Jumaat, November 27, 2009

Memoir seorang guru




Bapa ingin bertanya, betapa mulia pun hati seseorang, tapi apabila berhadapan dengan tegar yang aneh, tidak peduli pada ajaran, apa sikap engkau Kamariah?



Katakan saja anak engkau, Kamariah...jika berhari-hari engkau berhadapan dengan tegarnya, tidak masuk ajar, menafikan kehendak dan meremehkan segala pengajaran, apa yang dapat engkau lakukan selain benci? Bencilah hukuman yang paling lembut kepada murid-murid seperti itu.


Bapa sudah dua tiga kali diajar oleh pengalaman. Tetapi, oleh kerana takah murabbi , bapa tidak temui, maka mereka menjadi mangsa kebencian. Bagaimanapun, jika engkau dapat menaiki takah murabbi, ayuhlah! Lakukanlah! Murabbi adalah makam yang sangat mulia.


Seorang lagi murid bapa bernama Sakinah, sama usianya dengan mereka ini. Tapi fiilnya lain. Untuk kali terakhirnya, bapa harap engkau dengar hal ini agar menjadi pengajaran dan yang penting engkau dapat mencapai murabbi. Jika engkau dapat mencapainya, redalah bapa. Berbanggalah bapa kerana makam murabbi bukan calang-calang orang dapat mencapainya.


Bapa memang menyesal tetapi pada awalnya memang bapa tidak sangka hendak menyesal. Hampir 20 tahun lebih bapa mencari murabbi, namun tidak ketemu. Sebab itu bapa sangat tidak setuju seperti kata Pak Cik Lukman, kau sekadar dapat gaji. Murabbi tidak utamakan gaji, tetapi kejayaan membentuk insan menjadi insan, membentuk manusia bersifat kemanusiaan.



Petikan novel Memoir Seorang Guru
Azizi Haji Abdullah, 2007
Halaman 96-97



***


Bagi orang kebanyakan (yang jarang membaca novel) seperti saya, peluang menikmati bahan bacaan selain silibus akademik pastinya sukar untuk diperolehi semasa kesibukan menghambat hari-hari saya kampus. Hanya selepas peperiksaan semester, barulah mood saya kembali terbuka untuk menyelak helaian novel.



Novel 'Memoir Seorang Guru' saya beli semasa di Terminal Bas Larkin (Johor Bahru), sesudah tiba daripada Kuala Lumpur sempena cuti akhir semester. Novel ini pernah saya lihat beberapa tahun dahulu, namun baru kali ini saya betul-betul tergerak untuk mendapatkannya.




Saya menilai keberkesanan sesebuah tulisan itu dengan cara bagaimana persoalan/tema yang diangkat oleh pengarang berjaya membuatkan saya berfikir dan termenung jauh sesudah pembacaan tamat.



Begitu juga dengan filem. Filem yang baik pada hemat saya adalah sebuah filem yang mampu membuatkan saya termenung ( sambil berfikir tentang falsafah yang digarap) dan mampu saya kaitkan dengan kehidupan harian.






'Memoir seorang guru' tulisan penulis veteren, Tn Azizi Hj Abdullah telah merakam satu sisi kehidupan masyarakat pada sudut yang sukar-maka kejujuran karyanya terasa pada setiap bait perkataan. Antara persoalan-persoalan yang diangkat adalah kemiskinan, kesedaran masyarakat pedalaman, cabaran guru di pedalaman, soal keberkatan dan banyak lagi yang masih tidak terjangkau oleh nurani manusiawi saya.




Secara ringkasnya, 'Memoir Seorang Guru' mengisahkan seorang ustaz yang cukup berkeras melarang anak gadisnya bernama kamariah menceburi bidang perguruan kerana baginya bidang tersebut tidak mendatangkan keberkatan dan jauh sekali untuk mencapai tahap kemurabbian. Ini semua adalah disebabkan beliau tidak mahu anaknya mengikuti apa yang telah dilaluinya sepanjang mencurahkan ilmu kepada anak-anak bangsa.



Plot-plot diatur menampilkan satu persatu anak-anak murid ustaz tersebut ( Alias, Midun, Sakinah, Mihad & Mohd Dhuha), yang setiap satunya mempunyai kisah yang tersendiri.


Sepanjang membaca novel ini, banyak kali juga saya merenung jauh ke luar jendela bas-cuba menghadam setiap baris falsafah yang disulam.



Mungkin juga kerana saya adalah bakal seorang guru (opsyen fizik), maka novel ini memberi kesan yang lebih mendalam kepada diri saya.



Mampukah saya menjadi sang murabbi?



