Saya sebenarnya segan sendiri apabila ada teman yang bertanya - buku apakah yang sedang dibaca pada masa ini? - dan judul buku yang saya berikan sebagai jawapan itu sebenarnya kali terakhir saya uliti beberapa minggu sebelum ini.
Sungguh - ada banyak buku yang sedang saya berhutang untuk membacanya; baik di rak buku di bilik kolej kediaman, rak buku di rumah mahupun di rak-rak buku perpustakaan. Masih banyak yang tidak dapat saya geledahi akan mutiara yang terkandung dalam tiap helaian muka surat.
Melewati usia 20-an, antara harapan saya ialah untuk membaca lebih banyak buku - meliputi pelbagai genre dan bidang - agar saya mampu untuk lebih memahami dunia. Namun - tidak dapat tidak - saya disibukkan juga dengan pelbagai urusan organisasi dan duniawi - yang menuntut saya untuk mengorbankan sebahagian besar masa.
Ahh - bukankah pengalaman hidup di tengah kampus realiti itu juga guru yang mengajar untuk menjadi lekas dewasa?
Saya khuatir juga dengan masa yang terasa begitu pantas berlalu - meninggalkan saya tanpa sebarang pengetahuan dan pembacaan baharu. Akibatnya, saya tidak dapat memaksimumkan penggunaan minda dan gagal membenihkan idea-idea serta pandangan yang baru.
Argh. Kebekuan intelektual, ketandusan spiritual dan kelesuan daya maju.
Dan kegagalan saya untuk menyediakan masa untuk membaca telah mempengaruhi rentak penulisan saya; yang kabur, diksi yang lemah, tiada pembaharuan, statik - argh. (Juga) Sudah lama tidak kemaskini Goodreads.
Sebuah buku; tidak ada harganya andai kekal berdebu di rak-rak - tanpa kita yang berusaha untuk menyelongkar isi dan maknanya.
Titipan pesan Puan Nisah Haron - "Cari waktu, bukan tunggu waktu" selalu berlegar-legar dalam fikiran saya.
Moga buku tidak lagi berdebu di rak kayu. Kita mulakan lagi azam baru. (lagi dan lagi.)
3 ulasan:
:: Membaca ::
~Tak kira masa dan tempat. Namun, ada elemen dengan GERAK hati untuk memilih bahan bacaan...
Ini nasihat saya, bila sudah bekerja, syukri memang akan tidak punya masa untuk membaca, soalnya sekarang bukan berapa banyak kita membaca, tetapi sejauh mana jumlah bacaan kita memberi manfaat kepada diri kita.
Tiada guna kalau banyak membanyak tetapi jumlah itu tidak langsung dapat membangunkan jiwa :)
Encik Azlan:
Terima kasih encik atas komentar, nasihat dan kunjungannya. saya amat menghargainya. :)
Ainunl:
Terima kasih kak atas nasihatnya. kadang-kadang saya yang suka sangat tekan diri sendiri. akhirnya, satu benda pun tak dapat dicapai secara sempurna. mungkin saya perlu belajar untuk berfikir secara lebih fokus :)
Catat Ulasan