Arahan mengosongkan bilik sewaktu cuti semester, walaupun agak (baca: sangat) menyusahkan terutamanya kepada pelajar yang akan balik jauh ke selatan seperti saya- tetap membawa kebaikan andai dilihat pada satu sisi yang lain. Mengosongkan bilik memberi peluang kepada saya untuk meneroka setiap inci bilik dan menjumpai kembali item-item yang saya terlupa di mana atur letaknya.
chalet kyuem: sumber dari google
Majalah-majalah yang dibeli sejak semester satu saya tatap dan selak satu persatu.
Hasilnya, saya telah menjumpai kembali satu artikel menarik, yang bisa membuatkan saya teringat kepada Program Biro Tata Negara (BTN) yang telah saya hadiri beberapa bulan yang lalu.
Seorang rakan dalam kumpulan LDK saya telah membangkitkan isu kebebasan media yang tidak telus sewaktu dalam perbincangan kumpulan. Kami bukannya mengharap satu media yang memiliki kebebasan mutlak, namun jika benar kita mahu mengamalkan demokrasi, mengapa media perdana dikawal sebegitu rupa oleh satu pihak saja?
Saya yang ketika itu kekontangan idea tidak memiliki sebarang hujah konkrit untuk membalas bedilan-bedilan fasilitator kumpulan LDK saya. Sudahnya, perbincangan kami dihabiskan dengan kesimpulan bahawa kebebasan media membawa kemudaratan. ( saya tidak ingat sangat akan konklusi yang disimpulkan, tapi saya tidak bersetuju dengan kesimpulan tersebut- “there are something wrong with the system”, bak kata YB Tian Chua dalam video 15Malaysia- ‘one future’.
Saya bersetuju dengan pengarang artikel ini berkaitan dengan kritikannya terhadap kredibiliti media perdana. Demokrasi itu sendiri membenarkan perbezaan pendapat bukan?
Berikut saya taip kembali artikel tulisan Mior Kamarul Shahid dalam ruangan Mato-mato media (Milinea Muslim April 2008). Milinea Muslim adalah sebuah majalah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Kebolehpercayaan media perdana parah
Oleh: Mior Kamarul Shahid
Sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), media arus perdana nampaknya “bermaharajalela” menyiarkan berita-berita yang ternyata berat sebelah sehingga menimbulkan rasa meluat masyarakat.
Jika tidak sebahagian besar pun berita dan laporan yang disiarkan itu, surat khbar sama ada Berita Harian/Berita Minggu, Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia, The New Straits Times (NST)/Sunday Times, The Star/Sunday Star dan akhbar lain yang mirip kepada parti pemerintah serta stesen-stesen televisyen, mengambil sikap yang ‘pro-kerajaan’.
Segala ruang, hinggakan surat atau forum pembaca pun dijadikan wadah menyokong kerajaan keterlaluan dan menghentam pihak yang menentang kerajaan secara keterlaluan juga.
Sememangnya, beginilah sikap media arus perdana setiap kali pilihan raya diadakan. Semua orang tahu media di Malaysia menyokong parti kerajaan tetapi sokongan yang ditunjukkan oleh mereka kali ini adalah sokongan tanpa taktik atau ‘sokong membawa rebah’.
Laporan dan berita yang menyokong parti dan pemimpin Barisan Nasional (BN) secara keterlaluan dan menghemtam parti dan pemimpin parti lawan secara keterlaluan itu boleh dijadikan hipotesis kajian bahawa inilah punca kemerosotan BN pada PRU-12 pada 8 Mac 2008.
Media arus perdana bertanggungjawab sebagai punca BN gagal mengekalkan kedudukan 2/3 kerusi di parlimen dan tumpas di Selangor, Perak, Kedah, dan Pulau Pinang, selain Kelantan. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, BN tumpas 10 kerusi kecuali di Setiawangsa.
Parti Barisan Alternatif (BA) yang disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP juga bertapak di beberapa negeri termasuk di Johor yang sebelum in mnenjadi benteng terkuat BN dan UMNO.
Di negara-negara demokrasi Barat, media memberi peluang kepada pemimpin parti yang bertanding dalam pilihan raya muncul di televisyen atau memberi ruang untuk berita mengenai parti dan calon-calon mereka disiarkan di media cetak.
Di Malaysia, ia bukanlah sesuatu yang terlalu diharapkan. Parti yang bertanding dalam pilihan raya sedar bahawa mereka tidak ada tempat untuk mereka berkempen menerusi media kerajaan.
Sebaliknya, mereka menggunakan isu liputan media yang berat sebelah ini sebagai salah satu bahan kempen. Mereka mempersoalkan sikap media yang tidak demokratik dalam sebuah negara yang kononnya mengamalkan sistem demokrasi.
Berita mengenai parti dan pemimpin pembangkang hanya disiarkan di kaca TV atau media cetak hanya jika ia memaparkan imej negatif atau yang dianggap boleh menjejaskan reputasi parti atau pemimpin pembangkang dengan matlamat untuk mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap mereka.
Sejak sebelum dari tempoh kebenaran berkempen lagi, usaha mencemuh pembangkang sudah pun bermula. Media mendedahkan keburukan pembangkang bertalu-talu dengan harapan rakyat menolak mereka.
Ini bukanlah peranan media.
Media boleh menyokong kerajaan dengan menonjolkan kebaikan kerajaan tetapi bukan dengan sengaja memburuk-burukkan pemimpin dan parti lawan.
Pengecualian boleh diberikan kepada media yang dimiliki oleh parti. Media seperti ini sama ada ia milik parti pemerintah atau parti lawan bebas menyiarkan apa sahaja berita mengikut etika kewartawanan dan undang-undang negara.
Sebaliknya, media arus perdana tidak harus meletakkan imej mereka ke tahap yang begitu rendah kerana ia membabitkan persoalan kredibiliti.
Apabila ramai orang tidak yakin lagi dengan berita yang disiarkan, ia akan menyebabkan kepercayaan kepada parti dan calon yang mewakili kerajaan, dibenci.
Peranan media adalah untuk mendidik bukan menanam bibit-bibit kebencian terhadap mana-mana pihak. Untuk jangka panjang, itu amat merugikan media itu sendiri.
Sejak hari penamaan calon 24 Februari 2008 lagi, media arus perdana menyiarkan persoalan remeh-temah yang melibatkan parti lawan.
Parti-partil lawan ditonjolkan sebagai bersikap ganas. Isu Yang Dipertua PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang tidak bersalam dengan calon BN diperbesar-besarkan hingga beberapa hari seolah-olah ia adalah isu pokok pilihan raya.
Tindakan media arus perdana seolah-olah menggambarkan mentaliti cetek media berkenaan. Sesiapa sahaja yang membaca berita itu akan bertanya pada diri mereka, apakah peristiwa itu benar-benar berlaku atau media sengaja mengada-ngadakan berita untuk memburukkan parti lawan.
Pada pandangan masyarakat, sekali pun ia benar-benar berlaku, pasti ada sebabnya terutamanya dalam keadaan yang kelam kabut itu.
Apakah ia disengajakan atau pun tidak disengajakan? Apabila penjelasan dibuat, ia tidak diberi ruang oleh media, sebaliknya berita mengenainya dipusing-pusing dan diputar terbalikkan.
Di sebabkan hari ini sudah ada media internet dan blog, orang ramai mula mendapatkan maklumat alternatif dan ada yang menjadikannya sebagai maklumat prima. Mereka tidak lagi membaca atau menonton media arus perdana sebaliknya lebih selesa melayari internet.
Pada mereka media arus perdana tidak lagi boleh dipercayai. Elemen kebolehpercayaan media perdana sudah sampai ke tahap yang amat parah.
Jika mereka benar-benar mahu membantu, mereka sepatutnya menjawab pelbagai persoalan berhubung kenaikan harga barang, tuduhan-tuduhan rasuah terhadap pemimpin tertentu dan sebagainya.
