Rabu, Disember 19, 2012

Kembara Ke Vientiane, Laos (v)


Pagi 6 Disember, kami bangkit dari lena untuk menyambung sisa kembara. Pagi di Vientiane agak lengang. Kenderaan jarang-jarang menyusur di jalan raya. Orang awam berjalan melintasi wat yang bertaburan di seluruh kota.


Penerbangan pulang ke Kuala Lumpur ialah pada jam 9.45 pagi. Kami perlu tiba di lapangan terbang lebih awal daripada masa tersebut. Oleh itu, kami tidak merancang untuk melawat ke mana-mana. Sekadar menikmati pemandangan kota dari balkoni bilik.


Selepas sarapan, kami terus menaiki teksi untuk ke lapangan terbang. Sepanjang perjalanan pulang, kamera pantas merakam foto kehidupan warga Vientiane pada waktu pagi.



Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Vientiane, Laos



Jam 1.15 petang (waktu Malaysia), pesawat AirAsia yang kami naiki selamat mendarat di LCCT. Alhamdulillah - kami dapat melangsaikan misi kembara ke Vientiane, Laos dengan selamat.


Kami bertiga saling berdakap, bersalam dan mengucap kalimah terima kasih - dan seterusnya membawa haluan masing-masing. Muizz dan Ariff pulang ke Kota Bharu, Kelantan dengan penerbangan pada jam 4 petang, manakala penerbangan pulang saya ke Johor Bahru pada jam 9 malam.


Di medan selera, saya menghabiskan masa dengan membaca, membuat beberapa catatan dan mengira perbelanjaan sepanjang di Vientiane, Laos. Berdasarkan unjuran kos - saya telah membelanjakan sekitar RM250 di sana - dengan peratus perbelanjaan yang besar datangnya dari kos pengangkutan, hotel dan cenderahati. 


Ya, kami sebenarnya boleh menjimatkan perbelanjaan dengan menggunakan kemudahan yang berkos lebih murah. Misalnya - menginap di dormitori yang lebih rendah bayarannya, serta berjalan kaki dan menaiki bas untuk ke sini sana.


Namun - memikirkan beberapa faktor - antaranya soal keselamatan, pengalaman kami yang masih terlalu tohor dan kami masih belum arif dengan geografi dan budaya masyarakat di sini - kami memutuskan untuk memilih perkhidmatan yang 'sedikit mahal'


Kembara ke Vientiane, Laos - seperti mana kembara-kembara saya yang terdahulu - tetap memberi ibrahnya yang tersendiri. Kami belajar untuk lebih berdikari, membuat keputusan dalam situasi kritikal, berani  mengambil risiko dan peka mentafsir alam. Terima kasih kepada dua orang rakan yang  bersama - Abdul Muizz - yang berperanan sebagai 'Pengarah Strategi & Komunikasi' dan Tuan Ariff, seorang hafiz Al-Quran yang turut memberi sumbang saran.


Gong Keamanan Dunia - dari kerajaan Indonesia


Berkenaan budaya backpackers, saya kira rencana tulisan saudara Zulfikri Zamir (Co Founder di Teach For The Needs)  di The Malaysian Insider amat menarik untuk dibaca. Rencana tersebut bertajuk Backpackers; Sub-budaya Anak Muda  telah disiarkan dalam dua bahagian. 



“Begitu banyak hidup orang berubah lantaran sebuah pertemuan. Disebabkan hal itu umat Islam disarankan melihat banyak tempat dan bertemu dengan banyak orang supaya nasibnya berubah”― Andrea Hirata Padang Bulan.


"Dalam budaya backpackers mengembara bukanlah seumpama melancong. Hidup seharian perlu diteruskan dengan baki wang yang ada, malah perkara yang lebih penting adalah makna diri yang hadir selepas berakhirnya pengembaraan, melalui pertukaran budaya dan sudut pandang yang lebih luas. Manakala di dalam masyarakat kecil yang perkataan mengembara tidak wujud di dalam korpus budayanya, melancong dijadikan alasan sebagai melarikan diri dari tanggungjawab kehidupan seharian. Oleh yang demikian – melancong diasosiasikan dengan perkataan – mahal" - Petikan Rencana




"Saya fikir adalah penting untuk menerap budaya mengembara terhadap golongan muda, selaras dengan nasihat Dr Eisenhautz tentang perkara yang kita lakukan di waktu muda adalah refleksi diri kita ketika dewasa. Dengan mengembara di awal usia sekurang-kurangnya kita belajar untuk menerima budaya dan perbezaan, meluaskan sudut pandang serta memahami dunia dengan lebih baik." - Petikan rencana


