Selasa, Julai 27, 2010

Rehat

Laptop ada masalah (lagi).
Penulisan direhatkan seketika.



Harap maaf.

Rabu, Julai 14, 2010

Daerah Beta


Hanya selepas beberapa bulan sesudah menerima cenderamata ini, barulah saya dapat mencari masa yang sesuai untuk menghabiskan pembacaan.


Novel Daerah Beta tulisan Azizi Hj Abdullah telah saya terima semasa kunjungan ke Menara DBP bersama para peserta MPR 2009.


Menurut Azizi Hj Abdullah ini dalam blognya,

"Daerah Beta diangkat dari kejadian benar, bagaimana sekumpulan rakyat di mana satu ketika dulu pihak kilang cuba menanam radioaktif ditempat mereka. Mereka bantah sehingga terjadi satu demonstrasi yang sangat hebat. Gas dan water canon menjadi mandian. FRU jadi pagar dan mahkamah tempat mengadu."






Daerah Beta menceritakan tentang perjuangan penduduk Kampung Baharu Bukit Marah untuk membantah penerusan operasi kilang Anak Rumpai Asian (ASA) yang disyaki menghasilkan sisa-sisa radioaktif dan tidak melupuskannya dengan cara yang selamat sehingga mencetuskan masalah kesihatan kepada penduduk.


Sebelum saya membaca novel ini - saya terlebih dahulu telah membaca buku Lawan tetap lawan : kisah perjuangan rakyat menuntut keadilan yang menyorot kisah perjuangan rakyat daripada era 60-an hingga 90-an.


Salah satu bahagian di dalam buku itu menceritakan tentang peristiwa mogok anti-radioaktif di Bukit Merah, Perak sekitar lewat 80-an hingga awal 90-an.


Menurut buku tersebut;

"Operasi kilang Asia Rare Earth (A.R.E) yang menghasilkan sisa radioaktif di kawasan Bukit Merah, Perak pada tahun 1985 telah mencetuskan satu pergerakan rakyat yang berlanjutan selama kira-kira satu dekad. Pihak penduduk semakin terdesak apabila kerajaan tidak mahu mengambil sebarang tindakan atas pihak kilang tersebut tetapi mengatakan bahawa kilang itu selamat dan tidak mengancam kesihatan penduduk di situ.


Lantaran itu, penduduk mencari jalan penyelesaian di mahkamah dan juga di luar mahkamah. Antara tahun 1985 hingga 1987, penduduk di sekitar Bukit Merah telah melancarkan beberapa demonstrasi. Demonstrasi besar yang melibatkan 20,000 penduduk telah dilancarkan pada 12 April 2987. ISA juga telah digunakan untuk menahan semua penghuni yang mengetuai bantahan pembuangan sisa radioaktif."


Rentetan peristiwa yang ditulis dalam buku tersebut sangat mirip dengan kronologi cerita di dalam Daerah Beta - maka saya beranggapan bahawa kisah perjuangan rakyat di Bukit Merah itulah yang diangkat oleh Azizi Hj Abdullah.


Hasil pencarian saya di internet, laman blog Menentang Sisa Radioaktif turut menulis tentang kronogi penuh kejadian Asian Rare Earth di Bukit Merah. Saya jamin - ia menarik untuk dibaca.



Membaca novel ini turut mengingatkan saya tentang artikel bertajuk 'Kenapa nak boikot? kenapa nak demo? yang ditulis Akmal Amri dalam laman blognya. Menurut beliau, demonstrasi jalanan mempunyai 2 fungsi utama, iaitu untuk mendidik dan bersuara. Baca artikel penuh daripada blog beliau untuk mengetahui hujah-hujah yang dikemukakan.



Novel Daerah Beta - pandangan saya adalah sebuah novel yang berbaloi untuk dimiliki. Ia adalah sebuah karya yang membuka semula lembaran sejarah mengenai kisah perjuangan rakyat yang kian dilupakan.




Isnin, Julai 12, 2010

Travelog si perayau


4 Julai 2010 / Ahad



Selesai mengikuti satu program yang berlangsung selama dua hari di Setiawangsa, saya mula beransur ke KL Sentral sekitar jam 6 petang - dengan tujuan membeli tiket keretapi untuk pulang ke Johor.


Jadual perjalanan keretapi saya teliti – dan sesudah mengambil kira beberapa faktor berkaitan, saya membeli tiket untuk perjalanan jam 10.30 malam, keesokan harinya.



Kira-kira jam 8.15 malam, saya berada di sebuah restoran berhampiran Masjid Jamek. Sedang saya enak menikmati hidangan, saya ternampak kelibat Aidil Khalid lalu di ruang pejalan kaki. Pantas saya meluru kepadanya. Rupa-rupanya beliau juga mahu ke Panggung Bandaraya Kuala Lumpur – untuk menyaksikan teater tradisional mak yong.



Menurut tentatif, teater akan bermula pada jam 8.30 malam. Ainunl Muaiyanah hadir sekitar jam itu bersama Hani Salwah Yaakup. Kemasukan untuk menyaksikan teater ini adalah percuma tetapi penonton harus mendapatkan pas masuk terlebih dahulu untuk nombor tempat duduk.



Pementasan malam itu mempersembahkan sebuah teater yang bertajuk Raja Besar Ho Gading. Berdasarkan buku program, mak yong dipercayai wujud pada abad ke-19 dan pada tahun 1920-an, dan ia dipentaskan sebagai pementasan DiRaja di bawah naungan Kesultanan Kelantan. Oleh kerana itu, persembahan dipentaskan dalam dialek Kelantan – maka banyak istilah-istilah yang saya tidak faham. Walaubagaimanapun, ia tetap sebuah pementasan yang menghiburkan.



Jam 10.45 malam - pementasan tamat dan saya beransur pulang ke rumah rakan (Hannan) yang terletak di Gombak.



5 Julai 2010 / Isnin


Barangkali kerana keletihan kerana berjaga lewat malam pada hari sebelumnya, saya hanya memulakan aktiviti selepas Zohor.



Beg saya simpan di KL Sentral – kemudian mulai berjalan mencari arah untuk ke destinasi seterusnya. Menurut pegawai Muzium Negara yang telah saya hubungi, pengunjung yang ingin ke sana boleh berjalan kaki daripada KL Sentral dalam jarak perjalanan kurang 1000 meter – dan ternyata benar, ada papan tanda penunjuk arah bagi pejalan kaki daripada KL Sentral yang mahu ke Muzim Negara.



Bayaran masuk ke Muzium Negara adalah RM2.00 untuk setiap satu galeri – dan ada dua ruang galeri berbayar. Yang pertama ialah ruang galeri utama ( di mana pamerannya tetap) dan ruang galeri khas ( di mana pameran berubah-berubah). Tika kunjungan saya, galeri khas sedang menganjurkan pameran misteri keranda – di mana keranda-keranda mengikut kepercayaan etnik dan agama di Malaysia dipamerkan. Sekitar tahun 2002, saya pernah mengikuti rombongan sekolah ke Muzium Negara dan tika itu galeri ini sedang menganjurkan pameran mistik dan hantu.



Untuk ruang galeri utama, ia dibahagikan kepada empat galeri iaitu sejarah awal ( galeri A), kerajaan-kerajaan Melayu ( galeri B), era kolonial (galeri C) dan Malaysia kini (galeri D).



Secara keseluruhannya, melawat ruang galeri utama bagi saya adalah hanya bagai menatap buku-buku teks sejarah sekolah menengah. Tidak ada maklumat baru yang menarik perhatian saya.



Lihat susunan tema galeri, iaitu sejarah awal – kerajaan Melayu – era kolonial dan Malaysia kini telah dihurai di dalam buku teks sejarah sekolah menengah.



Menariknya di Muzium Negara, elemen 1Malaysia telah disuntik di dalam ruang galeri - di mana telah ada pameran berkenaan 1Malaysia di galeri D.



Walaubagaimanapun, ada beberapa pada sudut pameran yang saya kurang berpuas hati. Contohnya, di galeri D yang mempamerkan tentang kemerdekaan negara. Hanya parti politik, UMNO-MIC-MCA sahaja yang dipamerkan sebagai pejuang kemerdekaan negara. Bagaimana pula dengan parti politik berhaluan kiri?



Menurut buku Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan kewarganegaraan ( Prentice Hall), Halaman 51:


Di sekitar awal tahun 50-an pula, kebanyakan ketua parti politik yang radikal dan dianggap Biritish sebagai berfahaman komunis dan sosialis telah dipenjarakan, dan ada yang lari ke negeri lain seperti Indonesia dan China. Terdapat juga di antara mereka yang berjuang secara gerila, dan berpusat di dalam hutan di negara ini. Namun kita perlu adil dengan mereka, walaupun nama-nama mereka tidak tercatat dalam sejarah tanah air sebagai pejuang yang turut menghasilkan kemerdekaan tetapi pada hakikatnya perjuangan mereka juga bukannya sedikit dalam menghalau penjajah daripada negara kita. Tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestaman, Ibrahim Yaacob dan ramai lagi telah merengkok dalam penjara dalam tempoh yang lama demi menuntut kemerdekaan negara daripada penjajah. Mereka terpaksa hidup bersusah payah, dan mengorbankan tenaga dan wang ringgit demi perjuangan tersebut. Walaupun mereka bersifat radikal dan bertindak sebagai pembangkang kepada British namun dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, pengorbanan seperti ini sangat bermakna dalam member satu perjuangan kental dan tak bersifat pak turut. Tentangan mereka menjadi check & balance kepada golongan yang bekerjasama dengan British untuk membuat desakan yang lebih menguntungkan bagi negeri yang bakal merdeka.




Jelasnya di sini – perjuangan parti berhaluan kiri tidak wajar kita lupakan. Saya pernah membaca sebuah buku yang bertajuk Islam Melayu Komunis – yang menghimpunkan wawancara bersama 3 orang pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang Melayu Islam. Semangat ingin tahu saya timbul apabila saya difahamkan bahawa fahaman komunis tidak percaya kepada Tuhan – jadi mengapa ada orang Melayu yang menyokong fahaman ini – sehingga terbentuknya Rejimen ke-10 PKM?




Bermula daripada PKM, melalui pembacaan - saya mula menemui maklumat lanjut berkenaan parti berhaluan kiri yang lain seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Wanita Sedar, Angkatan Pemuda Insaf, Malaysia Democratic Union dan lain-lain – juga nama-nama seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestaman, Ibrahim Yaacob banyak lagi – juga istilah-istilah seperti Perlembagaan Rakyat, Hartal dan lain-lain.




Mereka semua adalah wira-wira yang tidak didendangkan.




Selepas puas melawat Muzium Negara, saya bergerak pula ke Muzium Polis. Muzium Polis terletak tidak jauh daripada Muzium Negara, kira-kira 1.5 KM sahaja. Sekiranya tidak berjalan daripada Muzium Negara, stesen tren paling hampir adalah stesen pasar seni – di mana saya perlu berjalan melintasi stesen KTM Kuala Lumpur untuk sampai ke Masjid Negara (kira-kira 800 meter jaraknya) . Muzium Polis terletak berhampiran dengan Masjid Negara dan Muzium Kesenian Islam. Oleh kerana Muzium Kesenian Islam telah saya lawat pada tahun 2009, maka saya mahu mencuba yang lain pula.



Walaubagaimanapun- saya kurang bernasib baik kerana muzium ini tutup pada hari Isnin. duh – lain kali kena cari masa datang melawat sini lagi.




Semasa di Muzium Negara, saya sempat mengambil brosur tentang maklumat muzium di Malaysia. Salah satu yang menarik perhatian saya ialah Muzium Kota Johor Lama. Seingat saya – saya pernah ke situ pada tahun 2006 tetapi tidak tahu apakah sejarah yang ada pada tempat itu. Tika itu - pergi untuk perkhemahan dan guru pengiring bawa kami ke situ.



Menurut brosur itu:

Kota Johor Lama terletak di tebing kiri Sungai Johor, kira-kira 27KM dari bandar Kota Tinggi. Kota ini terletak di atas sebuah tanjung yang dikenali sebagai Tanjung Batu di muara Sungai Johor. Sejarah Kota Johor Lama bermula pada tahun 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II (Sultan Johor kedua 1528-1564) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tebing Sungai Johor. Baginda mendirikan sebuah kota yang dibina daripada susunan batu dan kemudian ditambak dengan tanah di bahagian atasnya. Dengan terbinanya kota ini, Kerajaan Johor menjadi sebuah kerajaan yang kuat sehingga dapat mematahkan serangan Portugis dan Acheh beberapa kali.



Di Kota Tinggi saja ada dua buah muzium sejarah.



Kalau diberi kesempatan masa, saya ingin melawat muzium-muzium itu sekali lagi.



Sepanjang siang, saya banyak berjalan ke sini sana.


Walaupun pada awalnya saya merancang untuk menghabiskan masa dengan membaca novel di gerabak keretapi, namun ternyata malam itu saya tertidur kepenatan. Sedar-sedar- kerlipan neon bandaraya Johor Bahru sudah menyentuh pandangan dan buat saya terjaga.



Sabtu, Julai 10, 2010

Comot


Pagi tadi saya lihat pertandingan mewarna untuk kanak-kanak tadika - anjuran Kipmart Kota Tinggi. Pemenang tempat pertama menang basikal.



Budak-budak kecik umur 5-6 tahun mewarna dengan riang-rianya.



Dulu masa kecik-kecik, ibu selalu belikan majalah kawan. Masih ingat? Majalah saiz kecil - yang sekarang sudah diubah saiznya.



Dalam majalah itu ada satu peraduan mewarna. Hadiahnya saya tidak ingat - tapi saya teringin sangat nak menang.



Saya warna cantik-cantik lukisan yang disediakan - kemudian semasa dalam kereta saya bagi ayah.



"Ayah, boleh tolong hantarkan?"



Ayah saya ambil - kemudian dia tenung lukisan yang sudah diwarna penuh itu. Ayah gelak. Kemudian - simpan lukisan itu di dalam laci kereta.



Saya menanti dengan penuh harap.



Hari ini saya tahu kenapa nama saya tidak pernah disiarkan sebagai pemenang peraduan mewarna di majalah kawan.



Ayah tidak hantar borang saya kerana lukisan itu comot.



Banjir




Semalam - akhbar Sinar Harian dalam ruangan info daerah Kota Tinggi telah siarkan info tentang banjir yang melanda pada tahun 2006.



Menurut wikipedia :

Pada akhir tahun 2006 dan awal tahun 2007 iaitu bermula dari 19 Disember 2006 sehingga 16 Januari 2007, Kota Tinggi telah dilanda banjir paling besar dalam sejarahnya. Banjir gelombang pertama pada 19 Disember telah menenggelamkan hampir keseluruhan bandar Kota Tinggi termasuklah bank, kedai-kedai dan kompleks membeli-belah. Namun banjir gelombang kedua bermula dari 11 Januari 2007 lebih dahsyat kerana menenggelamkan tempat yang tidak ditenggelamkan sebelumnya sehingga hampir menerjah masuk ke Hospital Daerah Kota Tinggi (HDKT). Hampir 12,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan yang terpaksa dibuka dua kali kerana banjir telah melanda sebanyak dua kali. Banjir pada kali ini telah mencatatkan sejarahnya kerana air Sungai Johor telah naik sehingga 5.45 meter berbanding rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu 4.9 meter.




Rumah saya (yang terletak kira-kira 1 KM daripada Sungai Johor) turut tenggelam dalam banjir ini. Maka di sini saya siarkan beberapa keping gambar yang sempat ahli keluarga saya rakamkan.




Gambar yang diambil dari atas bot. Satu tingkat rumah ditenggelami air.




Ruang tamu - selepas banjir surut.




Halaman rumah selepas banjir surut - sofa itu asalnya ada di ruang tamu.




Halaman rumah - basikal disaluti lumpur tebal





Kedua-dua kenderaan ini tenggelam



Keadaan di dapur - sesudah banjir surut.





Di bawah tangga - mesin basuh itu asalnya daripada dapur





bilik tidur



operasi membersihkan rumah sesudah banjir surut




Siapa sangka Kota Tinggi boleh banjir sebegini teruk? Bahkan - kami sekeluarga sama sekali tidak menyangka bahawa air boleh naik setinggi siling rumah - kerana sebelum ini jika hujan lebat sekalipun, air hanya akan bergenang di jalanraya.


Pengalaman berada di pusat pemindahan banjir selama beberapa malam - juga aktiviti membersihkan rumah yang penuh dengan lumpur tebal ( juga bau yang kurang menyenangkan) adalah perisitwa yang akan terus kami kekal di ingatan.



Jika sebelum ini, kami hanya melihat orang lain rumahnya ditenggelami air - kali ini giliran kami pula diuji.


"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi." (36 : 82)



Notakaki: Lebih banyak gambar banjir di Kota Tinggi pada tahun 2006 boleh dilihat di sini.



Khamis, Julai 01, 2010

Sastera dan kita



Satu pagi - saya terjaga dari tidur dan tertanya-tanya. Mengapa manusia perlukan sastera?



Kemudian - saya ajukan persoalan tersebut kepada seorang kenalan. Ainunl Muaiyanah menjawab dengan menghulurkan sebaris quote dari sebuah filem.



"We don't read and write poetry because it's cute. We read and write poetry because we are members of the human race. And the human race is filled with passion. And medicine, law, business, engineering, these are noble pursuits and necessary to sustain life. But poetry, beauty, romance, love, these are what we stay alive for." - Petikan filem Dead Poets Society (1989)




notakaki: oh! di mana saya boleh cari filem ini?



Shah Alam jangan menggigit



sumber:google



Engkau baru sampai di tempat itu setelah dihantar seseorang. Tika kereta proton saga warna hitam mahu berhenti, seorang lelaki sebaya engkau melambai – itu sahabat! Engkau turun kereta, keluarkan barang yang dibawa, lantas terus berjabat tangan. Apa khabar kawan?



Beg kecil yang besar engkau bimbit - juga sandang, kemudian ikut menyusup bersama kawan. Senyap-senyap - kerana engkau mahu menginap secara haram yang halal. Kata kawan – buat seperti biasa. Engkau turutkan dan pengawal itu bagai tidak sedar (kerana kau berlagak seperti kebiasaan).




Engkau selamat jumpa tempat tidur beberapa malam, tapi yang belum selamat masih banyak.



Engkau pusing-pusing sendirian di pasaraya besar - juga perhati papan harga di setiap kedai makan. Engkau sambung bersiar, walau perut sudah lapar. Engkau buat kerja matematik di fikiran – engkau nekad tak mahu beratur di mesin pengeluaran. Sudahnya – engkau pulang ke bilik, makan bersama kawan. Engkau terkenang kata seseorang - makan seorang mengenyangkan, makan beramai menyenangkan. Engkau setuju, walau selalunya tidak.



Kawan engkau mulakan perbualan. Engkau tidak sama dengan kawan. Engkau datang dari kolej dalam hutan yang tidak perlu fikir duit belanja makan breakfast -lunch –dinner kerana duit makan sudah masuk dalam yuran pengajian. Engkau hanya perlu datang menatang talam biru dan pelayan-pelayan kaunter mencedok lauk seperti ketetapan pihak atasan ( walau kadang-kadang ada yang engkau kurang gemar)




Engkau tidak seperti kawan - yang bangun tidurnya perlu merancang – hari ini perlu makan di mana? Lunch hari ini di Rafi Bistrokah? Imtiyaz? Gerai tepian jalan? Kopitiam? atau McDelivery? (yang selalu buat kawan makan beriyani kosong pada akhir-akhir bulan).



Itu belum termasuk lambaian Mydin , juga ole-ole yang selalu buat kawan terpesong tujuan.



Engkau kerut dahi – bingung.




Engkau macam tidak tahu hidup di ibu kota tidak percuma. Mahu bergerak ke sini-sana perlu ada bayarnya – kerana mereka juga ada sesuatu untuk disara. Mereka juga manusia yang tersepit dengan sistem nilai yang keliru. Entah bila dan bagaimana mahu terlepas engkau juga tidak tahu dan tidak mengerti.



Engkau tidak boleh hidup di situ dengan nafsu besar yang tidak dicatu. Oh Tuhan! itu baru seorang. Belum dikira masa depan – kala anak-anak kecil mahu ini itu.



Engkau isi sepanjang malam di situ bersama kawan. Engkau berborak panjang, bergelak sakan – mengenang cerita zaman.




Beberapa malam di Shah Alam - engkau fikir tentang perbezaan. Engkau fikir tentang kelebihan dan kekurangan. Engkau fikir tentang realiti masa depan (masa depan yang akan terus menggigit).



Sekarang dan masa depan - ia akan terus menggigit (di mana-mana).





*Catatan perjalanan sempena ‘kunjungan hormat’ ke kediaman Thalhah Zainal di Kolej Cemara, INTEC pada 24 – 27 Jun 2010.





Related Posts with Thumbnails