Isnin, Januari 19, 2009

Membedah demokrasi.



Seiring perkembangan masa, terdapat beberapa peristiwa menarik yang berlaku di sekeliling saya saban hari.Sudah menjadi resam alami, selagi bulan dan planet berputar pada orbitnya, maka selagi itulah sejarah-sejarah baru akan tercipta. Manusia, peristiwa dan masa adalah unsur-unsur yang akan membentuk sebuah himpunan sejarah baru. Kata George Santayana, manusia yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya kembali. Saya kira saya masih belum dapat menghadam sepenuhnya kata-kata tersebut. Sejarah masih tidak menginsafkan saya secara sepenuhnya.

Saya masih berada dalam keadaan kondisi kesibukan melayani kerenah-kerenah aktiviti kolej yang kadangkala merimaskan. Tidak mengapalah, saya bersabar saja menghadapi hari mendatang. Kata orang, kesibukan menyebabkan kita lebih menghargai masa.


Dalam sehari dua ini, terdapat beberapa peristiwa yang telah mewarnai kancah arus perdana negara. Pada malam semalam, telah berlangsungnya Anugerah Juara Lagu ke-23 di Stadium Putra, Bukit Jalil. Anugerah ini merupakan sebuah anugerah berprestij yang diwujudkan untuk mengiktiraf komposer dan penulis lirik tempatan. Di luar jangkaan saya, Meet Uncle Hussain (MUH) telah mengungguli acara tersebut. Saya ini tidak tahu menahu dalam menilai melodi dan lirik, maka saya serahkan urusan ini kepada juri profesional. Kemenangan MUH merupakan kemenangan kedua berturut-turut kumpulan band indie dalam pentas AJL. Pada tahun lepas, Estranged telah membuktikan bahawa kumpulan band Indie juga mampu bersaing dengan golongan mainstream yang lain. Tahniah diucapkan. Penyanyi-penyanyi dari program realiti televisyen turut sama beraksi di pentas akhir AJL sekaligus menutup mulut sesetengah pihak yang mengatakan bahawa penyanyi dari program realiti televisyen tidak berkualiti. Walauapapun, keputusan juri profesional itu harus kita hormati bersama kerana mereka lebih arif dan pakar.


Perisitiwa kedua yang menarik perhatian saya adalah Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu yang sedikit sebanyak telah mengubah landskap politik di Malaysia. Pakatan Rakyat melalui PAS telah berjaya merampas kerusi tersebut daripada BN yang telah dikosongkan ekoran kematian penyandangnya. Sememangnya, kerusi parlimen Kuala Terengganu adalah sebuah kerusi panas yang sering bertukar ganti antara kerajaan dan pembangkang. Kemenangan ini merupakan satu suntikan moral yang besar buat PR kerana mereka telah membuktikan bahawa mereka masih releven meskipun diasak dengan pelbagai isu dan kontroversi oleh puak-puak yang berkepentingan jahat. BN pula kehilangan sebuah kerusi dan seharusnya mereka harus berusaha gigih untuk mengembalikan keyakinan rakyat. Entahlah. Saya bukanlah seorang ahli politik yang selayaknya mengadili dan menghakimi, namun saya mahu yang terbaik buat negara Malaysia yang tercinta ini.


Tidak lama lagi, kolej saya akan mengadakan pilihanraya pemilihan Student Council bagi sesi 09/10. Saya tidak bertanding, hanya melihat dari kejauhan sahaja. Harapnya, para pengundi sekalian dapat membuat keputusan yang tepat dalam memilih wakil pelajar anda kerana setiap undi anda akan serba sedikit menentukan hala tuju kolej ini. Demokrasi yang mekar adalah sistem yang membenarkan pelajar memilih wakil mereka. Namun, pilihan yang dibuat haruslah tepat dan bijak kerana pilihan yang dibuat hanya dapat dilakukan sekali sahaja seumur hidup. Kepada para calon, sekiranya anda menang, tunaikanlah janji-janji anda kerana jika tidak, pasti para pengundi sekalian akan menghukum kesilapan anda. Membina kepercayaan amat sukar, namun meruntuhkannya amat mudah sekali. Saya mahu tulis lagi, namun saya kesuntukan masa. Ada tugasan yang harus dibuat. Sekian. Selamat berdemokrasi!.



Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails