Saya sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang Laos sebelum kembara ini. Tentang sejarahnya, geografinya, politiknya, masyarakatnya dan segala aspek yang berkaitan. Jika ada yang meminta saya untuk menunjukkan kedudukan negara ini dalam peta dunia, nescaya saya hanya akan mengeleng-gelengkan kepala.
Yang saya tahu - negara ini terletak di Asia Tenggara dan pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA 2009.
Hanya setelah melakukan kajian dan pembacaan lanjut, barulah saya lebih mengerti serba sedikit sejarah Laos yang majoritinya didiami etnik Lao.
Kedudukan negara di Asia Tenggara |
Seperti tahun 2011, ketika kami ke Banda Aceh, Indonesia - idea 'gila' untuk kembara backpackers ke negara lain datang secara mengejut.
Kami pada awalnya sudah bersetuju untuk tidak ke mana-mana negara pada penghujung tahun ini. Saya secara peribadi sudah merancang untuk kembara seorang diri menaiki Keretapi Tanah Melayu (KTM) ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Dan Alhamdulilah, pelawaan daripada Dewan Bahasa & Pustaka wilayah Selatan untuk menyertai Program Ziarah Seni 3- Rentas Semenanjung- Kembara Bahasa 2012 telah menyempurnakan sebahagian hajat saya. Program yang bermula di Stesen Keretapi Woodlands, Singapura dan berakhir di Stesen Keretapi Butterworth, Penang - dipenuhi dengan aktiviti berkaitan bahasa dan sastera. (dan ianya percuma!)
Sama seperti skrip pada tahun terdahulu - dua minggu sebelum tarikh kembara, rakan saya - Abdul Muizz menghubungi; memaklumkan ada tiket penerbangan promosi (yang secara relatifnya murah) ke Vientiane, Laos. RM207 untuk penerbangan pergi-balik. Menggoda bukan? (Harga semasa boleh mencecah RM500-RM1000 untuk penerbangan pergi-balik; berdasarkan semakan ketika entri ini ditulis)
Setelah berfikir panjang, kami bertiga sepakat bersetuju dan menempah tiket penerbangan.
Masa seminggu yang ada sebelum penerbangan ke Laos saya gunakan sebaiknya untuk melakukan carian/bacaan/kajian di internet dan buku berkenaan tempat-tempat menarik di Vientiane. Dunia kini di hujung jari. Internet sangat banyak membantu saya untuk mendapatkan gambaran tentang struktur geografi dan sosiobudaya masyarakat Laos.
Antara laman yang membantu saya ialah wikitravel, wikimapia, wikipedia, tripadvisor, lonelyplanet, google map, google translater, blog-blog persendirian, pusat informasi pelancongan tempatan dan pelbagai lagi.
Sekiranya semasa ke Banda Aceh, Indonesia - Abdul Muizz yang menjadi perancang utama, kali ini saya pula yang ditugaskan untuk merancang perjalanan.
Saya mencetak peta Vientiane di internet dan membulatkan dengan pen - lokasi yang hendak kami tuju, selain menganggarkan jarak di antara satu lokasi dan ke lokasi yang lain (dengan bantuan google map) dan unjuran kos.
Vientiane terletak di bahagian selatan Laos, berhampiran dengan Thailand dan dipisahkan dengan Sungai Mekong.
Peta bandar Vientiane yang saya jumpa di internet, sangat membantu. |
Theravada Buddhisme menjadi agama utama di Laos. Oleh itu, tidak hairanlah kuil-kuil boleh dijumpai dengan mudah di negara tersebut. Islam ialah agama minoriti di sana, sekitar 0.01% daripada keseluruhan populasi. (sumber: Wikipedia - Demographics of Laos, Religion in Laos dan pengamatan sendiri)
Setelah membaca peta bandar Vientiane, saya berpandangan bahawa tempat-tempat menarik di sana boleh kami lawati dalam masa sehari suntuk. Masih ada sehari masa kosong untuk kami isi.
Alang-alang sudah ke Laos, kami mulanya bercadang untuk ke bandar lain selain Vientiane. Misalnya ke Van Vieng, Luang Prabang, Vieng Xai (melawat gua markas tentera komunis - seperti mana The tunnels of Củ Chi di Ho Chin Minh City, Vietnam) dan beberapa bandar lain - namun kami melakukan kajian lanjut, kami terpaksa akur bahawa bandar-bandar ini agak jauh dan mustahil untuk kami capai dalam masa kembara berdurasi 3 hari 2 malam. Kami hanya memilih untuk kembara selama tempoh waktu yang singkat kerana tarikh itu merupakan kombinasi harga untuk tiket penerbangan pergi dan balik yang paling murah.
Kesudahannya, kami merancang untuk menyeberang Sungai Mekong - menambah satu lagi cop negara asing di pasport merah masing-masing. Kami bercadang untuk ke Udon Thani, Thailand yang terletak 99KM daripada Vientiane, ataupun ke Nong Khai, Thailand yang jaraknya cuma 39KM.
Barangkali - hasil pengalaman daripada kembara yang terdahulu, masing-masing sudah arif tentang apa yang perlu dibawa. Pakaian sekadarnya - agar tidak membebankan sepanjang perjalanan, kompas - untuk arah kiblat, coklat - untuk tenaga segara, peta & dokumen berkaitan - untuk membantu memudahkan perjalanan.
InsyaAllah, catatan kembara kami ke Laos & Thailand akan saya kongsikan dalam entri yang seterusnya.
Di Dataran Sungai Mekong, Vientiane, Laos |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan