Rabu, Oktober 10, 2012

Memaknakan Merdeka


ESEI
Memaknakan Merdeka
Oleh Syukri Sapuan (PISMP Sains Ambilan Januari 2011)


        “Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari."


       Demikianlah menurut sebuah peribahasa Inggeris yang terkenal. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini bukanlah sebuah perjuangan yang baru dimulakan semalam. Selama 446 tahun lamanya daulat bumi watan ini bersilih-ganti dicemari penjajah asing  yang mengaut satu per satu hasil kekayaan tanah bertuah. Rembesan air mata suci serta titisan darah perajurit silih berganti mengalurkan jalan menuju pembinaan sebuah negara merdeka.


Generasi pasca merdeka sering digembar-gemburkan sebagai satu barisan generasi yang alpa dan kurang patriotik. Mereka dikatakan terus menghirup udara segar kemerdekaan sedari lahir dan tidak bersusah-payah menentang kolonialis rakus. Generasi ini perlu untuk disedarkan tentang makna sebenar kemerdekaan kerana di tangan merekalah nanti kesinambungan  hayat perjuangan akan diteruskan. Lebih-lebih lagi, tugas mengisi kemerdekaan itu jauh lebih mencabar berbanding untuk mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan adalah amanah yang perlu dipertahankan kerana penjajahan mampu menyerkap manusia dengan penjajahan versi baru tanpa kita sedari.


     Indikator yang lazimnya digunakan untuk mengukur tahap patriotisme rakyat adalah bilangan Jalur Gemilang yang dikibarkan. Jika banyak deretan Jalur Gemilang yang berkibar megah, maka individu tersebut akan dikelaskan sebagai rakyat Malaysia yang patriotik. Tidak hairanlah sekiranya bulan kemerdekaan di negara kita akan dipenuhi dengan aktiviti kempen mengibar bendera. Namun, adakah kayu pengukur tahap patriotisme hanya terbatas pada skop yang sebegini kecil?


       Kehebatan sesebuah tamadun terletak pada manusia, bukan hasil ciptaannya. Apakah ertinya jika kita memiliki bangunan-bangunan pencakar langit yang serba moden, sedangkan pembangunan karakter insan yang berpekerti mulia tidak kita tumpukan. Barangkali yang akan terjadi adalah kita mampu untuk memiliki kemudahan awam kelas pertama, namun mentaliti masyarakat masih berada di kelas ketiga. Jenayah-jenayah kolar putih dan biru akan membarah kesan daripada pembangunan fizikal yang tidak seiring dengan pembangunan rohani. Kita hanya akan melahirkan ‘robot-robot’ yang bijak pandai namun kosong jiwanya. 


         Oleh itu, sistem pendidikan negara hendaklah diperkasakan agar Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk membina peradaban yang unggul. Apabila sistem pendidikan kita mampu untuk melahirkan individu yang bermentaliti kelas pertama, masyarakat Malaysia akan dikenali sebagai kelompok masyarakat yang produktif kerana memiliki nilai-nilai seperti menepati masa, berintegriti dan berdaya-saing. Hal ini sekaligus akan memacu Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi, sekaligus menjadikan kemerdekaan yang kita kecapi lebih bermakna. Nah, bukankah ini juga patriotik?


         Peribahasa Cina ada menyatakan bahawa, “Jika kamu merancang untuk satu tahun, tanamlah gandum. Jika kamu merancang untuk satu ribu tahun, tanamlah (didiklah) manusia.”


         Peribahasa ini tepat untuk menggambarkan bahawa manusia adalah faktor paling penting sekiranya kita ingin melakukan perubahan. Untuk mengubah sistem yang ada, maka ubahlah manusianya.


        Kemerdekaan yang sudah digapai selama lebih 5 dasawarsa ini akan lebih bermakna seandainya kita berjaya mewujudkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang utuh. Dunia pada hari ini adalah sebuah ruang yang sangat mencabar. Melalui media baru, budaya-budaya kuning menjadi produk merbahaya yang meracuni pemikiran generasi muda sekaligus merosakkan akar tradisi warisan leluhur. Serangan budaya baru ini turut dirasai di seluruh dunia, di mana anak-anak muda cenderung untuk melupakan tradisi bangsa mereka. Sebagai contoh, gadis-gadis muda di Jepun kurang berminat untuk memakai kimono, iaitu pakaian tradisional bangsa mereka. Generasi muda perlu diingatkan bahawa mereka perlu untuk mempunyai kefahaman yang jelas terhadap budaya yang mereka ikuti. Profesor Dr. Syed Naquib Al-Attas mengkritik orang yang tidak memahami budayanya sendiri dan dalam masa yang sama tidak memahami budaya Barat. Sarjana besar ini mengumpamakan golongan manusia sebegini sebagai tumbuhan teratai, di mana akarnya tidak menjejak ke dasar dan pucuknya juga tidak mencecah ke awan. Generasi muda perlu meneliti tradisi warisan leluhur agar identiti bangsa yang diwariskan akan kekal malar segar dan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Seharusnya kita menjadi seperti buluh yang akar serabutnya padu mengenggam tanah.  Dengan adanya jati diri yang mapan, sekurang-kurangnya kita akan mampu untuk menangkis budaya kuning yang menerkam di setiap penjuru kehidupan.


