Isnin, Februari 16, 2009

Harapan Baru Animasi Malaysia.







Ruang legar sineplex itu telah dibanjiri manusia sejak dari ia mula dibuka lagi. Kepelbagaian ragam manusia di sana bisa memberi ilham buat insan yang melihat lebih daripada pandangan mata hakiki. Variasi dalam kehidupan umpama rencah yang melazatkan. Begitu juga dengan kepelbagaian dalam industri perfileman kita. Filem kita adalah wajah kita.


Setelah begitu lama saya menanti akan kehadiran sebuah filem yang mampu memaparkan wajah Malaysia yang sebenarnya, akhirnya penantian saya berbalas pada lewat hujung minggu ini. Menonton " Geng: Pengembaraan Bermula" keluaran Les Copaque Production membawa saya ke satu alam penerokaan yang hebat dan mengagumkan. Dengan hanya bersandarkan pada populariti siri televisyen ' Upin & Ipin' yang ditayangkan di TV9, filem animasi ini ternyata bisa membawa masyarakat dari sekalian umur dan bangsa sama-sama menontonnya di dalam satu panggung. Buktinya?. Panggung yang saya duduki turut sama diisi dengan penonton dari pelbagai lapisan umur dan berbilang bangsa.


" Geng: Pengembaraan Bermula" secara tuntasnya memaparkan kisah kegemparan yang berlaku di Kampung Durian Runtoh bahana peristiwa misteri kehilangan durian penduduk kampung. Hal ini menyebabkan seisi warga desa riuh-rendahnya kerananya. Maka, timbullah tuduhan yang mengatakan bahawa kehilangan ini adalah dilakukan oleh 'hantu durian'. Badrol, cucu kepada Tok Dalang yang bercuti di Kampong Durian Runtuh turut membawa bersama rakan sebiliknya di kampus, Lim. Filem animasi ini turut dibintangi bersama oleh watak-watak 'wajib' seperti Upin, Ipin, Rajoo, Kak Ros selain beberapa watak-watak tambahan yang lain. Cerita mula berkembang apabila Badrol dan Lim ingin ke dusun durian datuknya sambil ditemani oleh Upin, Ipin dan Rajoo. Naluri kanak-kanak (Upin, Ipin & Rajoo) yang sentiasa mahu menerokai perkara baru telah membawa mereka semua jauh ke dalam hutan. Mereka bertemu Oopet, makhluk fantasi yang tidak wujud di alam realiti. Kehadiran Oopet telah membawa mereka menyelongkar satu misteri yang sebelum ini belum diterokai.


Saya melihat persoalan dan tema yang melingkari filem ini hanya pada dua aspek utama. Yang pertama berkaitan idea lanjutan hasil buah pemikiran Faisal Tehrani. Dan yang kedua, pemerhatian saya sebagai seorang ahli masyarakat.


1. Faisal Tehrani

Ketika negara kita 'luar biasa' gempar ekoran peristiwa serangan Israel terhadap Palestin dahulu, banyak pihak yang mencadangkan agar sekalian rakyat Malaysia memboikot produk keluaran Zionis. Faisal Tehrani pula telah menulis:


KALA ada cadangan supaya umat Islam negara ini memulaukan produk dari Amerika dan Israel, bayangan yang terlintas di hadapan mata saya bukanlah Colgate atau Nestle, jauh sekali Starbucks Coffee. Bayangan dalam kepala saya ialah bagaimana meyakinkan umat Islam dan sekian umat yang prihatin terhadap tragedi kemanusiaan di Gaza untuk turut memboikot misalnya siri televisyen popular Heroes, 24, Prison Break, Desperate Housewives, American Idol, Survivor dan aduh, senarainya panjang sekali.

Artikel penuh di sini


Sebenarnya agak sukar bagi saya untuk mencari satu titik temu yang bisa mengaitkan antara dua persoalan ini. Pada hemat saya, " Geng: Pengembaraan Bermula" bisa menjadi satu alternatif yang baik untuk dihidangkan sebagai santapan minda rakyat Malaysia melalui penekanan aspek semangat muhibah dalam masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Filem ini begitu mengharmonikan penonton apabila menyelitkan watak-watak daripada pelbagai agama dan bangsa. Rajoo misalnya mewakili kaum India, Lim pula berbangsa Cina dan Badrol berbangsa melayu. Watak-watak dalam filem ini saling membantu antara satu sama lain dan tidak segan silu untuk bersahabat. Saya kira Malaysia sudah begitu lama tidak mengeluarkan filem berbilang-bangsa sebegini. Walaupun sudah 51 tahun merdeka, namun kita masih ketandusan filem yang memaparkan wajah integrasi nasional sebuah masyarakat masyarakat majmuk. Adalah begitu bahaya dalam sebuah negara seperti Malaysia jikalau perpaduan antara kaum tidak dapat dicapai secara menyeluruh. Maka sebagai resolusinya, salah satu cara untuk mengeratkan tali perpaduan ini adalah dengan memaparkan satu budaya muhibah dan bertoleransi melalui media. Hal ini kerana, media mempunyai pengaruh atau kuasa yang begitu kuat dalam masyarakat hari ini. Lazimnya, kita memperoleh maklumat melalui hebahan media. Media bisa menjadi punca kepada permasalahan kaum andaikata maklumat yang disampaikan tidak tepat, condong ke arah satu pihak dan membakar api perkauman.

Saya melihat media sebagai satu medium yang berkesan untuk menyebarkan ideologi perpaduan kaum. " Geng: Pengembaraan Bermula" barangkali merupakan satu permulaan yang baik buat kita untuk memaparkan semangat keharmonian itu. Berbalik pada tulisan Faisal Tehrani yang saya kemukan tadi , Amerika & Israel telah menyebarkan ideologi mereka tanpa kita sedari melalui media. Media mereka telah membiarkan kita mengasimilasikan ideologi mereka tanpa pernah kita sedari. Saya sekali lagi menegaskan bahawa alternatif yang berkesan wajar kita cipta seperti mana yang telah dilakukan oleh negara Iran ( rujuk artikel Faisal Tehrani)


2. "Geng: Pengembaraan Bermula" : satu pandangan sisi


Filem ini secara jujurnya membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak. Latar kampung yang dipaparkan terasa begitu dekat di hati dan mengimbau suasana desa yang menyamankan. Lagu nyanyian Ito Lara yang turut ada dalam filem ini bisa membuat saya tersengih-sengih keseorangan apabila mengenangkan zaman silam.


Tidak dapat dinafikan bahawa filem ini turut membawa budaya masyarakat Malaysia bersamanya. Antara konflik utama yang muncul adalah ketakutan penduduk kampung kepada hantu durian. Bagi masyarakat melayu, hantu ( bisa dinamakan dengan nama lain. Jembalang, momok dll.) terasa begitu dekat dengan mereka. Kanak-kanak dimomokkan oleh ibu bapa mereka dengan kehadiran hantu sekiranya ada larangan yang ingin dikenakan. Maka, tidak hairanlah sekiranya filem hantu Malaysia bisa mengutip kutipan di luar jangkaan semasa keadaan industri perfileman kita tidak menentu. Hantu begitu dekat di hati orang melayu dan itulah realiti yang dipaparkan dalam filem animasi ini.


" Geng: Pengembaraan bermula" tidak sarat dengan lawak jenaka kosong yang membodohkan penonton. Kekuatannya adalah pada unsur humor yang membina. Keletah dan lagak gaya Upin,Ipin dan Raju yang menghiburkan pastinya akan membuat seisi panggung tertawa tidak kering gusi. Selain humor, filem animasi ini juga sarat dengan unsur-unsur aksi, fantasi dan suspen yang bisa membuatkan penonton tidak mahu berganjak daripada tempat duduk. Adegan pertembungan manusia dan raksasa ( raksasa apekah? itu harus anda saksikan sendiri) mencetuskan unsur suspen dan semangat ingin tahu terhadap latar belakang setiap watak baru yang diketengahkan.


Walaupun sedikit klise pada sesetengah adegan, namun saya kira filem ini telah dijalin dengan begitu baik sekali. Cerita masyarakat takut menghampiri sesebuah kawasan kerana dikatakan berhantu, namun disebalik rumah yang 'berhantu' itu ada jenayah yang disembunyikan, merupakan sebuah cerita yang telah saya baca berulang kali sejak daripada di sekolah rendah. Usaha pengarah untuk menimbulkan kemisterian terhadap rumah 'berhantu' itu melalui plot-plot yang berlapis wajar dipuji kerana ia turut menimbulkan unsur suspen dan membantu menggerakkan jalan cerita.


Bagi seorang rakyat kebanyakan seperti saya yang menonton kurang daripada 20 filem setahun ini, " Geng; Pengembaraan Bermula" merupakan sebuah filem yang menarik untuk ditonton dan tidak bersandar pada populariti siri TV Upin & Ipin semata-mata. Saya kira filem ini merupakan animasi negara yang kedua yang mampu memaparkan budaya Malaysia yang sepatutnya selepas Lat menerbitkan animasi ' Kampung Boy'.


Saya hanyalah seorang pelajar jurusan sains fizik, bukannya kesusasteraan ataupun pembikinan filem. Maka, ulasan yang saya ketengahkan ini adalah ulasan seorang rakyat Malaysia yang cetek ilmunya dan barangkali tidak tepat.

Fajar telah menyinsing dan kelihatan harapan baru buat animasi kita telah tersingkap di kaki langit.

Tahniah Upin dan Ipin!.









4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tahniah kepada anda juga!
mungkin filem spt ini lah yg dinanti-nantikan oleh kita selama ini.

no nonsense,just plain,feel good, and lighthearted animation.
xpayah trying too hard with all the complex plotting and mind boggling animation techniques.straight to the most basic of basics,fun.

dan satu lagi,saya mungkin akan pg nonton ini filem.wah!

tahniah lagi kepada mereka,,
dan kamu juga.

cheers!

Haq Mohaidin berkata...

nice.aku suka kau kaitkan dgn faisal tehrani nye tulisan.mantap2..

erm, bile pikir blek, terasa sendiri kot dok asyik menonton cerita2 tv org amerika



nota: er, panjang dowh ko tulis.

Tanpa Nama berkata...

salam..
em, terasa semacam membaca jawapan utk soklan KOMSAS spm lak, hehe..
npe sy xtau ade cter ni ek? hik3..
pe pn, bgus la klu mcm 2.. kreny ad jgk improvement dlm bidang ni skng..
wslm..

Mohd Zarin berkata...

Saya wakil dari Les' Copaque mengucapkan terima kasih kerana meminati dan menyokong filem GENG... kalau free silalah join event kitaorg... cek blog untuk updates ye..

Related Posts with Thumbnails