Selasa, Ogos 16, 2011

Alangkah Lucunya Negeri Ini


Saya baru tahu bahawa ada sesetengah filem yang dapat kita tonton di YouTube. dan saya telah menonton Alangkah Lucunya Negeri Ini di sini pada minggu lepas.





Well - bagi saya ia sebuah filem yang menonjolkan sisi lain kehidupan manusia, iaitu kehidupan sekumpulan penyeluk saku (ataupun dikenali sebagai pencopet dalam filem ini).


Kehidupan kita ini serba sempurna (secara relatifnya).


Filem ini berkisar tentang kehidupan Muluk, seorang pemuda lulusan sarjana pengurusan yang tidak mendapat kerja selepas tamat universiti. Hinggalah pada suatu hari dia terjumpa dengan seorang kanak-kanak penyeluk saku bernama Komet. Komet telah membawa Muluk pulang ke markas kanak-kanak penyeluk saku dan membawanya berjumpa dengan ketua mereka, Jarot.


Muluk menawarkan kemahiran ilmu pengurusan yang dimiliki untuk mengelola keuntungan para penyeluk saku dan meminta imbalan sebanyak 10 peratus bagi jumlah kutipan harian. Dengan wang inilah Muluk merancang program untuk mendidik para penyeluk saku cilik agar tidak lagi terus hidup sebagai pencopet selama-lamanya.


Untuk sinopsis daripada blog lain, boleh klik di sini.


Semalam penyeluk saku, hari ini penjaja jalanan - begitulah usaha yang dijalankan oleh Muluk agar para pencopet cilik ini berubah sedikit demi sedikit untuk meninggalkan aktiviti lama mereka. Dengan bantuan rakan-rakannya, Muluk cuba memberikan pendidikan kepada kanak-kanak ini agar mereka tidak terus hidup dalam kitaran kedunguan.



Antara wacana yang sering diulang-ulang di dalam filem ini ialah perbezaan & persamaan antara para pencopet dan koruptor. Pak-pak menteri yang korup (dan menelan wang rakyat dengan rakusnya) selalu terlepas daripada hukuman. Para penyeluk saku berdepan risiko yang pelbagai walaupun hasilnya tidak seberapa.


Ketika penjaja jalanan ditangkap (atas alasan mengganggu trafik) - para menteri yang korup tidak pula pihak penguasa sabitkan kesalahan atas politik wang mereka. Pada plot di akhir filem inilah saya dapat menangkap kemas apa yang cuba disampaikan oleh pengarah melalui tajuknya - Alangkah Lucunya Negeri Ini.


Usaha gigih Muluk untuk mendidik para pencopet jalanan itu saya kira sebagai sesuatu yang menarik (ya - walaupun ia boleh dipersoalkan kerana wang gaji Muluk juga datang daripada hasil copet). Muluk keluar daripada kepompong kebiasaan dan menguruskan kanak-kanak yang mempunyai paradigma dan dunia mereka yang tersendiri. Kanak-kanak ini membesar dalam suasana bermasalah dan Muluk membantu mereka membentuk satu pandangan semesta yang baru.


Bagi pandangan saya, filem ini cuba mengangkat tema & persoalan - pendidikan, korupsi para kuasawan, anak gelandangan, pengangguran, kemiskinan dan paradigma.


Bagi mereka yang berminat untuk melihat sisi lain kehidupan, filem ini mungkin untuk anda.


2 ulasan:

THALHAH berkata...

ko preview filem ni dah macam pengulas filem di kolum akhbar gitu

Dai berkata...

aku tengok filem ni dari persepsi agama dan moral. dan di pengakhiran filem, disebabkan bapa-bapa yang kecewa dengan anak-anak mereka yang memakan hasil copetan daripada menimbang impak sosial dan kehidupan pencopet-pencopet cilik, aku masih keliru dengan apa yang pengarah cuba sampaikan di situ.

Related Posts with Thumbnails