Sabtu, Februari 28, 2009
Keroncong itu bergema lagi.
Khamis, Februari 26, 2009
Penyudahan sebuah pengakhiran?
Awan tampak mendung di luar. Angin petang menyapa kencang. Nyaman.
oleh: Hishammudin Rais
Seperkara lagi, kepada jemaah yang memiliki telefon bimbit, tutuplah talian telefon anda sebaik tiba dikawasan masjid. Boleh dikatakan setiap kali solat Jumaat, mesti ada pesta deringan telefon, macam-macam bunyi ada. Kalau masa puasa dulu nada dering lagu nasyid, Jumaat ini pastilah nada dering lagu raya. Khusyukkah anda terutama tuan punya telefon jika situasi tersebut berlaku? Yang membuat panggilan pun satu, tolonglah agak-agak waktu solat Jumaat, jangan main redah saja.
- Dipungut dari surat SHARUDIN ABDULLAH, Jalan Ampang,Kuala Lumpur Forum Pembaca Pembaca Utusan Malaysia, 29.11.2004
Tiga minggu yang lalu saya telah dijemput ke sebuah restoran Eropah di Bukit Bintang untuk makan malam oleh seorang kenalan lama. Saya memang kaki makan dan tidak pernah menolak apa sahaja jenis makanan. Tetapi untuk saya makanan Eropah di negara kita ini ada sedikit lucu. Bukan sahaja harganya mahal malah rasanya telah tidak asli lagi. Kebanyakan restoran Eropah ini untuk saya bukan menjual makanan tetapi menjual gaya hidup.
Jadi, apabila makanan yang saya pesan dari restoran di Bukit Bintang ini tidak meliurkan selera, maka mata saya liar mengintai ke meja-meja yang lain. Saya akui restoran ini cukup popular. Hampir ke semua meja ada pelanggan. Dari pakaian pelanggan saya menganggap kebanyakan mereka datang dari kelas menengah. Hanya ada dua meja dari keluarga Melayu selainnya dari keluarga Tionghua. Mungkin pelanggan Melayu merasa sedikit was-was kerana tidak ada lencana halal terpampang di pintu masuk.
Di sebelah kanan meja saya ada satu keluarga Tionghua - seorang ayah, seorang ibu, abang yang mungkin masih lagi di sekolah menengah dan adik perempuan yang tiga atau empat tahun lebih muda daripada abang.
Sekali pandang ini adalah imej terbaik dari sebuah keluarga bahagia. Ayah dan ibu mungkin golongan profesional, tinggal di kawasan mewah seperti di Petaling Jaya atau Bukit Tengku. Datang ke restoran dihujung minggu untuk mengalih selera. Keluarga seperti inilah yang menjadi idaman kita - keluarga mithali.
Nanti sebentar. Bila saya menoleh dengan agak lama maka saya merasa ada sesuatu yang tidak kena. Makanan masih belum sampai tetapi meja mereka kelihatan murung. Keempat-empat orang individu dari keluarga bahagia ini tidak pula bercakap antara satu sama lain.
Ada suara kedengaran kerana si ayah sedang bercakap dengan telefon bimbitnya. Si ibu pula sedang membaca pesanan smsnya. Di telinga anak lelaki melekat terpasang alat dengar yang membolehkan dia terus-menerus bercakap (tidak tahu dengan siapa) tanpa mempedulikan ayah, ibu atau adiknya. Si gadis kecil ini juga tidak mahu ketinggalan - dia sedang asyik bermain alat komputer yang terpasang di telefon bimbitnya.
Bila ternampak apa yang sebenarnya terjadi di mejase belah, saya merasa cukup kecewa. Rupa-rupanya keluarga bahagia yang saya idam-idamkan ini hanyalah satu ilusi. Mereka ini telah menjadi robot yang dikendalikan oleh teknologi.
Saya menjadi hairan kenapa agaknya keluarga ini datang makan ke restoran ini. Bukankah makan bersama keluargadi restoran bertujuan untuk merapatkan kemesraan dan kebahagiaan hidup berkeluarga. Sementara menunggu makanan alangkah indahnya jika mereka bersembang dan bercerita tentang itu dan ini. Bergelak ketawa dalam suasana kekeluargaan. Tidak. Mereka bukan satu keluarga bahagia tetapi telah menjadi satu platun kecil dalam kapal Enterprise seperti dalam siri Star Trek. Mereka bukan dalam restoran tetapi sedang sesat dalam galaksi Gedubah. Siayah telah menjadi Kapten Kirk. Si ibu telah menjadi saintis kanan yang sedang berusaha melalui telefon bimbitnya mencari planet baru untuk mendarat. Anak-anak kecil berdua itu adalah mutant yang baru ditawan dari planet Zargos.
Apa yang saya lihat ini bukan satu yang baru. Dengan kesampaian telefon bimbit ini nampaknya manusia tidak lagi ingin bercakap dengan manusia yang di hadapan mereka. Mereka lebih ingin berkomunikasi dengan orang yang jauh. Dan apabila bertemu dengan orang yang jauh itu mereka tidak pula ingin berbual tetapi masih ingin terus berkomunikasi dengan orang yang lebih jauh lagi.
Pernah satu ketika dahulu saya telah membuat temujanji dengan seorang kenalan baru. Kami berkenalan melalui laman chat. Kemudian kami berhubung melalui e-mail. Setelah beberapa hari berhubung lalu kami bersetuju untuk bertemu. Apa yang hendak saya ceritakan di sini bukan bagaimana cun, seksi atau kacaknya si dia yang bertemu dengan saya ini. Itu kisah yang lain.
Kami bertemu di sebuah cafe pada malam yang ditetapkan. Tetapi, belum pun sempat kami bersembang panjang tiba-tiba bunyi telefon berdering. Kenalan baru saya ini memesongkan kepala untuk bercakap dengan telefon buat beberapa minit. Saya pula memesan satu cangkir air anggur merah. Belum pun sempat minuman sampai sekali lagi telefon berdering. Kenalan baru saya ini sekali lagi memesong badan untuk bercakap dengan telefon bimbitnya. Selesai bercakap dengan telefon minuman kami pun sampai. Belum sempat minuman dirasa tiba-tiba kedengaran pula bunyi panggilan sms.
Dia membaca smsnya dan kemudian menjawabnya pula.Dengan penuh rasa bosan saya meminta diri untuk ke tandas. Ini sebenarnya satu helah. Keluar dari tandas saya terus meninggalkan café tanpa membayar minuman. Si cun yang ingin saya kenali itu saya tinggalkan sahaja. Saya biarkan dia terus berlabon dan bercinta dengan telefon bimbitnya. Saya tersenyum puas kerana pasti dia terpaksa membayar minuman yang telah saya pesan. Padan muka.
Rasa saya bukan saya seorang sahaja yang mengalami drama telefon seperti ini. Pasti banyak yang telah mengalami kisah dan cerita yang seakan-akan sama.Teknologi yang budaya penggunaannya tidak betul-betul kita fahami ini akan memeningkan kepala. Bayangkan semasa kita betul-betul atau sedang menumpukan perhatian melihat sebuah filem atau sebuah teater tiba-tiba ada deringan telefon bimbit berbunyi.Terbarai gelak ketawa sebuah panggung. Betul-betul potong stim.
Tahun lepas saya telah pergi bersembahyang Jumaat ke Masjid Negara. Saya amat jarang turun bersembahyang Jumaat tetapi kerana saya telah memasang niat semasa saya dalam tahanan maka saya pun pergilah untuk pertama kalinya ke Masjid Negara. Saya sampai agak lewat. Tempat yang masih lapang hanyalah di kawasan tepi di barisan yang agak jauh dari Tuan Imam. Semasa membongkok sujud tiba-tiba saya terdengar deringan telefon bimbit. Bunyinya agak kuat dan datangnya daridua baris di hadapan saya.
Dalam keadaan sedemikian saya tidak tahu apa yang sayawajib lakukan. Konsentrasi sembahyang saya telah terganggu. Lalu saya tersenyum dan terlintas dalam kepala apakah ini panggil dari Yang Maha Esa. Sama ada sembahyang saya diterima atau tidak hanya tuhan sahaja yang mengetahui.
Si Mamat yang telefon bimbitnya berdering di hadapan saya itu pastilah seorang pengguna telefon yang bebal. Kenapa tidak dimatikan sahaja telefon bimbit itu ketika masuk ke dalam kawasan masjid. Insan-insan yang bebal seperti ini juga kadang-kadang mereka berani juga menyeludup masuk ke dalam panggung wayang, ke pentas teater atau ke dewan pilharmonik untuk memperagakan kecangihaan telefon bimbit mereka.
Walaupun telah ada pengumuman yang diberikan di tempat-tempat ini tetapi masih ada juga deringan telefon dari Mamat Bebal.
Inilah budaya yang dibawa oleh teknologi yang diimport yang kita sendiri belum cekap memahami cara menguruskannya. Saya pernah berangan-angan untuk menulis ke suratkhabar untuk mencadangkan agar semua bakal pengguna telefon bimbit diwajibkan mengambil kursus untuk mendapatkan lesen. Lesen ini samalah seperti lesen memandu atau lesen membuka warung.
Setiap tahun akan diadakan ujian agar si pengguna tahu berhemah dan berbudi bahasa dalam menggunakan objek-objek baru yang diimport. Jika ini terjadi maka pastilah restoran terus menjadi tempat keluarga bersembang sama sendiri dan bukan seperti dalam kapal Enterprise yang sedang menuju ke galaksi Zargos. Atau tiba-tiba mendapat deringan dari langit semasa bersolat Jumaat.
