Selasa, Oktober 30, 2012

Kes budak, remaja sakit jiwa meningkat


Salah satu petikan berita di akhbar yang menarik perhatian saya dalam seminggu dua ini adalah berkaitan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja.  


Menurut kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, masalah kesihatan mental meningkat daripada 13 peratus pada tahun 1996 kepada 19.4 peratus pada 2006 dan mencecah sehingga 20 peratus tahun lalu. (2011). Semakin ramai remaja dan kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah di negara ini menghidap masalah kesihatan mental. 


Secara perbandingannya - ini bermakna, daripada 5 orang individu yang kita temui, salah seorang daripadanya menghidap masalah kesihatan mental.


Berita Harian 8 Oktober 2012


Turut dipetik adalah kata-kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Menurut beliau, remaja kini dipengaruhi internet dan teknologi komunikasi sehingga mereka kurang berinteraksi, sekaligus mengurangkan pembinaan sistem sokongan sosial. Tambah beliau lagi, pada masa sama, ibu bapa yang sibuk bekerja pula memandang ringan peranan mereka dalam memberi sokongan kepada anak-anak.


Berita tentang peningkatan kes sakit jiwa ini disambut dengan penulisan rencana 'Penyakit Mental Ancam Generasi Muda' oleh Encik Amidi Abdul Manan, Presiden ABIM yang disiarkan di ruangan rencana Berita Harian bertarikh 11 Oktober 2012.


Artikel tersebut turut disiarkan dalam laman web ABIM. Penulis, pada pandangan saya - telah melontarkan satu buah fikiran yang cukup baik dan bernas. 


Sementara itu, Dr Rabaiah Mohd Salleh, Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, melalui artikel Cerita Hantu Punca Sakit Jiwa Kronik  di Berita Harian bertarikh 10 Oktober 2012 melaporkan bahawa ; orang ramai yang mendapatkan rawatan penyakit mental kini meningkat kepada maksimum 10 kes baru didaftarkan sehari berbanding antara dua hingga tiga sehari pada 2007. 


Permasalahan tentang ancaman penyakit mental ini juga pernah ditulis dalam rencana bertajuk 'Penyakit Mental Jejas Pembangunan Negara' di Dewan Masyarakat Mac 2012.



Kajian Beban Penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2010 mendapati masalah kemurungan menjadi antara punca penyakit mental. Di peringkat awal, penyakit mental dikesan melalui tanda awal, seperti perubahan tingkah laku yang ketara, cepat marah, keresahan, sedih berpanjangan, mempunyai idea pelik, berfikir dan bercakap soal bunuh diri, penyalahgunaan dadah serta alkohol, dan tidak berupaya melakukan aktiviti harian.


Berkaitan kemurungan, saya memiliki sebuah buku terbitan Penerbitan Universiti Malaya yang bertajuk Kemurungan; Punca dan Rawatan.



Buku ini membincangkan tentang kemurungan dan masalahnya, pemeriksaan bagi mengesan sindrom kemurungan, punca kemurungan dan perancangan serta kaedah rawatan.







Apabila melihat kepada realiti kehidupan hari ini, saya melihat angka peningkatan kes sakit jiwa sebagai sesuatu yang signifikan dan mungkin ada benarnya. Kita seolah-olah kehilangan sebuah ruang yang selamat untuk hidup apabila media saban hari melaporkan kejadian jenayah yang semakin rencam sifatnya.


Kes bunuh yang semakin menjadi-jadi, kes pergaduhan - bertumbuk sehingga mati (walau kelihatan remeh isunya) yang semakin meruncing, kes penderaan yang semakin melata dan seribu satu kisah yang terpampang di dada akhbar - memungkinkan kita membuat kesimpulan bahawa; masyarakat kita sedang bergelut dengan masalah kecelaruan jiwa.


Pengaruh teknologi dan kemudahan media sosial yang sedang beranak-pinak menyebabkan sistem sokongan sosial semakin rapuh. Sebahagian besar masa dihabiskan di hadapan komputer sedangkan ada banyak lagi perkara yang mampu mendatangkan kebahagiaan, asalkan kita sanggup mencabar diri dan meninggalkan zon selesa.


Teknologi kadangkala membekalkan kita dengan apa yang 'kita mahu', bukannya apa yang 'kita perlu'. Hasilnya, produk daripada teknologi tersebut adalah remaja yang bermaklumat, bukannya remaja yang berilmu. 


Lihat sahaja (sesetengah) perbincangan di laman maya (facebook, youtube, blog dan sebagainya) yang sering  bercelaru dan gagal mencapai tahap diskusi bermanfaat apabila kita sering menulis tanpa berfikir. Kita menulis apa yang kita 'mahu tulis', dan bukan menulis apa yang kita 'patut tulis'. 


Selain itu, saya juga percaya bahawa manusia yang meminggirkan sastera dan tidak melakukan pembacaan akan kehilangan aspek estetika dan faktor penenang dalam penjuru kehidupan mereka. 


Memetik buah fikir Puan Nisah Haron di dalam blognya; Saya yakin, dalam keghairahan manusia mencari-cari titik tertinggi dalam sains dan teknologi, ada kelompangan dalam jiwa manusia. Selain daripada tarbiah agama, sastera juga memainkan peranan membentuk peribadi dan jiwa yang dahagakan 'sesuatu'.


Saya pernah membaca laporan akhbar di ruangan sastera Berita Harian, sekitar Julai 2012 yang melaporkan - Brazil melancarkan program pembacaan yang membolehkan hukuman penjara banduan dipendekkan empat hari untuk setiap novel yang selesai dibaca. Banduan yang disaring oleh panel khas dikehendaki membaca 12 karya sastera, falsafah, sains atau klasik bagi membolehkan hukuman mereka dipendekkan 48 hari setahun. Selepas membaca, banduan dikehendaki menulis esei.






Dari sudut saintifik, tabiat membaca adalah perangsang mental paling berkesan dan membantu mengurangkan tekanan.


Melihat kepada permasalahan yang kian meruncing, mungkin ia berpunca daripada tercabutnya pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat kita, selain kita yang terlalu menyembah 'berhala' hedonisme dan materialistik, sehingga meminggirkan makna kehidupan yang sebenarnya. 


Khamis, Oktober 18, 2012

Seminar Memartabatkan Karya Agung : 400 Tahun Sulalatus Salatin


Sebelum saya berkelana ke Banda Aceh, Indonesia pada Disember 2011 - salah satu perkara yang saya lakukan adalah melakukan kajian serta pembacaan ringkas mengenai sejarah tempat yang hendak dilawati.


Saya agak teruja apabila mengetahui bahawa Tanah Rencong memiliki hubungan yang akrab dengan tanah tumpah kelahiran saya - Kota Tinggi, Johor.


Bendahara Tun Sri Lanang (1565-1659) dilahirkan di Bukit Seluyut, Kota Tinggi. Tun Sri Lanang menjadi Bendahara Johor semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah III. Tindak tanduk Johor yang berbaik-baik dengan Portugis dan Belanda telah menyebabkan Johor diserang oleh Aceh (Perang Batu Sawar) pada tahun 1612. Sultan Alauddin Riayat Shah III, Raja Abdullah, Tun Sri Lanang dan pembesar-pembesar serta 20,000 orang Johor dibawa ke Aceh.


Dan kebetulan - ketika saya ke Banda Aceh, "Seminar Ketokohan Tun Sri Lanang Dalam Sejarah Dua Bangsa" sedang berlangsung di Samalanga, Aceh. Tun Sri Lanang dilantik sebagai Gabenor/Raja/Uleebalang Samalanga yang pertama dan menjadi Penasihat kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Aceh pada tahun 1613-1659.


Papan Iklan Seminar

                                               
Walaubagaimanapun, saya tidak berkesempatan ke seminar tersebut atas faktor kekangan bajet dan jarak. Jarak daripada Banda Aceh ke Samalanga adalah kira-kira 177 KM.


Salah satu peninggalan besar Tun Sri Lanang buat kita adalah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Tun Sri Lanang merupakan penyusun dan pengarang buku tersebut. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka


Belajar daripada sejarah membuatkan atur langkah kita lebih terarah.


Pada 13 Oktober 2012, bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Kota Tinggi - telah diadakan Seminar Memartabatkan Karya Agung: 400 Tahun Sulalatus Salatin. Seminar ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Johor & Kota Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Arkib Negara Cawangan Johor dan Persatuan Penulis Johor.