***


Tinta Penulis
(dipetik daripada halaman belakang novel ini)


MEMOIR SEORANG GURU sebenarnya bukan ilusi yang khayal, tetapi satu pemerahan fikiran tentang sirat sabut perasaan, bagaimana bukannya mustahil seorang guru benci melihat, benci kata kepada murid-muridnya.


Namun, inilah yang ilusinya kerana ia mampu bertukar menjadi murabbi. Ilusinya ialah 'aku' yang penuh prasangka dan ia bertukar sedar lalu menjadi 'murabbi'


Selama 32 tahun menjadi guru, saya sebenarnya berilusi dengan kebingungan, murid, kemiskinan murid dan akhirnya tersentak dengan simpati. Selama aku berilusi inilah 'aku' hidup bagaikan tidak ada keberkatan.


Menjerit batin bersama ilusi dan kebencian tingkah laku apa yang disebut murid-murid, mereka sebenarnya tidak minta jadi begitu.


Novel ini, saya lahirkan dengan perasaan dan ilusi yang merupakan serpihan-serpihan kebencian yang sangat 'aku' benci atau 'aku' sangat benci dengan kebencian 'aku.


Saya lahirkan keperihalan kebencian seorang manusia yang pasti ada pada manusia lain. Saya lahirkan keperihalan kebodohan atau ketongongan yang sangat dibenci oleh mereka yang mereka tidak pernah memintanya. Lalu, saya temui...merekalah manusia yang jujur, ikhlas, pengasih dan mengenang budi.


Saya merengkuh setiap malam, sepertiga malam, menukang dan menganyam, menjalin dan menyirat yang bagaikan seorang ibu mengandung sembilan bulan.


Saya merasai kekuatan novel ini apabila berhasilnya saya melahirkan keperihalan kebencian atau kepuasannya, saya dapat menyimpulkannya bahawa yang dibenci sebenarnya disayangi. Apakah ini ilusi?


Azizi Hj Abdullah
aziziabdullah.blogspot.com

*Azizi Hj Abdullah adalah penerima S.E.A Write Award pada tahun 1988.




Selasa, November 24, 2009

Jiwa resah





Jiwa resah
(dedikasi untuk aku dan mereka yang keliru)


Pada tiap ruang keliru
jiwa ini mahukan aku
tegar menyulam ikhlas
bicara bahasa tulus
mengusir prejudis manusiawi
membasuh berus noda
yang mengocak belanga rasa.


Kala kompas hati meracau
aku lihat mereka menjadi aku
dan aku menjadi yang lain.



Syukri Sapuan
KL Sentral
24 November 2009







Sabtu, November 21, 2009

Kebolehpercayaan media perdana parah





Arahan mengosongkan bilik sewaktu cuti semester, walaupun agak (baca: sangat) menyusahkan terutamanya kepada pelajar yang akan balik jauh ke selatan seperti saya- tetap membawa kebaikan andai dilihat pada satu sisi yang lain. Mengosongkan bilik memberi peluang kepada saya untuk meneroka setiap inci bilik dan menjumpai kembali item-item yang saya terlupa di mana atur letaknya.



chalet kyuem: sumber dari google

Majalah-majalah yang dibeli sejak semester satu saya tatap dan selak satu persatu.


Hasilnya, saya telah menjumpai kembali satu artikel menarik, yang bisa membuatkan saya teringat kepada Program Biro Tata Negara (BTN) yang telah saya hadiri beberapa bulan yang lalu.



Seorang rakan dalam kumpulan LDK saya telah membangkitkan isu kebebasan media yang tidak telus sewaktu dalam perbincangan kumpulan. Kami bukannya mengharap satu media yang memiliki kebebasan mutlak, namun jika benar kita mahu mengamalkan demokrasi, mengapa media perdana dikawal sebegitu rupa oleh satu pihak saja?




Saya yang ketika itu kekontangan idea tidak memiliki sebarang hujah konkrit untuk membalas bedilan-bedilan fasilitator kumpulan LDK saya. Sudahnya, perbincangan kami dihabiskan dengan kesimpulan bahawa kebebasan media membawa kemudaratan. ( saya tidak ingat sangat akan konklusi yang disimpulkan, tapi saya tidak bersetuju dengan kesimpulan tersebut- “there are something wrong with the system”, bak kata YB Tian Chua dalam video 15Malaysia- ‘one future’.



Saya bersetuju dengan pengarang artikel ini berkaitan dengan kritikannya terhadap kredibiliti media perdana. Demokrasi itu sendiri membenarkan perbezaan pendapat bukan?


Berikut saya taip kembali artikel tulisan Mior Kamarul Shahid dalam ruangan Mato-mato media (Milinea Muslim April 2008). Milinea Muslim adalah sebuah majalah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)





Kebolehpercayaan media perdana parah
Oleh: Mior Kamarul Shahid



Sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), media arus perdana nampaknya “bermaharajalela” menyiarkan berita-berita yang ternyata berat sebelah sehingga menimbulkan rasa meluat masyarakat.



Jika tidak sebahagian besar pun berita dan laporan yang disiarkan itu, surat khbar sama ada Berita Harian/Berita Minggu, Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia, The New Straits Times (NST)/Sunday Times, The Star/Sunday Star dan akhbar lain yang mirip kepada parti pemerintah serta stesen-stesen televisyen, mengambil sikap yang ‘pro-kerajaan’.

Segala ruang, hinggakan surat atau forum pembaca pun dijadikan wadah menyokong kerajaan keterlaluan dan menghentam pihak yang menentang kerajaan secara keterlaluan juga.



Sememangnya, beginilah sikap media arus perdana setiap kali pilihan raya diadakan. Semua orang tahu media di Malaysia menyokong parti kerajaan tetapi sokongan yang ditunjukkan oleh mereka kali ini adalah sokongan tanpa taktik atau ‘sokong membawa rebah’.



Laporan dan berita yang menyokong parti dan pemimpin Barisan Nasional (BN) secara keterlaluan dan menghemtam parti dan pemimpin parti lawan secara keterlaluan itu boleh dijadikan hipotesis kajian bahawa inilah punca kemerosotan BN pada PRU-12 pada 8 Mac 2008.



Media arus perdana bertanggungjawab sebagai punca BN gagal mengekalkan kedudukan 2/3 kerusi di parlimen dan tumpas di Selangor, Perak, Kedah, dan Pulau Pinang, selain Kelantan. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, BN tumpas 10 kerusi kecuali di Setiawangsa.



Parti Barisan Alternatif (BA) yang disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP juga bertapak di beberapa negeri termasuk di Johor yang sebelum in mnenjadi benteng terkuat BN dan UMNO.



Di negara-negara demokrasi Barat, media memberi peluang kepada pemimpin parti yang bertanding dalam pilihan raya muncul di televisyen atau memberi ruang untuk berita mengenai parti dan calon-calon mereka disiarkan di media cetak.



Di Malaysia, ia bukanlah sesuatu yang terlalu diharapkan. Parti yang bertanding dalam pilihan raya sedar bahawa mereka tidak ada tempat untuk mereka berkempen menerusi media kerajaan.



Sebaliknya, mereka menggunakan isu liputan media yang berat sebelah ini sebagai salah satu bahan kempen. Mereka mempersoalkan sikap media yang tidak demokratik dalam sebuah negara yang kononnya mengamalkan sistem demokrasi.



Berita mengenai parti dan pemimpin pembangkang hanya disiarkan di kaca TV atau media cetak hanya jika ia memaparkan imej negatif atau yang dianggap boleh menjejaskan reputasi parti atau pemimpin pembangkang dengan matlamat untuk mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap mereka.



Sejak sebelum dari tempoh kebenaran berkempen lagi, usaha mencemuh pembangkang sudah pun bermula. Media mendedahkan keburukan pembangkang bertalu-talu dengan harapan rakyat menolak mereka.


Ini bukanlah peranan media.


Media boleh menyokong kerajaan dengan menonjolkan kebaikan kerajaan tetapi bukan dengan sengaja memburuk-burukkan pemimpin dan parti lawan.



Pengecualian boleh diberikan kepada media yang dimiliki oleh parti. Media seperti ini sama ada ia milik parti pemerintah atau parti lawan bebas menyiarkan apa sahaja berita mengikut etika kewartawanan dan undang-undang negara.



Sebaliknya, media arus perdana tidak harus meletakkan imej mereka ke tahap yang begitu rendah kerana ia membabitkan persoalan kredibiliti.




Apabila ramai orang tidak yakin lagi dengan berita yang disiarkan, ia akan menyebabkan kepercayaan kepada parti dan calon yang mewakili kerajaan, dibenci.




Peranan media adalah untuk mendidik bukan menanam bibit-bibit kebencian terhadap mana-mana pihak. Untuk jangka panjang, itu amat merugikan media itu sendiri.




Sejak hari penamaan calon 24 Februari 2008 lagi, media arus perdana menyiarkan persoalan remeh-temah yang melibatkan parti lawan.




Parti-partil lawan ditonjolkan sebagai bersikap ganas. Isu Yang Dipertua PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang tidak bersalam dengan calon BN diperbesar-besarkan hingga beberapa hari seolah-olah ia adalah isu pokok pilihan raya.



Tindakan media arus perdana seolah-olah menggambarkan mentaliti cetek media berkenaan. Sesiapa sahaja yang membaca berita itu akan bertanya pada diri mereka, apakah peristiwa itu benar-benar berlaku atau media sengaja mengada-ngadakan berita untuk memburukkan parti lawan.


Pada pandangan masyarakat, sekali pun ia benar-benar berlaku, pasti ada sebabnya terutamanya dalam keadaan yang kelam kabut itu.



Apakah ia disengajakan atau pun tidak disengajakan? Apabila penjelasan dibuat, ia tidak diberi ruang oleh media, sebaliknya berita mengenainya dipusing-pusing dan diputar terbalikkan.



Di sebabkan hari ini sudah ada media internet dan blog, orang ramai mula mendapatkan maklumat alternatif dan ada yang menjadikannya sebagai maklumat prima. Mereka tidak lagi membaca atau menonton media arus perdana sebaliknya lebih selesa melayari internet.




Pada mereka media arus perdana tidak lagi boleh dipercayai. Elemen kebolehpercayaan media perdana sudah sampai ke tahap yang amat parah.




Jika mereka benar-benar mahu membantu, mereka sepatutnya menjawab pelbagai persoalan berhubung kenaikan harga barang, tuduhan-tuduhan rasuah terhadap pemimpin tertentu dan sebagainya.




Sebaliknya dengan menfokuskan berita yang tidak releven dalam pilihan raya, rakyat menganggap media cuba lari daripada permasalahan sebenar.


Sepatutnya, media arus perdana perlu faham bahawa lebih banyak berita yang menghentam pihak lain disiarkan sama ada menerusi komunikasi bersemuka atau disiarkan menerusi media alternatif.


Ini adalah tindak balas biasa yang perlu diakui keberkesanannya. Media perdana juga mengheboh-hebohkan isu Datuk Seri Haji Hadi Awang mengeluarkan fatwa yang membenarkan umat Islam mengata dan mengumpat orang lain.



Media perlu tahu bahawa fatwa tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya tanpa muzakarah ulama-ulama.



Dalam suasana pilihan raya, berita-berita yang boleh menimbulkan persoalan atau lemah di segi logika dan faktanya, sepatutnya dielakkan.




Pembaca dan penonton tahu bahawa berita-berita seperti ini memang sengaja disiarkan oleh media untuk memburukkan parti bukan kerajaan.



Tindakan media ini hanya menimbulkan rasa jijik pembaca dan penonton.



Tamparan hebat kepada media arus perdana ialah apabila mereka menghentam Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengungkit peristiwa silam dan sebagainya beberapa hari sebelum tarikh pembuangan undi.



Selain menyiarkan kenyataan-kenyataan tokoh-tokoh tertentu yang mencemuh Datuk Seri Anwar, media arus perdana juga menyiarkan rencana yang berniat untuk mengajak orang ramai supaya tidak menyokong beliau.



Berbuat demikian jelas menunjukkan seolah-olah media arus perdana panik dan berkempen bermati-matian untuk BN.



Sebaliknya, kesempatan ini diambil oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk menjawabnya pada ceramah-ceramahnya di seluruh negara.



Sekali lagi minat orang ramai untuk mengikuti ceramah-ceramahnya bertambah tinggi kerana mereka percaya beliau akan menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh media-media berkenaan.



Itulah antara sebabnya ke mana saja beliau berkempen, bilangan hadirin mencecah ribuan dan puluhan ribu orang.



Bukankah ini ‘iklan’ bernilai yang diberikan oleh media arus perdana kepada Datuk Seri Anwar. Ia ibarat orang mengantuk disorong bantal.


Menyamakan beliau dengan binatang seperti sesumpah dan serigala, menjijikkan pembaca. Ini berbeza dengan iklan yang disiarkan di televisyen, radio dan segala jenis media berhubung ‘Undilah BN’.



Sepatutnya media arus perdana perlu mempunyai landasan yang lebih diterima oleh rakyat.



Di samping menyiarkan kenyataan pemimpin atau calon BN, mereka sepatutnya juga memberi ruang untuk parti-parti lain yang bertanding, walaupun pada purata 70 BN dan 30 parti pembangkang sebagai pada awalnya disarankan oleh SPR.


Ia tidak berlaku.



Sepanjang temph berkempen, yang berita dan laporan positif menjadi hak eksklusif parti dan pemimpin kerajaan. Apa saja yang mereka cakapkan mendapat tempat dalam media. Mereka juga merancang bahan-bahan berita yang boleh meningkatkan keyakinan rakyat kepada BN.



Malangnya, kenyataan yang menyataka bahawa BN yakinb akan menang di selurh negara dengan mengutip kenyataan pemimpin tertentu, memakan diri sendiri.



