Cuti semester sudah bermula kira-kira seminggu dan masih berbaki 6 minggu. Kehadiran cuti panjang ini memberi bermakna - saya mempunyai lebih banyak masa untuk keluar daripada rutin kuliah dan melakukan aktiviti bebas.
Membaca kembali azam yang dipasakkan tika melangkah ke tahun baru, sambil menoleh 11 bulan yang telah berlalu, saya rasakan ada banyak lagi aspek yang boleh diperbaiki.
Tahun 2012 - saya kira tahun yang agak padat dan bermakna, namun kelesuan masih menghantui.
Daripada aspek penulisan, sebanyak 9 karya menembusi media - meliputi 3 rencana, 4 puisi dan 2 cerpen, selain sebuah puisi memenangi Sayembara Mengarang Puisi Negeri Johor 2012. Jumlah ini saya kira masih jauh dari sasarannya, gara-gara kelesuan minda dan kemalasan untuk berfikir secara kreatif & kritis (kemandulan minda?)
Sepanjang tahun 2012, saya melanggan 4 buah majalah (Dewan Masyarakat, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Libur) , selain membeli buku, novel dan majalah-majalah lain (Dewan Sastera, Milinea Muslim, Solusi) bergantung kepada isu yang ditampilkan. Adapun (antara) kelemahan ketara saya ialah kegagalan untuk habis membaca sebahagian buku tersebut dan melakukan pembacaan secara lebih kritikal.
Mungkin - kegagalan saya ini ada kaitannya dengan kepadatan jadual hidup sepanjang 2 semester ini. Saya mewakili kampus ke Pertandingan Pidato Integriti Antara Institut Pendidikan Guru Malaysia dan Pertandingan Debat Perpaduan Antara Institut Pendidikan Guru Malaysia pada April 2012. Selain itu, hujung-hujung minggu selalu terisi dengan aktiviti anjuran NGO dan lain-lain. Saya mengemudi Exco Pendidikan, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar 2011/2013 dan beberapa program telah kami anjurkan.
Ketika cuti pertengahan semester, Alhamdulillah - saya berpeluang mengerjakan umrah dan ziarah Madinah. Satu perjalanan rohani yang punyai ceritanya yang tersendiri.
Sekiranya tahun 2011 diakhiri dengan kembara ke Banda Aceh, Indonesia - InsyaAllah, sebagai penutup tahun 2012, saya sedang merancang kembara ke salah satu ibu negara di Asia Tenggara.
Terima kasih kepada diari yang sering menjadi ruang untuk saya mencongak strategi dan mengatur perancangan. Saya percaya - hidup perlukan matlamat agar kita dapat mengambil langkah yang padu untuk memenuhi impian peribadi, selain agar hidup terasa lebih berisi dan bukan berlalu tanpa membawa sebarang erti.
Menjelang tahun baru, ada beberapa perkara perlu saya fikirkan bagi memaknakan tahun 2013. Lompong-lompong perlu diisi. Langkah perlu diperkemas dan momentum perlu ditingkatkan. Masih terlalu jauh diri ini jikalau hendak dibandingkan dengan penanda aras yang lain.
#Tekad2013. Anda tentukan.
3 ulasan:
Tahniah saya ucapkan saudara syukri. Moga terus lestari dalam dunia penulisan dan perguruan nanti.
Saudara Syukri, majalah DBP langganan bulan November 2012 sudah sampai ke?
Tetamu Istimewa:
Terima kasih atas ucapan dan doanya.
Saya ada program di luar daerah, tapi saya rasa setakat ni majalah tu belum sampai rumah lagi.
Catat Ulasan