Cerpen
ALTERNATIF
Oleh Syukri Sapuan
DALAM keadaan ekonomi yang kurang stabil ini, Zaki memang sedia maklum bahawa ayahnya sukar untuk bersetuju dengan permintaannya itu. Lebih-lebih lagi sebuah pasar raya besar akan membuka cawangan di kawasan mereka pada minggu hadapan. Pasti ramai pelanggan akan beralih arah dan tidak mahu berbelanja di kedai runcit mereka lagi. Pendapatan keluarga akan merosot dengan mendadak. Perkara inilah yang membuatkan dia lama berteleku di atas tikar selepas menyiapkan tugasan akademik sebentar tadi.
“ Ayah tidak bersetuju dengan dengan Zaki. Kekal sajalah di persatuan yang dahulu, mengapa harus berubah-ubah?” Bidas ayah apabila dia mengajukan permintaan untuk membeli pakaian seragam unit beruniform yang baru.
Dia hanya membungkam sambil memeluk tubuh. Dia memang sudah menduga bahawa jawapan itu yang akan diterimanya. Bukan dia suka-suka hati mahu menukar persatuan, sudah pasti dia punyai alasan yang tersendiri. Jikalau tidak masakan dia berani menyuarakan hasrat untuk membeli pakaian seragam baru yang harganya saja mampu menampung perbelanjaan wang sakunya untuk tiga bulan.
Kalau Zaki tahu begini yang akan terjadi pada akhirnya, tentu dia akan lebih berhati-hati dalam memilih persatuan. Semasa hari pendaftaran persatuan di sekolah tempoh hari, dia terlalu mengikut pelawaan rakannya. Pilihan yang diambil bukan dengan kerelaan sepenuh hati. Dia menyertai persatuan itu kerana mendengar desas-desus bahawa persatuan itu aktif mengadakan aktiviti dan perjumpaan. Maka dia memilih untuk menulis nama di borang pendaftaran persatuan tersebut.
Setelah beberapa bulan berada di sekolah itu, barulah dia sedar bahawa apa yang didengari selama ini hanya indah khabar daripada rupa semata-mata. Persatuan yang disertainya itu bukan sahaja jarang mengadakan aktiviti kokurikulum, bahkan hanya mengadakan perjumpaan beberapa kali sahaja dalam setahun. Itupun ketika awal-awal tahun dahulu untuk memilih organisasi persatuan. Kemudian masing-masing senyap tanpa sebarang berita. Jawatankuasa yang dipilih hanya memegang jawatan pada nama sahaja, tetapi kontang idea untuk mengadakan sebarang kegiatan.
Selalu saja perasaannya dihinggapi rasa cemburu apabila mendengar rakan-rakannya bercerita tentang aktiviti persatuan mereka. Tempoh hari mereka mendaki Gunung Pulai, selepas ini mereka merancang untuk berakit di sungai pula. Itu belum dikira lagi dengan aktiviti berkawat pada saban minggu. Pendek kata persatuan mereka memang padat dengan aktiviti yang dia gemari.
Memang pernah ada orang yang berkata padanya, mengapa mahu menyibukkan diri dengan kegiatan kokurikulum? Masa di sekolah ini belajar sajalah, dapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang, kemudian lanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi.
Mudah sahaja dia mengemukakan hujah balas untuk menutup mulut mereka. Semasa di sekolah inilah dia mahu mengumpul pengalaman dan kenalan sebanyak-banyaknya. Tambahan pula, dia tidak mahu hidupnya terlalu berorientasikan peperiksaan. Sistem pendidikan yang terlalu memberi fokus pada peperiksaan akan mendangkalkan pemikiran pelajar untuk berfikir secara kritis atau analitikal, apatah lagi untuk menghasilkan idea yang matang dan kreatif. Zaki mahu jadi pelajar yang serba boleh.
(cerpen penuh di majalah e@siswa Mac 2010-dapatkannya di pasaran)
***
Terima kasih kepada tuan editor yang telah menyiarkan cerpen tulisan saya di majalah e@siswa edisi Mac 2010. Cerpen ini saya tulis pada penghujung Disember 2009- beberapa hari selepas tamat Minggu Penulis Remaja 2009.
Saya masih menggunakan tema yang mudah- sesuatu yang dekat dalam kehidupan seorang pelajar.
Buat masa ini, saya masih mencari-cari masa untuk yang sesuai untuk menulis cerpen seterusnya. Komputer riba yang rosak serta kekangan masa semester akhir nampaknya menyebabkan saya kurang 'produktif' dalam dunia kepengarangan ini.
Kehidupan kolej sayaj akan tamat dalam masa 3 bulan lagi. Selepas itu, saya akan menulis sebanyak-banyaknya.
Menulis novel barangkali?
2 ulasan:
insyaALLAH...all d best!;)
tahniah! =)
menanti novel dari saudara!
Catat Ulasan