Rabu, Ogos 21, 2013

Kembara ke Bangkok (iv)


Pagi ketiga di Bangkok - awal-awal lagi kami telah bangun, bersiap sedia dan keluar daripada hostel untuk ke 'destinasi wajib' pelancong - Chatuchak Weekend Market.


Menurut bacaan di internet - Pasar Chatuchak dibuka pada hari sabtu dan ahad - merupakan pasar terbesar di Thailand dengan keluasan hampir 27 ekar yang memuatkan 15,000 gerai.  Kata orang - keluasannya kira-kira 5  kali padang bola sepak. Pasar dibuka seawal 6 pagi. Kami perlu tiba awal di pasar tersebut kerana tengahari nanti perlu bergegas balik untuk pulang ke selatan Thailand.


Berjalan ke stesen BTS


Kami berjalan kaki dari pusat penginapan - 5 minit ke stesen BTS Queen Sirikit National Convention Centre - seterusnya menaiki subway menuju ke stesen BTS Mo Chit. Tempoh masanya hampir 45 minit.


Setibanya di Pasar Chatuchak - orang ramai sudah mula bersesak-sesak memasuki ruang jualan. Dari tangga stesen BTS hingga memasuki pintu gerbang, sudah mula ada penjaja-penjaja yang menjual pelbagai barang di kaki lima - dari permainan, dompet, cermin mata, beg dan sebagainya.





Rata-rata pengunjung yang datang kelihatan seperti pelancong asing - termasuk daripada Malaysia. Chatuchak Weekend Market terdiri daripada dereten-dereten lot kedai - yang dibahagikan kepada 27 seksyen. 






Antara yang dijual - pakaian, beg, buku, seramik, perabot, makanan, hiasan rumah, binatang peliharaan, kraftangan, makanan, tumbuhan dan pelbagai lagi. Perkhidmatan kurier seperti FedEx juga ada disediakan untuk pengunjung yang ingin terus mengepos pulang barangan yang dibeli.




Kami cuma window shopping - merayau dari gerai ke gerai dan sesekali berhenti untuk membeli ole-ole yang berkenan di hati. T-shirt boleh dibeli dengan harga serendah 90 bath setiap helai. Kami merayau hampir 3 jam tapi cuma dapat sampai di separuh kawasan pasar sahaja - sudah cukup untuk menperihalkan - betapa besar dan sesaknya kawasan ini. 






Sekitar jam 1 petang - kami kembali menuju ke hostel. Mengambil beg,  mengucap terima kasih kepada pemilik hostel atas perkhidmatan baik yang diberikan dan mendaftar keluar. Kami menuju  ke stesen kereta api Hua Lamphong - stesen kereta api utama di Bangkok.



Pintu De Talak Hostel


Semalam - sebelum ke Masjid Darul Aman, kami telah ke stesen kereta api Hua Lamphong untuk membeli tiket pulang ke Sg Golok. Risau kalau tidak dapat tiket secara on the spot. Dan telahan kami benar, sewaktu hendak membeli tiket semalam - hanya beberapa tiket kelas dua sahaja yang tinggal. 


Kami membeli tiket kereta api kelas dua Bangkok-Sungai Golok dengan harga 977 bath untuk katil bawah dan 907 untuk katil atas. Masa bertolak ialah 3.10 petang dan dijangka tiba di Sg Golok pada jam 11.20 pagi - keesokan harinya. Bermakna - hampir 20 jam di atas kereta api.



Tiket Bangkok-Sg Kolok



Terdapat juga perkhidmatan kereta api yang terus bersambung ke Malaysia, iaitu Bangkok-Butterworth. Namun oleh kerana kebanyakkan daripada kami daripada pantai timur, maka kami tidak bercadang untuk mengambil laluan ke pantai barat. 



Makanan halal di stesen Hua Lamphong


Di medan selera stesen Hua Lamphong, terdapat satu kedai makanan muslim. Oleh kerana kesuntukan masa - kami menempah 2 bungkus nasi goreng setiap seorang untuk dimakan di dalam perjalanan nanti. Masing-masing untuk makan tengahari dan makan malam. Di tingkat atas stesen Hua Lamphong, ada disediakan surau untuk keperluan ibadah muslim. Suraunya agak kecil dan pengap - hampir sama keadaannya dengan sesetangah surau di stesen bas di negara kita. 



Surau di stesen Hua Lamphong


Jam 3.10 petang - loceng di platform dibunyikan. Kami berlari-lari anak - segera memanjat tangga kereta api dan mencari gerabak seperti mana yang ditulis di tiket. Nahas besar jika ketinggalan kereta api - dompet masing-masing sudah benar-benar kempis.


