Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang (SBPUBK) ialah himpunan artikel tulisan sdr. Zul Fikri Zamir berkaitan kritikan terhadap pendidikan, politik dan sosiobudaya. SBPUBK diterbitkan oleh DuBook Press dengan kata pengantar oleh Faisal Tehrani.
Saya mengenali susuk nama penulis sebelum buku ini dilancarkan, melalui rencana-rencana yang disiarkan di portal berita The Malaysian Insider. Justeru, beberapa artikel beliau di dalam SBPUBK telah pun saya baca sebelum ini. Ketika video peristiwa Kak Sharifah Zohra Listen berjejeran di garis masa media sosial, sdr Zul Fikri menulis sebuah artikel di portal Projek Dialog dan artikel tersebut mendapat respon yang cukup hangat daripada pembaca.
Tajuk buku yang catchy - memungkinkan khalayak tertarik untuk terus membelek dari kulit ke kulit. Tulisannya dibahagikan kepada empat tema iaitu Mahasiswa dan Kebebasan Akademik, Pendidikan Nasional, Politik & Sosial dan Kritik Teater. Membaca pada judul bukunya - pasti ramai yang menyangka bahawa buku ini berkisar tentang sistem pendidikan formal semata, walhal penulis membawa pembaca merenung sisi-sisi lain kehidupan yang turut memberi kesan kepada pemikiran dan tindakan. Contohnya, kritikan terhadap jati diri, budaya berfikir generasi Y; dan betapa teknologi yang memudahkan tak semestinya memandaikan pengguna.
Hal pendidikan merupakan perkara besar yang memiliki daya tarikan untuk terus dibincangkan; dan boleh dilihat dari kaca mata yang pelbagai - sama ada di pihak pemerintah yang menerima mandat, kementerian & jabatan bertanggugjawab, guru-guru pelaksana dasar, murid-murid (tikus putih?), ibu bapa, pihak industri, masyarakat dan pelbagai lagi. Semua pihak mempunyai sudut pandang tersendiri untuk menyuarakan pandangan.
Intipati utama buku ini dapat disimpulkan pada perenggan berkenaan fungsi mahasiswa. Penulis percaya bahawa ilmu yang terbaik ialah ilmu yang kembali kepada masyarakat. Oleh yang demikian, graduan paling bermanfaat ialah graduan yang kembali kepada masyarakat untuk menyelesaikan 1001 masalah negara. Seterusnya, penulis menyarankan pembaca agar menghayati fungsi sebenar mahasiswa - iaitu melibatkan diri dengan keputusan kerajaan serta memperkasa masyarakat dengan melengkapkan diri dengan isu semasa, masalah sosial, isu masyarakat marginal serta golongan tertindas.
Selaku penghuni dunia pendidikan, saya melihat kewajaran pada premis yang dikemukakan. Pengalaman selama 7 tahun di dalam organisasi arus perdana (baca: main stream) di 3 institusi pendidikan telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat, bekerja dan bercampur dengan dengan pelbagai jenis manusia - dari pelbagai ragam, latar belakang, kecenderungan, jalur pemikiran dan seumpamanya.
Dan lazimnya, apa yang saya cari daripada pertemuaan-pertemuan ini ialah manusia yang mampu untuk menyatakan sikap, berani mengambil risiko, mampu mengurus perbezaan, cekap membuat pilihan, memiliki ketenangan dalaman, berdaya saing, tak mementingkan diri dan berfungsi di dalam komuniti.
Tujuan pendidikan - pada pandangan saya; ialah melahirkan manusia yang memiliki cita-cita dan obsesi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Berdasarkan pemerhatian - terdapat kecenderungan dalam kalangan graduan 'Universiti facebook & twitter' (baca: pengguna tegar media sosial) untuk tidak menggemari perbahasan berat, tidak membaca secara kritis, gagal membaca di dalam konteks dan hanya lincah menulis di papan kekunci. Walhal - medan buat lebih luas daripada medan cakap. Dan lebih malang lagi, media sosial menjadi satu-satunya jendela untuk mereka melihat dunia.
Pendidikan tanpa penerapan nilai dan pemujaan pada material cuma akan melahirkan warganegara tanpa jiwa. Saya percaya kepada peranan agama, bahasa, sastera, budaya, falsafah dan sejarah untuk membentuk insan yang miliki jati diri dan memahami makna kehidupan. Malangnya, andai cuma perkara-perkara yang ditanya di dalam peperiksaan yang menjadi rutin harian, adakah kita miliki peluang untuk mendalami dan merenung dalam-dalam ke dalam diri - apakah sebenarnya akar jati diri ini?
Kerana itu sebenarnya terdetik kerisauan; tatkala melihat angka statistik-statistik yang mencanak naik dalam kalangan warga muda. Contohnya; peratusan kes penceraian, kes kesihatan mental, kes jenayah juvana serta kes muflis. Adakah sebenarnya pendidikan kita gagal membentuk insan?
Selain soal pendidikan, sdr Zul Fikri dalam SBPUBK turut menyuarakan pandangannya berkenaan hal-hal politik semasa - terutama pada bab politik dan sosial. Antara yang disentuh isu air di Selangor, BERSIH 3.0, kejatuhan mata wang Euro di Eropah dan kontroversi Mat Indera.
