Jumaat, Jun 26, 2009

Tentang kejanggalan.


sudah hampir 2 minggu tidak mengupdate blog.


Lihat, SPAM pun sudah berlambak mengisi kotak shoutbox.


Entahlah. tak tahu nak tulis tentang apa lagi. hilang mood tiba-tiba.


hadoi~


semester 2 dah habis. yes2~ masa sangat cepat berlalu. pejam, celik, pejam. sudah habis. sangat pantas. bagai jet pejuang yang meluncur laju. hadeh, metafora yang kurang berkesan.


selamat tinggal para senior sekalian. anda semua adalah senior2 yang baik belaka. trimas2~


beberapa hari sebelum semester dua melabuhkan tirainya, banyak peristiwa/ program berlaku di kolej.


program motivasi perdana di pantai dalam kelolaan rakan intelek muscom mengisi hari saya pada 13 jun. menarik2. saya digandingkan bersama saudara furqan untuk menjadi fasilitator pelajar2 menengah rendah. mereka agak diam membisu sebenarnya. fasilitator saja yang banyak cakap. haha~. kasihan mereka. laporan tentang program tersebut ada ditulis di blog muscom.


seterusnya, ada beberapa siri ceramah di musolla As-saad di minggu terakhir semester dua. pertama, ceramah tentang ESQ 165. memang agak menarik. saya ada mengikuti beberapa siri tulisan tentang program tersebut di akhbar dan majalah. paling saya ingati, penulis kegemaran saya, Abd Jalil Ali beria-ria mempromosikan program tersebut dalam anekdotnya akhir2 ini. kesimpulannya, program itu memang menarik, tapi kos untuk menyertainya memang agak tinggi.


Ustaz hasarizal datang di kolej pada 18 Jun, berdiskusi tentang buku terbarunya. Bercinta sampai ke syurga, sekuel aku terima nikahnya.


Malam ceramah ustaz hasarizal, ada jamuan perpisahan house pula. rumah kesayangan kami, diamond, makan2 di tepi kolam renang. tahniah kepada semua yang berusaha keras untuk menjayakan acara tersebut.


malam keesokan harinya, majlis wida di surau. terima kasih kepada semua yang hadir. tahniah juga pada tuan pengarah program, encik syawal & cik umu atas kerja keras kalian.


20 Jun, award day. tetamu istimewa kami, Raja Muda Perak bersama pasangannya. tahniah kepada senior2 yang bergraduasi dan yang menerima anugerah kecemerlangan.


kesimpulannya, minggu terakhir semester dua saya agak sibuk. Saya perlu kerja keras lagi untuk dua lagi baki semester di KYUEM.


oklah. saya rasa cukup janggal menulis dengan slanga begini.

Jumaat, Jun 12, 2009

Tempat jatuh lagikan dikenang (2)



Beberapa hari yang lalu kolej saya ketiadaan bekalan elektrik. Tidak tahulah apa sebabnya.


Maka, terpaksalah kelas pada waktu petang dibatalkan.


Sebagai seorang pelajar yang selalu ingin bersenang-lenang, secara jujurnya saya gembira dengan perkhabaran pembatalan kelas tersebut.


Iyelah, tak kan kami mahu belajar di dalam kelas yang panasnya membahang. Alasan tipikal yang jelas tidak jujur.


Ketiadaan elektrik menyebabkan sekalian pelajar kolej tidak senang duduk gara-gara sistem pendingin hawa tidak berfungsi. Internet juga tidak boleh dilayari kerana sistem pemancar juga perlukan sumber elektrik untuk beroperasi.



Mengenangkan keadaan ketiadaan elektrik tersebut, ingatan saya cepat-cepat terimbau pada suasana di sekolah lama saya dahulu.


Selalu saja asrama dahulu kami mengalami ketiadaan air dan elektrik. Sangat indah jika mahu dikenangkan semula.


Saya pun tidak tahulah mengapa selalu saja kami mengalami ketiadaan air. Menurut satu versi cerita, warden sengaja menutup paip tangki agar air yang disalurkan menjadi kecil. Kesannya pelajar akan segera pulang riadah dan mandi lebih awal kerana mereka tahu air bertekanan rendah. Maka, tempoh beratur akan menjadi lebih panjang. Pelajar akan menjadi lebih berdisiplin kerana mereka akan mengatur masa dengan lebih baik.


Saya pun tidak tahulah hakikat kebenaran cerita ini. Mungkin saya juga akan menggunakan cara yang sama seandainya dilantik sebagai warden suatu hari nanti.


Mungkin juga air bertekanan rendah kerana sekolah kami di luar bandar. Mungkin juga kerana sistem penyaluran air sudah usang dan perlu diganti dengan yang baru. entahlah. saya hanya membuat andaian.

Selalu sahaja pelajar-pelajar lelaki mandi di surau dan padang.


Pernah juga suatu air di pili paip asrama benar-benar tidak keluar walau setitik pun. Maka kami perlu mandi di sekolah. Kepada yang pernah ke sekolah saya pasti akan tahu struktrur sekolah tersebut. Sekolah tinggi di atas bukit dan asrama di bawah bukit. Untuk sampai ke sekolah perlu melalui laluan pejalan kaki yang panjang. kira-kira 166 buah anak tangga. mencabar bukan?


Terpaksalah kami berbondong-bondongan naik ke sekolah untuk mandi. Jikalau hanya untuk mandi pada waktu petang sudah dikira untung. kalau untuk mandi pagi pula pasti seksa jadinya.


Pelajar perempuan bangun awal kira-kira jam 4 pagi untuk naik ke sekolah dan mandi dengan membawa bersama baldi-baldi dan perkakasan cuci. Mereka naik lebih awal untuk mengelakkan pertembungan dengan pelajar lelaki yang pastinya bangun lebih lewat.



Berkenaan dengan ketiadaan elektrik pula, ada beberapa peristiwa yang masih kekal dalam ingatan saya. Sekolah kami pernah mengalami ketiadaan elektrik yang agak panjang gara-gara manara pencawang elektrik yang berhampiran tumbang.


Pergi bersahur di dewan makan dengan bercahayakan sinar lilin. menarik sekali. ketiadaan elektrik menyebabkan kami teraba-raba mencari arah pulang ke bilik. ketiadaan elektrik pastinya menghalang kami daripada menggosok baju. pengajarannya, jaga baik-baik pakaian dan jangan renyukkannya kerana kita tidak tahu samada esok elektrik ada ataupun tidak.


Duduk di asrama pastinya menuntut ketahanan jiwa dan minda yang kreatif untuk menyelesaikan pelbagai masalah dengan sumber yang terhad. 5 tahun di SM Sains Kota Tinggi adalah begitu bermakna buat saya.


Terima kasih semua yang selalu mengajar saya menjadi dewasa!




Perihal ketiadaan.



Semalam hari terakhir saya menduduki peperiksaan untuk semester ini.


Lega. Tiada ungkapan lain yang mampu saya ucapkan.


Lupakan sebentar hal peperiksaan. Saya mahu bicara berkaitan perkara lain yang lebih menyeronokkan.


Saya kadang-kadang ada niat untuk padamkan saja blog ini. Apabila saya sedar bahawa saya tidak mampu menulis secara konsisten dan membawa gaya penulisan yang sama untuk setiap entri.


Saya tidak mahu beremosi semasa menulis, maka blog ini bukan blog untuk meluahkan perasaan.


Saya tidak hebat berimaginasi. Semasa sekolah menengah dahulu, majoriti karangan semasa peperiksaan adalah karangan fakta. Saya tidak hebat mengarang cereka.


Sudahlah. entri ini pelik. merepek saja~.


saya perlu jadi seorang yang realistik.


noktah.

Ahad, Jun 07, 2009

Hari ini dan semalam.



Sejak zaman-berzaman, saya telah mempunyai satu persepsi negatif terhadap sejenis makanan yang dibuat daripada tepung gandum.


Hidangan tersebut adalah mi.


Ataupun dalam bahasa Inggerisnya, noodle.



Namun persepsi negatif itu hanya saya lemparkan pada mi kasar sahaja. Mi halus ataupun mi hoon tidak termasuk dalam lingkungan kurang gemar ini.



Hal ini kerana, kebanyakan mi kasar yang saya jumpai selalunya rasanya kurang enak jikalau hendak dibandingkan dengan kelompok mi yang lain.


Semasa di asrama dahulu, menu mi kasar ini bukanlah menu kegemaran saya. Entahlah. Saya pun tidak tahu apa sebabnya mi kasar secara relatifnya kurang menggoda selera saya.


Mi kasar lebih tebal berbanding dengan jenis-jenis yang lain. Oleh kerana itu, usaha menggigit memerlukan daya yang lebih. Demikianlah analisis ringkas yang mampu saya fikir kala malam ini.


Jikalau dihidangkan pelbagai jenis mi secara bufet, saya pasti bahawa hidangan mi kasar akan menjadi pilihan terakhir hidangan saya.


Mi kasar mampu menimbulkan trauma sepanjang hidup saya.



Namun, beberapa hari yang lalu persepsi negatif ini telah berubah. Saya secara tidak sengaja telah menjumpai mi kasar yang sedap sewaktu sedang menikmati sarapan di dewan makan kolej. Rasanya menggoda seisi sukma, menggoncang selera saya yang tidak keruan sejak akhir-akhir ini. Mi kasar itu sangat sedap!. Hati saya melompat-lompat keriangan bagaikan baru menyantap hidangan diraja dari istana . Aromanya yang unik membuatkan saya terkinja-kinja riang seorang diri.


Saya pun tidak tahulah apa yang sebenar berlaku. Saya membuat andaian bahawa itu semua adalah tindak balas kimia di dalam tubuh yang keterlaluan gara-gara emosi yang tidak seimbang menjelang musim peperiksaan.


Moga persepsi negatif saya terhadap mi kasar itu akan dapat saya hindarkan selama-lamanya.



Baiklah. Itu kisah saya semalam, hari ini lain pula ceritanya.




Pagi itu saya pergi sarapan seperti biasa. Hendak kunyah makanan, tiba-tiba mulut rasa pedih.




Erk. Sejak bila pulak ada ulser kat dinding pipi ni.



Kewujudan ulser tersebut telah menyukarkan saya untuk menikmati makanan untuk beberapa ketika. Mengunyah hanya gunakan sebelah bahagian sahaja. Jikalau terkena pada bahagian yang luka, rasa pedihnya memang melangit.



Tadi saya buka kamus, tengok apa makna ulser. Kata kamus tu, ini makna ulser. kerosakan pada permukaan atau tisu yang mengakibatkan luka yang lambat pulih.


Ada juga orang di tempat saya yang panggil luka di mulut ini sebagai mata ikan.



Biarkan apa sahaja namanya, saya pasti bahawa ia tetap pedih. Barangkali cuaca sangat panas, dan saya juga kurang minum air. Maka, inilah jadinya.



Semalam saya menikmati mi kasar yang enak.
Hari ini saya menderita ulser di dinding pipi.



Mudah sahaja jika Allah hendak tarik balik nikmat-nikmatnya.


Sabtu, Jun 06, 2009

Seputar seminggu



Letih.


Siang tadi seharian suntuk saya di Midvalley. Kala senja hendak berlabuh, barulah kami pulang ke kolej.


Saya hampir-hampir sudah hendak mengambil tren ke puduraya setelah gagal mencari barangan yang dihajati di sekitar kompleks membeli-belah itu.


Mujur ada kedai majalah berhampiran dengan stesen tren tersebut. Jikalau tidak, pasti perjalanan saya tadi akan lebih meletihkan lagi.


Jikalau bukan kerana mesej yang ditinggalkan oleh saudara Aidil Khalid di shoutbox blog ini, saya pasti tidak akan sedar bahawa puisi saya ada termuat dalam Dewan Siswa Jun 2009. Saya sudah membuat andaian bahawa puisi saya itu sudah di'bakulsampahkan' oleh editor. Iyelah, apalah yang ada pada saya yang tidak punyai nama ini.


Saya menghantar puisi tersebut pada bulan Oktober 2008, semasa bulan Ramadhan tahun lepas. Ilhamnya saya perolehi sewaktu hendak bangun sahur. Puisi tersebut tersiar selepas kira-kira 8 bulan sampul surat beralamat bangunan DBP itu saya masukkan ke dalam peti merah di tepi jalan.



Di penghujung tulisan ini nanti akan saya sertakan puisi tersebut.



Sejak beberapa hari yang lalu, sistem aturan di blog ini sedikit terganggu. Saya tidak dapat mengemas kini entri kerana terdapat masalah pada ruangan penulisan. Kesudahannya, saya mengutarakan permasalahan tersebut kepada Blogger Help Group. Mujur mereka sudi membantu. Terima kasih ya!



Pada Jumaat yang lalu, saya selesai menduduki peperiksaan subjek Ekonomi ( essays & data responses). Kini, saya hanya tinggal satu lagi kertas untuk diduduki sebelum penghujung semester dua melabuhkan tirainya.



Baiklah. Entri kali ini pendek sahaja. Ia buat kalian yang mual dengan entri-entri saya yang panjang berjela.




Ceritera Hening Pagi

Dingin bayu pagi
memeluk jasad kerdil
merantai sendi tubuh
memejam mata pedoman
menggoda insan lemah
lena dalam dakapan mimpi.


Insan lain sudah berlari
berhamburan seisi pelosok bumi
khusyuk tunduk pada Ilahi
mensyukuri nikmat hidup yang sekali
namun kita masih di sini
bergomol di gebar empuk
leka dalam fantasi ciptaan sendiri!


Oktober 2008
Kota Tinggi, Johor.

Dewan Siswa Jun 2009




Related Posts with Thumbnails