Rabu, April 29, 2009

Saya pun melayu.









"Siapa orang Johor kat sini?.ha Syukri !, siapakah nama Tengku Mahkota negeri anda?", soal guru pengajian Malaysia saya di dalam kelas pada suatu pagi.


Tika itu kami sedang membincangkan konsep sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia.


"err..Sultan Iskandar.." jawab saya perlahan selepas beberapa sela memikirkan jawapan yang mempunyai unsur logika.


" Sultan Iskandar tu Sultan Johor. Tengku Mahkota orang lain." beliau membuat provokasi.


"err..erm..entahlah, apa ya jawapannya?" saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal.



" Tengku Ibrahim" jawab guru saya itu ringkas.



Cerita tamat.



Memori jangka pendek saya ternyata benar-benar tidak dapat dipindahkan ke memori jangka panjang. Saya sebenarnya pernah berjumpa dengan Tengku Mahkota. Tapi tidak ingat pula nama beliau. Petang tadi, setelah sampai ke bilik segera saya membuka laci meja. Mengeluarkan satu lembaran kertas yang sudah di'liminate'.


Tunku Ibrahim Ismail Ibn Sultan Iskandar.


Saya membaca tulisan di lembaran kertas tersebut. Senyum. Tengku Mahkota Johor pernah sampai ke sekolah saya, SM Sains Kota Tinggi, sewaktu majlis perasmian Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh ke-34 pada tahun 2007.



Tunku Ibrahim Ismail merupakan Tengku Mahkota Johor. Ayahandanya, Sultan Iskandar Al-Haj Ibn Almarhum Sultan Ismail merupakan Yang Di-Pertuan Agong yang ke-8.


Baiklah. Sengaja saya paparkan sedikit info mengenai institusi istana di Johor. Raja-Raja Melayu merupakan salah satu ciri politik yang masih ada dalam pemerintahan di Malaysia hari ini. Jelas dalam Perlembagaan Malaysia tentang peranan Yang-Dipertuan Agong & Majlis Raja-Raja Melayu.


Sebenarnya sewaktu kelas pengajian Malaysia saya pagi tadi, saya tergerak untuk membelek-belek bab komposisi etnik di Malaysia.


Dalam bab tersebut diterangkan sejarah, peranan, ekonomi,politik & sosiobudaya setiap etnik utama di negara saya yang tercinta ini.


Semakin kita dewasa, semakin kita mempunyai keinginan yang kuat untuk menyelidiki asal-usul diri. Tentang agama, bangsa, keturuanan dan sebagainya.Bukanlah saya mahu berbicara dalam nada fanatik satu kelompok. Saya rasakan ini fitrah bagi seseorang yang sedang menuju kedewasaan.


Saya sebenarnya tertarik pada perenggan dalam bab sosiobudaya Orang Melayu di Tanah Melayu. Begini tulisannya:


Majoriti orang Melayu tinggal di kampung. Komuniti di dalamnya bercirikan ikatan sosial yang kuat dan kawalan sosial yang ketat. Hanya orang Melayu yang tinggal di bandar nampaknya mempunyai tekanan kawalan sosial agak longgar. Kawalan sosial yang ketat sebenarnya mempunyai implikasi kepada tingkah laku individu. Ianya memastikan pengakuran ke atas nilai dan norma komuniti. Orang-orang Melayu menyukai dan memberikan nilai yang tinggi terhadap konsensus. Seperti orang bukan Melayu, orang Melayu mempunyai sistem famili luasan. Denga erti kata lain, unit famili adalah tidak kecil dan famili merupakan institusi penting untuk keselamatan sosial.


