Selasa, Mac 17, 2009

Epilog- Belajarlah daripada sejarah.



1.
Setelah 51 tahun mencapai kemerdekaan
Setelah lebih empat dekat kita memerintah
Merancang dan melaksanakan perubahan
Mengapa katanya melayu masih ketinggalan?
Menjadi 'penumpang' dengan gelaran ketuanan
Menjadi 'pengemis' dalam watan yang kaya-raya
Menjadi 'miskin' di kepuk hasil bumi sendiri
Menjadi 'melukut' dalam gantang peribumi
Ah, melayukah melayu ini?
Yang melarat di pertiwi sendiri?



Tahap ekonomi masih jauh dari sasaran DEB
Takah 30% kabur, langkah mencapainya sering terbentur
Usahawan kecil lemas dalam bantuan
Korporat 'instant' tenggelam dalam pinjaman
Lahir segelintir elit bumiputera yang lupa jati diri
Kaya-raya oleh label bumiputera, tapi sudahnya melupakan bangsa
Lahir pula usaha marhein yang miskin
Walau ilmu ditabur modal dihulur, tapi bisnes tak 'betul-betul'
'berniaga buluh kasap'
Bankrap terlalu kerap-itu bukan lagi sesuatu yang hina
Tapi satu strategi penuh rencana


Dasar Pelajaran Kebangsaan masih lagi impian
Apabila pelajar melayu masih terus ketinggalan
Di IPTA atau IPTS-dari segi kuantiti atau kualiti
Bilangan mahupun kelulusan, siswazah melayu masih di pinggiran
Soal kuota tak terisi atau kantung ibu bapa yang tak berisi?
Bahana idealisme atau bahang hedonisme?
Kata seorang pengkaji melayu gara-gara makanan melayu tak bergizi
Kata media melayu itu angkara sifat yang terlalu dimanjakan
Kata pemimpin itu akibat malas, lembab dan tak mahu bersaing
Ah, ketika ini teringat pula lagu lama-lagu melayu
'Bangau, oh! Bangau..'
Apabila semua pihak saling menuding jari
Demi menyelamatkan maruah diri



Jenguk-jenguklah pula ke pusat serenti
Tanyakan apa 'khabar' orang di sana
Atau singgah sahaja di lorong sempit di belakang Chow Kit
Sapalah remaja harapan bangsa yang telah menjadi mangsa
Jangan bicara soal patriotisme
'Perut'isme pun mereka sudah lupa
Bukan beratus, bukan ribu, tetapi ratus ribu
Itu belum dikira bohjan dan bohsia
Belum dicampur penjenayah juvana
Perogol,liwat dan penzina
Judi, arak, mencuri, merompak
Ah, tidak perlu data statistik dan angka-angka komputer
Cukup sahaja dengan mata-mata dan telinga
Untuk memastikan siapakah mereka?
Ya, siapa lagi...Melayulah jua



Lebih kronik konflik politik
Antara parti dengan parti
Dan sesama sendiri dalam satu parti
Sama-sama nekad, sama-sama dasyat
Musim pilihan raya-ajak kawan lawan parti lawan
Musim pemilihan- ajak kawan makan kawan
Riuh sejak sekian lama tentang politik wang
Heboh sampai sekarang tak hilang-hilang
Bergaduh soal nyamuk membakar kelambu
Bertikai soal 'cara' menghalalkan 'hala'
Terlupa niat adat dan tatasusila bangsa
Terpinggir prinsip akhlak dan hukum agama
Kuasa jadi komuditi yang menjanjikan laba
Bukan lagi amanah yang berisikokan dosa
Ah, semakin ramai Melayu yang ingin memimpin
Sedangkan ada yang tak layak..walaupun sekadar untuk dipimpin
Tak mahu jadi gerabak, bertolak-tolak nak jadi kepala
Akhirnya 'kereta api' bangsa terhenti..
Perjalanan bangsa pun tergendala!




2.
Kembalilah ke sejarah, belajarlah daripada Rasulullah
Begaimana Baginda membina satu bangsa bermaruah
Sedangkan awalnya terkenal barbar dan jahiliah
Lihat apa yang disuburkannya di peringkat Makkah
Lihat apa yang digemburkannya di peringkat Madaniah
Bukankah apa yang dihadapinya penuh dengan persamaan
Dengan nasib kita yang sering ditimpa kehinaan
Justeru Arab jahiliah itu cermin sejarah
Bagi setiap bangsa yang bermasalah...
Belajarlah daripada jahiliah.



Politiknya kacau bilau-perang saudara tak pernah aman
Antara kabilah, bani dan suku sentiasa bercakaran
Sebab yang sedikit, perangnya berkait-kait
Ekonominya tenat-monopoli Yahudi mencengkam nadi
Telaga, pasar dan kebun dimonopoli
Terpaksa menjadi 'hamba' di bumi sendiri
Sosialnya parah-zina,arak, tenung nasib, bunuh bayi
Bangsa hilang maruah, umat hilang arah
Rom dan Parsi pun tak sudi menjajah!
Itulah gambaran bangsa yang sangat tenat
Gersang, kontang, lemah, kalah
Menunggu saat untuk dicampakkan ke longkang sejarah.




Tiba-tiba datang Rasulullah membedah masalah
'First thing firsr'-operasinya di dalam diri, diselesaikannya 'soal hati'
Disingkirkan syirik dicantasnya berhala materialistik
Lalu diperkenalkan Allah-agar cinta dan takut hanya pada-NYA
Dikenalkan akhirat-agar ghairah syurga dan gundah neraka
Lihat alam, lihat semesta...bukti kewujudan-NYA
Jangan nafika penciptaan kedua(akhirat)
Ketika penciptaan pertama ( dunia) sudah di depan mata!



Walaupun ekonomi, politik, sosial jahiliah menghadapi masalah
Tetapi Rasulullah mendahulukan akidah
Diperhebatkan dakwah, dipertingkatkan tarbiah
Disemai iman, dituainya persaudaraan
Justeru ekonomi sakit, sebab iman sedikit
Justeru politik tersasar apabila ukhuwah melonggar
Justeru sosial hancur akibat iman dan ukhwah meluntur
Bukan menafikan keperluan ilmu, kepakaran teknologi
Tapi jangan sesekali diremehkan soal hati
Kerna ini bukan hanya soal pengetahuan
Tapi sebenarnya soal kemahuan
Bukan masalah kurang harta tapi masalah 'miskin' jiwa
Bukan kekuatan luaran tetapi kekuatab dalaman
Kerana bangsa tanpa kekuatan iman..
Bagai kapal hilang pedoman.




Indahnya bila iman menjadi teras kepakaran dan pengetahuan
Gagahnya bila iman menjadi asas pembangunan dan kemajuan
Itulah langkah susulan selepas iman di Makkah
Rasul membina ekonomi, sosial dan siasah...
Dengan roh iman di Madinah
Bukan seperti Arab Jahiliah...
Yang memisahkan kehidupan daripada akidah
Belajar daripada sejarah menangnya Rasulullah
Belajarlah daripada sejarah kalahnya Arab Jahiliah!





Nukilan:
Pahrol Mohamad Juoi
Petikan buku
Dilema Melayu-Islam, Kurang fikir atau kurang zikir?
Telaga Biru Sdn Bhd
September 2008


4 ulasan:

Dai berkata...

gejala plagiatisme tersebar!!

mafuzah.mohamed berkata...

aku suka entri ni... memang sinis.

Tanpa Nama berkata...

haha aq xpaham...
oanjang sngt...

Rabiatul Adawiah Sulaiman berkata...

er. panjang. :)

Related Posts with Thumbnails