"Buat anak muda lepasan sekolah dan yang sedang menuntut di universiti ― yang belum mempunyai anak hidup bukan sekadar pointer CGPA ataupun Pavilion dan MidValley. Di Siem Reap terdapat hostel dengan katil semurah AS$1 semalam, Garden Village Hostel ― 300 meter dari Night Market Bangun dan lihatlah keindahan matahari terbit di Angkor Wat. Falsafah umum “backpackers” “travel should be cheaper and longer” - Petikan rencana


Sewaktu mengembara ke beberapa buah kota di Asia Tenggara, saya dapat menyaksikan dan mengesahkan  -  Barat yang memiliki budaya backpackers, tidak kira lapisan umur - remaja, dewasa, tua - lelaki mahupun perempuan yang mengembara dengan serba ringkas untuk meluaskan sudut pandang.


Pada hemat saya, budaya meneroka ini mungkin telah dipupuk sejak daripada kecil. Program The Duke of Edinburgh's Award yang dirangka untuk remaja berusia 14 hingga 24 tahun telah bertapak di Barat sejak 1956. Secara ringkasnya, program ini dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu gangsa, perak dan emas. Untuk mendapatkan anugerah tersebut, peserta perlu melaksanakan beberapa 'tugasan' dalam bidang kesukarelaan,  kemahiran, aktiviti fizikal dan ekspedisi - dalam tempoh masa yang tertentu. Saya berpeluang untuk menyertai program ini untuk peringkat gangsa sewaktu di kolej pada tahun 2009/2010. 



2010


Program sebegini telah dijenamakan semula di Malaysia dengan nama Anugerah Remaja Perdana (ARP) di bawah Kementerian Belia & Sukan, namun pelaksanaannya masih belum begitu meluas.


Menyebut tentang kembara - saya teringat kepada sebuah buku tulisan John Wood, pengasas Room To Read - yang berjudul Leaving Microsoft To Change The World.


Edisi Terjemahan - PTS Publications


John Wood meletakkan jawatannya sebagai 'orang kuat' di Microsoft dan menubuhkan Room To Read untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan di Nepal - setelah tersentuh dengan wajah kemiskinan warganya semasa kembara ke Himalaya pada tahun 1998.


Kembara membantu kita untuk melihat sesuatu yang di luar rutin dan norma kebiasaan - selain meransang kita untuk mendengar suara kemanusiaan yang bersifat merentas sempadan geografi.





Saya teringat kepada satu wacana dalam naskhah skrip drama Muzikal Kampung Baru tulisan Dr Hatta Azad Khan (Pemenang SEA Write Award 2008) berkenaan jenis-jenis pelancong.


Saya membaca naskhah ini sekitar tahun 2009. Ingat-ingat lupa akan struktur wacananya. Pengarang menyebut bahawa terdapat beberapa jenis pelancong di atas muka bumi ini.


Antaranya - pelancong kaya yang datang ke ibu kota untuk berseminar, menghabiskan masa di bilik mewah hotel dan pusat membeli-belah. Kelompok ini tidak kisah serta tidak peduli dengan sejarah dan budaya masyarakat setempat.


Atau kelompok seterusnya - yang memilih untuk menginap di bilik yang lebih sederhana - tetapi bersemangat untuk meneroka sejarah, geografi dan budaya masyarakat tempatan. Kelompok ini sanggup untuk keluar masuk muzium, bertepuk tampar dengan nyamuk di dalam hutan, dan merasai sendiri pengalaman budaya di desa.


Kita pilih yang bagaimana?

Jumaat, Disember 14, 2012

Kembara ke Vientiane, Laos (iv)


Kami tidur lena dalam dakapan Nong Khai setelah kepenatan seharian merayau. Pagi rabu, kami bangun dengan bersemangat untuk menyambung kembara. 


Usai sarapan serba ringkas dengan biskut dan coklat yang dibawa dari Malaysia, kami menaiki tuk-tuk dengan bayaran 30 bath seorang untuk ke stesen bas Nong Khai dan seterusnya kembali ke Vientiane, Laos. Berdasarkan carian di internet, bas paling awal akan bergerak pada jam 7.30 pagi. 


Stesen bas


Kami tiba di stesen bas pada jam 7.00 pagi dan terus bergerak ke kaunter tiket. Malangnya, tiket sudah habis dijual dan bas sudah penuh. Sekiranya tetap mahu menaiki bas (dengan bayaran 55 bath), kami perlu menunggu trip seterusnya pada jam 9.30 pagi.


Kami memutuskan untuk merayau terlebih dahulu di sekitar Nong Khai - sebelum membuat keputusan sama ada; hendak menaiki teksi ataupun tekal mahu menunggu bas.


Pasar pagi sedang riuh di sebelah terminal bas. Pelbagai barang jualan - terutamanya barang basah, makanan dan kraftangan ada dijual - menjadi tumpuan masyarakat tempatan. 


Kami seterusnya menaiki tuk-tuk ke sempadan Thailand-Laos -  dengan bayaran 50 bath seorang. Setelah melalui prosedur urusan imegresen dan dicop di pasport sebagai sudah meninggalkan Thailand - kami meneruskan perjalanan dengan menaiki bas merentas Sungai Mekong. 




Selepas selesai urusan imegresen di Laos, kami mencari kenderaan seterusnya untuk ke pusat bandar Vientiane. Lokasi yang lebih spesifik, kami mahu ke Restoran Nazim di Chao Anou Rd. Ban Watchan. Kami bertiga menaiki van dengan harga 27,000 kip seorang. (RM10)


Restoran Nazim


Sesudah menikmati makan tengahari di Restoran Nazim, kami merayau pula di sekitar Vientiane. Kami sudah berada di pusat bandar dan kawasan menarik di sekitar bandar boleh dicapai dengan hanya berjalan kaki. 


Keadaan di dalam Restoran Nazim - agak eksklusif


Vientiane menampakkan cirinya sebagai sebuah ibu kota yang sedang membangunkan potensi pelancongannya. Para backpackers mat salleh dari Eropah kelihatan berjalan ke sana sini di ibu kota - meneroka sejarah Loas yang punyai ceritanya sendiri. 




Kami berjalan menuju ke tempat penginapan di Mixox Inn -  yang terletak di antara deretan kedai-kedai. Kami telah menempah bilik lebih awal melalui emel. 


Tempat penginapan


Kami membayar 170,000 kip untuk bilik bertiga - dengan setiap orang membayar kira-kira RM23. 





Setelah meletak barang di dalam bilik, kami kembali merayau di sekitar ibu kota. Kami menyewa basikal daripada sebuah kedai berhampiran dengan harga 10,000 kip (kira-kira RM3.90) untuk tempoh 24 jam.


Sewa basikal - 10,000 kip. 


Memandangkan waktu sudah hampir ke zohor, kami terus menuju ke Masjid Jamia - yang terletak di satu lorong berhampiran pejabat polis, di celah ibu kota Vientiane. Berdasarkan carian di internet, kami dimaklumkan hanya terdapat 2 buah masjid di Laos, dan kedua-duanya di Vientiane.




Masjid 2 tingkat dengan ruang solat di tingkat atas, dan tingkat bawah untuk ruang aktiviti dimakmurkan oleh komuniti Islam di sekitar ibu kota yang rata-ratanya terdiri orang Pakistan, Bangladesh dan warga tempatan.


Tuan Bilal Masjid Jamia (kiri)


Tiba waktu zohor, azan dilaungkan oleh bilal di corong pembesar suara. 





Ketika kehadiran kami zohor itu, jumlah jemaah seramai 5 orang - kami bertiga, bilal dan imam. Tuan imam memaklumkan - ketika solat jumaat diadakan - jemaahnya boleh mencecah kira-kira 200 orang. Jemaah di kariah ini juga mendirikan solat terawikh ketika Ramadhan dan menyembelih binatang korban ketika Aidiladha.




Seterusnya, kami meneruskan misi ronda-ronda Vientiane dengan menunggang basikal. Kami ke Lao National Museum, yang terletak di hadapan National Cultural Hall. Bayaran masuknya ialah 10,000 kip. Kamera tidak dibenarkan di bawa masuk. 



Muzium ini pada awalnya ialah bangunan kolonial Perancis dibuka pada tahun 2000 -  memuatkan beberapa ruang pameran mengikut fasa zaman - antaranya fasa zaman pra-sejarah, fasa kerajaan Lane Xang, fasa kolonial, perjuangan pembebasan dan kemerdekaan serta ruang pameran etnik






Pengisytiharan kemerdekaan Laos pada 1945 turut diadakan di bangunan ini. Untuk lebih memahami tentang sejarah dan geografi Laos, tempat ini ialah salah satu tempat yang wajib dikunjungi.



