Jumaat, Januari 30, 2009
.Idea untuk dibakulsampahkan.
Isnin, Januari 19, 2009
Membedah demokrasi.
Sabtu, Januari 17, 2009
.Fitrah.
Fitrah : satu pandangan sisi.
Memang tepat dan tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sahaja, ia ibarat sebuah lencongan menuju destinasi abadi. Alam dunia merupakan tempat persinggahan manusia setelah berjaya melewati alam roh dan alam rahim yang menjadi persiapan awal sebelum ‘diutus’ke dunia. Dunia bagai sebuah pentas untuk kita melakukan amal kebajikan bagi mencari Redha-NYA sebelum melewati alam barzakh dan masyar yang menjanjikan perhitungan amal dan dosa di hadapan Yang Maha ESA. Umum mengetahui hakikat ini, namun sejauh mana penghayatan hakikat kehidupan ini adalah bergantung kepada kesedaran diri individu masing-masing.
16 Januari 2009 telah menjadi saksi kepada perasmian Islamic Cultural & Art Night 2009 ( ICAN 09) di kolej saya . Dengan bertemakan, “FITRAH: The Essence of Nature”, ia diharap dapat menjadi satu medium yang berkesan untuk menyalurkan kefahaman yang tepat tentang keindahan Islam. Islam diturunkan kepada umat manusia sebagai pelengkap kehidupan. Segala tindak-tanduk yang diterapkan adalah bersesuaian dengan fitrah manusia itu sendiri.
Tema yang telah dipilih oleh pihak penganjur seharusnya kita hayati bersama agar ia tidak sekadar menjadi retorik yang dislogankan untuk permainan bibir.
Setiap bayi yang dilahirkan ke dunia adalah ibarat sehelai kain putih yang belum ternoda. Rengekan yang menyambut setiap kelahiran menzahirkan zat manusia yang amat lemah jikalau hendak dibandingkan dengan zat Yang Maha BERKUASA. Setiap manusia dikurniakan dengan fitrah untuk bertuhan. Namun setelah usia melewati masa, syaitan dan nafsu menguasai diri hingga menyebabkan diri alpa dan leka. Maka, kita mula melupakan Pencipta. Dosa yang berdarah daging di dalam diri menyebabkan fitrah manusia rosak dan kita semakin jauh dari rahmatNYA.
Saya cuba menyelami makna sebenar fitrah dengan menyelidiki segala sumber ilmu yang ada di sekeliling saya, namun batasan waktu menyebabkan definasi sebenar fitrah gagal saya selidiki sadalam-dalamnya. Menjalani kehidupan harian secara rutin menyebabkan kadangkala saya bosan melayan kerenah dunia. Sejak daripada kecil lagi, saya telah dipengaruhi oleh faktor sekeliling dengan unsur tipikal ‘menjengkelkan’.
“Kamu harus lulus cemerlang dalam peperiksaan agar senang masa hadapan”.
“ masa muda hanya sekali, mari kita berhibur!”.
“ kekayaan mampu membeli kebahagiaan”.
Memang tidak ada salahnya mengungkapkan kata di atas ini. Dunia memang sebuah kehidupan yang mengasyikkan. Lulus cemerlang dalam peperiksaan memang penting bagi meneruskan kelangsungan hidup. Naluri remaja memang suka berhibur. Hari ini banyak perkara perlukan duit untuk berurus-niaga. Namun, adakah hidup ini adalah untuk dunia sahaja?. Suatu hari semasa dalam dalam kesibukan menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar, sesuatu melintas di fikiran ini.
“ Sampai bila duniaku hanya untuk dunia sahaja. Jikalau esok aku dijemput Illahi pulang ke pangkuanNYa, sudah siapkah diri ini?”.
Memang stigma bahawa kematian itu hanya menjemput orang yang berusia menjadi alasan popular orang jahil bagi menangguhkan taubat mereka. Pada hakikatnya, kematian yang menjadi penghujung kepada kehidupan manusia tidak pernah mengenal usia. Apabila telah tertulis di Luh Mahfuz akan ketetapan, sedetik pun Izrael tidak akan terlambat atau terawal menjalankan tugasnya. Kematian adalah penghujung kepada amalan setiap insan sebelum dihisab di Hari Pembalasan ( kecuali 3 perkara : anak soleh, amal jariah & sedekah yang berpanjangan). Sesungguhnya, orang-orang muda yang bodoh itu adalah mereka yang menyangka bahawa kematian itu hanya menimpa orang tua.
Pada hemat saya, fitrah rasa bertuhan adalah naluri setiap insan. Tanpanya, hati tidak akan tenteram. Naluri manusia akan rosak jika dipenuhi dengan amalan keji yang dimurkai. Fitrah rasa bertuhan juga adalah naluri terpenting yang wajar dimiliki oleh setiap insan. Manusia bukannya robot yang hanya dibekalkan dengan kebijaksaan tanpa naluri dan perasaan. Manusia adalah ciptaan sempurna yang mampu berfikir serta mempunyai hati dan perasaan yang kompleks.
Saya fikir,saya perlu menunggu hingga ke hari terakhir ICAN 09 sebelum membuat kesimpulan kepada diri akan apa erti sebenar fitrah. Adakah kebenciaan, kekejaman dan perpecahan itu fitrah manusia?. Dalam kehidupan yang sofistikated ini, saya yakin bahawa ada pelbagai lagi fitrah manusia untuk dikisahkan. Namun, saya percaya bahawa rasa bertuhan adalah naluri terpenting yang wajar didamba oleh setiap manusia. Saya juga bukan manusia sempurna yang tidak lari dari alpa dan leka. Maka, marilah kita mengambil kesempatan bersempena dengan penganjuran ICAN 09 dengan menjadikannya satu titik tolak ke arah kehidupan yang lebih positif agar penganjurannya menjadi satu manfaat kepada semua. Kehadiran ke tapak aktiviti harus disertai dengan roh-roh semangat agar ia mampu bersatu dengan jasad sekaligus membentuk kesepaduan jiwa yang unggul.
FITRAH : THE ESSENCE OF NATURE
Rabu, Januari 14, 2009
Hari-hari terakhir seorang insan.
Sabtu, Januari 03, 2009
Apa sudah jadi dengan RTM ?
Radio Televisyen Malaysia (RTM)
Dr Asri Zainul Abidin, bekas mufti Perlis.
Khamis, Januari 01, 2009
.18.
Hari ini tarikhnya 1 Januari 2009.
Hari pertama dalam bulan-bulan masihi 2009.
Kata seorang kawan saya yang menuntut di Mesir, kekecewaan akhir tahunnya adalah apabila Ghazzah diserang dengan begitu teruk oleh Israel. Maal Hijrah yang sepatutnya diraikan umat Islam bertukar menjadi tragedi yang mendukacitakan. Lebih-lebih lagi, kawan saya ini berada dekat dengan mereka. Dalam doanya, kawan saya ini menghemburkan kalimah agar Allah menganugerahkan kekuatan bagi penduduk Palestin melawan Israel laknatullah itu. Amin.
Saya juga senada dengan kawan saya ini. Sesiapa yang juga setuju dengan saya, sila tinggalkan mesej sokongan.
Beberapa hari sebelum tahun baru masihi, kalendar hijrah 1430H telah tersingkap. Bezanya, tiada sambutan semeriah tahun baru masihi. Saya menyambutnya secara sederhana sahaja. Bacaan doa awal & akhir tahun di Masjid Jamek Kota TInggi mengiringi detik-detik peralihan tahun tersebut.
Semasa malam terakhir tahun 2008, 31 Disember, saya lepak di rumah sahaja. Tidak tahu mengapa, saya tiba-tiba kemaruk untuk bermain 'GameBoy' milik adik saya. Walhal, semasa awal-awal cuti dahulu saya tidak peduli sedikitpun. Entahlah. Mungkin kegelisahan untuk pulang ke kolej kian melanda.
Sedang saya khusuk bermain konsul tersebut, telefon bimbit saya tiba-tiba dihujani Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang bertalu-talu masuk ke ruang 'Inbox'. Oh. Rupa-rupanya tahun baru telah menjelma. Mereka menghantar mesej tahun baru kepada saya. Leka benar bermain sehingga kedatangan tahun baru pun tidak disedari.
Kedatangan tahun baru masihi sebenarnya membawa satu signifikan besar buat saya. Pada setiap tanggal tahun baru, saya akan menyambut ulangtahun kelahiran. Mengikut catatan sijil kelahiran, saya telah dilahirkan pada 1 Januari 1991, jam 1.30 pagi di Hospital Daerah Kota Tinggi. Maka, hari ini genaplah umur saya 18 tahun!.
Selain daripada mesej-mesej tahun baru, saya turut menerima mesej ucapan ulangtahun kelahiran daripada rakan-rakan. Terima kasih pada semua pengirim SMS tersebut. Rupa-rupanya masih ada yang ingat pada saya. Secara keseluruhannya, setakat ini saya telah menerima sebanyak 30 mesej ucapan ulangtahun kelahiran. Terima kasih ya rakan-rakan!
Manusia tidak pernah tahu akan apa yang berlaku pada esok hari. Maka, menempuh tahun 2009 yang mendatang pastinya akan menjadi satu cabaran yang besar buat saya. Diharapkan agar saya dikuatkan iman, mental dan fizikal untuk menempuh semua ini. Moga tahun ini saya memperoleh sesuatu yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya meliputi segala fakulti kehidupan seperti kewangan, sosial, rohani dan intelek.
Baiklah. Sempena tahun baru ini, saya tidak mahu menulis panjang-panjang. Mahu rehatkan fikiran kerana kolej akan dibuka tidak lama lagi. aduh. Menanti saat-saat cuti berakhir bagai menanti saat hukuman gantung dijatuhkan!. ( unsur hiperbola yang terlalu berlebihan)
" Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau tersalah. Wahai Tuhan kami!. Janganlah Engkau bebankan kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami."
(Al-Baqarah: 286)