Isnin, Februari 16, 2009
Harapan Baru Animasi Malaysia.
Ruang legar sineplex itu telah dibanjiri manusia sejak dari ia mula dibuka lagi. Kepelbagaian ragam manusia di sana bisa memberi ilham buat insan yang melihat lebih daripada pandangan mata hakiki. Variasi dalam kehidupan umpama rencah yang melazatkan. Begitu juga dengan kepelbagaian dalam industri perfileman kita. Filem kita adalah wajah kita.
1. Faisal Tehrani
KALA ada cadangan supaya umat Islam negara ini memulaukan produk dari Amerika dan Israel, bayangan yang terlintas di hadapan mata saya bukanlah Colgate atau Nestle, jauh sekali Starbucks Coffee. Bayangan dalam kepala saya ialah bagaimana meyakinkan umat Islam dan sekian umat yang prihatin terhadap tragedi kemanusiaan di Gaza untuk turut memboikot misalnya siri televisyen popular Heroes, 24, Prison Break, Desperate Housewives, American Idol, Survivor dan aduh, senarainya panjang sekali.
Artikel penuh di sini
Sebenarnya agak sukar bagi saya untuk mencari satu titik temu yang bisa mengaitkan antara dua persoalan ini. Pada hemat saya, " Geng: Pengembaraan Bermula" bisa menjadi satu alternatif yang baik untuk dihidangkan sebagai santapan minda rakyat Malaysia melalui penekanan aspek semangat muhibah dalam masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Filem ini begitu mengharmonikan penonton apabila menyelitkan watak-watak daripada pelbagai agama dan bangsa. Rajoo misalnya mewakili kaum India, Lim pula berbangsa Cina dan Badrol berbangsa melayu. Watak-watak dalam filem ini saling membantu antara satu sama lain dan tidak segan silu untuk bersahabat. Saya kira Malaysia sudah begitu lama tidak mengeluarkan filem berbilang-bangsa sebegini. Walaupun sudah 51 tahun merdeka, namun kita masih ketandusan filem yang memaparkan wajah integrasi nasional sebuah masyarakat masyarakat majmuk. Adalah begitu bahaya dalam sebuah negara seperti Malaysia jikalau perpaduan antara kaum tidak dapat dicapai secara menyeluruh. Maka sebagai resolusinya, salah satu cara untuk mengeratkan tali perpaduan ini adalah dengan memaparkan satu budaya muhibah dan bertoleransi melalui media. Hal ini kerana, media mempunyai pengaruh atau kuasa yang begitu kuat dalam masyarakat hari ini. Lazimnya, kita memperoleh maklumat melalui hebahan media. Media bisa menjadi punca kepada permasalahan kaum andaikata maklumat yang disampaikan tidak tepat, condong ke arah satu pihak dan membakar api perkauman.
Saya melihat media sebagai satu medium yang berkesan untuk menyebarkan ideologi perpaduan kaum. " Geng: Pengembaraan Bermula" barangkali merupakan satu permulaan yang baik buat kita untuk memaparkan semangat keharmonian itu. Berbalik pada tulisan Faisal Tehrani yang saya kemukan tadi , Amerika & Israel telah menyebarkan ideologi mereka tanpa kita sedari melalui media. Media mereka telah membiarkan kita mengasimilasikan ideologi mereka tanpa pernah kita sedari. Saya sekali lagi menegaskan bahawa alternatif yang berkesan wajar kita cipta seperti mana yang telah dilakukan oleh negara Iran ( rujuk artikel Faisal Tehrani)
2. "Geng: Pengembaraan Bermula" : satu pandangan sisi
Filem ini secara jujurnya membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak. Latar kampung yang dipaparkan terasa begitu dekat di hati dan mengimbau suasana desa yang menyamankan. Lagu nyanyian Ito Lara yang turut ada dalam filem ini bisa membuat saya tersengih-sengih keseorangan apabila mengenangkan zaman silam.
Tidak dapat dinafikan bahawa filem ini turut membawa budaya masyarakat Malaysia bersamanya. Antara konflik utama yang muncul adalah ketakutan penduduk kampung kepada hantu durian. Bagi masyarakat melayu, hantu ( bisa dinamakan dengan nama lain. Jembalang, momok dll.) terasa begitu dekat dengan mereka. Kanak-kanak dimomokkan oleh ibu bapa mereka dengan kehadiran hantu sekiranya ada larangan yang ingin dikenakan. Maka, tidak hairanlah sekiranya filem hantu Malaysia bisa mengutip kutipan di luar jangkaan semasa keadaan industri perfileman kita tidak menentu. Hantu begitu dekat di hati orang melayu dan itulah realiti yang dipaparkan dalam filem animasi ini.
" Geng: Pengembaraan bermula" tidak sarat dengan lawak jenaka kosong yang membodohkan penonton. Kekuatannya adalah pada unsur humor yang membina. Keletah dan lagak gaya Upin,Ipin dan Raju yang menghiburkan pastinya akan membuat seisi panggung tertawa tidak kering gusi. Selain humor, filem animasi ini juga sarat dengan unsur-unsur aksi, fantasi dan suspen yang bisa membuatkan penonton tidak mahu berganjak daripada tempat duduk. Adegan pertembungan manusia dan raksasa ( raksasa apekah? itu harus anda saksikan sendiri) mencetuskan unsur suspen dan semangat ingin tahu terhadap latar belakang setiap watak baru yang diketengahkan.
Walaupun sedikit klise pada sesetengah adegan, namun saya kira filem ini telah dijalin dengan begitu baik sekali. Cerita masyarakat takut menghampiri sesebuah kawasan kerana dikatakan berhantu, namun disebalik rumah yang 'berhantu' itu ada jenayah yang disembunyikan, merupakan sebuah cerita yang telah saya baca berulang kali sejak daripada di sekolah rendah. Usaha pengarah untuk menimbulkan kemisterian terhadap rumah 'berhantu' itu melalui plot-plot yang berlapis wajar dipuji kerana ia turut menimbulkan unsur suspen dan membantu menggerakkan jalan cerita.
Bagi seorang rakyat kebanyakan seperti saya yang menonton kurang daripada 20 filem setahun ini, " Geng; Pengembaraan Bermula" merupakan sebuah filem yang menarik untuk ditonton dan tidak bersandar pada populariti siri TV Upin & Ipin semata-mata. Saya kira filem ini merupakan animasi negara yang kedua yang mampu memaparkan budaya Malaysia yang sepatutnya selepas Lat menerbitkan animasi ' Kampung Boy'.
Saya hanyalah seorang pelajar jurusan sains fizik, bukannya kesusasteraan ataupun pembikinan filem. Maka, ulasan yang saya ketengahkan ini adalah ulasan seorang rakyat Malaysia yang cetek ilmunya dan barangkali tidak tepat.
Fajar telah menyinsing dan kelihatan harapan baru buat animasi kita telah tersingkap di kaki langit.
Tahniah Upin dan Ipin!.
Ahad, Februari 08, 2009
Memaknakan cinta
Atas faktor apakah manusia bisa jatuh cinta?
Adakah ianya kerana kecantikan, kejujuran, keikhlasan ataupun kekayaan?
Entahlah
Jiwa kosong.
Saiful Islam dalam 'Aku Terima Nikahnya' menyebut bahawa:
" Cinta vs. CINTA
Cinta kecil itu adalah kekeliruan perasaan yang terbit dari keinginan untuk diberi perhatin, mahu dikasihi dan mengasihi, emosi yang kosong dari asas, matlamat dan kesedaran terhadap implikasi cinta jenis ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa cinta seorang anak kecil kepada kura-kura peliharaannya lebih mulia daripada cinta keliru ini, kerana sekurang-kurangnya si anak kecil itu akan memberi makan, berbual dan membersihkan akuarium kura-kuranya, sedangkan cinta keliru antara dua anak muda ini tanpa mereka sedar hanyalah sekadar untuk melayan gangguan emosi yang sunyi barangkali...juga tanpa sedar kedua-duanya sedang merancang untuk saling merosakkan antara satu sama lain.
CINTA sebenar itu harus terbit daripada emosi dan naluri fitrah manusia...namun ia lahir juga dengan sandaran rasional dan sedar diri terhadap asas cinta itu, tanggungjawab yang mengiringi cinta tersebut serta kesan yang bakal lahir dari mematerialisasikan perasaaan cinta seperti ini. Cinta yang ada 'sense of begin with the end in mind'. "
Kehidupan hari ini yang dikelilingi berhala hedonisme telah membentuk satu kebudayaan baru dalam kalangan generasi muda pasca modenisasi.
Hanya yang tabah dan sabar sahaja yang akan mampu merintis jalan pulang.
Antara hak dan batil kini hanya dipisahkan oleh satu garis yang tipis.
Sehinggakan ramai manusia yang terkeliru antara kebenaran ataupun kepalsuan.
Kemudi hati tidak lagi membawa diri pulang ke pangkuan Illahi.
Entahlah.
Jiwa kacau.
( Entri ini tidak menggambarkan keadaan jiwa penulis yang sebenar. Ia hanyalah luahan yang mengisi ruang malam )
Isnin, Februari 02, 2009
Menyemai plagiarisme.
Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul? SEBENARNYA Sang Ketam tidak pernah |