Seterusnya, kami menyusur jalan di Vientiane menuju ke Chao Anouvong Stadium - sekadar untuk ambil gambar kenang-kenangan.


Satu perkara yang kami perasan tentang Vientiane ialah pemandunya jarang-jarang menyembunyikan hon - dan wanita serta gadis-gadisnya tampil ayu dengan berbusana songket tradisional.


Daripada stadium - kami beransur ke Patuxay - yang secara literalnya dapat didefinisikan sebagai 'Gerbang Kemenangan.' Gerbang ini dibina sebagai satu dedikasi kepada para pejuang yang berkorban membebaskan Laos daripada cengkaman Perancis.



Di hadapan monumen Patuxay


Monumen 7 tingkat dengan ketinggian kira-kira 49 meter boleh didaki oleh pengunjung dengan yuran masuk 3,000 kip (RM1.20). Daripada puncak Patuxay, kami dapat melihat sekitar kota Vientiane dengan jelas.


Pemandangan dari atas Patuxay


Di dalam bangunan Patuxay, ada beberapa gerai menjual cenderahati untuk pengunjung. Kami mengambil kesempatan untuk membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke tanah air. Sehelai T-Shirt berharga kira-kira 20,000 kip (RM8)

Muiz sedang tawar menawar


Selepas puas menikmati pemandangan Vientiane di puncak Patuxay, kami beransur ke lokasi seterusnya - Talat Sao Mall. Berdasarkan maklumat di internet, pasar raya besar ini bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong asing, bahkan juga penduduk tempatan kerana ia menjual pelbagai barangan meliputi kain baju, VCD, barang-barang cenderamata, buku-buku sehinggalah kepada alat-alat elektrik.




Kami tiba di Talat Sao Mall sekitar jam 4.30 petang. Ketika itu - kebanyakan kedai sedang ditutup. Maghrib di Vientiane tiba sekitar jam 5.30 petang. Mungkin warga tempatan di sini sudah bersiap sedia untuk pulang ke rumah sebelum hari gelap. Kami hanya sempat membeli beberapa keping poskad untuk dipos ke Malaysia dengan kos setem 9,000 kip (RM3.50)


Cawangan Maybank di Laos. Dirasmikan oleh DS Najib pada  Nov 2012


Memandangkan hari semakin menginjak ke senja, kami mengambil keputusan untuk pulang ke bilik hotel.


Sebenarnya - ada satu tempat yang kami letakkan dalam perancangan - tapi tidak sempat dilawati atas kekangan masa. COPE Visitor Centre yang menjadi pusat pemulihan bagi mangsa UXO (Unexploded ordnance) - bahan letupan yang tidak meletup semasa digugurkan dan masih aktif serta berpotensi untuk meledak. Semasa perang USA-Vietnam, banyak bom yang turut tergugur di Laos. Bom-bom ini masih aktif dan masih mampu meragut nyawa.


Kami menunaikan solat maghrib di bilik. Malam ini kami merancang untuk melawat masjid kedua di Vientiane, Laos iaitu Masjid Azhar. Berbanding Masjid Jamia yang terletak di ibu kota, Masjid Azhar terletak agak jauh daripada bandar - kira-kira 3KM. Kami menaiki tuk-tuk dengan bayaran 30,000 kip setiap seorang.



Kariah Masjid Azhar terdiri daripada komuniti masyarakat Kemboja - seramai kira-kira 270 orang daripada 70 keluarga. Imam dan beberapa orang jemaah di dalam masjid ini mampu bertutur dalam bahasa Melayu - sekaligus memudahkan interaksi kami di sini.




Pulang daripada Masjid Azhar, kami terus mengambil basikal di hotel dan sambung meronda sekitar Vientiane. Di Dataran Sungai Mekong yang pada siangnya lengang, uptown mula riuh dan mengambil tempat  - dengan menjual pelbagai barangan seperti baju, tekstil, beg, lukisan - cenderung sebagai tarikan pengunjung luar dan masyarakat tempatan.


Selepas penat berjalan, kami singgah di Fathimah Restaurant - berhampiran uptown untuk menikmati roti canai dan teh tarik. Penebar roti canai dari Bangladesh di kedai ini pandai berbahasa Melayu kerana pernah bekerja di Brunei. Kami bertukar-tukar cerita tentang pengalaman hidup di perantauan.


Restoran Fathima. Berhampiran Dataran Sungai Meking


Malam semakin larut. Kami memulangkan basikal di kedai (setelah pusing-pusing bandar sekali lagi) dan kembali ke bilik untuk berehat setelah seharian merayau.


Dari jendela kamar, kami perhatikan - ada kupu-kupu malam di jalanan.


Khamis, Disember 13, 2012

Kembara ke Vientiane, Laos (iii)

Penerbangan kami dari LCCT ke Vientiane ialah pada pukul 7.35 pagi, 4 Disember 2012. Saya sudah tiba di sana pada tengah malam hari sebelumnya -  dengan menaiki penerbangan AirAsia dari Johor Bahru. Sekali lagi - harga tiket promosinya begitu menggoda. RM98 untuk penerbangan pergi-balik, hampir sama dengan harga tambang sekiranya saya menaiki bas.


LCCT tidak tidur malam itu. Manusia sesak memenuhi terminal dan perlahan-lahan bersurai pabila malam semakin larut.  Saya duduk menanti dua rakan yang lain di medan selera - sambil membaca dan menulis beberapa catatan.


Penerbangan daripada Kuala Lumpur ke Vientiane, Laos mengambil masa kira-kira 2 jam 35 minit. Sekiranya melalui jalan darat, jarak yang perlu ditempuh ialah 2,157 KM - dan perlu melintasi Thailand.


Kabin kapal terbang penuh dengan penumpang.  Sebahagian besar berwajah Asia dan tidak kurang juga pengembara dari Eropah. 





Sambil memandang ke luar jendela pesawat, fikiran saya menerawang jauh - memikirkan bagaimanakah -agaknya keadaan kota yang sedang dituju. Kali ini tempat yang dituju agak asing. Mungkin juga tidak popular dalam kalangan pelancong dari Malaysia - sekiranya hendak dibandingkan dengan Medan, Bali, Phuket dan sebagainya.


Saya sendiri baru tahu bahawa Vientiane ialah ibu kota Laos. Sebelum ini, kerap saya terkeliru dengan Vienna - ibu kota Austria, ataupun Venice - sebuah kota di Itali - memandangkan ejaannya yang mirip - bermula dengan V.


Tidak banyak yang kami tahu berkenaan Laos. Sebuah negara yang pernah dijajah oleh Perancis. Mempunyai sejarah pemerintahan monarki yang panjang. Mempunyai tapak arkeologi pra-sejarah. Hampir ini saja radius pengetahuan kami.


Kami tiba di Wattay International Airport ketika matahari sedang mendaki ke takah rembang. Laos berada pada kedudukan GMT+7 , sementara Malaysia GMT+8. Oleh itu, kami perlu menolak sejam daripada waktu di jam tangan masing-masing untuk waktu di Laos.


Wattay International Airport ialah sebuah lapangan terbang antarabangsa yang menghubungkan beberapa negara - antaranya Thailand, China, Korea, Vietnam dan Malaysia.


Sebagai wang saku - semasa di tanah air, saya telah menukar wang sebanyak RM309 - menjadi 3000 bath. Seterusnya di Laos, saya menukar 1500 bath kepada 391,095 kip. Bath ialah mata wang Thailand dan Kip ialah mata wang Laos. Kesimpulannya, saya membawa bekal sebanyak 1500 bath dan 391,095 kip di negeri asing ini - selain keberanian untuk meneroka dan tawakkal kepada Illahi.


Di lapangan terbang, kami mencari kenderaan untuk ke pusat bandar. Kami mulanya mencari tuk-tuk - motor roda tiga yang dikatakan lebih murah - tetapi tidak kelihatan di sekitar lapangan terbang.


Mungkin kerana melihat tiga wajah asing yang termangu-mangu, datang seorang pegawai keselamatan menyarankan kami pergi ke kaunter untuk membeli kupon dan mengambil teksi ke pusat bandar. Kami bayar sebanyak 57,000 kip untuk satu teksi di kaunter dan kemudian dibawa oleh seorang pemandu ke teksinya. Mungkin cara ini untuk mengelakkan kehadiran ulat tiket di lapangan terbang dan pengembara yang datang tidak dikenakan bayaran yang tinggi melangit.


Setiap seorang daripada kami membayar kira-kira 19,000 kip, bersamaan kira-kira RM7 - dan lokasi yang dituju ialah Terminal Bas Vientiane, kerana kami mahu ke Nong Khai, Thailand.


