Selasa, November 20, 2012

Bingkisan 2012


Cuti semester sudah bermula kira-kira seminggu dan masih berbaki 6 minggu. Kehadiran cuti panjang ini memberi bermakna - saya mempunyai lebih banyak masa untuk keluar daripada rutin kuliah dan melakukan aktiviti bebas.


Membaca kembali azam yang dipasakkan tika melangkah ke tahun baru, sambil menoleh 11 bulan yang telah berlalu, saya rasakan ada banyak lagi aspek yang boleh diperbaiki.


Tahun 2012 - saya kira tahun yang agak padat dan bermakna, namun kelesuan masih menghantui.





Daripada aspek penulisan, sebanyak 9 karya menembusi media - meliputi 3 rencana, 4 puisi dan 2 cerpen, selain sebuah puisi memenangi Sayembara Mengarang Puisi Negeri Johor 2012. Jumlah ini saya kira masih jauh dari sasarannya, gara-gara kelesuan minda dan kemalasan untuk berfikir secara kreatif & kritis (kemandulan minda?)


Sepanjang tahun 2012, saya melanggan 4 buah majalah (Dewan Masyarakat, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Libur) , selain membeli buku, novel dan majalah-majalah lain (Dewan Sastera, Milinea Muslim, Solusi) bergantung kepada isu yang ditampilkan. Adapun (antara) kelemahan ketara saya ialah kegagalan untuk habis membaca sebahagian buku tersebut dan melakukan pembacaan secara lebih kritikal. 


Mungkin - kegagalan saya ini ada kaitannya dengan kepadatan jadual hidup sepanjang 2 semester ini. Saya mewakili kampus ke Pertandingan Pidato Integriti Antara Institut Pendidikan Guru Malaysia dan Pertandingan Debat Perpaduan Antara Institut Pendidikan Guru Malaysia pada April 2012. Selain itu, hujung-hujung minggu selalu terisi dengan aktiviti anjuran NGO dan lain-lain. Saya mengemudi Exco Pendidikan, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar 2011/2013 dan beberapa program telah kami anjurkan.


Ketika cuti pertengahan semester, Alhamdulillah - saya berpeluang mengerjakan umrah dan ziarah Madinah. Satu perjalanan rohani yang punyai ceritanya yang tersendiri.


Sekiranya tahun 2011 diakhiri dengan kembara ke Banda Aceh, Indonesia - InsyaAllah, sebagai penutup tahun 2012, saya sedang merancang kembara ke salah satu ibu negara di Asia Tenggara. 


Terima kasih kepada diari yang sering menjadi ruang untuk saya mencongak strategi dan mengatur perancangan. Saya percaya - hidup perlukan matlamat agar kita dapat mengambil langkah yang padu untuk memenuhi impian peribadi, selain agar hidup terasa lebih berisi dan bukan berlalu tanpa membawa sebarang erti. 


Menjelang tahun baru, ada beberapa perkara perlu saya fikirkan bagi memaknakan tahun 2013. Lompong-lompong perlu diisi. Langkah perlu diperkemas dan momentum perlu ditingkatkan. Masih terlalu jauh diri ini jikalau hendak dibandingkan dengan penanda aras yang lain.


#Tekad2013. Anda tentukan.

Jumaat, November 02, 2012

Puisi: Rahsia Musafir


Puisi
Rahsia Musafir


Hidup yang serba tergesa-gesa
adalah perjalanan musafir angkuh
yang kerap keliru di persimpangan waktu,
antara lorong yang kabur titik penghujung
serta masa yang menyita usia.


Seorang musafir sudah letih
menafsir mimpinya yang bercelaru
pada lembaran peta zaman.


Manusiawi tenat yang meronta
mengadu gelisah di hamparan hari
kesunyian dalam kegamatan,
keterasingan dalam keriuhan,
kesepian dalam keramaian,
adalah empangan jiwa yang melemaskan
suara sukmanya yang pinta didengar
pada tiap-tiap perkelanaan.


Betapa yang ingin ditemui
sebelum tiba penghujung destinasi
ialah makna hakikat insani.


Kawan,
memilih menjadi musafir
bermakna mencampakkan sebongkah tenang
ke denai rusuh dan resah
yang sarat kekhuatiran
namun lekas mendewasakan.


Syukri Sapuan
Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar.

Tunas Cipta Oktober 2012



***


Saya menulis puisi ini ketika dalam transit panjang di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar - sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Singapura daripada Madinah Al-Munawarah. Ketika ahli jemaah yang lain menghabiskan sisa masa dengan berbual-bual sesama sendiri, berjalan dari kedai ke kedai atau cuba melelapkan mata yang diserang kantuk, saya memilih untuk berada di satu sudut lain - menulis dengan pena pada lembaran kertas.


Entah mengapa - pengalaman sewaktu berada di 3 buah kota di luar Malaysia; iaitu  Aceh (Indonesia), Singapura dan Jeddah menerkam fikiran. Peluang bermusafir di negeri asing ini memberi saya peluang untuk melihat dunia daripada sudut yang berbeza.


Berjumpa dengan manusia daripada pelbagai latar agama, bangsa dan budaya memberi satu ruang buat saya meneliti diri. Misalnya, bertemu Pak Agus yang budiman di Banda Aceh, duduk bersila dan berbual bersama lelaki Algeria di Masjid Nabawi (dalam bahasa ayam dan itik), serta bertanya arah jalan pada wanita Indonesia ketika sesat seorang diri di Kota Singa.



Menjadi orang dagang dalam jumlah yang kecil- serta tertakhluk pada undang-undang manusia di wilayah berbeza - membuatkan kita menjadi lebih berhati-hati dan  berwaspada. Dan rasa kebergantungan kepada Allah menjadi tinggi melangit. 


Kita dipaksa memilih salah satu jalan, dan kita mesti memilihnya. Tiada jalan lain. Dan akhirnya kita menjadi manusia yang didewasakan pengalaman.


Kita boleh memilih jalan senang dan akhirnya tidak berkembang.


Betapa - kehidupan manusia yang sering ditamsilkan sebagai permusafiran ke negeri abadi akan menjadi lebih bererti andai makna hakikat insani dapat ditemui sebelum tiba penghujung destinasi.


Kitakah manusia gelisah yang selalu mengadu  keterasingan dalam keriuhan ramai?

Related Posts with Thumbnails