Kereta api perlahan-lahan bergerak - meninggalkan kota Bangkok yang girang menerima kedatangan kami berlima sejak 3 hari yang lalu melalui jalan udara.




Semasa kami masuk ke gerabak, katil masih belum diturunkan. Hanya kerusi yang disediakan dan meja mudah alih boleh diambil di bawah kerusi. Sekitar jam 6 petang, petugas kereta api akan datang di setiap penumpang - membuka ruang penyimpan dan menyusun atur kedudukan katil. Perkhidmatan kereta api ini mirip dengan perkhidmatan di Malaysia - dengan dua tandas disediakan di setiap gerabak. 



Keadaan di gerabak pada waktu siang


Kereta api membelah kesibukan kota Bangkok. Daripada kota utama, ia tiba di pinggiran kota, kawasan perumahan, sawah nan menghijau, dusun-dusun dan kampung-kampung. Di sesetengah kawasan, kenderaan lain berhenti di belakang palang dan lampu merah untuk memberi laluan kepada kereta api menyusur di landasannya. Kereta api kerap berhenti di beberapa stesen untuk mengambil penumpang. Di stesen-stesen, para penjaja akan naik membawa raga berisi makanan dan minuman untuk dijual kepada para penumpang.


Katil sudah siap dipasang


Tidak banyak perkara yang boleh kami lakukan dalam tempoh perjalanan ini. Cuma membaca, bercerita kisah masing-masing, mengenang kembali peristiwa yang berlaku sewaktu kembara, mendengar muzik, merenung ke luar jendela, menulis catatan dan seumpama dengannya.


Malam - gerabak mulai sunyi


Selepas solat di katil masing-masing, kami tidur awal malam itu dan sesekali terjaga di tengah malam - melihat ke luar jendela - tidak tahu sudah tiba di mana - dan kembali menyambung lena. Sedar-sedar -  kelam langit sudah mulai pudar.


Usai subuh, tempoh perjalanan masih berbaki 5 jam. Kami menikmati sarapan biskut dan mi segera bersama serunding ayam. Air panas boleh didapati di dapur kereta api dengan bayaran 10 bath.



Sarapan dan sembang pagi


Apabila kereta api memasuki wilayah Pattani, ia berhenti agak lama. Pasukan tentera Thailand lengkap bersenjata naik ke atas gerabak untuk meronda. Mereka mengawal keselamatan kereta api sehingga ia tiba di Narathiwat. Tugas mereka ini ada kaitannya dengan insiden mengebom yang berlaku di selatan Thailand.



Akhirnya tiba



Akhirnya - pada jam 12 tengah hari - kami tiba di stesen kereta api Sg Golok. Kawalan ketat berlaku sekali lagi. Pergerakan keluar masuk ke stesen dicatat dan dirakam. Nombor pasport kami dicatatkan oleh pasukan tentera yang mengawal di pos masuk stesen kereta api.


Daripada stesen kereta api Sg Golok, kami menaiki teksi motor untuk menyeberang sempadan. Kami dihantar ke kompleks imegresen Sg Golok - seterusnya menyeberang jambatan dan melunaskan prosedur di imegresen Malaysia. Segalanya berjalan lancar dan kami tiba di tanah air tercinta.





Berdasarkan pengalaman berurusan dengan pihak imegresen di sempadan, terdapat 2 peristiwa yang sedikit berbeza dan menjadi kenang-kenangan. Pertama - sewaktu kami di Aceh, Indonesia pada Disember 2011. Salah seorang sahabat kembara saya tidak lepas begnya di mesin pengimbas. Begnya diperiksa dan digeledah oleh pihak keselamatan. Puncanya - kerana mesin pengimbas mengesan ketulan serbuk di dalam beg. Rupa-rupanya ia cuma ketulan kiub pati ayam yang mahu dikirim kepada adiknya yang belajar di Aceh. Pegawai keselamatan menyoal, meminta izin untuk membuka salah satu dan merasa dengan lidah. Dan kami pun dibenarkan pergi.


Pengalaman kedua sewaktu di kaunter imegresen London Heathrow Airport. Sebelum mengecop tanda masuk di pasport, pegawai imegresen 'menyoal-siasat' hampir 10 minit dengan pelbagai soalan. Antaranya - datang bersama siapa?, tujuan kedatangan?, hendak pergi ke mana? siapa yang akan ambil? siapa yang bayarkan tiket? siapa yang bayar hotel? berapakah umur? apakah pekerjaan? berapa banyak duit yang dibawa? berapa hari di sini? kawan belajar di mana? kawan ambil jurusan apa? mintak tunjukkan tiket balik? dan beberapa soalan lain lagi yang perlu dijawab dengan yakin dan tenang sebelum pasport merah dikembalikan. Walaubagaimanapun - saya mengganggap ini semua sebagai prosedur biasa di pintu masuk mana-mana negara.


Demikianlah serba sedikit catatan perjalanan saya sepanjang merancang dan mengikuti kembara ke Bangkok untuk 5 hari 4 malam dengan belanjawan RM500. Berdasarkan catatan di buku nota, kebanyakkan perbelanjaan kami diperuntukkan untuk tiket pergi balik ke Bangkok (RM20+RM90+RM97) dan penginapan (RM87). Lebihan 40% belajawan untuk kos-kos lain seperti makanan, tambang teksi & TBS, cenderahati dan bayaran masuk.


Saya menulis semua ini sebagai catatan kenang-kenangan kepada diri sendiri - kerana ada kebarangkalian memori tentang kembara ini boleh luput dimamah masa begitu sahaja. Saya juga menulis travelog ini sebagai panduan kepada rakan-rakan lain yang ingin merancang dan membuat perjalanan serupa - kerana sepanjang tempoh perancangan awal, saya menyedari terdapat kesukaran untuk mencantum-cantumkan informasi yang ada di internet - selain kekurangan travelog kembara berbahasa Melayu. Kebanyakkan maklumat tentang kembara di internet ditulis di dalam bahasa Inggeris - kerana budaya kembara dan backpackers masih subur dalam masyarakat barat.


Saya masih memasang impian untuk mengembara melihat sisi-sisi lain dunia ini . Sekurang-kurangnya dengan mengembara cuma di helaian buku. Misalnya -  habis membuku The Travels of Marco Polo dan Pelayaran Ibnu Batuta. Pandangan ringkas saya tentang kembara pernah ditulis dalam entri - Ada apa dengan kembara?




Terima kasih kepada 4 orang kawan - Muizz, Zaim, Sahadan dan Azhar yang bersama dalam kembara ke Bangkok. Sampai ketemu lagi dalam projek seterusnya. 

Selasa, Ogos 20, 2013

Kembara ke Bangkok (iii)


Kami bangun untuk pagi kedua di Bangkok setelah semalaman berehat. Dari balkoni bilik, bangunan pencakar langit berdiri megah di celah-celah bangunan kecil.


Bangkok - dari balkoni bilik


Membandingkan antara Kuala Lumpur dan Bangkok bukanlah satu usaha perbandingan yang setara - kerana Bangkok sebagai sebuah kota metropolitan mempunyai keluasan seluas 1,569 km2 dengan populasi 8, 281 juta penduduk pada tahun 2010, berbanding Kuala Lumpur (265km2 dengan populasi 1,627 juta)


Kami bersarapan dengan bijirin yang dibawa dari Malaysia. Di aras bawah De Talak Hostel, terdapat ruang pantri untuk memasak air. Di hostel tersebut, kami berlima menginap di sebuah bilik dengan bayaran 290 bath untuk satu malam setiap seorang. Sewaktu kami di sana - terdapat beberapa kelompok pengembara backpackers yang lain seperti dari Indonesia, US dan UK.


Bilik di De Talak Hostel

Perancangan kami untuk hari tersebut ialah untuk ke Damnoen Saduak Floating Market yang terletak kira-kira 100 km dari kota Bangkok. Kami berjalan kaki ke stesen BTS Queen Sirikit National Convention Centre, seterusnya menaiki subway ke stesen BTS Victory Monument. Seperti Kuala Lumpur, saya kira - rangkaian laluan BTS dan MRT membolehkan warga Thailand dan pelancong sampai di kawasan-kawasan strategik seluruh kota.


Stesen BTS Victory Monument terletak berhampiran dengan Khao San Road. Di kawasan ini, ada satu terminal yang memuatkan beberapa agensi yang menyediakan perkhidmatan van mini ke kawasan-kawasan sekitar Bangkok.





Kami membeli tiket untuk ke Damnoen Saduak Floating Market dengan harga 200 bath setiap seorang untuk perkhidmatan pergi dan balik. Kami menunggu agak lama di kaki lima sebelum bertolak - entah kerana menanti van penuh ataupun menanti trip yang seterusnya. 


Van yang memuatkan kira-kira 13 orang penumpang bergerak ke Damnoen Saduak yang mengambil masa hampir 1 jam 30 minit. Kami melintasi kawasan-kawasan utama di Bangkok dengan melalui lebuh raya.


Kami dihantar oleh pemandu van ke sebuah jeti kecil untuk ke Damnoen Saduak  floating market. Daripada jeti ini, terdapat perkhidmatan perahu yang menghantar pelancong ke pasar terapung tersebut mengikut laluan terusan yang telah diatur.


Setelah proses tawar menawar - akhirnya kami membeli tiket perahu dengan harga 200 bath setiap seorang - walaupun di atas tiket ditulis harga 500 bath. Berdasarkan bacaan di internet, kerap kali berlaku penipuan di kawasan ini apabila agensi pelancongan mengenakan harga yang berlipat-lipat kali ganda. 





Kami mudik melalui terusan tersebut - bermula dengan kawasan-kawasan rumah, gerai-gerai yang dibina di tepi terusan dan tiba di pasar utamanya. Tembok batu dibina  dan pancang kayu dicacak di tebing sungai untuk menghalang hakisan - menunjukkan bahawa kawasan pelancongan ini diberi perhatian sewajarnya daripada pihak tempatan.







Di Damnoen Saduak  floating market, para peniaga yang majoritinya terdiri daripada wanita berjualan di atas perahu - antaranya menjual barangan cenderahati dan baju untuk para pelancong. Terdapat juga yang wanita tua yang menjual sayur-sayuran - mungkin untuk warga tempatan. Satu kebiasaan yang saya perhatikan di Thailand ialah antara menu popular yang dijual ialah pulut mangga.






Pendayung perahu menghantar kami ke tebing dan kami berjalan kaki ke sekitar pasar ini. Terdapat kompleks gerai yang di tebing terusan. 


Di gerbang Damnoen Saduak  floating market, ada ditulis serba sedikit tentang sejarah terusan ini. Terusan Damnoen Saduak merupakan terusan terpanjang di Thailand (32 km) yang dibina ketika era King Rama IV (1868) untuk menghubungkan 2 batang sungai. Terusan ini memberi manfaat kepada petani untuk mengairi tanaman mereka - selain menjadi jalan penghubung dan pusat sosioekonomi masyarakat di sini. 



Pintu gerbang


Kami kembali ke jeti asal dengan menaiki perahu - seterusnya menunggu van untuk kembali ke ibu kota Bangkok. Seperkara yang menarik tentang kunjungan kami ke kawasan ini ialah - ia disertai oleh kelompok pelancong Cina daripada Indonesia yang turut menginap di De Talak Hostel. Pada mulanya -  kami tidak menyangka mereka berasal dari wilayah nusantara sehinggalah mereka yang mula menegur dengan bahasa Indonesia. Idea tentang diaspora berlegar-legar di kepala.  


Sahabat daripada Indonesia


Kami tiba di Bangkok tika zohor hampir melabuhkan tirainya. Berdasarkan perancangan - kami mahu menuju ke Masjid Darul Aman - salah satu masjid yang terdapat di Bangkok. Van menghantar kami agak jauh daripada kawasan masjid dan kami sesat hampir sejam untuk mencari arah. 





Masjid Darul Aman terletak di Phetchaburi Soi 7, kira-kira 300 meter dari stesen BTS Ratchathewi. Para jemaah baru habis solat asar ketika kami tiba di masjid bersaiz sederhana ini. 



Masjid Darul Aman


Di sekitar kawasan masjid, terdapat beberapa restoran makanan halal. Berdasarkan pemerhatian, restoran-restoran ini dimiliki oleh komuniti Muslim yang berasal daripada wilayah selatan Thailand yang majoritinya Muslim - Yala, Pattani dan Narathiwat. Segelintir daripada mereka mampu untuk berbahasa Melayu (dialek Kelantan)



Restoran makanan halal


Kami seterusnya menaiki teksi untuk ke Sungai Chao Phraya. Selain BTS, MRT, teksi kereta dan teksi motor, perkhidmatan pengangkutan awam lain yang ada di Bangkok ialah teksi air - ataupun Chao Phraya Express Boat - yang berhenti di 39 stesen sepanjang Sungai Chao Phraya. 


Perkhidmatan ini umpama bas henti-henti kerana bot akan berhenti di setiap stesen yang ditetapkan - penumpang menunggu di jeti dan naik beramai-ramai, seterusnya bergerak ke stesen berikutnya. Seorang konduktor akan berjalan untuk mengutip bayaran dan memberi tiket pada penumpang. Tiket yang perlu kami bayar ialah 15 bath setiap seorang. Kerusi ada disediakan tetapi terhad. Kami berdiri menghirup udara petang Bangkok sambil menikmati pemandangan seperti mana kebanyakan penumpang-penumpang yang lain.



Menyusuri Sungai Chao Pharaya




Kami turun di stesen Ta Chang - merancang untuk ke Grand Palace, kawasan seumpama Istana Negara seandainya ingin dibandingkan dengan Malaysia. Kami menaiki teksi untuk ke kawasan tumpuan pelancong dengan harga 20 bath setiap seorang. 



Sekitar Grand Palace


Grand Palace ialah istana penginapan rasmi pemerintahan monarki Thailand sejak 1782. Keluasannya agak besar dengan kawasan istana, wat-wat, taman, pusat pertahanan dan muzium. Jikalau ingin memahami sejarah panjang Thailand dan sistem monarkinya, kawasan ini ialah antara tempat yang ideal untuk dilawati.



Kementerian Pertahanan


Malamnya - kami ke MBK Center, pusat membeli belah terkemuka di Bangkok. Seperti mana pusat tumpuan pelancong lain di dunia, Bangkok turut sarat dengan pusat membeli-belah yang menjual pelbagai barangan. Malam itu kami merayau sekali lagi ke kawasan membeli belah dan pasar malam berhampiran - melihat barangan yang dijual dan membeli cenderahati - sambil melihat seribu satu ragam manusia.



Sesat di Bangkok


Setelah lenguh meronda kota, kami pulang ke hostel untuk melelapkan mata - sementara bandar metropolitan Bangkok masih meriah dengan bingit pub, disko dan pusat-pusat hiburannya.


Isnin, Ogos 19, 2013

Kembara ke Bangkok (ii)


Pagi pertama di Bangkok - kami bergegas bangun dan bersiap sedia untuk memulakan misi menjelajah kota metropolitan.


Kami mendaftar keluar daripada Premier Inn dan berjalan kaki - berpandukan GPS dan peta untuk ke tempat penginapan yang lain - yang lebih dekat dengan stesen BTS (Bangkok Mass Transit System)


Berdasarkan saranan di internet, kami mendaftar masuk ke De Talak Hostel di 14/33 Soi Paisingtoh, Rama 4. Hostel ini terletak dalam lingkungan jarak pejalan kaki dengan stesen MRT Queen Sirikij Convention Center



Menunggu tren 


Rancangan kami untuk hari kedua ialah untuk ke Ayutthaya - kota kemegahan Siam lama yang diasaskan sekitar tahun 1350 - terletak 85 km dari Bangkok. Ia telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. 


Terdapat pelbagai cara untuk ke sana - dan kami memilih untuk menaiki kenderaan yang paling murah - dengan kereta api. Dari stesen MRT berhampiran hostel, kami bergerak dengan subway menuju ke stesen MRT Hua Lamphong. 


Seperti mana prosedur yang perlu dilalui semasa di Lee Garden Plaza, setiap pengguna yang ingin memasuki mana-mana stesen MRT perlu melalui mesin pengimbas dan beg akan diperiksa. Jangkaan saya - untuk mengelakkan kes letupan di kawasan tumpuan orang ramai.


Kami tiba di stesen MRT Hua Lamphong dan stesen kereta api Hua Lamphong yang terletak berhampiran dengannya. Berada di stesen kereta api Hua Lamphong mengingatkan saya kepada pengalaman berada di London Paddington station pada Mac 2013.


Rekabentuk bangunannya hampir serupa - besar dan megah serta peranannya yang menjadi pusat keretapi utama di bandar masing-masing. Stesen kereta api Hua Lamphong ialah stesen kereta api utama di Bangkok dengan 14 platform yang menghubungkan wilayah utara, selatan dan timur Thailand. 


Stesen kereta api Hua Lamphong


Kami membeli tiket kelas ketiga di kaunter dengan harga 20 bath. Ditulis di situ - masa perjalanan selama 1 jam 20 minit. Kami menaiki gerabak dengan tiket tanpa nombor tempat duduk. Kereta api bergerak perlahan, tidak memecut laju dan kerap berhenti di stesen-stesen. Di kebanyakan stesen, ada penjaja yang naik ke atas gerabak dengan membimbit raga untuk menjual makanan dan minuman.



Tiket RM2



Dari Hua Lamphong - kami perlahan-lahan bergerak meninggalkan wilayah utama Bangkok dan menuju ke Ayutthaya -  melintasi bangunan pencakar langit yang serba gagah, kawasan industri yang melepaskan asap-asap hitam, wilayah setinggan yang melarat dan  sawah padi yang menghijau.  Kami menikmati pemandangan yang ada di kiri dan kanan landasan. 


Menaiki kereta api dan merenung jauh-jauh ke luar jendela ialah detik penuh nostalgia yang bisa mengingatkan kepada lirik lagu penyair terkenal Indonesia, Ebiet G Ade dalam Berita Kepada Kawan - 


Perjalanan ini 
Terasa sangat menyedihkan 
Sayang engkau tak duduk 
Di sampingku kawan

Banyak cerita 
Yang mestinya kau saksikan 
Di tanah kering bebatuan



Pemandangan sawah padi


Kami akhirnya tiba di stesen kereta api Ayutthaya selepas 2 jam di dalam kereta api. Ayuttaya ialah sebuah wilayah seperti pulau yang terkepung dengan 3 batang sungai. Stesen kereta api terletak di luar kawasan 'pulau' dan pelawat perlu menyeberangi jambatan.



Selamat tiba di Ayutthaya


Kami menaiki tuk-tuk dengan bayaran 20 bath setiap seorang untuk ke Elephantstay, kawasan pemeliharaan gajah. Pengunjung berpeluang untuk menaiki gajah dan bergambar dengannya.





Dari Elephantstay, kami berjalan kaki melihat wat-wat yang ada di kawasan sekitar. Wat-wat yang ada di sini telah dibina untuk tempoh masa yang lama dan mungkin boleh memberikan pengunjung sedikit gambaran tentang sejarah, budaya serta kepercayaan masyarakat Siam.


Terdapat juga  Ayutthaya Historical Study Centre di Rojana Rd yang dapat memberi gambaran tentang sejarah Ayuttaya. Walaubagaimanapun - kerana kesuntukan masa kami tidak berkesempatan untuk ke sana.




Berdasarkan maklumat di internet, terdapat komuniti muslim dan masjid di Ayutthaya. Kami berjalan kaki dan cuba mencari arah jalan untuk ke sana berpandukan peta, namun sesat. Akhirnya - kami menaiki tuk-tuk yang banyak menunggu di tepi-tepi jalan. Masalah komunikasi menjadi satu lagi cabaran kerana rata-rata pemandu tuk-tuk di sana kurang mahir berbahasa Inggeris. Kami menggunakan bahasa badan, menunjukkan gambar, melukis pada peta dan sebagainya untuk berkomunikasi - mengingatkan kami kepada pengalaman sewaktu di Vientiane, Laos.



Pemandu tuk-tuk menghantar kami ke sebuah masjid. Masjid dua tingkat dengan ruang solat di tingkat atas itu sunyi dan tidak berpenghuni tika kami datang. Ruang solatnya kemas, bersih dan teratur. Seterusnya, kami meminta pemandu tuk-tuk menghantar kami ke restoran makanan muslim.





Ruang solat


Di restoran tersebut, sekali lagi berlaku masalah komunikasi. Mujur ada seorang pelajar universiti dari Yala yang pandai berbahasa Melayu sedang makan di restoran tersebut yang menjadi penterjemah.


Restoran muslim di Ayutthaya


Selepas menjamu selera dengan nasi gomok, kami menaiki tuk-tuk ke Ayuttaya floating market. Pasar terapung ini bukanlah pasar yang asli dan lebih bersifat komersial untuk pelancongan. Terdapat pelbagai barangan cenderahati yang dijual di sini. Pengunjung juga berpeluang menaiki bot untuk melawat sekitar kawasan pasar dengan harga 20 bath.


Menaiki bot di floating market




Lewat petang, kami kembali ke stesen kereta api Ayuttaya untuk pulang ke ibu kota. Kami menikmati sekali lagi perjalanan kereta api selama 2 jam dan tiba di Hua Lamphong tatkala senja.


Ruang menunggu stesen kereta api Ayutthaya


Malam kedua - atas saranan seorang kawan, kami ke pusat membeli-belah di sekitar Bangkok - melihat barangan yang dijual serta memerhatikan ragam manusia. Kami berhenti di stesen MRT Asok dan masuk ke pusat membeli-belah Terminal 21. Sekali lagi - setiap pengunjung perlu melalui mesin pengimbas dan beg akan diperiksa.


Terminal 21


Konsep pintu ketibaan di lapangan terbang yang memisahkan tingkat-tingkat


Terminal 21 ialah sebuah pusat membeli-belah setinggi 9 tingkat yang setiap tingkatnya didekorasi berdasarkan tema-tema negara tertentu seperti Rome, Paris, Tokyo, London dan sebagainya. Contohnya, di tingkat kedua yang bertemakan London - ada dekorasi iconic red telephone boxes, London's double-decker busses, Tower Bridge dan Union Jack Flag.








Kami merayau ke beberapa lokasi membeli-belah berhampiran dan pulang ke hostel saat malam masih muda. 

Ahad, Ogos 18, 2013

Kembara ke Bangkok (i)


Idea untuk ke Bangkok hadir cuma pada saat-saat akhir. Walaupun pada awalnya kami bertekad untuk tidak ke mana-mana tika cuti pertengahan tahun yang cuma 3 minggu, namun perancangan saat-saat akhir sering saja mengiurkan.


Muizz (dan beberapa orang kawan sekampus) membentangkan rancangan untuk ke Bangkok selama 4 hari 3 malam dengan anggaran belanja RM500. Kembara backpackers, pastinya.


Melihat kepada beberapa rancangan projek & jemputan walimatul urus di pantai timur, saya pun menyatakan hasrat untuk turut serta. Dan kembara pun bermula.


Berdasarkan geografi, Bangkok terletak agak jauh ke utara. Kedudukannya di tengah-tengah negara Thailand. Perancangan kami begini; kami akan menaiki kapal terbang daripada Hatyai (yang terletak lebih ke selatan) ke Bangkok, ibu negara Thailand. Tiket promosi AirAsia yang berjaya kami beli untuk Hatyai-Bangkok ialah RM90,  berbanding harga kebiasaan sekitar RM150 dan ke atas. 


Sebelum ini, pasport merah saya pernah juga dicop dengan tanda keluar dan masuk imegeresen Thailand - sewaktu di Nong Khai, wilayah Thailand yang berjiran dengan ibu kota Laos, Vientiane.


Kami menaiki bas henti-henti dari Kota Bharu menuju ke Rantau Panjang dengan harga tiket RM5.10. Bas menghantar kami hingga Kompleks Imegresen Rantau Panjang. Di kedai runcit berhampiran, kami membeli makanan ringan dan menukar duit Bath.


Rantau Panjang. Sempadan Malaysia-Thailand. Pengembaraan bermula.

Matawang untuk Thailand ialah Bath dan kadar pertukarannya sekitar RM10 bersamaan 95 bath. Untuk lebih memudahkan congak-congak semasa membeli, saya menganggap 100 bath bersamaan RM10. Saya menukar duit sebanyak RM400 bersamaan sekitar 3818 bath. Begitu juga dengan kawan-kawan yang lain.


Selesai menyeberang sempadan dan menyudahkan urusan di kedua belah imegresen, kami berjalan kaki ke luar kompleks imegresen Sg Golok untuk mendapatkan kenderaan ke pekan Golok. Di luar kompleks imegresen, kelihatan tentera-tentera Thailand dengan senapang di dada bersiap-siaga di kubu dan memerhatikan orang keluar masuk. Sg Golok di wilayah Narathiwat mempunyai sejarah panjang yang tersendiri  yang menyebabkan kawalan di situ agak rapi. 


Kami menaiki teksi motor ke pekan Sg Golok dengan tambang RM4 seorang. Kami membonceng di belakang dengan beg besar yang dipikul. Kelompok 'pemandu' teksi motor ini mudah dikenali dengan seragam vest yang dipakai.


Peta Thailand

Tiba di pekan Sg Golok, kami mencari kenderaan untuk ke Hatyai. Hatyai terletak 259 kilometer dari Sg Golok dan masa perjalanan kira-kira 4 jam. Kami membeli tiket van dengan kos 200 bath. Kami menunggu sehingga van cukup penumpangnya dan bertolak menuju ke Hatyai.


Tiket van Sg Golok-Hatyai

Sepanjang perjalanan yang menyita masa selama 4 jam, kami melalui lebih daripada 10 pos kawalan tentera yang siap bersenjata. Kenderaan akan berhenti atau memperlahankan kenderaan untuk diperiksa. Pada papan tanda di kubu tentera - ditulis peringatan seperti "Stop Kill, Stop Violence, Stop Bomb"


3 wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani mempunyai kisah silamnya yang panjang. Tentang perjuangan dan kemerdekaan. Pergolakan telah berlaku sejak sekian lama di wilayah majoriti umat Islam tersebut. Siapakah yang bisa melupakan kisah Tak Bai, Masjid Kerisik dan tragedi demi tragedi yang belum menemui jalan penyelesaian. Kisah perjuangan masyarakat Pattani jarang-jarang disingkap berbanding isu Palestin, sedangkan mereka lebih dekat dengan kita. Begitu juga dengan nasib muslim Rohingya di Myanmar. Ada sisi hitam yang sering kita terlepas pandang.


Jalan dari Narathiwat ke Haytai lurus dan van meluncur laju melewati beberapa pekan kecil. Jarang-jarang (ataupun, tiada sebenarnya) kami terpandang papan tanda yang tertulis perkataan Bahasa Melayu. Papan tanda dan papan kenyataan di kedai-kedai ditulis dalam Bahasa Thai. 


Surau di terminal bas Hatyai


Kami tiba di Stesen bas Hatyai sekitar jam 3.30 petang. Hatyai biasa menerima kedatangan orang-orang dari Malaysia. Dari Kompleks Imegresen Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Hatyai jaraknya masanya cuma satu jam. Maka wajah-wajah Malaysia senang ditemui di sekitar pekan. Komuniti di Hatyai ramai yang boleh bercakap dalam Bahasa Melayu (dialek Kelantan) dan makanan halal juga senang didapati.


Kami solat di surau stesen bas dan menikmati makan tengahari di restoran berhampiran. Memandangkan tiket kapal terbang untuk ke Bangkok adalah pada jam 10.10 malam dan masa masih bersisa, kami berlegar-legar di sekitar pekan. 



Menaiki tuk-tuk di Hatyai

Kami menaiki tuk-tuk ke kawasan Lee Garden Plaza, dengan kos 20 bath untuk setiap seorang. Berdasarkan saranan di blog-blog, kawasan tersebut ialah tempat tumpuan untuk membeli-belah. Lee Garden Plaza juga pernah 'popular' dengan insiden letupan bom pada April 2012. Sebagai langkah keselamatan, setiap pengunjung yang ingin memasuki premis ini perlu melalui mesin pengimbas dan beg akan diperiksa.





Selesai urusan di Lee Garden Plaza, berbekalkan peta yang diberi percuma - kami berjalan kaki ke pasar-pasar berhampiran. Terdapat beberapa pasar yang menjual pelbagai barangan daripada makanan, pakaian, beg dan sebagainya - yang menjadi 'syurga' membeli-belah untuk rakyat Malaysia. Kami seterusnya kembali ke stesen bas kerana sudah berjanji dengan pemandu van yang akan menghantar ke lapangan terbang. 






Sementara menunggu ketibaan van, kami melepak di bangku yang disediakan. Tiba-tiba - jam berdeting 6 kali, polis meniup wisel panjang, semua orang di situ berdiri tegak dan muzik dimainkan. Kami terpinga-pinga sendiri. Rupa-rupanya mereka menyanyikan lagu kebangsaan Thailand. Sesudah lagu tamat, semua aktiviti diteruskan seperti biasa. Kami kemudiannya baru mengetahui bahawa lagu kebangsaan Thailand akan dinyanyikan di tempat awam pada jam 8 pagi dan 6 petang.



Kaunter tiket di stesen bas Hatyai



Kos untuk ke lapangan terbang ialah 60 bath setiap seorang. Kami tiba awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai. Kami solat di surau lapangan terbang, mendaftar masuk dan menunggu masa untuk masuk ke dalam kabin. Sewaktu di ruang menunggu, saya membeli poskad beserta setem untuk dikirimkan kepada diri sendiri dan rakan yang memesan.


Poskad untuk kawan


Jam 10.10 malam kami memasuki kabin. Kapal terbang meninggalkan wilayah Songkhla dan mendarat di Bangkok sekitar jam 11.30 malam. Terdapat 2 lapangan terbang di Bangkok. Bagi penerbangan AirAsia, lapangan terbang Don Mueang digunakan. Lapangan terbang Suvarnabhumi adalah lapangan terbang utamanya.


Gerimis menyambut kami di bumi Bangkok. Kami berlegar-legar di kawasan luar pintu utama; berfikir bagaimana cara untuk ke pusat bandar. Kami menaiki teksi bermeter untuk ke pusat bandar. Kaedahnya lebih kurang sama seperti sewaktu kami di lapangan terbang Vientiane, Laos. Kami perlu ke kaunter teksi dan berurusan dengan kerani di sana. Pemandu-pemandu teksi akan beratur dan mendapatkan penumpang masing-masing selepas selesai urusan di kaunter.


Untuk kali pertama - kami merentasi bandar Bangkok yang bergemerlapan dengan lampu neon yang menghiasi bangunan-bangunan pancakar langit. Kenderaan mulai surut - teksi meluncur laju mendaki flyover dan melintasi beberapa stesen tol.


Muizz terlebih dahulu telah menempah hotel untuk satu malam di kota Bangkok - berdasarkan bacaan dan saranan di internet. Kami menginap di Premier Inn di  Soi 20, Sukhumvit Rd. Teksi menghantar kami berdasarkan alamat yang diberi. Bayaran dibuat berdasarkan meter dan setiap seorang daripada kami membayar  70 bath. 


Premier Inn ialah bangunan hotel serba sederhana di antara dereten bangunan-bangunan pencakar langit di kota metropolitan Bangkok. Untuk satu malam, kami membayar 280 bath setiap seorang.


Malam semakin larut. Kami mendaftar masuk, meletakkan beg galas, mendengus lega saat tilam empuk dihenyak setelah kepenatan seharian berjalan , berehat dan perlahan-lahan lena dalam dakapan mimpi Bangkok - kota yang tidak pernah tidur.
Related Posts with Thumbnails