           Perjuangan para negarawan untuk mendapatkan kemerdekaan pasti tidak akan bermakna seandainya anak muda hari ini terus menerus keasyikan membiarkan diri mereka dipasung mindanya untuk menyembah berhala hedonisme. Kemerdekaan yang dikecapi hanyalah pada luaran semata-mata, sedangkan penjajahan minda masih giat berlaku. Kesannya, generasi muda akan mengalami kecelaruan identiti, tidak bersikap patriotik serta tidak berjiwa merdeka. Harus diingat bahawa golongan belia merupakan golongan terbesar penduduk Malaysia. Golongan muda merupakan bakal penyambung mata-mata rantai perjuangan untuk mengisi kemerdekaan. Untuk melihat pemimpin masa depan negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Andai berkualiti generasi muda pada hari ini, berkemungkinan besar perjuangan kemerdekaan kita akan terus berlegar pada orbitnya. Generasi yang berkualiti adalah generasi yang mampu menukarkan cabaran menjadi peluang untuk digarap.


        Jika dilihat pada realiti hari ini, generasi muda sering dilabelkan sebagai golongan yang bermasalah. Generasi muda dipalitkan dengan dengan pelbagai isu. Antaranya ialah samseng, dadah, ragut dan zina. Antara faktor yang menyebabkan berlakunya hal-hal ini adalah akibat daripada kurangnya didikan agama yang mengakibatkan kekosongan jiwa, jahil dan tiada prinsip hidup. Para hukama sejak dahulu menegaskan bahawa satu-satu tamadun akan jatuh apabila akhlak masyarakatnya runtuh. Sekiranya dilihat pada situasi di Tanah Melayu suatu ketika dahulu, akibat akhlak pembesar dan rakyat yang merudum, empayar Melayu Melaka tersembam di kaki Portugis pada tahun 1511.  Prinsip akhlak dan moral hendaklah diberi penekanan dalam jiwa setiap rakyat Malaysia, khususnya generasi muda. Sekiranya akhlak dan moral sudah dimantapkan, barulah keamanan yang lebih baik akan kita kecapi. Apakah maknanya kemerdekaan sekiranya kita sendiri berasa tidak selamat untuk keluar pada waktu malam gara-gara berleluasanya kejadian jenayah? 


            Selaku generasi pasca merdeka, kita perlu segera sedar dan keluar daripada kepompong ‘pecah dan perintah’ tajaan kolonialis. Simfoni keharmonian yang dimainkan secara bersama oleh masyarakat majmuk yang berbilang bangsa di Malaysia pastinya akan terasa begitu lunak didengari andainya perpaduan yang menjadi resepi kejayaan kita selama ini dapat dicapai secara mutlak. Sekiranya masalah perkauman ini tidak dapat ditangani dengan berhemah, masyarakat akan melahirkan kebimbangan terhadap masalah perselisihan kaum yang mungkin berlaku dan ia boleh diibaratkan sebagai ancaman bom jangka yang menanti masa untuk meledak. Setiap warganegara harus memainkan peranan yang penting dalam mengawal sentimen perkauman dengan cara menghormati adat resam kaum lain serta bertoleransi apabila berdiskusi tentang urusan yang melibatkan hubungan kaum. Fokuslah pada titik persamaan yang wujud pada pendirian dan tidak bersandar pada perbezaan buah fikiran semata-mata. Biarkanlah api perkauman yang pernah marak pada 13 Mei 1969  padam buat selama-lamanya. Setiap daripada kita juga harus tekun menyelusuri denai sejarah kemerdekaan negara. Barang siapa yang tidak mengetahui sejarah masa lalunya akan sulit untuk memahami keadaannya sekarang. Di samping itu, dia juga akan sulit untuk merancang masa depannya. Dalam konteks sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan etnik, adalah perlu untuk kita memahami sejarah dan bertindak menterjemahkan kefahaman tersebut dengan cara menjadi warganegara Malaysia yang  mampu untuk menjadi agen penyatu masyarakat. Dengan cara ini, kemerdekaan yang kita cicip bersama akan menjadi lebih bermakna.


           Tugas menegakkan rumah kemerdekaan ini bukannya satu kerja yang mudah. Lantainya disimbah air mata, dindingnya tertegak atas tulang-temulang, atapnya disulam dengan peluh dan keringat. Setiap seorang daripada rakyat Malaysia perlu sedar bahawa mereka juga memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa hadapan negara. Impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju mengikut acuannya yang tersendiri pasti akan terlaksana seandainya setiap daripada kita sedar akan tanggungjawab berat yang tergalas untuk mewariskan kemerdekaan ini kepada generasi yang seterusnya. Patriotisme harus dilihat dalam konteks yang lebih luas dan bukan sekadar pada ‘ritual’ mengibar bendera semata-mata. Kemerdekaan adalah peluang untuk menggunakan sumber-sumber yang dimiliki untuk membangunkan tanah air tercinta tanpa campur tangan kuasa asing. Memetik kata-kata Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas,


        “Persoalan kita bukanlah pada kurangnya sumber-sumber kewangan, material, spiritual, dan intelektual, melainkan yang lebih penting adalah keengganan kita untuk meletakkan setiap sumber yang kita miliki pada tempatnya yang benar dan tepat." 


           Adalah satu keperluan buat setiap warga Malaysia untuk menjadikan kemerdekaan yang kita miliki ini mempunyai rohnya yang  tersendiri. Adalah amat malang sekiranya kemerdekaan hanya disambut secara bersorak-sorai di Dataran Merdeka saban tahun tanpa kita memahami akan makna kemerdekaan yang sebenarnya.


           Di balik runtuhan kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka! 


Tempat Pertama, Pertandingan Mengarang Esei Kemerdekaan 2011,
Anjuran Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Tun Hussein Onn




Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails