Selasa, September 15, 2009

Ulasan Faisal Tehrani





Yang subjektif dan yang objektif

oleh: Faisal Tehrani
(ulasan puisi Dewan Siswa September 2009)


Puisi bukanlah sebuah genre penulisan yang mudah dan dapat dihasilkan secara lewa sahaja. Dalam banyak keadaan, puisi sebagai puncak pengucapan manusia terasa lebih sukar dicanai berbanding prosa. Oleh sebab itu, tidak banyak pengarang yang dapat menulis puisi, apatah lagi penulis yang terbiasa dengan prosa.


Untuk masuk ke dalam "daerah" puisi mungkin memerlukan curahan tenaga dan fokus yang luar biasa sekali. Namun begitu, di tangan anda, puisi senang dicanai; kadangkala garing hangus terlebih dicanai, dan adakalanya mentah, tawar kurang dicanai. Selalunya puisi itu tidak digilap sempurna dan terbentuk daripada mengada-ngadanya, ataupun hambar tanpa jiwa.


Pada bulan ini, yang ditampilkan adalah campuran subjektif dan objektif. Puisi subjektif adalah puisi peribadi, iaitu sangat personal sehingga kadangkala tidak diketahui apa-apa yang ingin disampaikan. Puisi untuk penyair kaum ekpspresionis ini selalunya hanya mengungkap hal perasaan, fikiran, gagasan dan lontaran suara yang ada dalam jiwa penyair itu sendiri. Puisi ini hanya dimengerti oleh penyair itu sahaja.


Pada pandangan saya,puisi begini amat kurang manfaatnya buat pembaca, malah membacanya kadangkala amat sia-sia.


Contoh puisi subjektif yang menyebabkan kita bingung dan teraba-raba mencari mesejnya ialah karya Rozellinda Agustine yang berjudul "Bangunlah Insan". Perhatikan bait di bawah ini:

Akar kegagalan pasti akan datang menerpa
yang berjuntai membelit tubuh yang alpa
yang menjalar mencakar hati yang lemah
terus membunuh insan yang khayal.


Puisi subjektif ini kebiasaannya ditulis oleh penyair egois, yang akan menghujahkan pembaca yang tidak memahami karya mereka sebagai "tidak cerdik" atau "tidak cerdas". Sebetulnya, puisi ini hanya layak diulit oleh mereka sahaja dan kurang memberikan faedah kepada masyarakat dalam bentuk apa-apa pun.



Bertentangan dengan puisi subjektif ialah puisi objektif. Puisi dalam kategori ini mengungkapkan hal luar penyair, interpersonal, dan sering menyuguhkan kritikan bermakna buat masyarakat. Puisi ini boleh digarap dengan emosi, bahasa yang indah, kadangkala dengan gaya prosaik.


Namun begitu, kerana keutuhan tema, kita segera dapat menangkap maksud yang ingin diterokai dan cepat pula menghargainya. Puisi "Pemanasan global", karya Siti Nazratul Shima Shahidan agak mentah, langsung dan kurang dibentuk. Namun begitu, oleh sebab tema yang diungkapkan penting, maka kita dapat menghargai puisi seperti ini.


Tema patriotik yang segar dengan menggunakan perbandingan nusa bangsa sebagai sebuah teratak harmoni dalam puisi "teratak sentosa" juga wajar dipuji. Puisi Nur Aliya bagi saya antara puisi bijak yang menarik pada bulan ini:


Teratak sentosa
berhias daun terbaik kemesraan
berwana pelangi perpaduan
bertiang jati kukuh toleransi.


Tema di atas sesuai dalam suasana kita masih menyambut hari kemerdekaan. Saya berharap agar karya ini dapat dijadikan contoh oleh pembaca Dewan Siswa. Dalam pada itu, terdapat puisi yang membawa titik peralihan yang menarik. Cuba renungi puisi yang berjudul " Ruang rindu" oleh Muhammad Syukri Sapuan.


Sekali imbas kita merasakan puisi ini tergolong dalam kumpulan puisi subjektif yang menggambarkan perasaan rindu dan kasih sesama insan. Namun, begitu, terdapat beberapa kata kunci seperti "kerana terhijabnya mata hati pada akhir zaman ini" dan "kerinduan adalah obor". Kita kemudian difahamkan bahawa ruang rindu yang dideritainya ialah ruang kerinduan dan dambaan kuasa spritual:


Kerinduan adalah kurniaan
buat insan yang hilang pedoman
hidup tanpa tujuan
kerana jauh daripada Tuhan.

*ini bukan artikel penuh. saya cantas sedikit untuk menjimatkan ruang. Untuk membaca artikel penuh, sila dapatkan majalah Dewan Siswa September 2009 di kedai majalah berhampiran =)



******


Ruang rindu.

Kerinduan adalah ruang
yang pinta diisi
dengan makna bahagia hakiki
kerana terhijabnya mata hati
di akhir zaman ini.

Kerinduan adalah obor
menyinari pelusuk rasa
dengan semangat dan cita
agar esok bahagia menjelma
sesudah rentan menahan derita .

Kerinduan adalah kurniaan
buat insan yang hilang pedoman
hidup tanpa tujuan
kerana jauh dari Tuhan.


MUHAMMAD SYUKRI BIN SAPUAN
KOTA TINGGI, JOHOR.
24 APRIL 2009.

Dewan Siswa September 2009





*****



Alhamdulillah. Saya sama sekali tidak menyangka bahawa hasil-hasil tulisan saya akan tersiar di majalah Dewan Siswa untuk 3 bulan lamanya secara berturut-turut. Saya paling gementar apabila ada rakan yang memberitahu bahawa "ruang rindu" tersiar di DS bulan ini. Bimbang juga kalau mendapat reaksi negatif pengulas. Saya sekali lagi mendapat ilham menulis semasa tertekan menghadapi dugaan hidup.

Puisi ini disiarkan selepas kira-kira 5 bulan saya kirimkan ke DBP. Ini adalah puisi terakhir yang saya hantar ke DS setakat ini. Saya sudah lama tidak menulis kerana hambatan tugasan yang menggunung.


Dalam rekod saya, hanya ada satu lagi puisi yang dihantar tapi masih belum tersiar. Puisi untuk ruangan sejambak ilham majalah Tunas Cipta itu saya kirim pada akhir Jun 2009.


Bilakah ia akan tersiar? Wallahualam. Jikalau ada rezeki untuk saya, pasti ia akan tersiar suatu hari nanti.

.

.

.



Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails