Isnin, Mac 30, 2009

Kala bulan terang.



Berjaga lewat malam
menatap lembaran pelajaran
resah akal fikiran
mengenang esok peperiksaan
adakah ini ketakutan?
bahana kurang persediaan.



lewat malam 29 Mac 2009.
~ menjelang peperiksaan percubaan.


Selasa, Mac 17, 2009

Epilog- Belajarlah daripada sejarah.



1.
Setelah 51 tahun mencapai kemerdekaan
Setelah lebih empat dekat kita memerintah
Merancang dan melaksanakan perubahan
Mengapa katanya melayu masih ketinggalan?
Menjadi 'penumpang' dengan gelaran ketuanan
Menjadi 'pengemis' dalam watan yang kaya-raya
Menjadi 'miskin' di kepuk hasil bumi sendiri
Menjadi 'melukut' dalam gantang peribumi
Ah, melayukah melayu ini?
Yang melarat di pertiwi sendiri?



Tahap ekonomi masih jauh dari sasaran DEB
Takah 30% kabur, langkah mencapainya sering terbentur
Usahawan kecil lemas dalam bantuan
Korporat 'instant' tenggelam dalam pinjaman
Lahir segelintir elit bumiputera yang lupa jati diri
Kaya-raya oleh label bumiputera, tapi sudahnya melupakan bangsa
Lahir pula usaha marhein yang miskin
Walau ilmu ditabur modal dihulur, tapi bisnes tak 'betul-betul'
'berniaga buluh kasap'
Bankrap terlalu kerap-itu bukan lagi sesuatu yang hina
Tapi satu strategi penuh rencana


Dasar Pelajaran Kebangsaan masih lagi impian
Apabila pelajar melayu masih terus ketinggalan
Di IPTA atau IPTS-dari segi kuantiti atau kualiti
Bilangan mahupun kelulusan, siswazah melayu masih di pinggiran
Soal kuota tak terisi atau kantung ibu bapa yang tak berisi?
Bahana idealisme atau bahang hedonisme?
Kata seorang pengkaji melayu gara-gara makanan melayu tak bergizi
Kata media melayu itu angkara sifat yang terlalu dimanjakan
Kata pemimpin itu akibat malas, lembab dan tak mahu bersaing
Ah, ketika ini teringat pula lagu lama-lagu melayu
'Bangau, oh! Bangau..'
Apabila semua pihak saling menuding jari
Demi menyelamatkan maruah diri



Jenguk-jenguklah pula ke pusat serenti
Tanyakan apa 'khabar' orang di sana
Atau singgah sahaja di lorong sempit di belakang Chow Kit
Sapalah remaja harapan bangsa yang telah menjadi mangsa
Jangan bicara soal patriotisme
'Perut'isme pun mereka sudah lupa
Bukan beratus, bukan ribu, tetapi ratus ribu
Itu belum dikira bohjan dan bohsia
Belum dicampur penjenayah juvana
Perogol,liwat dan penzina
Judi, arak, mencuri, merompak
Ah, tidak perlu data statistik dan angka-angka komputer
Cukup sahaja dengan mata-mata dan telinga
Untuk memastikan siapakah mereka?
Ya, siapa lagi...Melayulah jua



Lebih kronik konflik politik
Antara parti dengan parti
Dan sesama sendiri dalam satu parti
Sama-sama nekad, sama-sama dasyat
Musim pilihan raya-ajak kawan lawan parti lawan
Musim pemilihan- ajak kawan makan kawan
Riuh sejak sekian lama tentang politik wang
Heboh sampai sekarang tak hilang-hilang
Bergaduh soal nyamuk membakar kelambu
Bertikai soal 'cara' menghalalkan 'hala'
Terlupa niat adat dan tatasusila bangsa
Terpinggir prinsip akhlak dan hukum agama
Kuasa jadi komuditi yang menjanjikan laba
Bukan lagi amanah yang berisikokan dosa
Ah, semakin ramai Melayu yang ingin memimpin
Sedangkan ada yang tak layak..walaupun sekadar untuk dipimpin
Tak mahu jadi gerabak, bertolak-tolak nak jadi kepala
Akhirnya 'kereta api' bangsa terhenti..
Perjalanan bangsa pun tergendala!




2.
Kembalilah ke sejarah, belajarlah daripada Rasulullah
Begaimana Baginda membina satu bangsa bermaruah
Sedangkan awalnya terkenal barbar dan jahiliah
Lihat apa yang disuburkannya di peringkat Makkah
Lihat apa yang digemburkannya di peringkat Madaniah
Bukankah apa yang dihadapinya penuh dengan persamaan
Dengan nasib kita yang sering ditimpa kehinaan
Justeru Arab jahiliah itu cermin sejarah
Bagi setiap bangsa yang bermasalah...
Belajarlah daripada jahiliah.



Politiknya kacau bilau-perang saudara tak pernah aman
Antara kabilah, bani dan suku sentiasa bercakaran
Sebab yang sedikit, perangnya berkait-kait
Ekonominya tenat-monopoli Yahudi mencengkam nadi
Telaga, pasar dan kebun dimonopoli
Terpaksa menjadi 'hamba' di bumi sendiri
Sosialnya parah-zina,arak, tenung nasib, bunuh bayi
Bangsa hilang maruah, umat hilang arah
Rom dan Parsi pun tak sudi menjajah!
Itulah gambaran bangsa yang sangat tenat
Gersang, kontang, lemah, kalah
Menunggu saat untuk dicampakkan ke longkang sejarah.




Tiba-tiba datang Rasulullah membedah masalah
'First thing firsr'-operasinya di dalam diri, diselesaikannya 'soal hati'
Disingkirkan syirik dicantasnya berhala materialistik
Lalu diperkenalkan Allah-agar cinta dan takut hanya pada-NYA
Dikenalkan akhirat-agar ghairah syurga dan gundah neraka
Lihat alam, lihat semesta...bukti kewujudan-NYA
Jangan nafika penciptaan kedua(akhirat)
Ketika penciptaan pertama ( dunia) sudah di depan mata!



Walaupun ekonomi, politik, sosial jahiliah menghadapi masalah
Tetapi Rasulullah mendahulukan akidah
Diperhebatkan dakwah, dipertingkatkan tarbiah
Disemai iman, dituainya persaudaraan
Justeru ekonomi sakit, sebab iman sedikit
Justeru politik tersasar apabila ukhuwah melonggar
Justeru sosial hancur akibat iman dan ukhwah meluntur
Bukan menafikan keperluan ilmu, kepakaran teknologi
Tapi jangan sesekali diremehkan soal hati
Kerna ini bukan hanya soal pengetahuan
Tapi sebenarnya soal kemahuan
Bukan masalah kurang harta tapi masalah 'miskin' jiwa
Bukan kekuatan luaran tetapi kekuatab dalaman
Kerana bangsa tanpa kekuatan iman..
Bagai kapal hilang pedoman.




Indahnya bila iman menjadi teras kepakaran dan pengetahuan
Gagahnya bila iman menjadi asas pembangunan dan kemajuan
Itulah langkah susulan selepas iman di Makkah
Rasul membina ekonomi, sosial dan siasah...
Dengan roh iman di Madinah
Bukan seperti Arab Jahiliah...
Yang memisahkan kehidupan daripada akidah
Belajar daripada sejarah menangnya Rasulullah
Belajarlah daripada sejarah kalahnya Arab Jahiliah!





Nukilan:
Pahrol Mohamad Juoi
Petikan buku
Dilema Melayu-Islam, Kurang fikir atau kurang zikir?
Telaga Biru Sdn Bhd
September 2008


Jumaat, Mac 13, 2009

Tikus putih untuk bapa.


Semalam keputusan SPM diumumkan. Ada pelbagai reaksi. Pedulikan.


Saya tidak begitu terkesan dengan mereka. Zaman saya sudah habis. Kini saya berdepan dengan zaman yang lebih getir lagi.


Zaman penuh cabaran dan pancaroba.


Menatap dada akhbar yang menceritakan tentang kejayaan mereka membuatkan fikiran saya menerawang jauh. Jauh ke masa hadapan.


Oleh kerana zaman saya untuk mengambil SPM telah tamat, maka saya membayangkan pula situasi di mana anak sulung saya mengambil SPM. Adakah sejarah yang sama akan berulang pada anak-anak generasi saya?.

Saya membuat matematik mudah. Sekiranya tahun ini saya berkahwin dan dikurniakan anak, anak sulung saya itu akan mengambil SPM ketika saya berumur 35 tahun. Mungkin ketika itu muka saya sudah berkedut kedut sedikit. Tidak mengapalah. Saya sedar saya sudah jadi bapak orang ketika itu.


Saya harap Pengarah Bahagian Biasiswa, Kementerian Pelajaran Malaysia tidak membaca entri saya yang ini. Iyelah, menurut kontrak kami tidak dibenarkan berkahwin semasa dalam pengajian. Lebih- lebih lagi semasa tahun persediaan.


Gurauan saja. Jangan ambil hati.


Berbalik pada cerita saya dan anak saya tadi. Saya namakan saja anak itu dengan nama 'Man'. Mudah untuk disebut dan diingat. Harap-harap emaknya tidak membangkang kerana saya memberikan nama sependek itu.


Hanya ada kebarangkalian yang utama sahaja sewaktu dia mengambil keputusan.


Saya pun tidak tahu sama ada dasar PPSMI masih diteruskan atau tidak ketika itu. Harap-harapnya tidak. Noktah.


Kebarangkalian pertama: Man lulus dengan jayanya.


Telefon bimbit Man berdering.


( Mungkin ketika ini orang sudah tidak pakai telefon bimbit)


" Hello", Man menanti suara di hujung talian.

" Hello, ini Man bin Muhammad Syukri ke?", terdengar suara di hujung talian.


" iye, sape ni,", Man menjawab penuh tanda tanya.


" Saya Encik Daud bin Othman daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. Tahniah. Encik merupakan salah seorang pelajar terbaik SPM bagi peringkat kebangsaan bagi tahun ini. Esok encik dikehendaki untuk menghadiri Majlis Makan Malam Pelajar Cemerlang bersama Perdana Menteri", suara itu menyambung lagi.


Maka, saya pasti Man akan menjadi orang paling gembira pada hari itu. Mungkin saya pun akan dilupakan. Tidak sia-sia usaha gigihnya selama ini.


Imaginasi tamat.


Kebarangkalian kedua: Man tidak berjaya. Keputusannya agak teruk.


Pagi itu terasa segalanya terhenti ketika. Pohon-pohon berhenti melambai. Angin berhenti berpuput. Lemah dan sayu.


Man sedih sangat. Keputusannya cukup-cukup makan sahaja. Tidak berbaloi rasanya dengan usahanya selama ini.


Maka, saya sebagai seorang bapa yang prihatin akan memujuk beliau. Menabur kata-kata dan janji manis.


" Sabarlah Man, SPM bukan segala-galanya. Ramai je orang berjaya walaupun akademik tak seberapa", saya memulakan bicara.


" Tapi bapak, Man dah buat yang terbaik. kenapa begini jadinya. sob3." Man membalas.

( saya tidak pandai berimaginasi dalam hal ini.maka saya jadi drama tempatan sebagai sumber rujukan)


" takpe-takpe. pasti ada peluang di masa akan datang," saya cuba memberika sekuntum harapan.


" ini semua mesti pasal PPSMI. Man tak boleh belajar subjek sains dan matematik dalam bahasa inggeris ni", dia memberikan alasan.


Ah, sama seperti alasan saya sewaktu kecil dahulu. Bapak borek anak rintik.


Man masih tidak mahu berganjak. Bermuram durja.


" Kalau Man nak tahu, masa batch bapak dulu, kamilah generasi pertama yang menghadapi dasar PPSMI, " saya berbicara tanpa arah tuju.

Jeda.


Man tiba-tiba berkata,


" kasihan bapak. terpaksa jadi tikus putih".


Diam.


Saya kurang pasti kata-katanya itu membawa konotasi apa.


Selasa, Mac 10, 2009

Cerita lewat malam.



Malam pekat.


Saya duduk termangu di bawah sinaran lampu neon. Menikmati indahnya malam ciptaan Tuhan. Bulan terang dipagari bintang. Cengkerik menyanyikan simfoni alam.


Satu hari, ada seorang kenalan memesej saya. Sekadar mahu bertanya khabar barangkali.


" Nape x tulis blog gk. boleh aq tahu perkembangan terkini" , saya menghantar mesej kepada beliau. Struktur bahasa rojak. marah pencinta bahasa.pedulikan.


" haha. ade.cnfdential..kui3..ad kt frenster, 2 pun jrg update..mls nk gne blogspot..nanti ak tlis bnda2 x ptt..abes la sume org tau rahsia atiku..huhu", dia membalas. bahasa melayu cacamarba. biarkan. ini ruang untuk telefon bimbit. bukan kamus dewan.


" jgn la tulis rahsia hati. Tulis la pasal rahsia diri", saya membalas spontan. menaip apa yang terlintas.


" wut difference do they make?" , dia membalas lagi. Semangat inkuirinya tinggi barangkali.


Saya tidak tahu mahu jawab apa. Apa beza antara rahsia diri & rahsia hati.


Lantas saya membalas. Mengerut dahi sekali sekala memikirkan struktur ayat.


Rahsia diri mengheret rahsia arkib kehidupan yang dilingjkari pelbagai persoalan tanpa jawapan. Lebih subjektif dan menyeluruh tanpa mengabaikan aspek kemanusiaan yang ditunjangi hati.


saya beretorik.


senyuman adalah lukisan rahsia hati.


Itulah definisinya.
.
.
.
.
.
.
Maaf. ini adalah entri tanpa tema. fikirkanlah sendiri pengajarannya.
.
.
.
.
.
Sempena Maulidur Rasul ini, ada beberapa orang sahabat saya yang baik hati telah memberikan mesej peringatan melalui telefonbimbit . Sekadar mahu berkongsi saja.


"Pernah satu ketika, sedang Rasulullah berkumpul di dalam satu majlis bersama para sahabat, tiba-tiba bergenang air mata Baginda Rasulullah S.A.W. Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah S.A.W. Bila ditanyakan oleh Saidina Abu Bakar, Baginda mengatakan bahawa Baginda terlalu merindui umatnya di akhir zaman yang disebut-sebut sebagai ikhwannya. Para sahabat merasa iri hati hinggakan Saidina Abu Bakar bertanya, "Bukankah kami ini ikhwanmu? Tidak Abu Bakar, kamu semua adalah sahabatku" kata Rasulullah S.A.W. Ikhwanku itu, menurut Rasulullah S.A.W adalah mereka yang belum pernah melihatku, tetapi mereka beriman dan mencintaiku. Aku sangat rindu untuk bertemu mereka". ALLAHUMMA SOLLI 'ALA SAIDINA MUHAMMAD WA 'ALA ALI SAIDINA MUHAMMAD.~salam maulud rasul



HATI berjuang kerana ALLAH,
dugaan itu tempat bersanggah,
keperitan ditelan sebagai juadah,
kejayaan dianggap satu mimpi indah,
andai ditakdirkan rebah,
HATI tetap redha kerana ALLAH..
Semoga tabah & mujahiddah menempuh tiap lurah.
Tiap agendaNYA punya hikmah,
agar hati disinggah indahnya kasih ALLAH.
Jaga hati.Jaga Iman.

Salam Maulidur Rasul.
Salam Maulidur Rasul S.A.W.
Kegagahan lelaki bukan pada rupa fizikal,
namun pada kecekalan hatinya.
Lelaki gagah mampu mengalirkan air mata untuk ingatan.
Sedia menerima segala teguran.
Memberi madu setelah menerima racun.
Setia untuk berbaik sangka dan tidak pernah berputus asa.
Kegagahan lelaki berdiri atas kemuliaan hati.
Seluruh kesempurnaan yang ada pada Nabi Muhammad ialah kesempurnaan pada seorang lelaki.
Selamat berselawat atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.


Ahad, Mac 08, 2009

.Cerita tanpa nama.







Dunia-Penduduk tinggal di khemah.

SACRAMENTO - Khemah-khemah setinggan tumbuh seperti cendawan selepas hujan di sini berikutan krisis kewangan Amerika Syarikat (AS) yang bertambah buruk, lapor sebuah akhbar semalam.


Khemah-khemah itu menjadi tempat tinggal penduduk di bandar Sacramento, California yang hidup melarat akibat hilang pekerjaan dan tidak mampu membayar ansuran rumah.


Pihak berkuasa tempatan berkata, sekurang-kurangnya 50 pendatang baru mendirikan khemah setiap minggu dan kawasan itu menjadi tempat tinggal lebih 1,200 orang.


"Sukar untuk menerima kenyataan pada zaman moden ini rakyat terpaksa tinggal di khemah seperti yang berlaku ketika Era Kemelesetan Ekonomi pada 1930-an," kata seorang aktivis AS, Joan Burke.


Bagaimanapun, bagi golongan tersebut, mendirikan khemah dengan menggunakan baki wang simpanan yang ada merupakan satu-satunya pilihan buat mereka selepas semua tempat perlindungan untuk penduduk jalanan di California penuh.


Keadaan tempat itu adalah tanpa bekalan air dan elektrik menyebabkan ramai penduduk terpaksa berjalan kaki hampir lima kilometer setiap hari untuk membeli air minuman di stesen petrol dan kedai runcit berdekatan.


"Kami mempunyai seorang anak lelaki berumur 35 tahun dan dia tidak pernah menghubungi kami. Kami menelefonnya sebulan sekali untuk menyatakan kami sihat dan baik. Kami tidak mahu membuatkan dia bimbang," kata sepasang suami isteri yang menetap di khemah tersebut.


Pada bulan lepas, Gabenor California, Arnold Schwarzenegger telah meluluskan beberapa langkah bantuan tetapi tidak banyak yang kerajaan dapat lakukan berikutan lebih 80,000 orang hilang pekerjaan di negeri itu setiap bulan. - Agensi- Petikan akhbar KOSMO!.

.
.
.
.
.
.

Sukar untuk menduga prestasi ekonomi dunia hari ini. Kejutan demi kejutan terjadi. Sistem perbankan konvensional yang berasaskan riba ternyata membinasakan. Entahlah. Saya tidak pakar dalam hal ini.
.
.
.
Saya pernah terbaca satu analogi. Ada satu cerita.
.
.
Ada sebuah periuk yang berisi air panas. Seekor katak dimasukkan ke dalam periuk itu. Katak rasa panas. Dia melompat keluar. Katak itu selamat.
.
.
Satu lagi cerita. Ada sebuah periuk yang berisi air sejuk. Seekor katak dimasukkan ke dalam periuk itu. Dia rasa nyaman. Katak tidak keluar. Periuk dipanaskan secara perlahan-lahan. Katak masih tidak mahu keluar. Dia tidak sedar kepanasan. Periuk semakin panas, tapi katak masih tidak sedar.Akhirnya, katak itu mati kerana tidak keluar.
.
.

Analogi yang mendalam. Kadang-kadang saya juga tidak faham. Tapi inilah kehidupan.

"Easier said than done", kata seorang kawan.

Sanggupkah kita keluar dari sebuah zon selesa demi menuju sebuah penambahbaikan?.

Kadangkala kita asyik dibuai pujian hinggakan lupa akan cabaran hari mendatang. Lena dalam dunia sendiri. Itulah manusia. Kita tidak sempurna.


Isnin, Mac 02, 2009

Romantis, sinis atau kegilaan?


Cepat benar masa berlalu. Tahu-tahu saja sudah bulan tiga. Saya sedikit tensi kerana peperiksaan akan menjelang tiba tidak lama lagi.

Semalam ke SK Lembah Beringin. Seharian kami di sana. Program Motivasi Perdana bersama adik-adik. Insya-Allah, review akan ditulis sekiranya ada kelapangan.

Andai hendak diikutkan, hidup saya pun tunggang-langgang. Tidak layak hendak memotivasikan orang. Namun, bukankah erti hidup itu pada memberi?

Kehidupan manusia adalah sebuah perjalanan panjang. Ada banyak perhentian di antaranya. Umur saya 18 tahun. Ada rakan-rakan saya yang berumur 19 tahun. Ada juga yang 20 tahun. 17 pun ada juga. Namun, usia 17, 18, 19, 20 ataupun jua angka yang ada itu hanyalah angka. Yang paling penting adalah bagaimana kita mengisi usia tersebut.

Aisy,Berfalsafah pula saya di waktu senja ini.
.
.
.
.

Bagaimana andai perkataan sains itu hendak diromantiskan?
.
.
.
.
.
Tidak tahu. Saya tidak romantis.
.
.
.
.
Dialog di bawah ini bukan kali pertama saya baca. Sudah berulang-ulang kali terbaca di sana-sini. Cuma kali ini saja terfikir untuk mengirimnya di lelaman maya kepunyaan sendiri.

Anggaplah ia sebagai hiburan semata-mata ya!. Tidak perlulah diaplikasikan dalam kehidupan harian. Bimbang disalah erti pula.





Aku : Kasihku, ketumpatan cintaku padamu ialah jisim hatiku di bahagi isipadu jantungku. Masihkah kau tidak membuat sebarang anggapan??

Kau : Aku tidak percaya kepadamu kerana kau ada kekasih baru untuk menjalankan tindak balas penggantian ke atas diriku.

Aku : Kau jangan salah ertikan kecerunan garis lurus hatiku ini, kerana aku dan dia masih lagi unsur dan bukannya sebatian.

Kau : Tapi, aku berasa seperti kasihmu berkadar songsang dengan kesetiaan yg kuberikan.

Aku : Tapi, cintaku padamu adalah pemalar!

Kau : Aku masih belum mengerti lagi kerana penyelesaian yang kau berikan masih lagi belum sahih.

Aku : Tapi, aku mengamalkan hukum newton ketiga di mana tindak balas cintaku bersamaan dengan cinta yg kau berikan.

Kau : Kau jangan bohong! Aku telah mengetahui bahawa kau adalah 'random' yg mempunyai janji-janji manis yg bergerak secara rawak.

Aku : Itu adalah fitnah yg telah tersebar melaui proses pencaran dan perolakan.

Kau : Tetapi, mengapa kau membuat tempoh perkahwinan kita mengalami rintangan?

Aku: Aku harus menggunakan perintang boleh laras untuk mengurangkan rintangan itu.

Kau: Adakah kita akan berpadu secara kimia?

Aku: Itu masih belum diketahui, tetapi hasilnya nanti dapat dilihat dengan menggunakan mikroskop cahaya.

Kau: Aku khuatir kau akan bertemu dengan yg lebih aktif dan bertindakbalas dengannya.

Aku: Nampaknya, kita sedang bercinta tiga segi dan haruslah menggunakan hukum-hukum penyelesaian segi tiga untuk menyelesaikannya.

Kau: Tapi, aku telah memberi cintaku dalam magnitud dan arahnya sekali.Masihkah kau tidak percaye?

Aku: Ya, aku percaye. Tetapi aku mahu semua itu dalam bentuk lazim.

Kau: Itu semua boleh diabaikan, yang aku mahu ialah tempoh perkahwinan kita harus mengalami pecutan yg seragam.

Aku: Kau harus bersabar, kerana sabar itu 0.5 dari iman.

Kau: Tapi, imanku adalah infiniti!

Aku: Aku tidak fikir yang iman kau infiniti kerana kau belum mendarabkannya dengan 6x10'23.

Kau: Kau membuat kemarahanku meruap-ruap. Nanti bila tekanan ku melebihi tekanan udara, kau jugak yg susah kerana aku akan mengalami hemolisis.

Aku: Aku sekarang bukan aku yg dulu lagi, aku telah mengalami plasmolis.

Kau: Kau betul-tul menyakitkan hatiku ini. Ku sangkakan kau intan,t etapi rupa-rupanya kau grafit. Pergi kau dari sini. Biarkan aku sendirian........


Related Posts with Thumbnails