Khamis, Mei 17, 2012

Jauh perjalanan, luas pandangan.


Semasa saya dan sahabat - Muizz Rasani ke Pulau Weh, Banda Aceh, Indonesia - pada bulan Disember tahun lalu, kami bersarapan di warung di atas tebing yang menghadap laut. Sungguh tenang, nyaman dan mendamaikan.


Turut bersama kami - menikmati sarapan lempeng kelapa - ketika itu adalah sepasang pelancong asing daripada Exeter, United Kingdom yang sedang bercuti di Asia Tenggara. Umurnya lebih kurang kami sahaja - awal 20-an. Mereka mahu mengambil lesen penyelam skuba di Pulau Weh.


Kami berbual-bual dan bertukar cerita bersama mereka sambil ditemani kopi Acheh yang hangat. Apa yang menarik perhatian saya mengenai pasangan ini ialah - mereka bekerja untuk mengumpul duit di Australia bagi membiayai pengembaraan mereka ke Asia Tenggara. Mereka merancang untuk mengembara selama setahun di negara Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan seumpama dengannya. Selepas setahun mengembara, barulah mereka akan kembali menyambung pengajian di universiti.


Gigih betul mereka meneroka dunia. Bisik hati kecil saya. Tidak hairanlah kita lazimnya dapat melihat mereka menjadi si backpacker yang berbajet rendah, memikul beg berat - untuk melihat dunia pada sisi yang berbeza.


Duh, bukankah moyang poyang kita juga satu masa dahulu adalah peneroka dunia yang mahsyur. Misalnya, Panglima Awang ataupun Enrique. Dan Ibnu Battuta si pengembara Islam yang tidak kurang mahsyur dan kaya pengalamannya.


Barangkali - kerana zaman kanak-kanak saya diwarnai dengan pembacaan novel Enid Blyton yang terkenal dengan siri pengembaraan lima sekawan - menyebabkan saya selalu ingin mencabar diri melihat tempat orang.






Dato' Haji Muhammad Zakaria dalam rencananya yang bertajuk 'Kembara Iman Melihat Kebesaran Tuhan' di ruangan Kembara, Solusi isu 42 ada menulis tentang manfaat mengembara dan kelebihan mengembara pada usia muda - yang pada saya sangat menyalurkan inspirasi.


Beliau menulis - manfaat mengembara pada hemat beliau ialah:


1. Pengalaman hidup

Mengembara ialah platform terbaik untuk mempelbagaikan pengalaman dan mengenal pasti tujuan hidup. Setiap tempat dan situasi akan memberi peluang untuk anda menikmati pelbagai pengalaman yang berbeza. Minat mengembara boleh dipupuk sejak kecil lagi.


2. Menjana ilmu

Pendidikan di luar lebih luas daripada pendidikan di dalam kelas dan ia boleh didapati melalui pengembaraan. Dengan mengembara, anda boleh meluaskan ilmu pengetahuan serta mencatat dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Anda akan menjadi semakin berkeyakinan, berani, bijak membuat keputusan dan menangani masalah.


3. Membentuk personaliti

Mengembara mewarnakan kehidupan anda. Bicara tentang pengembaraan kepada kawan-kawan dapat membuka mata mereka tentang anda dan dunia pengembaraan, malah anda mungkin menjadi inspirasi kepada mereka yang baru hendak keluar "melihat" dunia.


4. Mengayakan budaya

Pendedahan terhadap pelbagai budaya memberi impak kepada kehidupan anda. Dengan mempelajari budaya asing, anda dapat melihat sesuatu dari pelbagai perspektif. Seperti manusia, setiap budaya juga berbeza. Pertukaran budaya menjadikan anda lebih peka dengan keadaan sekeliling, minda lebih terbuka, fikiran luas ketika berbicara dan petah mengungkapkan pendapat.


5. Belajar berdikari

Apabila mengembara, semuanya bergantung kepada diri sendiri. Perlu juga diingat,kadar pergantungan anda kepada Allah juga tinggi.


6. Menjadi lebih bertanggungjawab

Anda bertanggungjawab menguruskan tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan, makan mimun, pasport dan perbelanjaan. Kesusahan dan kesulitan yang dialami menjadikan perjalanan anda lebih bermakna.


7. Belajar mengurus kewangan

Tiada zon selesa apabila anda keluar mengembara. Segala-galanya bergantung pada diri anda sendiri dalam mengawal keluar masuk kewangan. Pengembaraan menjadi platform terbaik untuk anda belajar mengurus kewangan.


Tambah Dato' Hj Muhammad Zakaria lagi - Terlalu banyak untuk dilalui dan dilihat di dunia ini. Kenapa harus tunggu di kemudian hari untuk menikmati kehidupan anda? Jangan tunggu lagi. Mulakan langkah pertama anda untuk menjelajah dunia. Terokailah dunia ketika anda masih muda.



Banda Aceh



Antara manfaat mengembara pada usia muda ialah : 

1. Lebih awal sedar akan keinginan dan potensi diri
2. Belum banyak komitmen
3. Lebih bebas
4. Mempunyai banyak tenaga
5. Belum berkahwin dan mempunyai anak
6. Belum terikat untuk mengurus aset seperti syarikat, tanah, bangunan dan kereta
7. Boleh mengembara lebih kerap dan jauh


Di Kampung Blang Krueng, Aceh



Jauh berjalanan, luas pengalaman, kaya pengetahuan. Ambillah yang terbaik dan buanglah yang buruk sebagai sempadan hidup.


"kalau kita ikut satu jalan
kita tak akan sesat
kita juga tak akan mengalami apa-apa."
- T. Alias Taib, catatan-catatan pendek.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pak Syukri, emang lempeng nyor nya enak, enggak? saya juga mahu bikin cicah sama sambal. enak kok. Acheh memang terkenal dengan pelbagai budaya terutama Islam. Saya senanh deh membaca travelognya.

Tanpa Nama berkata...

INSYAALLAH awl bulan 7 akan ke indonesia :)

Syukri Sapuan berkata...

Tanpa Nama @ Asilah:

nanti lepas tamat bulan Mei, saya siarkan versi asal rencana travelog tu di blog :)


Pandan:

Semoga selamat segala urusannya :)

Qawiem Khairi berkata...

Salam laik. Apa khabar?
Teruskan berkongsi. Moga Allah kasih.

Salam ukhwah juga. :)

Related Posts with Thumbnails