Selasa, Mei 08, 2012

Tentang harapan


(1)

Hari ini -  tempat saya belajar dikunjungi oleh pelajar yang datang untuk temuduga Kursus Perguruan Lepasan SPM (KLSPM). Pelajar-pelajar ini saya perhatikan -  ditemani oleh keluarga masing-masing.


(2)

DALAM kehidupan yang baru hendak mendaki angka awal 20-an ini, ada beberapa kata-kata daripada orang sekeliling yang sering bersipongang di dalam jiwa saya. Kata-kata ini sering sahaja berngiang-ngiang di cuping telinga dan membuatkan saya selalu bermenung panjang.


Antaranya adalah kata-kata daripada seorang guru saya semasa mengikuti satu kem motivasi sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)


“Apabila kamu sudah berkahwin dan menjadi bapa, barulah nanti kamu memahami bagaimana perasaan seorang bapa.” Tutur guru saya itu di hadapan pelajar tingkatan 5 yang sedang menghitung hari untuk menduduki SPM.


Saya yang ketika itu baru berusia 17 tahun hanya mengangguk tanpa menghadam kata-kata penuh makna tersebut. Kem motivasi anjuran pihak sekolah itu tamat setelah 3 hari dilangsungkan dan kami meneruskan rutin pembelajaran seperti biasa sehinggalah hari terakhir SPM.



Kenangan Tahun 2007


Seiring dengan pertambahan usia dan kematangan fikiran, saya mula faham bahawa sesetengah perkara yang kita pelajari pada hari ini hanya akan mampu kita fahami beberapa tahun kemudiannya. 


Saya berjaya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di salah sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) di selatan tanah air. Berada di peringkat pendidikan yang lebih tinggi selepas SPM memberi saya ruang untuk bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat yang beraneka karenah dan pandangan alam.


Semasa di IPG, saya pernah beberapa kali diamanahkan sebagai ahli jawatankuasa sambutan semasa hari pendaftaran pelajar baru. Tanggungjawab yang perlu saya laksanakan ialah menyambut pelajar dan ibu bapa yang tiba untuk mendaftar. Saya perlu untuk memastikan tetamu yang tiba berasa seronok di tempat baru dan dapat menyelesaikan segala urusan dengan lancar. 


Saya sedar bahawa ada sejalur cahaya harapan pada wajah ibu bapa ini. Mereka datang mendaftar bersama segunung pengharapan agar anak-anak mereka bisa dilentur menjadi manusia yang bermanfaat kepada masyarakat. Di penghujung hari pendaftaran, ibu bapa lazimnya akan meninggalkan anak mereka di kolej kediaman bersama kata-kata yang berbumbukan amanat dan harapan.


Misalnya, “Belajar rajin-rajin” ataupun “Solat jangan tinggal.”  


Interaksi ini walaupun ringkas namun tetap mengandungi kata-kata penuh makna. Ibu bapa sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Pada detik-detik beginilah, butir perkataan yang diucapkan oleh guru sekolah saya dahulu kembali muncul di kotak fikiran.


Seorang anak akan lebih memahami bagaimana perasaan seorang bapa apabila dia sendiri menjadi bapa. Apabila si anak memasuki fasa-fasa baharu di dalam kehidupannya, misalnya, memasuki tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi – seorang bapa akan sentiasa mengharapkan anaknya akan segera dapat menyesuaikan diri dan dapat menjadi menjadi manusia yang lebih baik.


Situasi yang hampir sama juga dapat saya rasai semasa menjadi fasilitator kem-kem motivasi cuti sekolah untuk para pelajar sekolah rendah. Ibu bapa menyerahkan anak-anak mereka yang ligat-ligat kepada barisan fasilitator dengan wajah penuh harapan agar anak mereka memperolehi sesuatu yang bermanfaat dan berubah menjadi manusia yang lebih baik.




Pada wajah mereka, ada sebongkah harapan yang harus kami galas.


(3)

Kadangkala, perlu untuk kita menekan butang pause di dalam diri – berhenti sejenak, menarik nafas dalam-dalam, beristighfar dan kembali merenung harapan yang disandarkan oleh keluarga. Sebagai remaja yang darah mudanya sedang membuak-buak kepanasan, bukanlah satu kewajaran buat kita untuk bertindak semberono tanpa berfikir panjang. Nikmat usia muda harus digunakan sebaiknya dengan mempersiapkan diri untuk membina keluarga dan ummah yang bervisikan akhirat agar kelangsungan generasi yang beriman dan bertakwa akan dapat diteruskan.


Harapan paling besar ibu bapa kepada anaknya ialah anak tersebut akan dapat menghulurkan ‘talian hayat’ apabila mereka sudah tiada lagi di dunia ini ; sepertimana yang diungkapkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:


Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."


Tepuk dada, sukat usaha. Sejauh mana kita memenuhi harapan mereka?


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sit back, and relax.

Lihat kebelakangan, pandang ke hadapan. Usah dilupa kiri dan kanan.

Sekeliling ini, memandang penuh harap, menambah amanah dalam diri.

Jika nafsu ditunggang sesuka hati, bagaimana hendak membentuk diri?

*entri bermanfaat. khusus buat tunas-tunas muda.

Related Posts with Thumbnails