Jumaat, Februari 24, 2012

Perusuh



"Tok! Tok! Tok!"


Rusuh datang mengetuk pintu bilik saya pada tiap-tiap petang. Saya yang baru sahaja melayangkan badan di atas tilam empuk setelah menempuh deretan kelas yang padat sepanjang hari terpaksa juga bangkit membuka pintu (yang sebenarnya tidak berkunci).


Saya sudah masak benar – sekiranya tidak dibuka pintu itu, ia akan terus menerus memburu saya. Ketakutan kadang-kadang melintasi jendela kamar yang sentiasa terbuka, kerana saya tenang memerhatikan bukit hijau di balik bilik dan tidak mahu menutupnya.


Kadang-kadang, ketakutan ini menjadi raksasa yang berwajah hodoh lagi gergasi sifatnya. Saya sedaya upaya menahan diri supaya tidak takut kepada ketakutan, kerana dia sebenarnya hanya wujud dalam dunia ciptaan sendiri.


Ketakutan bergabung dengan dadanya yang merusuh - menganggu saya, 7 hari seminggu, waima semasa saya sedang larut dalam kelas Encik B sekalipun. Saya cuba untuk menendang jauh-jauh kedua makhluk ini kerana mereka menarik-narik fikiran (dan baju) semasa saya sedang letih berlari-lari anak mengelilingi kampus.


Sudahlah. Berkata jujurlah sajalah – apa yang kalian mahu?


Selagi tuan mengarak alasan, selagi itulah kami akan menuntut hasil yang pernah dijanjikan. Lakukan sekarang (walaupun sedikit demi sedikit) atau kami akan akan terus mengekori tiap jejak dan bayang. Kata perusuh itu.


Saya bungkam.



Jumaat, Februari 10, 2012

Buku nota


Suatu ketika dahulu - kira-kira 10 tahun yang lepas, ayah pernah membekalkan sebuah buku nota kecil kepada kami, adik beradik yang sudah masuk ke sekolah rendah.


Kata ayah - buku nota ini gunanya untuk mencatat kerja-kerja sekolah yang diberi oleh cikgu. Dan begitulah ayah selalunya akan memeriksa buku nota kami untuk pastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya.


Hasilnya, kehidupan kami lebih teratur.


Selepas tamat sekolah rendah dan masuk ke sekolah asrama untuk sekolah menengah, saya cuba-cuba juga untuk teruskan budaya ini. Namun selalunya gagal.


Tetapi pada hari ini - dengan timbunan komitmen, tanggungjawab, minat, azam, janji dan sebagainya - hidup tanpa perancangan akan buat saya berserabut.


Tahun ini saya perlu cuba untuk kembalikan tabiat 10 tahun yang lepas. Membawa sebongkah perancangan di dalam fikiran ke sana sini, dan kemudian berfikir tentang hal yang lain pula akan buat saya tidak dapat fokus.


Walaupun kita sudah punyai teknologi telefon yang canggih-canggih, yang mampu untuk untuk tulis nota pada skrin sentuh - tapi saya adalah seorang yang konservatif. Menulis di telefon bimbit tidak lancar dan idea akan tersekat-sekat. Lebih asyik lihat tangan sendiri memegang pena dan bebas menari, mencantas, menconteng - di sini sana. Idea mengalir lebih lancar, harap-harapnya.


Tahun 2012 - saya berazam untuk manfaatkan sepenuhnya penggunaan diari untuk merancang.


Mari jadikan setiap hari berharga. Make Every Day Counts.








Jumaat, Februari 03, 2012

Impian

Pernah salah seorang guru kami berkata; Kamu semua masih muda. Oleh itu, jangan terlalu cepat melatah dan cepat menghukum orang lain.


Begitulah lebih kurang bicaranya.


Dalam hidup ini - tidak dapat tidak - persepsi, pandangan alam dan sistem nilai yang kita anuti dipengaruhi oleh persekitaran perjalanan hidup yang ditempuh, bahan bacaan yang dibaca, filem/drama/dokumentari yang ditonton, perbualan dengan orang lain yang kita jumpa, dan pelbagai faktor lain - yang memungkinkan kita melihat sesuatu isu/perkara itu pada sudut pandangan yang berbeza.


Sebenarnya - saya baru mula faham bahawa sesetengah perkara yang kita pelajari beberapa tahun yang lalu hanya akan mampu kita fahami pada hari ini - dek kerana ceteknya pengalaman hidup.


Dan dalam hidup ini - dalam kesibukan - kita perlu juga mencari masa untuk sekali sekala duduk merenung panjang akan hakikat kehidupan - melihat ke hadapan - di manakah agaknya diri kita berada ketika itu.


Sanggupkah kita terus menerus membiarkan roda kehambaran terus berputar - berlalu dan berlalu - pada tiap-tiap hari melewati tahun demi tahun. Atau kita memilih untuk keluar daripada ranah keselesaan dan menempuh satu jalan yang lebih mencabar.


Hidup biar dengan impian.


Khamis, Februari 02, 2012

Februari


Selamat datang Februari 2012.


Kata seorang guru saya ; jika kita berhadapan dengan masalah - duduk di atas masalah tersebut tidak akan menyelesaikannya. Malahan, kita yang akan berasa berat kerana terpaksa memikulnya ke sini sana.


Oleh itu - berusahalah menyelesaikan masalah itu sedikit demi sedikit dan jangan jadi manusia yang penakut.


Tahun 2012 sudah masuk ke bulan kedua. Januari sudah pun berlalu pergi meninggalkan diri. Dan seperti kebiasaannya, hari berlalu dengan sangat pantas.


Semester yang padat - dengan kelas pagi hingga petang pada kebanyakan hari. Di rak kayu, saya menambah koleksi buku-buku 'hutang' yang menanti masa untuk saya geledahi isinya. Dan saya perlu juga untuk mencuri-curi masa dan menangguhkan perkara-perkara kurang penting untuk mengambil masa membaca buku - merenung panjang pemikiran yang diangkat. Dan buku di pusat sumber juga perlu untuk saya belek daripada rak ke rak.


Begitu juga kerja mengkaji, merenung, mentafsir dan menulis yang selalu tertangguh. Perlu kembali berdisiplin dan diperkemaskan.


Sekarang adalah masa untuk merenung kembali kemajuan yang dicapai selepas sebulan azam 2012 digantung tinggi.


Adakah tahun ini sama seperti tahun sebelumnya? Ataupun tahun ini lebih baik lagi?


Anda tentukan.
Related Posts with Thumbnails