Saya percaya bahawa masa depan yang mencabar ialah milik kita semua. Tugas mengurus Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, taraf sosioekonomi dan jalur pemikiran - suatu hari nanti akan diserahkan jua pada generasi hari ini. Terlalu banyak jurang yang perlu dirapatkan. Saya masih percaya pada peranan politik (walau kadang-kadang skeptikal), dan dalam masa yang sama NGO dan masyarakat sivil perlu berperanan mengisi ruang ketiga.
Seperkara yang menarik perhatian saya ialah keprihatinan penulis untuk menyuarakan pandangannya terhadap sistem di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang pernah beliau duduki. Walaupun sesetengah pandangan penulis agak liar dan buas, saya menganggap bahawa kritikan tersebut lahir daripada kaca mata graduan IPG yang ingin melihat sistem IPG sentiasa ditambah baik dan penaiktarafannya tidak bersifat kosmetik semata-mata.
Dalam sesetengah isu yang diketengahkan, saya berpandangan bahawa contoh kes yang diberikan hanya berlaku di sebilangan kampus dan tidak mewakili keseluruhan sistem IPG. Berdasarkan perbincangan bersama pimpinan di beberapa IPG, saya dapat membuat kesimpulan bahawa gaya kepimpinan pihak atasan akan mempengaruhi corak perjalanan di kampus. Bukan semua IPG peraturannya ketat dan bukan semua HEP menghalang buat begitu dan begini.
Pun begitu, saya bersetuju dengan penulis dalam beberapa perkara, terutama tentang idealisme yang perlu dimililki oleh IPG. IPG perlu segera menjalani perubahan setaraf dengan misinya - Melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik melalui program pembangunan guru yang dinamik ke arah pendidikan sekolah bertaraf dunia.
Pada pandangan saya, ada beberapa cabaran yang dihadapi oleh IPG, ataupun lebih tepat lagi mahasiswa di IPG. Pertama, pengambilan terus mahasiswa daripada sekolah selepas SPM - mungkin menyebabkan IPG sejak sekian lama masih terikut-ikut pada budaya di sekolah/asrama. Ini disebabkan mereka tidak dapat menjenguk ke persekitaran luar bidang pendidikan. Yang kedua, kekangan kuliah yang padat daripada pagi hingga ke petang menyebabkan mahasiswa letih dengan rutin seharian. Yang ketiga, jaminan penempatan selepas tamat pengajian (walaupun ada polemik mengatakan begitu dan begini) yang mungkin menyebabkan mahasiswa bersikap ala kadar dan tiada inisiatif untuk memajukan diri. Mana-mana program/projek yang tidak terkandung di dalam pra-forma/silibus amat sukar untuk mendapat khalayaknya. Betapa kadang-kadang, kehidupan berorientasikan markah ini menyerabutkan.
Saya tidak pernah belajar universiti. Pengalaman melihat 'dunia luar' saya sebelum ini mungkin cuma di sebuah kolej persediaan di Selangor pada tahun 2008-2010. Maka tidaklah dapat saya membuat pertimbangan yang setara untuk membanding bezakan sistem IPG dan universiti.
Kepada teman-teman daripada IPG yang membaca tulisan ini, anggaplah tulisan yang dikemukakan sebagai satu cabaran untuk mempertingkatkan potensi diri. Tempoh masa latihan selama 5 tahun setengah secara relatifnya sememangnya pendek jika hendek dibandingkan dengan usia perkhidmatan yang boleh menjangkau lebih 30 tahun nanti. Namun tempoh persediaan ini amat penting untuk membina diri. Bagaimanakah agaknya pendidik yang kontang fikirannya mampu mengalirkan empangan intelek untuk ditadah oleh anak muridnya yang dahagakan ilmu?
Sistem menjadi penjara kerana kita yang kadang-kadang memilih untuk memenjarakan diri. Peluang terbentang luas tetapi yang kita lakukan cuma menelurkan alasan untuk sebuah eskapisme. Betapa - kerja mengubah sudut pandang ini bukan satu tugas yang senang.
Membaca Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang - fikiran saya terkenang-kenang kepada beberapa bahan bacaan. Mungkin boleh disyorkan sebagai bahan tambahan. Untuk buku, saya terkenang pada buku Minda Tertawan tulisan Raja Ahmad Aminullah dan Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad tulisan Dr Riduan Mohd Nor. Juga pada pengisian kuliah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.
Untuk bahan bacaan di internet, saya sarankan dua artikel tambahan. Pertama - artikel 'Timbunan Mayat pada Hari Konvo' di MarwanBukhari.com dan 'Sindrom Mediocrity Dalam Sastera' tulisan SM Zakir.
Saya percaya bahawa kita miliki banyak cara dan alternatif untuk bertindak. Telah saya pilih jalan saya sendiri. Apalah gunanya berterusan menyumpah kegelapan, tapi diri sendiri tak mampu menyalakan cahaya untuk menerangi persekitaran.
Indoktrinasi di mana-mana. Bezanya cuma, kita pilih untuk jadi mangsa yang bagaimana?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan