Isnin, Jun 28, 2010

Catatan (ringkas) Johor Bahru - Kota Tinggi


bandar Kota Tinggi - satu ketika dahulu



Dari Stesen Bas Larkin ke Kota Tinggi dengan bas henti-henti selalunya akan ambil masa selama satu jam. Tapi saya tahu bas tidak akan sampai dalam jangka masa itu. Bas akan ke pusat bandaraya dahulu, kemudian baru bergerak ke destinasi akhir – sudahnya selepas satu jam setengah baru saya akan sampai di tanah kelahiran.



Di depot bas – sementara menunggu bas bergerak, seorang penumpang bertikam lidah dengan pemandu bas di hadapan penumpang-penumpang bas yang lain. Puncanya? Kerana penumpang itu dakwa tempohari dia beli tiket dengan harga RM2.40 – sedangkan pemandu kata harga tiket itu RM2.70.



Entahlah. Penumpang itu bertekak kerana RM0.30. Tapi saya rasa memang harga tiket bas sekarang Memang sudah naik. Tiket yang saya bayar untuk naik bas itu harganya RM5.80 – dulu rasanya tak semahal itu. Begitulah –akhirnya nanti rakyat marhaen juga akan tersepit.



Tiba ke Kota Tinggi sekitar jam 9.30 malam. Mahu tahu apa yang buat saya terkejut? Kota Tinggi sudah ada McDonald. woha!



Selain itu, pengurusan pasaraya Famili Mart nampaknya bertukar tangan lagi. Sekarang Pasaraya Hwa Tai mengambil alih.



Sudah hampir 3 bulan tak pulang ke Kota Tinggi - apa lagi perubahan yang telah berlaku di daerah ini?





Isnin, Jun 21, 2010

Graduasi






Secara rasminya sudah jadi alumni Kolej Yayasan UEM ( Julai 2008 - 19 Jun 2010)





















Pelajar tajaan KPM (batch 11) di KYUEM




menjadi penghuni P-30-B untuk saat-saat terakhir




DOE - April 2010



Muslim Youth Camp ( September 2009)


Housetrip




Bangsawan Diamond - Februari 2010




Diamond's HICOM ( 2009-2010)



Rabu, Jun 16, 2010

Antara warisan dan pilihan





Berada di sebuah institut pengajian tinggi selepas menikmati zaman persekolahan yang panjang telah menemukan saya dengan dengan pelbagai jenis ragam manusia - yang terdiri dari pelbagai susuk latar sosioekonomi, fahaman agama, cara berfikir, kecenderungan dan seribu satu faktor lain.


Kepelbagaian ini pada saya secara peribadinya boleh dilihat pada sudut pandangan yang pelbagai juga.



Oleh kerana sebelum ini saya bersekolah di institusi pendidikan yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam, maka pergaulan saya bersama bangsa lain adalah agak terhad. Tidak dapat tidak - pergaulan terhad ini akan merencatkan pembangunan sosial negara majmuk seperti Malaysia kerana anak-anak muda dari pelbagai kaum inilah yang diharap akan membangunkan negara tercinta kita ini satu hari nanti.



Membiarkan pembinaan tembok-tembok perkauman akan menyebabkan kita terus menerus bersetuju dengan 'Dasar Pecah & Perintah' janaan penjajah - yang pada pendapat saya ibarat menunggu meletusnya bom jangka.



Maka - saya merasakan bahawa betapa pentingnya generasi muda terus berdialog dan saling bertukar-tukar pandangan mengenai bagaimana cara mereka melihat sesuatu isu.



Kepelbagaian jalur latar belakang - dan pengalaman yang dikutip usai belasan tahun kehidupan pastinya akan memberi buah pemikiran yang segar - untuk kita nikmati sama-sama perbezaan itu.



Berada dalam komuniti yang semuanya muslim - bagi saya - seperti mana setiap apa pun di dunia ini - akan memberi pro dan kontranya yang tersendiri. Kita mungkin akan berada dalam zon selesa kerana tiada apa-apa yang menjadi mangkin untuk mencabar pemikiran kita - dalam erti kata lain, kita terperangkap di dalam Islam warisan.


Sebaliknya - berada dalam sebuah komuniti yang terdiri daripada pelbagai latar kepercayaan - akan menyebabkan kita lebih reaktif dan menghargai iman yang kita miliki.


Contohnya - sepanjang dua tahun kami di sini, kawan-kawan non muslim pernah bertanya kepada kami (dalam suasana yang tenang) tentang kepercayaan umat Islam. Contohnya - Al-Quran tidak lagi releven pada abad ini kerana kitab itu telah ditulis sejak sekian lama. Juga berkaitan hukuman hudud yang pada mereka terlampau kejam - juga tentang dikriminasi wanita selain beberapa isu lain.



Pertanyaan-pertanyaan seperti ini pada pandangan peribadi kamu merupakan mangkin untuk kami lebih giat mendalami dan memahami ilmu Tuhan.



Benar - iman tidak akan dapat kita tanggapi dengan lima pancaindera utama manusia. Jikalau kita menafsir kehidupan akhirat dengan pandangan mata - kita tidak akan percaya kerana kita tidak pernah melihat kehidupan akhirat dengan menggunakan dua biji mata ini. Kita melihat kehidupan akhirat dengan pandangan iman ( yakni percaya dengan hati, membenarkan dengan lidah dan beramal dengan perbuatan)




Kita harus dan perlu mengubah identiti daripada Islam warisan kepada Islam pilihan. Islam pilihan itu pastinya akan hadir seiring dengan kefahaman mengapa kita melakukan sesuatu perkara itu - bukannya kita melakukan sesuatu perkara itu kerana orang lain membuatnya -juga bukan kerana ikut-ikutan apatah lagi paksaan.







Petikan daripada gambar di atas:


"..kamu belum benar-benar beriman sehinggalah kamu persoalkan iman yang ada pada kamu itu.. - Abu al-Hassan al-Asy'ari "

Talk: Apa maksud saya menjadi muslim? oleh Ustaz Hasrizal Jamil pada Muslim Youth Camp 2009.




Generasi muda abad-21 - pada pandangan saya- seharusnya lebih terkedepan dalam menangani soal perbezaan serta lebih terbuka (dan tidak prejudis) untuk berdialog - dengan lebih fokus pada titik persamaan.


Islam warisan harus kita ubah kepada Islam pilihan.



Anda tentukan!




Isnin, Jun 14, 2010

Goodreads - laman jaringan sosial untuk pencinta buku.






Buat mereka yang berminat dengan buku, serta ingin bertukar-tukar pandangan berkenaan buku yang sedang dibaca - saya ingin mengesyorkan satu laman jaringan sosial.


Layari dan mendaftarlah di www.goodreads.com. Saya pasti ia akan memberi banyak manfaat kepada anda.





Akaun goodreads saya. dah lama tak dibuka.





Group Goodreads Malaysia
Deskripsi

Tempat ulat-ulat buku Malaysia berkumpul, bertukar pendapat mengenai buku-buku yang telah dibaca, sedang dibaca dan bakal dibaca serta berbincang segala hal yang indah (atau sebaliknya) berkaitan dunia buku.

"Kutip semula semangat membaca yang pernah hilang, atau kobarkan lagi yang sudah menyala biar terang."

Turut mengalu-alukan pembaca antarabangsa / serantau yang meminati buku-buku Malaysia, terutama dari Brunei, Indonesia, selatan Thai dan Singapura.




nota kaki: jumpa anda di sana!





Cerpen mikro: Jintan Bertuah







Semua orang di Kampung Kepayang - tidak kira tua ataupun muda, pasti akan mengangguk tanda kenal (dan gerun) andai disebutkan nama Cik Halim Jintan.



Lebih-lebih lagi anak muda seperti saya.



Bukan kerana Cik Halim Jintan itu orang penting di kampung ini- tidak. Ketua kampung bukan, tok mudim pun pastinya bukan. Dia orang kebanyakan saja. Maksud saya, orang kebiasaan yang rutin hidupnya sama juga seperti orang-orang lain. Masanya banyak habis berlabun di kedai kopi berbanding dengan membanting tulang empat kerat di ladang pisang pusaka keluarganya.



'Jintan' di hujung namanya itu tidaklah saya pasti dan jelas akan asal-usulnya. Tidak pula saya temui pokok berdedaun halus, dengan bunga berwarna biru serta buah yang terbungkus di dalamnya biji-biji kecil - di sekitar rumahnya. Maka saya pasti dia mendapat gelaran itu bukan kerana dia si penanam jintan.



Tidaklah pula saya ada memeriksa dengan lebih giat - sama ada jintan itu ada ditanam secara hidroponik di ruang dapur. Ialah - mungkin ada inisiatif baru daripada Cik Halim Jintan untuk mempelopori tanaman itu selepas permintaan jintan meningkat mendadak gara-gara ada kajian mengatakan bahawa jintan boleh mencegah selesema H1N1.



Kesimpulan tidak konkrit daripada saya - Cik Halim Jintan digelar begitu kerana orang kampung sudah kehabisan topik untuk dibincangkan semasa di warung kopi. Sudahnya mereka menggelar-gelarkan orang ( seperti kami semasa di sekolah rendah- bezanya kami menggelar dengan nama ayah). Bahkan teori yang saya simpulkan untuk gelaran Cik Zainal Ginseng dan Cik Ilyas Cekur. Oh- orang Kampung Kepayang memang obses pada tumbuhan herba.



Tentang kegerunan yang selalu hadir apabila saya berselisih jalan dan bertembung dengan Cik Halim Jintan itu tidaklah dapat saya gambarkan dengan susunan kata-kata. Bukan saya seorang, bahkan teman-teman seusia juga mengakui wujudnya perasaan yang sama apabila mereka berada di tempat saya. Mereka bagai mahu menjadi semut kecil atau berharap bumi akan merekah dan pantas menelan mereka jauh agar mereka tidak kelihatan pada pandangan Cik Halim Jintan.



Cik Halim Jintan si kaki pukul?



Saya pantas menggelang. Cik Halim Jintan tidak ganas pada gerak fizikal. Cik Halim Jintan hanya ganas pada tuturnya. Cakapnya selalu berapi-api, provokatif, juga mengundang kemarahan si pendengar. Iyalah - lidah itu kan benda paling tajam, - bak kata Imam Ghazali. Lidah mampu menghiris juga mencincang hati manusia selumat-lumatnya.



Bahkan - bukan satu lagi rahsia buat seisi Kampung Kepayang bahawa Cik Halim Jintan memang suka menyindir (terutamanya anak muda seperti kami), memaki-hamun serta menganggap bahawa dirinya seorang saja betul. Obses pada diri sendiri!- keluh seorang teman sekampung saya, Lutfi.



Menurut Lutfi - dia ditahan oleh Cik Halim Jintan dalam perjalanan ke rumah tadi. Pantang lihat orang lain mahu senang sedikit- mulalah Cik Halim Jintan hendak bersyarah. Katanya anak muda di Kampung Kepayang ini tidak maju dan tidak berwawasan - suka melepak dan tidak pandai sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.



Lutfi yang pantang dijolok emosinya itu datang mengadu kepada saya dengan muka merah padam - itulah orang dewasa, memang suka menyalahkan orang muda. Itu salah, ini salah - semuanya tak betul. Habis tu - orang dewasa sajalah yang betul? Orang muda hanya hasilan sistem yang direka oleh orang dewasa - bentak dia lagi sambil menghentak tangan ke meja.



Lihat Cik Halim Jintan itu - cakapnya bagai si tokoh dunia, namun ke warung kopi juga dia berlabun sepanjang masa. Kemudian- sering saja membuat kesimpulan dan menghakimi orang lain sesuka kati. Cik Halim jintan kata aku ini samseng jalanan kerana menyimpan rambut panjang. judgemental sungguh!



Amarah Lutfi lambat padam malam itu. Saya mendengar dengan penuh empati - sambil cuba menyusun butir bicara seterusnya.



Iya - dalam banyak perkara aku bersetuju denganmu Lutfi. Anak muda memang hasilan sistem yang diatur oleh orang dewasa - tapi kuasa ada di tangan kita untuk melihat generasi negara kita yang seterusnya menerima nasib yang lebih baik daripada sistem yang kita hadapi hari ini.



Dada Lutfi yang berombak kemarahan tadi mulai surut sedikit-sedikit. Lutfi kemudian berdiri - bagai hendak memulakan pidato.



Kau tahu Badrul? Anak-anak muda merupakan golongan yang terpenting dalam strata sosial masyarakat kerana kita merupakan pelapis kepimpinan masa hadapan. Segala kekuatan fizikal, kekuatan mental, kekuatan semangat dan idealisme merupakan hamparan pakej yang terhimpun menjadi senjata bagi bangkit menentang kezaliman, berdada dengan penguasa yang korup, menerjah segenap kepalsuan. Dunia ini akan menjadi milik anak muda juga suatu hari nanti. Mengapa mahu saling menyalahkan - andai kita sekarang gagal berbahasa dalam satu bahasa yang sama ?



Oh Tuhan! - Lutfi Bukhari berhujah di hadapan saya. Tidak saya sangka bahawa Lutfi ini diam-diam ubi berisi! ( saya juga judgemental rupanya!)


Lutfi anak Pak Bukhari ini saya kenal sebagai seorang yang pendiam dan tidak suka membentak. Provokasi Cik Halim Jintan petang itu punca saya lihat Lutfi marah memberontak buat kali yang pertama.



Aku, kau dan semua anak muda adalah penggerak perubahan. Lihat saja sejarah dunia. Dunia Islam sebagai contoh. Rasulullah SAW dibangkitkan dengan anak-anak muda yang berani menentang arus jahiliyyah serta sanggup berdada dan menyinsing lengan dengan penguasa-penguasa zalim. Saidina Abu Bakar, Uthman bin Affan, Zubir al Awwam dan Talhah Ubaidullah merupakan contoh-contoh pemuda berjiwa kental yang menggerakkan Islam ketika itu.



Hujah Lutfi itu buat saya terdiam.


Lutfi masih belum kering idea dan mahu terus berhujah- bagai melayan emosinya yang sedang meluap kemarahan. Saya mendengar saja - kata ayah orang sedang marah ini jangan dilawan cakapnya- biarkan dia tenang dahulu.



Sambung Lutfi lagi - kau ambil pula signifikannya anak muda ini dalam isu serantau- Indonesia sebagai contoh. Anak muda bernama Soekarno adalah pemimpin mahasiswa dinamis yang telah membangkitkan semangat anak-anak muda untuk berjuang dan berkorban di bawah panji 'sang saka Merah Putih' - seterusnya memimpin perang Revolusi 1945 sehingga membawa kepada kemerdekaan Indonesia. Oleh itu jangan terus memperlekehkan dan mengugut anak-anak muda.



Beri aku sepuluh pemuda, maka akan kugoncangkan dunia - kata-kata keramat dari Soekarno cepat melintas di fikiran saya.


Ya - aku setuju. Balas Lutfi cepat-cepat.



Bingit sekawan gagak yang mengerumuni sebatang pokok berhampiran buat kami sedar bahawa petang sudah merangkak ke senja. Tiada sebarang resolusi dari perbincangan kami - cuma kami tidak mahu jadi seperti Cik Halim Jintan. Tidak - maksud kami tidak mahu hanya pada sisi negatifnya.



Kami mahu jadi seperti jintan manis - rempah aromatik dengan rasa pahit dengan bau yang suam. Jintan manis akan buat makanan kami jadi lebih lazat - selain boleh diproses menjadi penawar - Habbatus Sauda - herba terkenal yang telah digunakan sejak sekian lama di Timur Tengah untuk membekalkan nutrisi kepada sistem pertahanan tubuh.



Kami mahu jadi anak muda yang berjiwa kental, mampu berfikir dan tidak mudah dimomokkan dengan kelunakan janji - juga mampu menjadi penawar yang memulihkan generasi sezaman.



Azan Maghrib sayup-sayup kedengaran - harapan kami agar tidak terserempak dengan Cik Halim Jintan sewaktu berjalan pulang.


Sabtu, Jun 12, 2010

A-Level tamat




Semalam ( 11 Jun 2010) -jam 1 petang telah tamatlah peperiksaan A-Level bagi pelajar KYUEM - khususnya senior. Economics Paper 3 adalah kertas terakhir yang diduduki oleh pelajar KYUEM bagi peperiksaan sesi Mei/Jun 2010.



Alhamdulillah- saya selesai menjalani peperiksaan yang berterusan selama 6 minggu itu dengan jayanya.


Result? Entahlah. Peluang kabur-kabur juga. Sudah buat yang terbaik - tawakal dan redha sajalah. Harus tunggu bulan Ogos ini untuk keputusan.


Result IELTS sudah lepas. Harap-harap A-level tidak kandas.


Hari graduasi akan disempurnakan pada 19 Jun 2010 - juga itu hari terakhir kami sebagai pelajar KYUEM. Selepas ini sudah jadi alumni - super senior.



Saya ada seminggu untuk habiskan masa-masa terakhir di kolej ini. Alahai - cepatnya dua tahun berlalu.




countdown trial & exam. cepat betul masa berlalu




Focus - keep your goal in view, don't look back



pasti akan merindui meja study ini.uhuk2





Quote dari poster ini yang selalu buat saya tidak mahu cepat mengalah


stetement of entry, juga label meja ( yang 'dihadiahkan' oleh exam department)



Khamis, Jun 03, 2010

Cerpen mikro: Matang








Di dalam kelas, Mudin duduk di sebelah Zainal. Zainal bukan orang lain. Rakan sekelas dia sejak tingkatan satu lagi. Segala macam ragamnya hanya Zainal seorang yang sabar menahan.


Pernah sekali Mudin 'curi' kasut Zainal. Bila Zainal keluar dari perpustakaan, dia tercari-cari akan kasutnya. Alahai- rupanya kawan sendiri yang ambil. Dia lari-lari tanpa kasut di kaki lima mengejar Mudin- sehingga ada senior perasaan. Sudahnya mereka berdua dimarah senior. Kata senior itu, cubalah jadi matang sikit!


Mudin jadi insaf - tapi hanya sekejap. Di lain hari dia ambil songkok di atas kepala Zainal sewaktu orang lain sedang siap-siap mahu ke kelas. Orang sudah lambat- warden sudah bising-bising di bawah- dia mahu main-main pula. Zainal jadi bengang - mahu rampas kembali songkok itu. Jerkah Zainal, Mudin boleh tolong jadi matang sikit tak?


Mudin senyap - mungkin terasa hati. Berhari-hari dia tidak tegur Zainal.


Suatu hari Zainal mahu mintak tolong Mudin- sangat terdesak. Tapi Mudin tidak mahu tolong. Mintaklah tolong dari orang lain, orang lain kan lagi matang- Mudin sudah jadi si perajuk.



Zainal pening kepala. Kalau dilayan- penat, kalau tak dilayan- serba salah. Zainal jadi keliru.


Sudahnya Zainal mengadu kepada Karim. Karim maki-maki. Semua orang mahu dibangkangnya - semacam dia seorang sajalah yang betul. Karim kalau bercerita tidak mahu kalah. Dia tidak mahu terima pendapat orang lain. Zainal salah, Mudin juga salah. Dua-dua tak matang. Zainal senyap-senyap sahaja.


Maka Zainal terpaksa jugalah mengalah. Takkan mahu terus berbahas pula?


Tapi Zainal tetap baik hati. Suatu hari geng nakal mahu buli Mudin. Zainal dapat tahu terus halang geng nakal itu. Zainal panggil Karim datang suruh maki geng nakal. Geng nakal jadi takut lantas terus berundur.


Mudin gembira - kemudian terus ke almari Zainal. Dia mahu sedikit makanan buat pengubat duka lara. Dia tahu Zainal sudah tidak marah padanya.



"Buat apa jadi matang, yang penting kita gembira." Kata Mudin sambil kunyah kerepek kentang.



Woha! - Zainal separa menjerit.





Related Posts with Thumbnails