Sebaliknya dengan menfokuskan berita yang tidak releven dalam pilihan raya, rakyat menganggap media cuba lari daripada permasalahan sebenar.
Sepatutnya, media arus perdana perlu faham bahawa lebih banyak berita yang menghentam pihak lain disiarkan sama ada menerusi komunikasi bersemuka atau disiarkan menerusi media alternatif.
Ini adalah tindak balas biasa yang perlu diakui keberkesanannya. Media perdana juga mengheboh-hebohkan isu Datuk Seri Haji Hadi Awang mengeluarkan fatwa yang membenarkan umat Islam mengata dan mengumpat orang lain.
Media perlu tahu bahawa fatwa tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya tanpa muzakarah ulama-ulama.
Dalam suasana pilihan raya, berita-berita yang boleh menimbulkan persoalan atau lemah di segi logika dan faktanya, sepatutnya dielakkan.
Pembaca dan penonton tahu bahawa berita-berita seperti ini memang sengaja disiarkan oleh media untuk memburukkan parti bukan kerajaan.
Tindakan media ini hanya menimbulkan rasa jijik pembaca dan penonton.
Tamparan hebat kepada media arus perdana ialah apabila mereka menghentam Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengungkit peristiwa silam dan sebagainya beberapa hari sebelum tarikh pembuangan undi.
Selain menyiarkan kenyataan-kenyataan tokoh-tokoh tertentu yang mencemuh Datuk Seri Anwar, media arus perdana juga menyiarkan rencana yang berniat untuk mengajak orang ramai supaya tidak menyokong beliau.
Berbuat demikian jelas menunjukkan seolah-olah media arus perdana panik dan berkempen bermati-matian untuk BN.
Sebaliknya, kesempatan ini diambil oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk menjawabnya pada ceramah-ceramahnya di seluruh negara.
Sekali lagi minat orang ramai untuk mengikuti ceramah-ceramahnya bertambah tinggi kerana mereka percaya beliau akan menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh media-media berkenaan.
Itulah antara sebabnya ke mana saja beliau berkempen, bilangan hadirin mencecah ribuan dan puluhan ribu orang.
Bukankah ini ‘iklan’ bernilai yang diberikan oleh media arus perdana kepada Datuk Seri Anwar. Ia ibarat orang mengantuk disorong bantal.
Menyamakan beliau dengan binatang seperti sesumpah dan serigala, menjijikkan pembaca. Ini berbeza dengan iklan yang disiarkan di televisyen, radio dan segala jenis media berhubung ‘Undilah BN’.
Sepatutnya media arus perdana perlu mempunyai landasan yang lebih diterima oleh rakyat.
Di samping menyiarkan kenyataan pemimpin atau calon BN, mereka sepatutnya juga memberi ruang untuk parti-parti lain yang bertanding, walaupun pada purata 70 BN dan 30 parti pembangkang sebagai pada awalnya disarankan oleh SPR.
Ia tidak berlaku.
Sepanjang temph berkempen, yang berita dan laporan positif menjadi hak eksklusif parti dan pemimpin kerajaan. Apa saja yang mereka cakapkan mendapat tempat dalam media. Mereka juga merancang bahan-bahan berita yang boleh meningkatkan keyakinan rakyat kepada BN.
Malangnya, kenyataan yang menyataka bahawa BN yakinb akan menang di selurh negara dengan mengutip kenyataan pemimpin tertentu, memakan diri sendiri.
Sudah tentulah mereka memberi kenyataan positif terhadap parti mereka. Tidak logik jika mereka memberi kenyataan yang menggambarkan seolah-olah mereka hilang keyakinan untuk menang.
Sebagai kontras, berita-berita seperti ini memberikan semangat yang kuat kepada parti yang bersaing untuk menafikan keangkuhan BN.
Satu perkara yang terbukti dalam pilihan raya kali ini ialah media tidak semestinya berpengaruh sepanjang masa. Jika penonjolan yang berlebihan dilakukan oleh media, ia boleh menyebabkab ‘boomeran’ atau memakan diri sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan