratusan tahun yang lalu. Ribuan jiwa telah terkorban untuk kemerdekaan kita ini.


Dalam pemerhatian saya juga, faktor jihad kurang diperkatakan apabila topik kemerdekaan dibicarakan. Soal nasionalisme lebih banyak ditekankan. Walhal - jihad dalam Islam adalah penyuntik energi perjuangan kemerdekaan untuk membebaskan diri daripada penjajahan kuffar.


Beberapa buah buku yan berada dalam koleksi saya - antaranya Ulama Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan (Riduan Mohamad Nor, Mohd Fadli Ghani), novel Nostalgia Padang (Dzulkarnain Ithnin) dan novel Tok Janggut; Pahlawan Kelantan (Abdul Latip Talib) - adalah buku yang mampu membangkitkan ingatan saya terhadap perjuangan kental para pejuang.


Bagi saya - adalah satu keperluan buat kita semua menjadikan kemerdekaan yang diwarisi ini memiliki rohnya yang  tersendiri. Adalah amat malang sekiranya kemerdekaan hanya disambut secara bersorak-sorai di Dataran Merdeka saban tahun tanpa kita memahami akan makna kemerdekaan yang sebenarnya. (Betapa apa yang lebih penting - bukan kehidupan di dunia semata, tetapi kehidupan di negeri abadi)


Persoalannya - sejauh mana kita sudi  menjadi penyelesai masalah dan bukannya sebahagian daripada masalah.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum.

Satu tulisan yang menarik dan menggugah perasaan. Sehalusnya, saya setuju dengan pendapat yang dilontarkan. Rentetan persejarahan Malaysia, persis menganaktirikan proses dakwah dalam perjuangan kemerdekaan. Seolah-olah hanya golongan sosialis sahaja yang memperjuangkan hak kemerdekaan daripada kolonialis British. Sedangkan, difahamkan ilham tuntutan kemerdekaan ialah usaha sama antara golongan agamawan.

Wallahualam

Syukri Sapuan berkata...



Waalaikumussalam.

Terima kasih Fathul atas komentarnya. InsyaAllah, satu hari nanti saya akan cuba cari masa untuk tulis entri berkenaan perjuangan kemerdekaan oleh pihak agamawan.

Related Posts with Thumbnails