Isnin, Julai 12, 2010

Travelog si perayau


4 Julai 2010 / Ahad



Selesai mengikuti satu program yang berlangsung selama dua hari di Setiawangsa, saya mula beransur ke KL Sentral sekitar jam 6 petang - dengan tujuan membeli tiket keretapi untuk pulang ke Johor.


Jadual perjalanan keretapi saya teliti – dan sesudah mengambil kira beberapa faktor berkaitan, saya membeli tiket untuk perjalanan jam 10.30 malam, keesokan harinya.



Kira-kira jam 8.15 malam, saya berada di sebuah restoran berhampiran Masjid Jamek. Sedang saya enak menikmati hidangan, saya ternampak kelibat Aidil Khalid lalu di ruang pejalan kaki. Pantas saya meluru kepadanya. Rupa-rupanya beliau juga mahu ke Panggung Bandaraya Kuala Lumpur – untuk menyaksikan teater tradisional mak yong.



Menurut tentatif, teater akan bermula pada jam 8.30 malam. Ainunl Muaiyanah hadir sekitar jam itu bersama Hani Salwah Yaakup. Kemasukan untuk menyaksikan teater ini adalah percuma tetapi penonton harus mendapatkan pas masuk terlebih dahulu untuk nombor tempat duduk.



Pementasan malam itu mempersembahkan sebuah teater yang bertajuk Raja Besar Ho Gading. Berdasarkan buku program, mak yong dipercayai wujud pada abad ke-19 dan pada tahun 1920-an, dan ia dipentaskan sebagai pementasan DiRaja di bawah naungan Kesultanan Kelantan. Oleh kerana itu, persembahan dipentaskan dalam dialek Kelantan – maka banyak istilah-istilah yang saya tidak faham. Walaubagaimanapun, ia tetap sebuah pementasan yang menghiburkan.



Jam 10.45 malam - pementasan tamat dan saya beransur pulang ke rumah rakan (Hannan) yang terletak di Gombak.



5 Julai 2010 / Isnin


Barangkali kerana keletihan kerana berjaga lewat malam pada hari sebelumnya, saya hanya memulakan aktiviti selepas Zohor.



Beg saya simpan di KL Sentral – kemudian mulai berjalan mencari arah untuk ke destinasi seterusnya. Menurut pegawai Muzium Negara yang telah saya hubungi, pengunjung yang ingin ke sana boleh berjalan kaki daripada KL Sentral dalam jarak perjalanan kurang 1000 meter – dan ternyata benar, ada papan tanda penunjuk arah bagi pejalan kaki daripada KL Sentral yang mahu ke Muzim Negara.



Bayaran masuk ke Muzium Negara adalah RM2.00 untuk setiap satu galeri – dan ada dua ruang galeri berbayar. Yang pertama ialah ruang galeri utama ( di mana pamerannya tetap) dan ruang galeri khas ( di mana pameran berubah-berubah). Tika kunjungan saya, galeri khas sedang menganjurkan pameran misteri keranda – di mana keranda-keranda mengikut kepercayaan etnik dan agama di Malaysia dipamerkan. Sekitar tahun 2002, saya pernah mengikuti rombongan sekolah ke Muzium Negara dan tika itu galeri ini sedang menganjurkan pameran mistik dan hantu.



Untuk ruang galeri utama, ia dibahagikan kepada empat galeri iaitu sejarah awal ( galeri A), kerajaan-kerajaan Melayu ( galeri B), era kolonial (galeri C) dan Malaysia kini (galeri D).



Secara keseluruhannya, melawat ruang galeri utama bagi saya adalah hanya bagai menatap buku-buku teks sejarah sekolah menengah. Tidak ada maklumat baru yang menarik perhatian saya.



Lihat susunan tema galeri, iaitu sejarah awal – kerajaan Melayu – era kolonial dan Malaysia kini telah dihurai di dalam buku teks sejarah sekolah menengah.



Menariknya di Muzium Negara, elemen 1Malaysia telah disuntik di dalam ruang galeri - di mana telah ada pameran berkenaan 1Malaysia di galeri D.



Walaubagaimanapun, ada beberapa pada sudut pameran yang saya kurang berpuas hati. Contohnya, di galeri D yang mempamerkan tentang kemerdekaan negara. Hanya parti politik, UMNO-MIC-MCA sahaja yang dipamerkan sebagai pejuang kemerdekaan negara. Bagaimana pula dengan parti politik berhaluan kiri?



Menurut buku Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan kewarganegaraan ( Prentice Hall), Halaman 51:


Di sekitar awal tahun 50-an pula, kebanyakan ketua parti politik yang radikal dan dianggap Biritish sebagai berfahaman komunis dan sosialis telah dipenjarakan, dan ada yang lari ke negeri lain seperti Indonesia dan China. Terdapat juga di antara mereka yang berjuang secara gerila, dan berpusat di dalam hutan di negara ini. Namun kita perlu adil dengan mereka, walaupun nama-nama mereka tidak tercatat dalam sejarah tanah air sebagai pejuang yang turut menghasilkan kemerdekaan tetapi pada hakikatnya perjuangan mereka juga bukannya sedikit dalam menghalau penjajah daripada negara kita. Tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestaman, Ibrahim Yaacob dan ramai lagi telah merengkok dalam penjara dalam tempoh yang lama demi menuntut kemerdekaan negara daripada penjajah. Mereka terpaksa hidup bersusah payah, dan mengorbankan tenaga dan wang ringgit demi perjuangan tersebut. Walaupun mereka bersifat radikal dan bertindak sebagai pembangkang kepada British namun dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, pengorbanan seperti ini sangat bermakna dalam member satu perjuangan kental dan tak bersifat pak turut. Tentangan mereka menjadi check & balance kepada golongan yang bekerjasama dengan British untuk membuat desakan yang lebih menguntungkan bagi negeri yang bakal merdeka.




Jelasnya di sini – perjuangan parti berhaluan kiri tidak wajar kita lupakan. Saya pernah membaca sebuah buku yang bertajuk Islam Melayu Komunis – yang menghimpunkan wawancara bersama 3 orang pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang Melayu Islam. Semangat ingin tahu saya timbul apabila saya difahamkan bahawa fahaman komunis tidak percaya kepada Tuhan – jadi mengapa ada orang Melayu yang menyokong fahaman ini – sehingga terbentuknya Rejimen ke-10 PKM?




Bermula daripada PKM, melalui pembacaan - saya mula menemui maklumat lanjut berkenaan parti berhaluan kiri yang lain seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Wanita Sedar, Angkatan Pemuda Insaf, Malaysia Democratic Union dan lain-lain – juga nama-nama seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestaman, Ibrahim Yaacob banyak lagi – juga istilah-istilah seperti Perlembagaan Rakyat, Hartal dan lain-lain.




Mereka semua adalah wira-wira yang tidak didendangkan.




Selepas puas melawat Muzium Negara, saya bergerak pula ke Muzium Polis. Muzium Polis terletak tidak jauh daripada Muzium Negara, kira-kira 1.5 KM sahaja. Sekiranya tidak berjalan daripada Muzium Negara, stesen tren paling hampir adalah stesen pasar seni – di mana saya perlu berjalan melintasi stesen KTM Kuala Lumpur untuk sampai ke Masjid Negara (kira-kira 800 meter jaraknya) . Muzium Polis terletak berhampiran dengan Masjid Negara dan Muzium Kesenian Islam. Oleh kerana Muzium Kesenian Islam telah saya lawat pada tahun 2009, maka saya mahu mencuba yang lain pula.



Walaubagaimanapun- saya kurang bernasib baik kerana muzium ini tutup pada hari Isnin. duh – lain kali kena cari masa datang melawat sini lagi.




Semasa di Muzium Negara, saya sempat mengambil brosur tentang maklumat muzium di Malaysia. Salah satu yang menarik perhatian saya ialah Muzium Kota Johor Lama. Seingat saya – saya pernah ke situ pada tahun 2006 tetapi tidak tahu apakah sejarah yang ada pada tempat itu. Tika itu - pergi untuk perkhemahan dan guru pengiring bawa kami ke situ.



Menurut brosur itu:

Kota Johor Lama terletak di tebing kiri Sungai Johor, kira-kira 27KM dari bandar Kota Tinggi. Kota ini terletak di atas sebuah tanjung yang dikenali sebagai Tanjung Batu di muara Sungai Johor. Sejarah Kota Johor Lama bermula pada tahun 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II (Sultan Johor kedua 1528-1564) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tebing Sungai Johor. Baginda mendirikan sebuah kota yang dibina daripada susunan batu dan kemudian ditambak dengan tanah di bahagian atasnya. Dengan terbinanya kota ini, Kerajaan Johor menjadi sebuah kerajaan yang kuat sehingga dapat mematahkan serangan Portugis dan Acheh beberapa kali.



Di Kota Tinggi saja ada dua buah muzium sejarah.



Kalau diberi kesempatan masa, saya ingin melawat muzium-muzium itu sekali lagi.



Sepanjang siang, saya banyak berjalan ke sini sana.


Walaupun pada awalnya saya merancang untuk menghabiskan masa dengan membaca novel di gerabak keretapi, namun ternyata malam itu saya tertidur kepenatan. Sedar-sedar- kerlipan neon bandaraya Johor Bahru sudah menyentuh pandangan dan buat saya terjaga.



5 ulasan:

fairuz berkata...

1st time saya baca post sdr smpi hbs ;) nampak mcm sdr minat ngn sejarah..,dn sempat ronda2 muzium2 selama ni.. bagusnya ada org muda spt sdr

serai wangi berkata...

wah, rajinnya!!! :)

aiman haikal berkata...

nak ikut merayau! =)

uj berkata...

hmmm uncle setuju... teringat uncle... cuti lepas yang terpaksa ke ke KEM BTN di kaki bukit perlis... UJ ditayangkan dengan filem 1957 hati malaya...pd peribadi UJ.. filem tersebut dpt membangkit semangat patriotisme di kalngan kita.. namun ada sedikit ketidakikhlasannya kerana... masih lagi pergerekan atau organisasi malah individu yang juga turut berjuang untuk kemerdekaan bukan hanya parti2 yang di'karakter'kan itu sahja...

Syukri Sapuan berkata...

fairuz: terima kasih kerana membaca dan menurunkan komen. saya rasa ada ramai, tapi mereka tidak menulis blog. kerana itu suara mereka tidak kita dengar =)


serai wangi: rajin merayau boleh la.haha


aiman : jom!



uncle joe: ouh! saya pun baru diBTNkan baru-baru ni. ada jugak tgk filem tu. setuju dengan pendapat uncle joe. =) Dimana para pejuang haluan kiri?

Related Posts with Thumbnails