Satu perkara yang unik berkenaan pemanduan di Laos ialah - kenderaannya dibina untuk pemanduan di bahagian kiri - berbanding dengan di Malaysia - di bahagian kanan.


Pemandu di sebelah kiri

Untuk ke terminal bas, kami perlu melalui pusat bandar. Kami berpeluang melihat keadaan ibu kota Laos ini. Bandar yang sederhana,  tanpa bangunan pencakar langit yang serba moden, majoriti dengan bangunan setinggi 3 tingkat, dengan kebanyakan jalan sehala di jalan utama ibu kota - mengingatkan saya dengan pekan Tanjung Malim di Perak, Malaysia.


Di dalam teksi, pemandu membuka radio yang memainkan lagu penyanyi Laos yang mendayu-dayu.




Setibanya di terminal bas, kami mencari bas - dari Vientiane ke Nong Khai, Thailand. Bas seterusnya ialah pada pukul 12.40 tengahari, sedangkan ketika itu baru pukul 10 pagi. Alternatifnya yang ada, kami menaiki teksi (sekali lagi) untuk ke sempadan Laos-Thailand dengan bayaran 20,000 kip seorang. Berbanding dengan menaiki bas yang akan terus tiba ke destinasi, dengan menaiki teksi - kami perlu untuk menukar kenderaan untuk beberapa kali.


Bahasa rasmi/utama di Laos ialah bahasa Lao. Penguasaan bahasa Inggeris agak lemah dalam kalangan masyarakat umum, namun golongan pelajar dan pekerja dalam industri pelancongan mampu berbahasa Inggeris dengan agak baik. 


Di dalam bas mini, sewaktu menyeberang Sungai Mekong


Salah satu cabaran paling besar ialah untuk berkomunikasi. Umpama bahasa ayam dan itik. Kesukaran untuk berkomunikasi ini menyebabkan kami kadang-kadang lebih banyak menggunakan bahasa badan, menggayakan isyarat dan menunjukkan lokasi di peta - selain penggunaan kalkulator untuk urus niaga.



Menyeberang Sungai Mekong


Selesai urusan di imegresen Laos, kami menaiki bas mini untuk merentas Sungai Mekong - melalui Thai-Laos Friendship Bridge sejauh 1170 meter untuk ke imegresen Thailand. Bayaran untuk perkhidmatan ini ialah 4,000 kip (kira-kira RM1.50). Bas mini dipenuhi rakyat Laos dan Thailand yang mempunyai urusan masing-masing.


Lao-Thai Friendship Bridge


Setibanya di imegresen Thailand dan sesudah pasport dicop tanda ketibaan, kami mencari kenderaan seterusnya untuk ke pusat bandar Nong Khai. Kami hendak terus menuju ke Mariam Restaurant yang berlokasi di 850/5 Prajak Road, Nong Khai Thailand 43000 (0868664795) - berdasarkan carian di internet.


Masalah komunikasi sekali lagi timbul. Pemandu teksi dan tuk-tuk sukar memahami hasrat kami dan kami juga tidak dapat menyampaikan mesej dengan baik - sehinggalah interaksi berlarutan selama beberapa minit.


Akhirnya, kami menaiki tuk-tuk ke restoran tersebut dengan bayaran 140 bath (47 bath seorang - kira-kira RM4.70).

Menaiki tuk-tuk

Restoran Mariam dimiliki oleh Shtisham Haq, warga Pakistan yang berkahwin dengan wanita tempatan. Beliau juga merupakan Pengerusi Persatuan Muslim Nong Khai. 


Restoran Maryam di Nong Khai, Thailand


Setibanya kami di Restoran Mariam, kami disambut oleh penjaga kedai dengan bahasa Melayu, dialek Kelantan. Oh akhirnya, setelah berpenat lelah berkomunikasi dengan bahasa ayam dan itik di sepanjang perjalanan, dapat berbicara dalam bahasa Melayu di sini ialah satu nikmat yang amat besar.


Restoran Maryam


Kami berbual-bual bersama pemilik restoran tersebut. Menurut beliau, komuniti Muslim di Nong Khai ialah sangat kecil. Walaupun begitu, terdapat sebuah masjid kecil yang terletak kira-kira tiga kilometer dari pekan Nong Khai berikutan penghijrahan penduduk Islam dari selatan Thailand selepas berlaku pergolakan di sana.


