Pagi pertama di Bangkok - kami bergegas bangun dan bersiap sedia untuk memulakan misi menjelajah kota metropolitan.
Kami mendaftar keluar daripada Premier Inn dan berjalan kaki - berpandukan GPS dan peta untuk ke tempat penginapan yang lain - yang lebih dekat dengan stesen BTS (Bangkok Mass Transit System)
Berdasarkan saranan di internet, kami mendaftar masuk ke De Talak Hostel di 14/33 Soi Paisingtoh, Rama 4. Hostel ini terletak dalam lingkungan jarak pejalan kaki dengan stesen MRT Queen Sirikij Convention Center.
Rancangan kami untuk hari kedua ialah untuk ke Ayutthaya - kota kemegahan Siam lama yang diasaskan sekitar tahun 1350 - terletak 85 km dari Bangkok. Ia telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Terdapat pelbagai cara untuk ke sana - dan kami memilih untuk menaiki kenderaan yang paling murah - dengan kereta api. Dari stesen MRT berhampiran hostel, kami bergerak dengan subway menuju ke stesen MRT Hua Lamphong.
Seperti mana prosedur yang perlu dilalui semasa di Lee Garden Plaza, setiap pengguna yang ingin memasuki mana-mana stesen MRT perlu melalui mesin pengimbas dan beg akan diperiksa. Jangkaan saya - untuk mengelakkan kes letupan di kawasan tumpuan orang ramai.
Kami tiba di stesen MRT Hua Lamphong dan stesen kereta api Hua Lamphong yang terletak berhampiran dengannya. Berada di stesen kereta api Hua Lamphong mengingatkan saya kepada pengalaman berada di London Paddington station pada Mac 2013.
Rekabentuk bangunannya hampir serupa - besar dan megah serta peranannya yang menjadi pusat keretapi utama di bandar masing-masing. Stesen kereta api Hua Lamphong ialah stesen kereta api utama di Bangkok dengan 14 platform yang menghubungkan wilayah utara, selatan dan timur Thailand.
Stesen kereta api Hua Lamphong |
Kami membeli tiket kelas ketiga di kaunter dengan harga 20 bath. Ditulis di situ - masa perjalanan selama 1 jam 20 minit. Kami menaiki gerabak dengan tiket tanpa nombor tempat duduk. Kereta api bergerak perlahan, tidak memecut laju dan kerap berhenti di stesen-stesen. Di kebanyakan stesen, ada penjaja yang naik ke atas gerabak dengan membimbit raga untuk menjual makanan dan minuman.
Tiket RM2 |
Dari Hua Lamphong - kami perlahan-lahan bergerak meninggalkan wilayah utama Bangkok dan menuju ke Ayutthaya - melintasi bangunan pencakar langit yang serba gagah, kawasan industri yang melepaskan asap-asap hitam, wilayah setinggan yang melarat dan sawah padi yang menghijau. Kami menikmati pemandangan yang ada di kiri dan kanan landasan.
Menaiki kereta api dan merenung jauh-jauh ke luar jendela ialah detik penuh nostalgia yang bisa mengingatkan kepada lirik lagu penyair terkenal Indonesia, Ebiet G Ade dalam Berita Kepada Kawan -
Perjalanan ini
Terasa sangat menyedihkan
Sayang engkau tak duduk
Di sampingku kawan
Banyak cerita
Yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering bebatuan
Pemandangan sawah padi |
Kami akhirnya tiba di stesen kereta api Ayutthaya selepas 2 jam di dalam kereta api. Ayuttaya ialah sebuah wilayah seperti pulau yang terkepung dengan 3 batang sungai. Stesen kereta api terletak di luar kawasan 'pulau' dan pelawat perlu menyeberangi jambatan.
Selamat tiba di Ayutthaya |
Kami menaiki tuk-tuk dengan bayaran 20 bath setiap seorang untuk ke Elephantstay, kawasan pemeliharaan gajah. Pengunjung berpeluang untuk menaiki gajah dan bergambar dengannya.
Dari Elephantstay, kami berjalan kaki melihat wat-wat yang ada di kawasan sekitar. Wat-wat yang ada di sini telah dibina untuk tempoh masa yang lama dan mungkin boleh memberikan pengunjung sedikit gambaran tentang sejarah, budaya serta kepercayaan masyarakat Siam.
Terdapat juga Ayutthaya Historical Study Centre di Rojana Rd yang dapat memberi gambaran tentang sejarah Ayuttaya. Walaubagaimanapun - kerana kesuntukan masa kami tidak berkesempatan untuk ke sana.
Berdasarkan maklumat di internet, terdapat komuniti muslim dan masjid di Ayutthaya. Kami berjalan kaki dan cuba mencari arah jalan untuk ke sana berpandukan peta, namun sesat. Akhirnya - kami menaiki tuk-tuk yang banyak menunggu di tepi-tepi jalan. Masalah komunikasi menjadi satu lagi cabaran kerana rata-rata pemandu tuk-tuk di sana kurang mahir berbahasa Inggeris. Kami menggunakan bahasa badan, menunjukkan gambar, melukis pada peta dan sebagainya untuk berkomunikasi - mengingatkan kami kepada pengalaman sewaktu di Vientiane, Laos.
Pemandu tuk-tuk menghantar kami ke sebuah masjid. Masjid dua tingkat dengan ruang solat di tingkat atas itu sunyi dan tidak berpenghuni tika kami datang. Ruang solatnya kemas, bersih dan teratur. Seterusnya, kami meminta pemandu tuk-tuk menghantar kami ke restoran makanan muslim.
Ruang solat |
Di restoran tersebut, sekali lagi berlaku masalah komunikasi. Mujur ada seorang pelajar universiti dari Yala yang pandai berbahasa Melayu sedang makan di restoran tersebut yang menjadi penterjemah.
Selepas menjamu selera dengan nasi gomok, kami menaiki tuk-tuk ke Ayuttaya floating market. Pasar terapung ini bukanlah pasar yang asli dan lebih bersifat komersial untuk pelancongan. Terdapat pelbagai barangan cenderahati yang dijual di sini. Pengunjung juga berpeluang menaiki bot untuk melawat sekitar kawasan pasar dengan harga 20 bath.
Menaiki bot di floating market |
Lewat petang, kami kembali ke stesen kereta api Ayuttaya untuk pulang ke ibu kota. Kami menikmati sekali lagi perjalanan kereta api selama 2 jam dan tiba di Hua Lamphong tatkala senja.
Ruang menunggu stesen kereta api Ayutthaya |
Malam kedua - atas saranan seorang kawan, kami ke pusat membeli-belah di sekitar Bangkok - melihat barangan yang dijual serta memerhatikan ragam manusia. Kami berhenti di stesen MRT Asok dan masuk ke pusat membeli-belah Terminal 21. Sekali lagi - setiap pengunjung perlu melalui mesin pengimbas dan beg akan diperiksa.
Terminal 21 |
Konsep pintu ketibaan di lapangan terbang yang memisahkan tingkat-tingkat |
Terminal 21 ialah sebuah pusat membeli-belah setinggi 9 tingkat yang setiap tingkatnya didekorasi berdasarkan tema-tema negara tertentu seperti Rome, Paris, Tokyo, London dan sebagainya. Contohnya, di tingkat kedua yang bertemakan London - ada dekorasi iconic red telephone boxes, London's double-decker busses, Tower Bridge dan Union Jack Flag.
Kami merayau ke beberapa lokasi membeli-belah berhampiran dan pulang ke hostel saat malam masih muda.
1 ulasan:
wah best ko dpt pi ayutthaya..aku xdpt pi sne sbb xsmpt.. xpe pengalaman ko dan aku mungkin berbeza tapi mengujakan.. yg penting matlamat kita sama, mencari kebesaran illahi :)
Catat Ulasan