Kesemua orang Melayu beragama Islam, tetapi tidak semua yang beragama Islam merupakan orang Melayu. Agama Islam yang menjadi amalan orang Melayu tidak menyebabkan mereka berfikiran sempit, tiada toleransi, fanatik atau agresif. Umumnya orang Melayu dicirikan sebagai orang yang merendah-diri dan tidak menekankan kehendak mereka ke atas orang lain. Orang Melayu dikatakan sebagai berperangai tidak mudah marah dan dapat menahan diri; perangai panas baran adalah tidak dihormati dan sering diungkap 'kurang ajar'. Sebab itu jarang sekali mereka akan meluahkan perasaan marah atau berterus-terang. Kesannya ialah biasaanya perasaan, sikap, pandangan dan kepercayaan mereka sukar difahami ; justeru selalu disalah mengerti. Kesalahfahaman ini kadang-kadang melampaui hubungan antara perseorangan dan dalam bidang-bidang ekonomi, sosial dan politik.



oh. Begini rupanya buku teks saya mendifinisikan sosiobudaya dalam bentuk ayat yang ringkas. Saya tidak mahulah komen apa-apa. Saya serahkan pada kalian untuk membuat penilaian.



Petang tadi saya tergerak untuk mencari review buku ' Saya pun melayu' ( cover buku seperti yang di atas) tulisan Zaid Ibrahim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan penyalahgunaan ISA. Saya sudah beberapa kali menatap buku tersebut di kedai-kedai buku, namun faktor kewangan yang tidak stabil menyebabkan saya tidak berpeluang memiliknya. Tidak mengapalah. Lain kali kalau ada rezeki, pasti ia milik saya.


Sudahnya saya membaca review di blog individu saja. Setakat ini, ia sudah mencukupi untuk membawa saya menyelusuri sejenak ke lembah sejarah dan galur asal-usul diri saya.


Review buku tersebut.


Kaki sakat

My complete Mastery

M. Bakri Musa



mana satu saya ya?



Selasa, April 28, 2009

Cerita dalam kotak.



" Akhirnya selesai sudah peperiksaan semester", hati saya bersuara sendiri tatkala mulut lahiriah membungkam seribu bahasa sewaktu diri melewati pintu utama dewan besar kolej.


Semester dua semakin hampir ke penghujungnya. lebih kurang 2 bulan lagi. Kemudian naik pula ke semester tiga. masa berlalu terlalu pantas. Bagai sela masa antara dua kerdipan mata. tau-tau saja sudah hendak peperiksaan AS.


Baiklah. Bersempena dengan berakhirnya buat sementara waktu 'musim orang tarik muka masam', saya hendak bercerita sesuatu.


Dalam hidup saya ini, saya selalu terfikir-fikir akan apakah makna hakikat kegembiraan itu. Adakah orang yang gelak-gelak dan senyum-senyum selalu itu pada hakikatnya bahagia?


Bukan semua yang ketawa itu gembira, tetapi semua yang gembira itu ketawa. Kata seorang pujangga. Entahlah. Saya bukan faham sangat hakikat kehidupan ini.


Ada beberapa peristiwa sepanjang kehidupan ini yang sekiranya diimbas kembali akan mampu menyebabkan saya tergelak dan tersengih bak kerang busuk seorang diri. heh. Kalian pasti ada juga bukan?


Begini kisahnya.


Sewaktu di sekolah menengah dahulu, ada pertandingan menyanyi. Setiap kelas dan organisasi dikehendaki menghantar wakil masing-masing ke atas pentas untuk mendendangkan lagu pilihan masing-masing.


Mintak permisi untuk lari topik sebentar. Teringat pada seorang senior dahulu sewaktu menjadi ketua istiadat perhimpunan.

Versi kebiasaan: Bersama-sama kita menazamkan Asma ul Husna.

Versi senior tersebut: Bersama-sama kita mendendangkan Asma ul Husna.


Ok. Masuk topik kembali. Hendak dijadikan cerita, majlis tertinggi juga perlu menghantar wakil. Setelah melalui beberapa kerenah-kerenah birokrasi, maka saya dan Thalhah dihantar sebagai wakil organisasi tersebut.


Walaupun kurang bakat kerana tidak diasah, kami tetap cekal menghadapi pertandingan tersebut. Kami sedar bahawa kami bukannya 'permata' dalam industri seni suara. Kami bukannya M. Daud Kilau, Mawi, Jamal Abdillah, Faizal Tahir mahupun Sean Kingston. Oleh itu kami berlatih 'bersungguh-sungguh'.

Setelah berdiskusi dan memilih yang terbaik, kami mengambil keputusan untuk menyanyikan lagu nasyid. Hal ini kerana, lagu nasyid lebih mudah dan tidak perlu tarik-tarik suara sangat. Lagipun kami masuk untuk cukup syarat & hantar penyertaan sahaja.


Tiba di hari pertandingan, seperti yang dijangkakan, kami sahaja yang lain daripada yang lain. Peserta lain membawa lagu-lagu yang bergenre selain nasyid. Tidak mengapa. Kelainan itu unik.



Sewaktu giliran kami diumumkan, kami melangkah 'malu-malu kucing' ke atas pentas. Mikrofon dicapai, lagu diputar & kami mula menyanyi. Malangnya suara mikrofon tidak kedengaran di pembesar suara gara-gara nada suara kami yang terlalu rendah.


Kami meneruskan nyanyian dengan harapan juri mengangkat kad merah menandakan nyanyian perlu dihentikan. Malangnya juri terlalu baik kerana terus mengangkat kad hijau petanda persembahan harus diteruskan. cis. getus hati saya.


Sebagai pengganti kepada suara yang tidak kedengaran, kami menggayakan pelbagai gaya dan mimik muka. Haru-biru jadinya. Kecoh seisi dewan. Pada waktu ini kami berharap agar bumi tempat kami berpijak merekah, dan kami akan dapat bersembunyi di balik rekahan tersebut. Alangkah baiknya kiranya kami dapat bertukar menjadi semut yang halus agar hilang dari pandangan khalayak.



Akhirnya, kami mendendangkan lagu tersebut ke habis walaupun kami tahu bakat kami tidaklah sehebat mana. Tidak mengapalah berperwatakan 'sengal' sekali-sekala, kami sudah bosan memegang watak serius. Sebenarnya sewaktu kami melangkah masuk ke sekolah menengah dahulu, kami ini memang pemalu orangnya. Namun oleh kerana sering sahaja membuat perkara 'sengal' di khalayak ramai, perasaan itu mulai luntur.


Demikianlah adanya kisah tersebut yang masih tersimpan kemas dalam kotak hati saya. Maka, sekiranya anda melihat saya sedang tersengih-sengih seorang diri, janganlah anda menaakul saya seorang yang kurang waras., Kemungkinan besar saya sedang membuka kembali kisah-kisah yang terkandung dalam kotak hati tersebut!.


Rabu, April 22, 2009

.Kalau kau fahami bahasa rindu.




Celik. Pejam. Menggeliat. Celik. Pejam. Celik.


Klise. Inilah perlakuan kita acap kali menempuh hari baru dalam kehidupan. Barangkali bukan kita. Saya seorang sahaja yang begini. Stereotaip, bagai robot yang diprogramkan.


Masa terasa begitu pantas di sini. Kadang-kala saya terasa bagai berada di satu terowong futuristik yang jarum minitnya bergerak sepantas jarum detik. Sangat deras. Kali terakhir saya mengemaskini blog ini adalah pada 6 April. Tidak terasa pula bahawa masa itu akan begitu pantas meninggalkan saya. Tahu-tahu sahaja sudah hampir dengan penghujung bulan.

"Wah, peperiksaan AS sudah semakin hampir", hati saya menjerit separa cemas.


" Kalau begitu belajar bersungguh-sungguh. Kamu mahu yang terbaik bukan?", hati kecil saya memujuk. Cuba mengubati kegusaran.



Hendak menulis sesuatu tetapi tiada masa yang ideal. Itu seksaan jiwa paling hebat bagi saya. Musim peperiksaan yang semakin hampir makin terasa bahangnya. Saya sedikit tertekan. Peperiksaan percubaan dan peperiksaan semester menyebabkan saya tidak punya lebih banyak masa. Banyak yang perlu diulangkaji semula.


Sejak kebelakangan ini semakin banyak perkara yang saya pelajari. Kesulitan menyerlahkan sifat sebenar seseorang. Itu kata-kata yang saya petik daripada buku berani gagal. Aplikasinya telah banyak kali saya temui. Iyelah, teman ketawa senang dicari, kawan menangis sukar ditemui. Saya juga barangkali hanya seorang kawan yang bisa ditemui ketika anda sedang bergembira.



Melakukan sesuatu kerana TERPAKSA mengundang DERITA. Melakukannya untuk MENERIMA menyuluh jalan mencapai CITA. Melakukannya untuk MEMBERI itulah jalan mengecap BAHAGIA. Ini kata-kata yang saya petik daripada blog Ustaz Hasrizal, Saiful Islam.com. Anda jangan cemburu ya, saya ada biodata tulisan tangan yang ditulis sendiri oleh Ustaz Hasrizal dalam diari . Dia menulis sewaktu saya menjadi perantara majlis ceramah di musolla tempohari.



Sudahlah. Saya rasa saya semakin melalut. Saya ada banyak perkara yang hendak ditulis setelah sekian lama menyepi, tetapi apakan daya, saya kesuntukan masa untuk tujuan itu. Lain masa sajalah.


Sebenarnya tadi saya hanya mahu menyiarkan sebuah puisi di sini. Tentang kehidupan. Tiba-tiba saja sejak kebelakangan ini saya sering berfikir tentangnya. Mengapa ya? Jiwa kacau barangkali. ah. tidak mahu fikir lagi.



Kalau kau fahami bahasa rindu


Kalau kau fahami bahasa rindu,
Pasti pengertian ini milikmu,
Kerana aku insan perindu,
Yang menagih damai di lubuk hatiku,
Kala gelora membadai kalbu.


Telah ku lakar segala rahsia,
Di kanvas jiwa terlukis rasa,
Pabila hati mula membentak,
Tingkah berubah menongkah fitrah,
Pijat pesimis merasuk nurani,
Menyedut segala semangat duniawi,
Senyuman hambar yang ku lontar,
Petanda damai semakin pudar.


Aku rindu jiwa yang kental,
Diri yang teguh walau dicabar,
Tidak mengalah di waktu sukar,
Biar bernafas di tengah lumpur,
Tetap tegar menjadi penyabar.


Aku masih menanti damai,
Mengharap rindu akan menghilang,
Walau ku tahu hakikat kehidupan,
Rindu itu satu kurniaan,
Buat manusia yang hilang ketenangan,
Apabila terputus rahmat Tuhan.


~kala senja di Lembah Beringin.
April 2009
Rabiul Akhir 1430H


Isnin, April 06, 2009

. Debu abstrak . Jalur konkrit .



Bumi merekah. Seisi mandala gegak gempita dan gamat jadinya. Angin kencang menghembuskan bayu semahu-mahunya, sehingga tercabut segala akar padu. Jurang itu semakin melebar jadinya.

Melaksana tidak semudah mengungkap. Mengumpul debu-debu halus pasir, kemudian menjadikannya sebagai binaan agung bukan kerja mudah. Barangkali memakan masa berpuluh-puluh tahun lamanya.


*Mengapa mahu membina dengan butir debu pasir?. Kau gila.


Hei, Siapa kamu untuk menafikan kataku?. Saya tahu ke mana arah kemudi hidupku. Manusia kini keliru erti ketamadunan. Jiwa kacau. Mudah bosan. Sepi membungkam jiwa kosong mereka. Mereka mencari bahan eksotik untuk mengubatinya lara jiwa. Eksotik itu berlegar di minda. Kadangkala ia terpacul dari juh bibir manusia, suaranya lantang keluar dari rahang dan kerongkong, bukan dari kalbu. Debu abstrak ini perlu ditapis halus-halus agar binaan jalur konkritnya tulus dan mulus.


Jeda.


* Kau gila. Suka benar berbahasa yang bukan-bukan. Apalah pula yang kau mahu momokkan padaku wahai si insan majnun?



Lancang mulutmu. Kamu tahu bukan manusia ini mencari sempurna. Estotika itu sempurna bagi mereka. Walaupun sempurna itu hanya ada pada yang ESA, mereka tetap tegar mencari. Setitis air dari selaut lautan itulah perumpaan ilmu manusia. Kamu tahu bukan?. Mereka kata, perjalanan ini adalah satu titian mencari dan menghampiri kesempurnaan. Maka, idea-idea abstrak yang wujud dalam fikiran manusia inilah yang perlu dijalin dalam jaluran konkrit untuk dilaksanakan. Kamu faham atau tidak kalamku?



* Benar-benar tidak siuman. Mengapa bicara begini?. Kau hanya beretorik kosong.



Hahahahaha....kerobotikan menguasai dirimu. Mengapa tidak mahu berfikir di luar kotak? Selesa diselimuti gebar empukmu?



*Bukan aku yang bersalah. Aku tidak faham arah tuju bicaramu. Mengapa harus memulakan andai tidak memahami pengakhiran? Begin with the end in minds, bak kata Stephen R. Covey.




Kamu yang memaksa jiwamu agar tidak menerima bicaraku sedangkan akalmu membentak-bentak kemahuan. Beretorik memang mudah. Keluarkan nada dari pita suaramu, kemudian bicaralah dengan pedoman akal dan hati. Jaga-jaga dengan bisikan iblis, dia musuh kita sejak sekian lama. Namun harus diingat, mengkonkritkan sesuatu kata-kata yang abstrak itu bukan mudah. Kita harus tabah. Bukan semua suka dengan pembaharuan. kamu juga nampaknya menentang revolusi mindaku.




*Hahaha...inilah jenaka paling hebat pernah ku dengar. engkau memang hebat menabur kata manis. Tidak pernah pula kau beritahu aku tentang keinginanmu untuk menjadi politikus?. haha..




Apa kamu fikir politikus sahaja yang mesti punyai wawasan? sekurang-kurangnya saya masih mengimpi hari esok yang nikmat. Bukan seperti kamu yang bertepuk tangan riang tatkala melihat rakan bergelumang kegelisahan. Kamu hanya mahu bahagia itu milik kamu sahaja bukan?. Insan keji. Kamu tahu tidak sikapmu yang gemar mencaci golongan yang gagal ini akan menimbulkan trauma kepada kami andai kami tidak punya kekuatan hati. Menghukum manusia tanpa pernah menyelidiki dan memahami. Dasar insan bongkak.



Jeda



Sinar mentari yang mula hilang di ufuk langit petanda hari kian senja. Kita semakin kesuntukan masa. Harapnya menjelang mentari terbit keesokan harinya kita sudah mampu mengkonkritkan debu-debu abstrak ini menjadi jaluran binaan yang kukuh. Itupun kalau esok masih ada. Jikalau esok mentari terbit dari barat, bagaimana dengan kita semua?.




Nota kaki:


Entri ini hanyalah idea penulis yang cuba merakam kehidupan daripada sudut-sudut yang sukar. Ini hanyalah satira yang menggunakkan sudut pandangan pertama yang cuba diterokai oleh penulis. Namun ia masih sebuah satira yang lemah, barangkali tidak layak digelar sebagai satira kerana ciri-ciri satira tidak jelas kelihatan. Entri ini tidak menggambarkan keadaan jiwa penulis yang sebenarnya. Hanya sekadar imaginasi yang terbit semasa menikmati damai rimba Amberstone Eco Resort.

Jumaat, April 03, 2009

.Fenomena kelupaan.




Bersempena dengan berakhirnya peperiksaan percubaan, saya ingin menulis sedikit tentang fenomena kepelikan yang sering melanda diri.



kenyanyukan.



Saya tidak sangka dalam meniti pengakhiran usia belasan tahun ini, saya sudah memiliki simptom-simpton kenyanyukan. Ah, tidak menarik pula dinamakan sindrom ini sebagai sindrom nyanyuk, kelihatan seperti saya sudah sangat tua. Padahal saya baru 18 tahun. Barangkali, saya rasakan nama sindrom kelupaan lebih menarik, tampak segar dan kelihatan muda remaja.



kelupaan.



Sejak akhir-akhir ini, penyakit lupa saya kian teruk. Walaupun tidak sampai ke tahap kronik, namun ia tetap membimbangkan. Sebagai contoh, saya selalu lupa di mana saya letakkan kaca mata saya. Kadang-kadang saya tidak suka memakai cermin mata, maka saya akan membukanya. Masalah akan timbul apabila saya mahu menggunakannya kembali. Saya lupa di mana letaknya. Terpaksalah saya meraba-raba mencari dalam kerabunan ini. Seksa. Lebih-lebih lagi apabila sudah terlewat untuk ke kelas. Saya kira alasan kelupaan lokasi cermin mata tidak mampu menjadi alasan releven untuk diajukan kepada guru kelas saya.



Selain daripada cermin mata, ada lagi barang-barang persendirian ataupun awam yang sering saya lupa lokasi asalnya. Teruk betul. Saya rasa saya sudah banyak makan semut. Ini belum termasuk lagi kelupaan dalam dewan peperiksaan. Ini lebih memeritkan. Saya rasa macam baca pada malam sebelumnya, tapi tidak tahu mana satu jawapannya. saya bermonolog sendiri saja.



'Thumdrive' 8G saya yang berwarna hitam dan berjenama 'Apacer' juga masih hilang dan tidak dijumpai. kepada sesiapa yang ada terjumpa, sila pulangkan kembali pada saya secepat mungkin.


Kelupaan. Kelupaan. Kelupaan.



kadangkala apabila saya ke pusat membeli belah, saya selalu lihat ada orang membuat pengumuman sebegini di kaunter deejay.



" Perhatian kepada semua pengunjung Grand Union ( saya ambil pusat membeli belah terbesar di Tg malim sebagai contoh), sesiapa yang ada kehilangan seorang anak lelaki, berumur dalam lingkungan 5 tahun, memakai baju biru Kiki Lala, seluar slack hitam, rambut pendek, sila ke kaunter deejay kerana anak anda ada bersama kami. Terima kasih.".



Sambil itu seorang anak kecil sedang menangis-nangis kesedihan di sisi kaunter.



Saya berharap saya tidak akan berada dalam situasi tersebut apabila tiba masanya kelak. Iyelah, memikirkan potensi kelupaan yang saya ada sekarang, tidak mustahil saya juga akan berada dalam situasi tersebut.



Sedang saya khusyuk membeli belah bersama keluarga dan anak-anak, tiba-tiba saya kira anak saya kurang seorang.


" eh, mane plak Man ni, tadi ada je kat sini", getus hati saya memikirkan di mana anak sulung saya. ( rujuk entri ini untuk lebih pemahaman)



" kena culikkah?", saya mula sangsi. Maka, terpaksalah saya mencari di seisi pusat membeli belah tersebut. Puncanya, kerana saya lupa di mana saya tinggalkan anak kecil saya itu.



baiklah. Imaginasi tamat. Saya tidak mahu imaginasi lebih-lebih. Nanti orang salah faham.



Saya pun tidak tahu mengapa saya suka benar gunakan imaginasi 'keterdepan' sejak akhir-akhir ini. Barangkali kerana tekanan yang hebat yang semakin kerap melanda diri.



Alasan.



.
Related Posts with Thumbnails