Kadar bayaran tuk-tuk


Selepas menikmati makan tengahari dengan kos kira-kira 47 bath seorang (kira-kira RM4.70), kami terus merayau untuk mencari bilik di hotel bajet. Kami memilih untuk menginap di Hotel Huan-Lai yang terletak di Bunterngjit Road dengan bayaran 500 bath (kira-kira RM16.70 seorang). Bilik yang boleh memuatkan tiga orang - dengan penghawa dingin, televisyen dan pemanas air mandi. Cukup untuk menghilangkan penat dan kantuk kami bertiga - selepas tidak tidur selama semalaman.


Nong Khai, dari balkoni kamar


Setelah hilang penat, kami turun ke lobi hotel - untuk sambung merayau di Nong Khai. Berdasarkan carian awal di internet, kami seterusnya merancang ke Nong Khai Aquarium yang terletak di Universiti Khonkaen.  Pusat ikan ala-ala Aquaria, KLCC ini dibina untuk memelihara ikan air tawar yang mendiami Sungai Mekong. Sungai Mekong ialah antara lokasi yang menampung kekayaan biodiversiti utama di dunia. Bagi orang asing, bayaran yang dikenakan ialah 100 bath.





Perjalanan dari pusat bandar ke Nong Khai Aquarium agak jauh. Kami melalui jalan-jalan utama dan menyusup ke jalan kampung. Pelbagai panorama dapat kami lihat sepanjang perjalanan.


Polis trafik mengawal jalan raya ketika waktu puncak


Petang kian menginjak ke senja. Kami pulang ke bilik untuk merehatkan diri.


Tesco!

Malam di Nong Khai sunyi sepi. Kedai-kedai ditutup awal. Selepas Isyak, kami keluar berjalan kaki ke Dataran Sungai Mekong. Beberapa gerai makanan dibuka di sepanjang dataran. Kelihatan kelibat warga tempatan dan Mat Saleh duduk menikmati bayu malam daripada Sungai Mekong. Sekumpulan remaja bermain futsal di dataran. Suasana sunyi dan Mekong mengalir tenang.


Menyusur di Dataran Sungai Mekong


Hasrat kami untuk membeli cenderamata di gerai sepanjang Dataran Mekong tidak kesampaian kerana ia sudah ditutup.




Nong Khai sememangnya cuma sebuah pekan kecil di sempadan. Oleh itu tidak - hairanlah lenanya terlalu awal.

Nong Khai


Kami pulang ke bilik, menikmati mee segara yang dibawa dari Malaysia - dan seterusnya berehat untuk mengumpul tenaga bagi hari seterusnya. 



Peta Nong Khai


Rabu, Disember 12, 2012

Kembara ke Vientiane, Laos (ii)


Saya sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang Laos sebelum kembara ini. Tentang sejarahnya, geografinya, politiknya, masyarakatnya dan segala aspek yang berkaitan. Jika ada yang meminta saya untuk menunjukkan kedudukan negara ini dalam peta dunia, nescaya saya hanya akan mengeleng-gelengkan kepala.


Yang saya tahu - negara ini terletak di Asia Tenggara dan pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA 2009. 


Hanya setelah melakukan kajian dan pembacaan lanjut, barulah saya lebih mengerti serba sedikit sejarah Laos yang majoritinya didiami etnik Lao.


Kedudukan negara di Asia Tenggara


Seperti tahun 2011, ketika kami ke Banda Aceh, Indonesia - idea 'gila' untuk kembara backpackers ke negara lain datang secara mengejut.


Kami pada awalnya sudah bersetuju untuk tidak ke mana-mana negara pada penghujung tahun ini. Saya secara peribadi sudah merancang untuk kembara seorang diri menaiki Keretapi Tanah Melayu (KTM) ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. 


Dan Alhamdulilah, pelawaan daripada Dewan Bahasa & Pustaka wilayah Selatan untuk menyertai Program Ziarah Seni 3- Rentas Semenanjung- Kembara Bahasa 2012 telah menyempurnakan sebahagian hajat saya. Program yang bermula di Stesen Keretapi Woodlands, Singapura dan berakhir di Stesen Keretapi Butterworth, Penang - dipenuhi dengan aktiviti berkaitan bahasa dan sastera. (dan ianya percuma!)


