Selasa, November 05, 2013

Catatan tentang Hadiah Sastera Darul Ta'zim kesembilan 2013


Jumaat lepas - ialah hari penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta'zim kesembilan untuk tahun 2013. Dan Alhamdulillah, sebuah karya saya merangkul HSDT 2013 untuk kategori cerpen eceran. 


Saya menyemak kembali dokumen-dokumen lama. Untuk HSDT 2013,  saya menghantar 6 karya untuk penilaian - 5 puisi dan sebuah cerpen yang disiarkan di media sepanjang tahun 2011 & 2012. Saya tidaklah meletakkan harapan yang menggunung tinggi memandangkan Johor miliki ramai karyawan mapan. Cuma mahu cuba-cuba sahaja tanpa menyangka ada rezeki yang tiba.




Cerpen 'Jalan Keluar Untuk Mangsa' yang menang kali ini disiarkan di Tunas Cipta Jun 2012. Temanya tentang mangsa budaya. Saya cuma menulis kembali monolog-monolog yang bersipongang di jiwa tatkala melihat satu demi satu akar jati diri mereput. Globalisasi datang dan kita langsung tidak membina tembok.


Memasuki kira-kira tahun kelima kepengarangan (saya bermula dengan Minggu Penulis Remaja 2009), saya akui bahawa momentum saya tidaklah begitu mantap. Kadang-kala lesu dan ada juga turun naiknya. Masih ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki dan fokuskan.


Tahun 2013; tahun yang agak meletihkan - dengan tugas-tugas organisasi, praktikum, birokrasi dan seumpama dengannya. Pun begitu, ini semua saya anggap sebagai latihan mengurus waktu dan keutamaan untuk keperluan masa hadapan.


Dan saya sedang mengumpul kekuatan.




Selain penyampaian hadiah, turut dilancarkan ialah antologi pemenang untuk Hadiah Sastera Darul Ta'zim kelapan 2011. Judulnya kali ini - Tanah Amanah, mengambil nama salah satu puisi eceran yang menang pada tahun tersebut.


Salah satu puisi saya - Kalau Kau Fahami Bahasa Rindu yang menang dalam kategori puisi bawah 19 tahun turut dimuatkan dalam antologi tersebut. 


Banyak kenangan pada puisi ini - termasuk menjadi batu tanda mula saya dalam dunia kepengarangan. Puisi ini merupakan karya pertama saya yang disiarkan di media - iaitu di Mingguan Malaysia pada 3 Mei 2009. 




Untuk cuti semester yang bakal tiba, ada beberapa tugasan yang perlu diselesaikan. Salah satunya -  tugasan susulan  Projek Kembara Penulis Muda ke United Kingdom pada Mac 2013.


Masih ada perjuangan yang belum selesai.

5 ulasan:

wanariahamiza berkata...

Tahniah abang Syukri. Jom kita sama-sama siapkan projek dengan segera. :)

Najwa Najihah berkata...

Tahniah teman. :)

Tetamu Istimewa berkata...

Tahniah saya ucapkan atas kemenangan ini.

Shukri Mohd Ali berkata...

tahniah saudara! hebat. saya cemburu :)

saya masih ingat pertemuan di DBP minggu lalu, bahawa kita sudah lesu dan biarlah budak-budak muda baru nak up menulis. amboi, rupanya nak menang anugerah ya. sampai hati tak beritahu :D

maaf ketika itu tak berapa nak meluangkan masa. sebenarnya agak stress dengan tugasan kuliah kerana memerlukan saya fokus sepanjang seminar diadakan. fikiran langsung melayang. huh. maaf.

moga terus lestari :)

Syukri Sapuan berkata...



Hanif: terima kasih. jom, 3 bulan lagi. hehe


Najwa & tetamu: terima kasih


Shukri: terima kasih. haritu segan la nak beritahu :p selamat maju jaya juga untuk anda. majulah penyair romantis ;)

Related Posts with Thumbnails