Jumaat, November 02, 2012

Puisi: Rahsia Musafir


Puisi
Rahsia Musafir


Hidup yang serba tergesa-gesa
adalah perjalanan musafir angkuh
yang kerap keliru di persimpangan waktu,
antara lorong yang kabur titik penghujung
serta masa yang menyita usia.


Seorang musafir sudah letih
menafsir mimpinya yang bercelaru
pada lembaran peta zaman.


Manusiawi tenat yang meronta
mengadu gelisah di hamparan hari
kesunyian dalam kegamatan,
keterasingan dalam keriuhan,
kesepian dalam keramaian,
adalah empangan jiwa yang melemaskan
suara sukmanya yang pinta didengar
pada tiap-tiap perkelanaan.


Betapa yang ingin ditemui
sebelum tiba penghujung destinasi
ialah makna hakikat insani.


Kawan,
memilih menjadi musafir
bermakna mencampakkan sebongkah tenang
ke denai rusuh dan resah
yang sarat kekhuatiran
namun lekas mendewasakan.


Syukri Sapuan
Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar.

Tunas Cipta Oktober 2012



***


Saya menulis puisi ini ketika dalam transit panjang di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar - sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Singapura daripada Madinah Al-Munawarah. Ketika ahli jemaah yang lain menghabiskan sisa masa dengan berbual-bual sesama sendiri, berjalan dari kedai ke kedai atau cuba melelapkan mata yang diserang kantuk, saya memilih untuk berada di satu sudut lain - menulis dengan pena pada lembaran kertas.


Entah mengapa - pengalaman sewaktu berada di 3 buah kota di luar Malaysia; iaitu  Aceh (Indonesia), Singapura dan Jeddah menerkam fikiran. Peluang bermusafir di negeri asing ini memberi saya peluang untuk melihat dunia daripada sudut yang berbeza.


Berjumpa dengan manusia daripada pelbagai latar agama, bangsa dan budaya memberi satu ruang buat saya meneliti diri. Misalnya, bertemu Pak Agus yang budiman di Banda Aceh, duduk bersila dan berbual bersama lelaki Algeria di Masjid Nabawi (dalam bahasa ayam dan itik), serta bertanya arah jalan pada wanita Indonesia ketika sesat seorang diri di Kota Singa.



Menjadi orang dagang dalam jumlah yang kecil- serta tertakhluk pada undang-undang manusia di wilayah berbeza - membuatkan kita menjadi lebih berhati-hati dan  berwaspada. Dan rasa kebergantungan kepada Allah menjadi tinggi melangit. 


Kita dipaksa memilih salah satu jalan, dan kita mesti memilihnya. Tiada jalan lain. Dan akhirnya kita menjadi manusia yang didewasakan pengalaman.


Kita boleh memilih jalan senang dan akhirnya tidak berkembang.


Betapa - kehidupan manusia yang sering ditamsilkan sebagai permusafiran ke negeri abadi akan menjadi lebih bererti andai makna hakikat insani dapat ditemui sebelum tiba penghujung destinasi.


Kitakah manusia gelisah yang selalu mengadu  keterasingan dalam keriuhan ramai?

2 ulasan:

serai wangi berkata...

Hakikat insani. Maksudnya apa?

Tetamu Istimewa berkata...

Tahniah dengan tersiarnya puisi ini. Moga terus berkongsi dan melakar ilham.

Related Posts with Thumbnails