Sudah tentulah mereka memberi kenyataan positif terhadap parti mereka. Tidak logik jika mereka memberi kenyataan yang menggambarkan seolah-olah mereka hilang keyakinan untuk menang.



Sebagai kontras, berita-berita seperti ini memberikan semangat yang kuat kepada parti yang bersaing untuk menafikan keangkuhan BN.



Satu perkara yang terbukti dalam pilihan raya kali ini ialah media tidak semestinya berpengaruh sepanjang masa. Jika penonjolan yang berlebihan dilakukan oleh media, ia boleh menyebabkab ‘boomeran’ atau memakan diri sendiri.





Khamis, November 19, 2009

Semester yang hangat





Semalam di Great Hall, End Semester Dinner telah berlangsung dengan jayanya. Terima kasih kepada individu-individu yang berusaha mengatur persiapan majlis ini.
.
.
.
Kami kian menghampiri penghujung Semester 3 bagi senior ( ambilan Julai 2008) dan bagi junior (ambilan Julai 2009), ini merupakan End Sem Dinner pertama mereka.
.
.
.
InsyaAllah, kolej akan mula bercuti pada 21 November 2009.
.
.
.
Ok.
.
.
.
Merenung kembali pada 3 semester yang telah berlalu, perjalanan terasa begitu singkat. Pejam celik, pejam celik, semuanya telah berlalu.
.
.
.
Semester depan merupakan semester paling penting buat senior, semester akhir kami. Peperiksaan A-Level yang menentukan sama ada kami fly ataupun tidak. Mungkin juga peluang terakhir kepada sesiapa yang mahu re-sit kertas AS.
.
.
.

Tadi baru je amik kalender kolej tahun hadapan. Mari kita buat countdown.
.
.
.
November 2009 – sekarang

Disember 2009

Januari 2010

Februari 2010- IELTS

Mac 2010

April 2010-Trial (5 April)


Mei 2010- A- Level mula ( 10 Mei)



Jun 2010- A-level tamat (11 Jun)

Hari terakhir senior sebagai pelajar KYUEM (19 Jun)
.
.
.
Moga kita semua dapat menempuh cabaran ini dengan penuh iltizam dan semangat.

InsyaAllah.


Isnin, November 16, 2009

Adobe Photoshop_Ruang rindu






Akhirnya impian saya untuk belajar tentang Photoshop tercapai jua. Hasil tunjuk ajar seorang rakan semalam, maka inilah hasil pertama menggunakan Photoshop. Sajak 'Ruang Rindu" yang pernah tersiar di DS September 2009.
.
.
.
Pemilihan warna latar yang kurang sesuai barangkali. takpe. ini baru mula hendak belajar.
.
.
.
Sajak asal boleh dibaca di sini
.
.
.
nota kaki:
1. peperiksaan semester ini sudah habis. woho! seronoknya~
2. terima kasih kepada semua followers saya yang baru sahaja mencecah 100 orang beberapa hari yang lalu.

Jumaat, November 13, 2009

MPR 2009!



Sejak akhir-akhir ini, ada beberapa perkara yang sering saya lakukan, sedangkan sebelum ini tidak pernah hiraukan sangat.

Antaranya:

1. Periksa email sehingga 5-6 kali dalam satu hari.

2. Tanya ada surat sampai ke tak tiap kali telefon emak kat rumah.

3. Tengok telefon bimbit dengan kerap dengan mengharap ada panggilan daripada DBP.



***


Hari ini saya ada periksa Fizik. bagi saya ia agak mencabar. terkejar-kejar nak jawab. Tidak tahu persepsi orang lain bagaimana.


Usai keluar dewan, saya menuju ke IT Lab. Mahu uruskan beberapa perkara, antaranya mahu langsaikan pembayaran Tshirt sindiket soljah.


Selesai segala hal-hal yang berkaitan, saya mahu segera pulang. Tapi terdetik di hati untuk refresh kotak mel elektronik.


oh!

oh!

oh!

Ada emel baru yang bertajuk 'Minggu Penulis Remaja 2009'.

Saya menekan papan kekunci dengan penuh keterujaan.


Oh!

oh!

oh!

Permohonan saya untuk menyertai Minggu Penulis Remaja 2009 telah diterima~

Bertempat di Port Dickson, pada 19-25 Disember 2009.


Alhamdulillah.


Sangat gembira. Terlupa seketika pada kertas Fizik yang baru diduduki~


Nota kaki: perlu tunggu surat rasmi daripada DBP.


***



APA SIGNIFIKAN MPR?


Kewujudan MPR menunjukkan iltizam murni dan serius DBP dalam memastikan kelangsungan sastera, terutamanya Kesusasteraan Melayu, khususnya dalam pembentukan bakat dan visi penulis di peringkat rebung.

Program ini telah melahirkan banyak penulis pelapis, juga melahirkan banyak bahan bacaan bermutu. Seterusnya MPR dapat memperbanyakkan lagi bahan bacaan remaja yang lebih berkualiti dan bermaruah, selain membaiki dan memantapkan imej sastera remaja yang sering diperlekehkan.

‘Graduan’ MPR juga diharapkan akan terus membesar dalam sastera umum. Lebih jauh lagi, iltizam penulis yang diwakili oleh MPR diharapkan dapat menampilkan suatu imej baru yang lebih segar dan positif terhadap gerakan dan misi penulis generasi baru.


Dipetik daripada F.A.Q. MPR




Isnin, November 09, 2009

Antara papadom, tukar tiub dan pencuri senja

.
.
Ahad yang lepas, saya berkesempatan ke Midvalley, Kuala Lumpur, setelah sebulan terperap di dalam kolej tanpa berjaya keluar ke mana-mana.
.
.
.
Maka, peluang yang ada tidak saya lepaskan untuk sama-sama meredah lautan manusia yang membanjiri gedung terkemuka tika hujung minggu datang bertandang.
.
.
.
Memang benar, udara rimba batu tidak senyaman bayu di hutan malar hijau di kolej saya. Tiada kabus pagi yang menyambut saya seperti pagi-pagi saya di kolej. Udara kota kotor, berdebu, hitam dan menyesakkan!
.
.
.
Namun di balik keruhnya riak udara kota ternyata masih ada gumpalan habuan yang bisa tersangkut pada tebaran jaring masa.
.
.
.
Oh. Maaf! Saya masih tidak cekap bermain-main dengan metafora.
.
.
.
Dalam kunjungan singkat ke Midvalley itu, saya berkesempatan menonton filem papadom, mengunjungi MPH, menikmati mee hotplate (oh,mahu makan lagi), melawat pc fair dan membeli beberapa barang keperluan.
.
.
.
Papadom karya Afdlin Shauki membawa penonton menyingkap satu sisi dalam masyarakat kita yang jarang-jarang diselak oleh sautradara Malaysia. Tema kekeluargaan yang menunjangi filem ini berjaya keluar daripada kepompong humor-klise-picisan yang sering mendominasi filem kita lewat dekad ini.
.
.
.
Tarik tali antara ibu bapa dan anak sememangnya sesuatu yang realiti dalam sistem kekeluargaan kita. Dalam suatu sistem masyarakat yang tidak gemar bercakap, bagaimanakah nilai kasih sayang itu hendak diungkapkan? Maka, di antara mengongkong dan kebebasan mutlak, di tengah-tengah itu wajar kita berada.
.
.
.
Dalam konteks dunia realiti, saya ingin melihat persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam filem ini secara lebih jauh. Bagaimanakah rupa institusi kekeluargaan kita pada 50 tahun akan datang? Dunia terbuka menyebabkan setiap individu terpaksa bekerja keras mengumpul harta demi meneruskan kelangsungan hidup.
.
.
.
Dalam penat lelah kita memiliki nilai material yang tidak pernah mencukupi, masihkan kita punyai waktu untuk menjadi masyarakat penyayang?
.
.
.
Kelemahan filem ini pada hemat saya adalah kelonggaran pengarah menyusun watak. Kebanyakan watak selain daripada watak utama hanya muncul timbul tenggalam, sekejap ada sekejap tiada. Saya menggunakan contoh filem setem sebagai sebagai sebuah filem yang berjaya mengimbangi semua watak yang ada.
.
.
.
Namun begitu, saya melihat perbezaan genre membenarkan kelemahan ini disapu mudah ke bawah permaidani. Filem papadom adalah sebuah filem serius yang ditunjangi nilai kekeluargaan yang kuat berbanding setem yang bergenrekan humor-penyiasatan.
.
.
.
Sepanjang melewati jalan keluar daripada dewan tayangan, saya berfikir sendirian tentang bagaimanakah agaknya saya menguruskan keluarga satu hari nanti?
.
.
.
Baik. Kita tutup soal review filem. Saya seterusnya telah ke gedung buku MPH.
.
.
.
Saya secara tidak sengaja telah menonton satu adegan kejar mengejar oleh detektif kedai buku tersebut dengan seorang pencuri. Barang yang dicuri adalah laptop seorang pelanggan kedai tersebut. Mungkin sewaktu wanita itu sedang khusyuk mencari buku, pencuri ini telah mengambil kesempatan. Maka, ingatan bersama di sini adalah berwaspadalah sewaktu berada di mana-mana pun.
.
.
.
Setelah menimbang- nimbang dengan bajet yang ada, saya hanya membeli sebuah buku tulisan Hishamuddin Rais. Penulis prolifik yang juga blogger tukar tiub. Walaupun terdapat beberapa isi dalam buku tersebut yang ingin saya sanggah, namun secara keseluruhan buku tersebut berjaya memberikan kepuasan kepada saya untuk berfikir tentang realiti semasa terutama hal-hal yang membabitkan nasib anak muda dan negara.
.
.
.
Jikalau saya menulis senarai buku-buku yang saya kempunan ( buku yang mahu dibeli tapi bajet tak cukup), saya yakin bahawa senarai itu akan menjadi satu senarai panjang. Hari itu saya menambah satu lagi judul. Law of attraction versi terjemahan bahasa melayu oleh PTS kelihatan begitu mengiurkan.
.
.
.
Tapi saya tidak sanggup mahu ke mesin atm lagi kerana saya merasa menjadi semakin miskin tatkala mencucuk duit. Cukuplah satu buku saja dalam kunjungan ini. Harap-harap ada orang yang mahu hadiahkan buku itu kepada saya menjelang ulangtahun kelahiran tidak lama lagi.(uhuk3)
.
.
.
Saya juga berkesempatan membeli beberapa majalah kegemaran. Antaranya Tunas Cipta, Milinea Muslim dan Forward. Saya adalah jenis manusia yang membeli majalah berdasarkan isu yang diketengahkan.
.
.
.
Berita Minggu turut saya dapatkan kerana saya mengikuti fragmen novel ‘Dengan Tinta’ tulisan saudara Aidil Khalid. Jikalau di kolej memang susah mahu dapatkan surat khabar pada hujung minggu.
.
.
.
Baiklah. Sampai di sini saja mahu menulis.
.
.
.
3 kertas lagi untuk diduduki pada peperiksaan bulan ini. Oh~
.

Sabtu, November 07, 2009

Menanti lebah menyengat


***









VS








Beberapa jam yang lalu, saya berkesempatan menonton perlawanan akhir Piala Malaysia 2009.


Kelantan & Negeri Sembilan. Kedua-dua pasukan sama gah dan sama hebat. Bagi Liga Super 2009, Kelantan di tangga ke-6 & Negeri Sembilan di tangga ke-7.



Kapasiti 85,000 tempat duduk di Stadium Bukit Jalil majoritinya dibanjiri dengan 'lautan merah' penyokong Kelantan.


Ternyata malam itu milik pasukan Negeri Sembilan. Mereka menang bergaya, 3-1. Tahniah. Saya kira mereka memang layak menang kerana menguasai permainan dengan begitu baik sekali.


Negeri Sembilan mengakhiri penantian 61 tahun untuk bergelar juara Piala Malaysia.


***


Hampa? Ya, sudah pasti ada sedikit kehampaan yang membekas kerana 'pasukan pilihan' sekadar terkandas di suku akhir. Johor FC tewas kepada Perlis sekaligus menamatkan saingan dalam Piala Malaysia 2009.


Saya harap Johor FC akan bermain dengan lebih baik pada Liga Super 2010. oh ya, tahun hadapan negeri Johor akan memiliki dua wakil dalam Liga Super. Johor FC dan Johor. Satu berstatus kelab dan satu lagi berstatus negeri ( setelah digabungkan dengan Johor PG).

Johor FC di tangga ke-4 Liga Super 2009 & Johor di tangga ke-3 Liga Perdana. yeah~ hebat juga mereka.


Moga pada musim hadapan, pasukan-pasukan ini akan mencapai pencapaian yang lebih gemilang. InsyaAllah.






***


Liga Super 2009

1.Selangor - 63 mata

2.Perlis- 56 mata

3.Kedah- 51 mata

4.Johor FC- 48 mata

5.Terengganu- 47 mata

6.Kelantan- 44 mata

7.Negeri Sembilan- 38 mata

8.KL Plus - 38 mata

9.KM Naza- 37 mata

10.Perak- 32 mata

11.UPB My-Team- 30 mata

12.Penang- 19 mata

13.Pahang- 17 mata

14.PDRM- 3 mata

Selasa, November 03, 2009

Dekad depan


10 Kedai Buku Paling Banyak Menjual Buku-buku PTS

Dipetik daripada laman UNIKA PTS

Tn. Zain Aziz, timbalan pengurus jabatan jualan PTS melaporkan, dalam tempoh Januari - September 2009, berikut adalah 10 buah kedai yang paling banyak menjual buku-buku PTS. Nilai RM itu adalah harga pasaran stok yang dipesan oleh kedai-kedai itu:

1. Badan Cemerlang, Johor Baru - RM702 ribu

2. MPH Alamanda, Putrajaya - RM536 ribu

3. MPH Midvalley, Kuala Lumpur - RM364 ribu

4. MPH Shah Alam City Centre - RM354 ribu

5. MPH Alpha Angle, Kuala Lumpur - RM332 ribu

6. Hasani Edar, Sg. Petani - RM293 ribu

7. Galeri Buku Shahab - RM253 ribu

8. BookCafe PTS - RM204 ribu

9. POPULAR, Alor Star Parade - RM197 ribu

10. MPH One Utama, Damansara - RM189 ribu




***


Ayah aku ada kedai buku di bandar Kota Tinggi, tapi takde la sale sampai beratus-ratus ribu macam kedai kat atas ni.


Aku tak sangka pulak Badan Cemerlang yang kat Plaza Angsana ni sale gempak sampai cecah 80 ribu sebulan. Aku selalu jugak la lepak sini. tapi leceh sikit kalau aku nak pegi Angsana , kena naik dua bas. Agak jauh dari rumah, kira-kira dua jam perjalanan.

Maka, aku selalu lepak di Popular Tebrau City, Johor Jaya, kalau teringin nak 'membedah' buku. Tapi, buku Bahasa Melayu tak banyak kat Popular, kalau nak dibandingkan dengan Badan Cemerlang.


oklah.


Sebenarnya, aku ada satu cita-cita. Mungkin juga boleh dinamakan sebagai impian.


Dalam masa sepuluh tahun akan datang, aku nak miliki perniagaan sendiri. Tak mau kerja makan gaji sampai tua.

Perniagaan apakah?


Perniagaan kedai buku. InsyaAllah.

Hendak memandaikan umat.


Yelah, terfikir la jugak mahu kembangkan perniagaan ayah. Jikalau dilihat pada statistik di atas, kedai buku daripada Johor ada satu je. Selangor/KL ada lima. Kedah dua.


Tapi yang Badan Cemerlang tu sale dia sangat tinggi. Adakah firm-firm lain boleh masuk market gak? Adakah ia telah mewujudkan natural monopoly?

haha. macam tak masuk je terms economics yang aku ni. tak kisahlah. merepek je.


Tapi kalau nak diikutkan kontrak penaja aku sekarang, memang ada masalah sikit.

InsyaAllah, kalau tiada aral, tahun 2014 graduate.

kontrak kerja 8 tahun. maka, 2024 baru bebas.

Maka, tak dapatlah nak buat fulltime bisness menjelang 2019. tak dapat la nak bukak kedai sebelum umur 30 tahun.


takpe-takpe. itu semua kita tunggu dan lihat. Ada rezeki tu adalah kan?


takpun. buat perniagaan internet je la. jual buku melalui internet.yeah~


Bookcafe, PTS, laman yang aku selalu layari untuk tengok buku-buku PTS pun sale tempat ke-8. Aku pun selalu jugak beli buku melalui internet. Ada la tiga empat kali.



huh, sebut pasal belian buku kat internet ni, teringat pulak satu cerita. Sejak akhir-akhir ni sambungan internet kat kolej macam ada masalah sikit. kalau log in, keluar akaun lain. contohnya, log in akaun fb aku, yang keluar akaun fb member aku. entah apa-apa ntah kolej ni. hal ni berlaku juga pada akaun email, blogger dan lain-lain. tapi yang selalu kena kat fb. maybe pasal yang tu la yang ramai online. kena refresh baru ok.


aku nak beli buku kat dawama.com, tapi asyik ada masalah je kalau nak kemaskini troli belian aku. keluar troli belian orang lain pulak. 'troli belian husna'...husna mana pulak ni? Ustazah husna yang mengajar pengajian Islam tu ke? ataupun husna batch 11.5? ataupun ada husna yang lain? penat dah aku refresh, tak ok2 jugak. haih. sabar ajelah.


haha. dah lari topik lagi.


Kesimpulan yang aku nak cakap adalah, perniagaan internet memiliki potensi yang besar pada masa kini dan hadapan.


Baiklah, sebagai penutup, aku harap impian ini akan tercapai. Kalau jadi nanti, jemputlah datang ke kedai buku aku.hehe.

tapi belum ada lagi la, kena sabar, tunggu dan lihat.


Inilah perjuangan aku.


InsyaAllah.




Nota kaki: kagum dengan cara Puan Ainon Muhd dan krewnya membangunkan PTS Publications.

Mungkin satu hari nanti kami mampu jadi seperti dia.


Related Posts with Thumbnails