Saya hadir ke seminar ini sebagai peserta.






Seminar kali ini membariskan SN Muhammad Haji Salleh sebagai penyampai ucaptama (Genius Tun Sri Lanang dalam karya Sulalatus Salatin) dan pembentangan 5 kertas kerja. 


Kertas kerja 1 - Kegemilangan Empayar Melayu Melaka dan Sulalatus Salatin dalam Peradaban Malaysia
Kertas kerja 2 - Pemikiran Global Dalam Sejarah Melayu
Kertas kerja 3 - Kepentingan Pengorbanan dalam Pembentukan Bangsa : Satu Sorotan dalam pemikiran dan penulisan Sulalatus Salatin.
Kertas kerja 4 - Bicara Buku ; Air Mata Raja - Jejak Waris Istana Melaka
Kertas kerja 5 - Waad, Wasiat dan Nasihat dalam Sulalatus Salatin: Iktibar Untuk Kepimpinan Melayu



Menghadiri seminar ini telah membuka mata saya untuk meneliti Sulalatus Salatin sebagai salah satu cara menyelidik sejarah bangsa yang telah melalui satu susur sejarah yang panjang. Yang menjadi arus Sulalatus Salatin ialah gerak nasib manusia dalam sejarah, gerak naik turun bangsa, jalur-jalur zaman yang mewarnakan manusia dan kerajaan.


Tun Sri Lanang hidup hampir sezaman dengan Sasterawan Inggeris, William Shakespeare (1564-1616). Pada tahun 2002,  UNESCO telah mengiktiraf tiga koleksi agung negara, iaitu Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Surat Menyurat Sultan Kedah sebagai warisan dunia dan didaftarkan dalam 'Memory of the World Register'.


Pengkisahan dalam Sulalatus Salatin bermula dengan Asal Usul Raja-Raja Melayu dan disusun secara kronologi sehingga bab Melaka Ditakhluk Portugis.


Moga dengan menyelak kembali lembaran sejarah, kita bisa menjadi manusia yang kukuh jati dirinya.

Sabtu, Oktober 13, 2012

Bicara Sastera di UiTM Cawangan Johor, kampus Segamat


Bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK)  peringkat Negeri Johor bagi tahun 2012, salah satu aktiviti yang diadakan ialah Program Semarak Sastera : Bicara Sastera di UiTM Cawangan Johor, kampus Segamat pada 9-10 Oktober 2012. Program ini diadakan dengan usaha sama antara UiTM Cawangan Johor, DBP Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) Daerah Segamat.


Perkenalan saya dengan Encik Ainol Hasanal, pensyarah berjiwa besar dari UiTM Segamat dalam satu bengkel penulisan terus berlanjutan hingga ke hari ini. Sekitar Julai yang lalu, Encik Ainol menghantar mesej kepada saya; meminta saya untuk membicarakan tentang untuk puisi ataupun cerpen daripada kaca mata penulis muda.


Dan saya mengambil sedikit masa untuk berfikir tentang tawaran tersebut - kerana menyedari betapa diri yang masih terlalu pucuk sifatnya. Setelah mendapatkan pandangan rakan-rakan seangkatan, saya bersetuju untuk menerima peluang dan cabaran tersebut.  






Alhamdulillah - perkongsian saya pada hari kedua telah selamat dilaksanakan. Seperti yang dikehendaki oleh Encik Ainol, saya cuba untuk membicarakan tentang puisi daripada kaca mata anak muda yang tidak lahir daripada rahim sastera; tetapi memiliki kecenderungan terhadap sastera. Saya meletakkan diri sebagai seseorang yang sedang dan masih lagi belajar; bahana masih terlalu tohor pengetahuannya dalam lautan ilmu.  






Saya menulis sebuah makalah (kalaulah layak dinamakan sebagai makalah) bertajuk 'Menguak Jendela Puisi: Satu Pengalaman Peribadi' untuk memantapkan perkongsian saya. Dalam makalah tersebut - saya menulis tentang dua persoalan yang sering bermain dalam fikiran saya suatu ketika dahulu - iaitu; Mengapa saya menulis puisi? dan Bagaimana saya menulis puisi?



Untuk persoalan; Mengapa saya menulis puisi? - saya senaraikan tiga pandangan peribadi, iaitu nilai estetika, menggugah pemikiran dan penerapan nilai positif. 


Untuk persoalan; Bagaimana saya menulis puisi? - saya menceritakan dengan serba ringkas tentang proses kreatif puisi Mengarak Janji Di Kota Peribadi yang memenangi hadiah Saguhati, Sayembara Mengarang Puisi Negeri Johor 2012 dan puisi Kalau Kau Fahami Bahasa Rindu yang memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim Kelapan 2011: Kategori Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun (Puisi)


Tentatif program


Terima kasih kepada sidang hadirin yang sudi meluangkan masa. Saya akui terdapat beberapa kelemahan pada pembentangan kali pertama ini. Namun, langkah sulung ini memberikan satu suntikan motivasi buat saya untuk sentiasa mencabar diri dan mengatur alur fikir.


Entah sampai bila kita akan menggunakan usia masih muda sebagai alasan untuk tidak berbuat itu dan ini. Harapan saya hanyalah kualiti karya yang saya hasilkan akan menanjak seiring dengan umur yang meningkat. Perjalanan ini masih panjang dan perlu saya rintis perlahan-lahan.


Dari kiri:
 Prof. Madya Ahmad Nawawi , Kak Salina Ibrahim, Saya,
Dr Arbak Othman, Ustaz Zaid Akhtar, Encik Ainol Hasanal


Nota kaki:
Terima kasih kepada Kak Salina Ibrahim untuk gambar-gambarnya.

Rabu, Oktober 10, 2012

Memaknakan Merdeka


ESEI
Memaknakan Merdeka
Oleh Syukri Sapuan (PISMP Sains Ambilan Januari 2011)


        “Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari."


       Demikianlah menurut sebuah peribahasa Inggeris yang terkenal. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini bukanlah sebuah perjuangan yang baru dimulakan semalam. Selama 446 tahun lamanya daulat bumi watan ini bersilih-ganti dicemari penjajah asing  yang mengaut satu per satu hasil kekayaan tanah bertuah. Rembesan air mata suci serta titisan darah perajurit silih berganti mengalurkan jalan menuju pembinaan sebuah negara merdeka.


Generasi pasca merdeka sering digembar-gemburkan sebagai satu barisan generasi yang alpa dan kurang patriotik. Mereka dikatakan terus menghirup udara segar kemerdekaan sedari lahir dan tidak bersusah-payah menentang kolonialis rakus. Generasi ini perlu untuk disedarkan tentang makna sebenar kemerdekaan kerana di tangan merekalah nanti kesinambungan  hayat perjuangan akan diteruskan. Lebih-lebih lagi, tugas mengisi kemerdekaan itu jauh lebih mencabar berbanding untuk mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan adalah amanah yang perlu dipertahankan kerana penjajahan mampu menyerkap manusia dengan penjajahan versi baru tanpa kita sedari.


     Indikator yang lazimnya digunakan untuk mengukur tahap patriotisme rakyat adalah bilangan Jalur Gemilang yang dikibarkan. Jika banyak deretan Jalur Gemilang yang berkibar megah, maka individu tersebut akan dikelaskan sebagai rakyat Malaysia yang patriotik. Tidak hairanlah sekiranya bulan kemerdekaan di negara kita akan dipenuhi dengan aktiviti kempen mengibar bendera. Namun, adakah kayu pengukur tahap patriotisme hanya terbatas pada skop yang sebegini kecil?


       Kehebatan sesebuah tamadun terletak pada manusia, bukan hasil ciptaannya. Apakah ertinya jika kita memiliki bangunan-bangunan pencakar langit yang serba moden, sedangkan pembangunan karakter insan yang berpekerti mulia tidak kita tumpukan. Barangkali yang akan terjadi adalah kita mampu untuk memiliki kemudahan awam kelas pertama, namun mentaliti masyarakat masih berada di kelas ketiga. Jenayah-jenayah kolar putih dan biru akan membarah kesan daripada pembangunan fizikal yang tidak seiring dengan pembangunan rohani. Kita hanya akan melahirkan ‘robot-robot’ yang bijak pandai namun kosong jiwanya. 


         Oleh itu, sistem pendidikan negara hendaklah diperkasakan agar Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk membina peradaban yang unggul. Apabila sistem pendidikan kita mampu untuk melahirkan individu yang bermentaliti kelas pertama, masyarakat Malaysia akan dikenali sebagai kelompok masyarakat yang produktif kerana memiliki nilai-nilai seperti menepati masa, berintegriti dan berdaya-saing. Hal ini sekaligus akan memacu Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi, sekaligus menjadikan kemerdekaan yang kita kecapi lebih bermakna. Nah, bukankah ini juga patriotik?


         Peribahasa Cina ada menyatakan bahawa, “Jika kamu merancang untuk satu tahun, tanamlah gandum. Jika kamu merancang untuk satu ribu tahun, tanamlah (didiklah) manusia.”


         Peribahasa ini tepat untuk menggambarkan bahawa manusia adalah faktor paling penting sekiranya kita ingin melakukan perubahan. Untuk mengubah sistem yang ada, maka ubahlah manusianya.


        Kemerdekaan yang sudah digapai selama lebih 5 dasawarsa ini akan lebih bermakna seandainya kita berjaya mewujudkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang utuh. Dunia pada hari ini adalah sebuah ruang yang sangat mencabar. Melalui media baru, budaya-budaya kuning menjadi produk merbahaya yang meracuni pemikiran generasi muda sekaligus merosakkan akar tradisi warisan leluhur. Serangan budaya baru ini turut dirasai di seluruh dunia, di mana anak-anak muda cenderung untuk melupakan tradisi bangsa mereka. Sebagai contoh, gadis-gadis muda di Jepun kurang berminat untuk memakai kimono, iaitu pakaian tradisional bangsa mereka. Generasi muda perlu diingatkan bahawa mereka perlu untuk mempunyai kefahaman yang jelas terhadap budaya yang mereka ikuti. Profesor Dr. Syed Naquib Al-Attas mengkritik orang yang tidak memahami budayanya sendiri dan dalam masa yang sama tidak memahami budaya Barat. Sarjana besar ini mengumpamakan golongan manusia sebegini sebagai tumbuhan teratai, di mana akarnya tidak menjejak ke dasar dan pucuknya juga tidak mencecah ke awan. Generasi muda perlu meneliti tradisi warisan leluhur agar identiti bangsa yang diwariskan akan kekal malar segar dan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Seharusnya kita menjadi seperti buluh yang akar serabutnya padu mengenggam tanah.  Dengan adanya jati diri yang mapan, sekurang-kurangnya kita akan mampu untuk menangkis budaya kuning yang menerkam di setiap penjuru kehidupan.


           Perjuangan para negarawan untuk mendapatkan kemerdekaan pasti tidak akan bermakna seandainya anak muda hari ini terus menerus keasyikan membiarkan diri mereka dipasung mindanya untuk menyembah berhala hedonisme. Kemerdekaan yang dikecapi hanyalah pada luaran semata-mata, sedangkan penjajahan minda masih giat berlaku. Kesannya, generasi muda akan mengalami kecelaruan identiti, tidak bersikap patriotik serta tidak berjiwa merdeka. Harus diingat bahawa golongan belia merupakan golongan terbesar penduduk Malaysia. Golongan muda merupakan bakal penyambung mata-mata rantai perjuangan untuk mengisi kemerdekaan. Untuk melihat pemimpin masa depan negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Andai berkualiti generasi muda pada hari ini, berkemungkinan besar perjuangan kemerdekaan kita akan terus berlegar pada orbitnya. Generasi yang berkualiti adalah generasi yang mampu menukarkan cabaran menjadi peluang untuk digarap.


        Jika dilihat pada realiti hari ini, generasi muda sering dilabelkan sebagai golongan yang bermasalah. Generasi muda dipalitkan dengan dengan pelbagai isu. Antaranya ialah samseng, dadah, ragut dan zina. Antara faktor yang menyebabkan berlakunya hal-hal ini adalah akibat daripada kurangnya didikan agama yang mengakibatkan kekosongan jiwa, jahil dan tiada prinsip hidup. Para hukama sejak dahulu menegaskan bahawa satu-satu tamadun akan jatuh apabila akhlak masyarakatnya runtuh. Sekiranya dilihat pada situasi di Tanah Melayu suatu ketika dahulu, akibat akhlak pembesar dan rakyat yang merudum, empayar Melayu Melaka tersembam di kaki Portugis pada tahun 1511.  Prinsip akhlak dan moral hendaklah diberi penekanan dalam jiwa setiap rakyat Malaysia, khususnya generasi muda. Sekiranya akhlak dan moral sudah dimantapkan, barulah keamanan yang lebih baik akan kita kecapi. Apakah maknanya kemerdekaan sekiranya kita sendiri berasa tidak selamat untuk keluar pada waktu malam gara-gara berleluasanya kejadian jenayah? 


            Selaku generasi pasca merdeka, kita perlu segera sedar dan keluar daripada kepompong ‘pecah dan perintah’ tajaan kolonialis. Simfoni keharmonian yang dimainkan secara bersama oleh masyarakat majmuk yang berbilang bangsa di Malaysia pastinya akan terasa begitu lunak didengari andainya perpaduan yang menjadi resepi kejayaan kita selama ini dapat dicapai secara mutlak. Sekiranya masalah perkauman ini tidak dapat ditangani dengan berhemah, masyarakat akan melahirkan kebimbangan terhadap masalah perselisihan kaum yang mungkin berlaku dan ia boleh diibaratkan sebagai ancaman bom jangka yang menanti masa untuk meledak. Setiap warganegara harus memainkan peranan yang penting dalam mengawal sentimen perkauman dengan cara menghormati adat resam kaum lain serta bertoleransi apabila berdiskusi tentang urusan yang melibatkan hubungan kaum. Fokuslah pada titik persamaan yang wujud pada pendirian dan tidak bersandar pada perbezaan buah fikiran semata-mata. Biarkanlah api perkauman yang pernah marak pada 13 Mei 1969  padam buat selama-lamanya. Setiap daripada kita juga harus tekun menyelusuri denai sejarah kemerdekaan negara. Barang siapa yang tidak mengetahui sejarah masa lalunya akan sulit untuk memahami keadaannya sekarang. Di samping itu, dia juga akan sulit untuk merancang masa depannya. Dalam konteks sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan etnik, adalah perlu untuk kita memahami sejarah dan bertindak menterjemahkan kefahaman tersebut dengan cara menjadi warganegara Malaysia yang  mampu untuk menjadi agen penyatu masyarakat. Dengan cara ini, kemerdekaan yang kita cicip bersama akan menjadi lebih bermakna.


           Tugas menegakkan rumah kemerdekaan ini bukannya satu kerja yang mudah. Lantainya disimbah air mata, dindingnya tertegak atas tulang-temulang, atapnya disulam dengan peluh dan keringat. Setiap seorang daripada rakyat Malaysia perlu sedar bahawa mereka juga memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa hadapan negara. Impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju mengikut acuannya yang tersendiri pasti akan terlaksana seandainya setiap daripada kita sedar akan tanggungjawab berat yang tergalas untuk mewariskan kemerdekaan ini kepada generasi yang seterusnya. Patriotisme harus dilihat dalam konteks yang lebih luas dan bukan sekadar pada ‘ritual’ mengibar bendera semata-mata. Kemerdekaan adalah peluang untuk menggunakan sumber-sumber yang dimiliki untuk membangunkan tanah air tercinta tanpa campur tangan kuasa asing. Memetik kata-kata Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas,


        “Persoalan kita bukanlah pada kurangnya sumber-sumber kewangan, material, spiritual, dan intelektual, melainkan yang lebih penting adalah keengganan kita untuk meletakkan setiap sumber yang kita miliki pada tempatnya yang benar dan tepat." 


           Adalah satu keperluan buat setiap warga Malaysia untuk menjadikan kemerdekaan yang kita miliki ini mempunyai rohnya yang  tersendiri. Adalah amat malang sekiranya kemerdekaan hanya disambut secara bersorak-sorai di Dataran Merdeka saban tahun tanpa kita memahami akan makna kemerdekaan yang sebenarnya.


           Di balik runtuhan kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka! 


Tempat Pertama, Pertandingan Mengarang Esei Kemerdekaan 2011,
Anjuran Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Tun Hussein Onn




Sabtu, Oktober 06, 2012

Forum Merdeka: Orang Muda Tidak Patriotik?



Sekitar tahun 2009, saya pernah menulis sebuah esei berkaitan kemerdekaan - bertajuk 'Harapan Anak Malaysia' untuk Pertandingan Mengarang Esei Kemerdekaan anjuran Dewan Siswa. Alhamdulillah, esei tersebut memenangi tempat pertama dan telah disiarkan dalam Dewan Siswa Ogos 2009.


Pada tahun 2011, saya menulis sebuah lagi esei bertemakan kemerdekaan - yang bertajuk 'Memaknakan Kemerdekaan' untuk Pertandingan Menulis Esei Kemerdekaan anjuran Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Tun Hussein Onn. Alhamdulillah, esei tersebut memenangi tempat pertama. 


Sebagai seorang yang dilahirkan dengan terus menghirup udara segar kemerdekaan, saya cuba untuk menyatakan harapan terhadap kelangsungan kemerdekaan yang sedang kita warisi. 


Oleh itu, baru-baru ini - dalam Forum Kemerdekaan anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP), IPG Kampus Tun Hussein Onn - saya cuba untuk menyahut cabaran dengan membicarakan tentang polemik 'Orang Muda Tidak Patriotik?' Terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi menjadi ahli panel dan penonton.





Saya melontarkan perspektif berdasarkan apa yang saya perhatikan. Dan saya secara peribadi mendefinisikan patriotik sebagai - keinginan yang tinggi untuk bersama-sama membina negara (baca: ummah) dan masa depan yang lebih baik.


Polemik 'Orang Muda Tidak Patriotik?' saya kaitkan dengan faktor generasi Y yang membesar dalam iklim dunia teknologi yang serba mudah dan segera. 


Kami turut membicarakan tentang  kepentingan sikap patriotik, ancaman dalaman yang dihadapi dan usaha yang boleh dipergiatkan untuk membina masa depan negara (baca: ummah) yang lebih baik. 


Saya berpandangan bahawa kita perlu kembali menguliti bahan-bahan sejarah untuk mencari jati diri. Lawatan ke tempat-tempat bersejarah tidak seharusnya sekadar cukup dengan sesi bergambar semata-mata, tetapi apa yang lebih penting adalah kita perlu mencari 'roh keberanian pejuang.' Belajar daripada sejarah tidak bermakna kita mengundur tapak ke belakang, sebaliknya sejarah menjadi landasan untuk kita mara ke hadapan.


Saya cukup terkesan tatkala membaca bahan-bahan sejarah berkaitan perjuangan sesuatu bangsa, terutamanya dalam konteks Malaysia - susur galur perjuangan menggapai kemerdekaan daripada kolonialis rakus sejak ratusan tahun yang lalu. Ribuan jiwa telah terkorban untuk kemerdekaan kita ini.


Dalam pemerhatian saya juga, faktor jihad kurang diperkatakan apabila topik kemerdekaan dibicarakan. Soal nasionalisme lebih banyak ditekankan. Walhal - jihad dalam Islam adalah penyuntik energi perjuangan kemerdekaan untuk membebaskan diri daripada penjajahan kuffar.


Beberapa buah buku yan berada dalam koleksi saya - antaranya Ulama Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan (Riduan Mohamad Nor, Mohd Fadli Ghani), novel Nostalgia Padang (Dzulkarnain Ithnin) dan novel Tok Janggut; Pahlawan Kelantan (Abdul Latip Talib) - adalah buku yang mampu membangkitkan ingatan saya terhadap perjuangan kental para pejuang.


Bagi saya - adalah satu keperluan buat kita semua menjadikan kemerdekaan yang diwarisi ini memiliki rohnya yang  tersendiri. Adalah amat malang sekiranya kemerdekaan hanya disambut secara bersorak-sorai di Dataran Merdeka saban tahun tanpa kita memahami akan makna kemerdekaan yang sebenarnya. (Betapa apa yang lebih penting - bukan kehidupan di dunia semata, tetapi kehidupan di negeri abadi)


Persoalannya - sejauh mana kita sudi  menjadi penyelesai masalah dan bukannya sebahagian daripada masalah.

Related Posts with Thumbnails