Fitrah : satu pandangan sisi.
Memang tepat dan tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sahaja, ia ibarat sebuah lencongan menuju destinasi abadi. Alam dunia merupakan tempat persinggahan manusia setelah berjaya melewati alam roh dan alam rahim yang menjadi persiapan awal sebelum ‘diutus’ke dunia. Dunia bagai sebuah pentas untuk kita melakukan amal kebajikan bagi mencari Redha-NYA sebelum melewati alam barzakh dan masyar yang menjanjikan perhitungan amal dan dosa di hadapan Yang Maha ESA. Umum mengetahui hakikat ini, namun sejauh mana penghayatan hakikat kehidupan ini adalah bergantung kepada kesedaran diri individu masing-masing.
16 Januari 2009 telah menjadi saksi kepada perasmian Islamic Cultural & Art Night 2009 ( ICAN 09) di kolej saya . Dengan bertemakan, “FITRAH: The Essence of Nature”, ia diharap dapat menjadi satu medium yang berkesan untuk menyalurkan kefahaman yang tepat tentang keindahan Islam. Islam diturunkan kepada umat manusia sebagai pelengkap kehidupan. Segala tindak-tanduk yang diterapkan adalah bersesuaian dengan fitrah manusia itu sendiri.
Tema yang telah dipilih oleh pihak penganjur seharusnya kita hayati bersama agar ia tidak sekadar menjadi retorik yang dislogankan untuk permainan bibir.
Setiap bayi yang dilahirkan ke dunia adalah ibarat sehelai kain putih yang belum ternoda. Rengekan yang menyambut setiap kelahiran menzahirkan zat manusia yang amat lemah jikalau hendak dibandingkan dengan zat Yang Maha BERKUASA. Setiap manusia dikurniakan dengan fitrah untuk bertuhan. Namun setelah usia melewati masa, syaitan dan nafsu menguasai diri hingga menyebabkan diri alpa dan leka. Maka, kita mula melupakan Pencipta. Dosa yang berdarah daging di dalam diri menyebabkan fitrah manusia rosak dan kita semakin jauh dari rahmatNYA.
Saya cuba menyelami makna sebenar fitrah dengan menyelidiki segala sumber ilmu yang ada di sekeliling saya, namun batasan waktu menyebabkan definasi sebenar fitrah gagal saya selidiki sadalam-dalamnya. Menjalani kehidupan harian secara rutin menyebabkan kadangkala saya bosan melayan kerenah dunia. Sejak daripada kecil lagi, saya telah dipengaruhi oleh faktor sekeliling dengan unsur tipikal ‘menjengkelkan’.
“Kamu harus lulus cemerlang dalam peperiksaan agar senang masa hadapan”.
“ masa muda hanya sekali, mari kita berhibur!”.
“ kekayaan mampu membeli kebahagiaan”.
Memang tidak ada salahnya mengungkapkan kata di atas ini. Dunia memang sebuah kehidupan yang mengasyikkan. Lulus cemerlang dalam peperiksaan memang penting bagi meneruskan kelangsungan hidup. Naluri remaja memang suka berhibur. Hari ini banyak perkara perlukan duit untuk berurus-niaga. Namun, adakah hidup ini adalah untuk dunia sahaja?. Suatu hari semasa dalam dalam kesibukan menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar, sesuatu melintas di fikiran ini.
“ Sampai bila duniaku hanya untuk dunia sahaja. Jikalau esok aku dijemput Illahi pulang ke pangkuanNYa, sudah siapkah diri ini?”.
Memang stigma bahawa kematian itu hanya menjemput orang yang berusia menjadi alasan popular orang jahil bagi menangguhkan taubat mereka. Pada hakikatnya, kematian yang menjadi penghujung kepada kehidupan manusia tidak pernah mengenal usia. Apabila telah tertulis di Luh Mahfuz akan ketetapan, sedetik pun Izrael tidak akan terlambat atau terawal menjalankan tugasnya. Kematian adalah penghujung kepada amalan setiap insan sebelum dihisab di Hari Pembalasan ( kecuali 3 perkara : anak soleh, amal jariah & sedekah yang berpanjangan). Sesungguhnya, orang-orang muda yang bodoh itu adalah mereka yang menyangka bahawa kematian itu hanya menimpa orang tua.
Pada hemat saya, fitrah rasa bertuhan adalah naluri setiap insan. Tanpanya, hati tidak akan tenteram. Naluri manusia akan rosak jika dipenuhi dengan amalan keji yang dimurkai. Fitrah rasa bertuhan juga adalah naluri terpenting yang wajar dimiliki oleh setiap insan. Manusia bukannya robot yang hanya dibekalkan dengan kebijaksaan tanpa naluri dan perasaan. Manusia adalah ciptaan sempurna yang mampu berfikir serta mempunyai hati dan perasaan yang kompleks.
Saya fikir,saya perlu menunggu hingga ke hari terakhir ICAN 09 sebelum membuat kesimpulan kepada diri akan apa erti sebenar fitrah. Adakah kebenciaan, kekejaman dan perpecahan itu fitrah manusia?. Dalam kehidupan yang sofistikated ini, saya yakin bahawa ada pelbagai lagi fitrah manusia untuk dikisahkan. Namun, saya percaya bahawa rasa bertuhan adalah naluri terpenting yang wajar didamba oleh setiap manusia. Saya juga bukan manusia sempurna yang tidak lari dari alpa dan leka. Maka, marilah kita mengambil kesempatan bersempena dengan penganjuran ICAN 09 dengan menjadikannya satu titik tolak ke arah kehidupan yang lebih positif agar penganjurannya menjadi satu manfaat kepada semua. Kehadiran ke tapak aktiviti harus disertai dengan roh-roh semangat agar ia mampu bersatu dengan jasad sekaligus membentuk kesepaduan jiwa yang unggul.
FITRAH : THE ESSENCE OF NATURE
Ini Sejarah Istana Alhambra Bukti Kejayaan Islam di Spanyol
4 hari yang lalu
1 ulasan:
mantap sekali penulisan ko ni syuk..
chaiyyok2! teruskan menulis..
Catat Ulasan