Sama seperti skrip pada tahun terdahulu - dua minggu sebelum tarikh kembara, rakan saya - Abdul Muizz  menghubungi; memaklumkan ada tiket penerbangan promosi (yang secara relatifnya murah) ke Vientiane, Laos. RM207 untuk penerbangan pergi-balik. Menggoda bukan? (Harga semasa boleh mencecah RM500-RM1000 untuk penerbangan pergi-balik; berdasarkan semakan ketika entri ini ditulis) 


Setelah berfikir panjang, kami bertiga sepakat bersetuju dan menempah tiket penerbangan. 


Masa seminggu yang ada sebelum penerbangan ke Laos saya gunakan sebaiknya untuk melakukan carian/bacaan/kajian di internet dan buku berkenaan tempat-tempat menarik di Vientiane. Dunia kini di hujung jari. Internet sangat banyak membantu saya untuk mendapatkan gambaran tentang struktur geografi dan sosiobudaya masyarakat Laos.


Antara laman yang membantu saya ialah wikitravel, wikimapia, wikipedia, tripadvisor, lonelyplanet, google map, google translater, blog-blog persendirian, pusat informasi pelancongan tempatan dan pelbagai lagi.


Sekiranya semasa ke Banda Aceh, Indonesia - Abdul Muizz yang menjadi perancang utama, kali ini saya pula yang ditugaskan untuk merancang perjalanan.


Saya mencetak peta Vientiane di internet dan membulatkan dengan pen -  lokasi yang hendak kami tuju, selain menganggarkan jarak di antara satu lokasi dan ke lokasi yang lain (dengan bantuan google map) dan unjuran kos.


Vientiane terletak di bahagian selatan Laos, berhampiran dengan Thailand dan dipisahkan dengan Sungai Mekong. 



Peta bandar Vientiane yang saya jumpa di internet, sangat membantu.


Theravada Buddhisme menjadi agama utama di Laos. Oleh itu, tidak hairanlah kuil-kuil boleh dijumpai dengan mudah di negara tersebut. Islam ialah agama minoriti di sana, sekitar 0.01% daripada keseluruhan populasi. (sumber: Wikipedia - Demographics of Laos, Religion in Laos dan pengamatan sendiri)


Setelah membaca peta bandar Vientiane, saya berpandangan bahawa tempat-tempat menarik di sana boleh kami lawati dalam masa sehari suntuk. Masih ada sehari masa kosong untuk kami isi.


Alang-alang sudah ke Laos, kami mulanya bercadang untuk ke bandar lain selain Vientiane. Misalnya ke Van Vieng, Luang Prabang, Vieng Xai (melawat gua markas tentera komunis - seperti mana The tunnels of Củ Chi di Ho Chin Minh City, Vietnam) dan beberapa bandar lain - namun kami melakukan kajian  lanjut, kami terpaksa akur bahawa bandar-bandar ini agak jauh dan mustahil untuk kami capai dalam masa kembara berdurasi 3 hari 2 malam. Kami hanya memilih untuk kembara selama tempoh waktu yang singkat kerana tarikh itu merupakan kombinasi harga untuk tiket penerbangan pergi dan balik yang paling murah.


Kesudahannya, kami merancang untuk menyeberang Sungai Mekong - menambah satu lagi cop negara asing di pasport merah masing-masing. Kami bercadang untuk ke Udon Thani, Thailand yang terletak 99KM daripada Vientiane, ataupun ke Nong Khai, Thailand yang jaraknya cuma 39KM.


Barangkali - hasil pengalaman daripada kembara yang terdahulu, masing-masing sudah arif tentang apa yang perlu dibawa. Pakaian sekadarnya - agar tidak membebankan sepanjang perjalanan, kompas - untuk arah kiblat, coklat - untuk tenaga segara, peta & dokumen berkaitan - untuk membantu memudahkan perjalanan.


InsyaAllah, catatan kembara kami ke Laos & Thailand akan saya kongsikan dalam entri yang seterusnya.


Di Dataran Sungai Mekong, Vientiane, Laos


Isnin, Disember 10, 2012

Kembara ke Vientiane, Laos (i)


"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Al-Hujuraat 49:13)


Kalam di dalam Al-Quran ini menolak saya jauh berkelana ke negeri orang; menjadi si perantau yang tekun memerhati corak budaya bangsa yang berbeza.


Kali ini kami ke Vientiane, Laos. Negara tanpa laut, yang berjiran dengan Thailand, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan China.


InsyaAllah, akan saya kongsikan catatan perjalanan ringkas kembara tersebut sekiranya berkelapangan.



Related Posts with Thumbnails